10 Disember 2010

Baru aku tahu kenapa

Sebelum bergelar ayah, selalu aku terasa bosan membaca kisah anak-anak orang dalam blog mereka. Asyik-asyik nak cerita tentang anak. Anak makanlah, anak sakitlah, anak jatuhlah, anak tumbuh gigi, anak ketawa, dan sebagainya.

Apalah yang nak dikisahkan sangat pasal anak tu. Tulislah cerita lain pula tapi biarlah dia punya blog lantak dialah nak buat apa. Kini, pandangan aku sudah berubah.

Itulah kata orang tua, belum rasa belum tahu. Pernah suatu ketika aku tanya ibu kenapalah ibu suka terkenangkan anak setiap kali menjamah makanan yang enak. Ibu selalu fikir apa yang dimakan anak-anak saat ibu mula menjamah. Aku jawab, entah-entah anak ibu itu makan lagi sedap, tak perlu ingat pun ibu.


Tapi kini aku sudah rasa menjadi ayah. Baru aku tahu kenapa ibu begitu. Memang benar fikiran aku selalu terkenangkan anak. Apatah lagi ibu yang melahirkan. Ia adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. Hanya yang mempunyai anak dapat merasakan.

Dalam tidak sedar, perkara yang aku bosan nak baca dulu, kini menjadi bahan bacaan orang  lain pula dalam blog ini. Mungkin kamu juga mengalami rasa bosan itu. Tapi percayalah blog kamu juga akan mula berubah 'nada' apabila kamu menjadi seperti aku.

Lama juga aku tak menulis di sini hanya kerana bermain dengan Najla lebih bererti daripada menghadap komputer. Perasaan inilah yang dikatakan rahmat. Rahmat yang dianugerah Allah hanya sekelumit ini yang membibitkan rasa kasih dan sayang.

Cuma rahmat ini, pesan Nabi kesayangan kita, bukan terhad untuk anak saja. Biar rahmat itu menyeluruh. Mulakan daripada anak-anak, kembangkan kepada ahli keluarga lain, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, kaum lain, hatta kepada musuh kita.

Subhanallah, cuba bayangkan rahmat Nabi kepada kita. Perasaan baginda persis perasaan kita pada anak. Kita bukan anaknya tapi Nabi paling ingat diri kita saat baginda dalam sakaratul maut.

p/s: Kita adalah penerus misi menyebar rahmat ke seluruh alam

06 November 2010

Urusan pendaftaran dah bertukar ke?

Setelah anakku diberikan nama, aku pun ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyiapkan sijil kelahiran dan kad MyKidnya. Urusannya nampak mudah tapi semua dokumen berkaitan perlu disediakan terlebih dahulu.

Pada asalnya aku ingin mendaftarkan nama anak pada hari ketujuh, tapi kad nikah kami tidak laku. Kata pegawainya, aku perlu sertakan sijil nikah asal. Kali terakhir aku tengok sijil nikah kami hanyalah sebelum ke China, jadi aku tak pasti di mana ia tersimpan.

Selepas sehari barulah jumpa sijil itu. Urusan kemudiannya cepat saja disiapkan. Aku tabik pada JPN yang cekap membuat kerja. Tidak sampai setengah jam, sijil kelahiran anak kami, SAHAL NAJLA, sudah pun siap. Hanya kad MyKid memerlukan tempoh sebulan untuk siap.

Apabila diteliti sijil kelahiran anak kami, ayah pun tegur kenapa tidak diletakkan tarikh hijriah dalam sijil? Yalah, tak teringat pula aku. Langsung aku segera ke JPN pada keesokan harinya.




"Saya nak ubah sijil ini boleh?"
"Ubah apa?"
"Nak masukkan tarikh Islam"
"Tak boleh!"
"Eh, ayah saya kata boleh.."
"Sekarang dah tak sama macam dulu. Kalau dulu tulis tangan, jadi boleh lah.."


Permintaan aku tak dapat dipenuhi pihak JPN. Katanya mereka menggunakan sistem khas yang membolehkan input dimasukkan pada ruangan yang terhad. Jika sudah dimasukkan tarikh masihi tak boleh masuk tarikh hijriah.

Mereka kata lagi bahawa hanya input Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris saja yang boleh diubah. Sukar juga untuk aku menyanggahnya lagi kerana aku faham sistem pengaturcaraan bukannya boleh diubah begitu saja.

Tapi kan aku tertanya-tanya juga sama ada itu hanya alasan atau hakikat. Jika benar maklumat itu tidak boleh diisi, maka terpaksalah aku menulisnya dengan tangan.

Terkenang aku pada nasib kita di MyKad, ruangan bangsa juga sudah tiada. Mungkin kerana sistem tidak menyediakan ruangan bangsa untuk dipaparkan dalam MyKad.

Sayang sekali apabila setiap bangsa hilang identiti bangsanya sendiri dalam MyKad. Soal bangsa sudah mula jadi isu sensitif sedangkan bangga pada bangsa itu perlu bagiku. Bangga bukan bererti bongkak dan hidung tinggi sehingga memandang rendah bangsa lain.

Allah mengajak kita untuk saling mengenali antara bangsa tetapi jika setiap bangsa mula terhakis nilai bangsanya sendiri, di mana lagi elemen perbezaan bangsa tadi dapat dipelajari.

Apabila kita bangga dengan bangsa kita, pasti kita akan berusaha mengekalkan budaya bangsa. Tengok saja bagaimana majunya bangsa Cina di China.

Perbezaan tidak bererti permusuhan. Kita di Malaysia cukup dicemburui negara asing kerana berbilang bangsa tapi dapat hidup aman damai. Indahnya saat-saat begini.

Aku bangga aku Melayu. Dan kau juga harus bangga kau Cina atau India. Begitu juga jika kau Iban, Kadazan dan sebagainya. Jika diizinkan Allah, ingin saja aku telusuri budaya kalian agar aku lebih memahami siapa kalian.

01 November 2010

Bukan mudah berjaga malam

Malam pertama selepas kelahiran permata hati kami, banyak mesej yang diterima. Sama ada melalui SMS atau dalam Facebook. Pesanan yang paling menarik perhatian aku datangnya daripada Hakimi Shaari. Katanya kau tidurlah puas-puas sebelum anak balik ke rumah sebab lepas ini tak dapat tidur nyenyak dah.

Pesanan orang berpengalaman ini memang betul. Selepas kepulangan isteri dan anakku, lebih lima kali aku terjaga daripada tidur kerana anak merengek mahu disusukan ibu.

Isteriku nampak sangat letih sebab dia masih belum dapat rehat secukupnya sedari wiladah. Posisi anak perlu aku sesuaikan dengan ibunya yang tidak boleh banyak bergerak.


Keesokan harinya pun sama sehinggalah ke hari ini. Pasti setiap malam kami terjaga untuk melayani kerenah si kecil. Walaupun kelihatan seperti terganggu, hakikatnya tidak begitu. Seperti jawabku kepada Kak Amilin, kita perlu nikmati saat-saat ini kerana ia adalah proses kehidupan yang wajib dilalui.

Nak merungut pun tak berguna, bahkan memberi tekanan saja dalam diri. Bukankah lebih baik kita meneliti dimensi positif dalam apa jua keadaan yang dihadapi.

Seperti yang aku coretkan dahulu, kini aku melangkah masuk era pendidik. Jiwa harus lebih sabar dan tekun. Kerana seorang pendidik bukan hanya bertugas mendidik yang lain. Dia harus sedar bahawa dia juga sedang dididik.

Yalah, kita ingin mencorakkan kain putih menurut cara kita. Jadi, sudah pasti kita terlebih dahulu perlu 'diajar' cara membuat corak. Kepayahan bangun malam itulah antara saat-saat kita 'diajar' olehNya.


Hari ini genaplah usia anak kami tujuh hari. Untuk mencapai kelebihan amalan sunat pada hari ketujuh ini, kami pun merasmikan nama sang puteri ini. Sahal Najla adalah nama pilihan kami.

Sahal bererti yang menyenangkan, manakala Najla bermaksud yang mempunyai mata yang besar/cantik dan berketurunan baik. Moga penganugerahan nama ini membawa rahmat kepada dirinya dan keluarga.

Pada hari ini jugalah, buat pertama kali selama 10 tahun berpengalaman memandu, aku telah memusnahkan rekod bersihku. Aku terlelap sewaktu menunggu giliran membayar tol di Klang.

Gear kereta berada dalam keadaan 'D' dan pedal brek yang kupijak terlepas sekejap hingga menyebabkan kereta di hadapan disondol aku. Rileks saja ayah melihat gelagatku yang baru bergelar bapa. Semuanya berlaku gara-gara tidak cukup tidur, dan kusyen kereta yang selesa.

Apapun yang berlaku aku masih menikmati kehidupan ini seadanya. Semua yang berlaku adalah proses kehidupan untuk aku sentiasa 'diajar' bagaimana caranya untuk mengajar.

30 Oktober 2010

Ikuti tunjuk ajar betul untuk jadi pendidik


Sebaik saja anak dilahirkan, doktor rapatkan terus anak dengan ibunya agar bersentuhan kulit. Persentuhan ini mampu menggalakkan hubungan kasih sayang anak dan ibu selain merangsang naluri 'rooting reflex' untuk menyusu badan.

Setelah direhatkan seketika, ibu dan anak dikembalikan ke wad untuk berehat lebih lama sebelum dibenarkan pulang. Anak yang sudah dibersihkan kini diletakkan dalam 'katil'nya bersebelahan ibu.

Perlahan saja gerak kaki ibu kerana sakit di tempat peranakan juga disebabkan oleh jahitan pada kulit yang dikoyakkan dalam proses episiotomi. Untuk duduk atau berbaring, ibu perlu menahan ngilu dan pedih itu.


Keesokannya selepas diperiksa doktor, ibu dan anak dibenarkan pulang ke rumah. Kufikirkan urusan keluar sebentar saja tetapi makan masa juga untuk disiapkan dokumen berkaitan.

Hebat juga Hospital Selayang kerana menggunakan sistem kod bar untuk segala urusan pesakit. Hanya berbekalkan sekeping label berkod, aku ke kaunter pembayaran mengambil baki yuran perkhidmatan yang dikenakan.

Berbaloi rasanya melahirkan anak di hospital kerajaan kerana subsidi yang diberikan kerajaan kepada rakyat dapat mengurangkan beban kos perbelanjaan. Apatah lagi jika kita merupakan kakitangan kerajaan. Sudah begitu tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Tidak kiralah parti apapun yang memerintah.

Mak turut serta membantu membawa anak dan cucunya pulang ke rumah. Seronoknya bukan kepalang. Begitu juga dengan sanak saudara dan rakan taulan lain. Jadi, tak perlulah aku bayangkan kepada kalian bagaimana pula perasaan ibu dan ayahnya.

Bermula saat ini, era pendidik mulai aku tempuhi bersama isteri tercinta. Soal pendidikan anak sudah tentu Islam menjadi teras rujukan. Bukankah Islam itu satu cara hidup yang sempurna mengajarkan kita semua selok belok kehidupan?

Alangkah ruginya jika manual ini tidak kita hadam dan terjemahkan dalam hidup. Buku bertajuk 'Pendidikan Anak-anak Dalam Islam' karangan Abdullah Nasih Ulwan yang pernah menjadi rujukan ibu dan ayahku kini menjadi panduan aku untuk menjadi pendidik.


Rasulullah sangat bersungguh dalam hal memperlihatkan kecintaan dan kasih sayang kepada anak sehinggalah dalam satu kisah seorang Arab datang kepada baginda lalu dia ditanya sama ada dia mencium anak-anaknya?

Jawapan 'tidak' yang spontan keluar dari mulut si ayah tadi ditempelak Nabi dengan mengatakan bahawa Allah telah mencabut sifat rahmat itu dari hatinya. MasyaAllah, moga kita selaku ayah dan ibu sentiasa dilimpahi sifat rahmat kepada anak-anak.

Barangsiapa tidak mempunyai belas kasihan kepada orang lain, nescaya dia tidak akan mendapat belas kasihan [Hadis Riwayat Bukhari]

28 Oktober 2010

Kelahiran itu mengetuk pintu hati


Pada pagi Selasa, isteriku mula mengalami kontraksi. Riang tawanya yang biasa kedengaran kini tiada lagi. Inilah kali pertama aku melihat isteri menahan kesakitan hingga mengalirkan airmata.

Pesan ibu, saat ini aku seharusnya genggam tangannya, gosokkan belakang badan dan usap dahinya. Walaupun kesakitan yang amat perit itu tetap dirasai, tindakan suami tadi mampu menjadikannya lebih tabah dan sabar.

Kesakitan yang dialaminya pada jam 8.30 pagi itu datang setiap lima minit. Setiap kali datang, berkerut dahinya menahan kesakitan. Makanan yang aku bawa sedikit pun tak dapat dijamahnya. Doktor yang datang sebelumku memaklumkan bukaan rahim sudah mencapai tiga sentimeter.

Jika tiada perkembangan atau bukaan terlalu lambat sehingga jam 1 tengahari, doktor akan masukkan air untuk mempercepatkan kelahiran. Ramai mendakwa proses ini lebih sakit daripada kelahiran normal. Aku berasa kasihan padanya.

Air zam-zam yang dibekalkan ayah sudah pun kubuatkan menjadi air selusuh semalam menurut pesanan Dr Harun Din dalam bukunya Doa merawat penyakit (siri 1). Aku harapkan kelahiran normal dan dipermudahkan. Dan apa yang aku perasan, kontraksi mula berlaku hanyalah selepas meminum air itu.

Jadi, aku suruhnya minum lagi. Tambah pula mak pun ada bawa sebotol air zam-zam sebagai tambahan. Tak lama selepas itu, isteriku menyuruhku memanggil doktor, dia sudah tak tertahan untuk meneran. Doktor minta tunggu sekejap sementara menunggu kekosongan di dewan bersalin.

Ya Allah, risaunya aku kalau-kalau anak dilahirkan di wad. Dalam kerisauan itu, aku sempat menunaikan solat zuhur dan berdoa sebaiknya. Isteri sudah pun dikejarkan ke dewan bersalin seusai aku bersolat. Mak menyuruhku segera masuk ke kamar 4.

Sebaik tiba di kamar itu, isteriku sedang meneran kali pertama. Alhamdulillah doaku diperkenan Allah untuk menyaksikan kelahiran ini. Kali ketiga isteriku meneran, terus saja anak kami keluar. Aku tergamam pada waktu itu sehingga tidak kisah tentang berat anak dan pukul berapa dia dilahirkan.

Hanya lafaz tahmid kuucapkan ribuan kali ke hadrat Maha Pencipta Yang Teragung. Sementara menunggu anak dibersihkan, pelbagai kisah ibu dikhabarkan sang ayah kepadaku di bilik menunggu.

Semakin deras lafaz tahmid kuucapkan apabila kisah-kisah mereka menjengah ke telingaku. Ada seorang ayah yang sangat berdebar menantikan kelahiran anaknya yang ditunggu-tunggu sejak jam 9 pagi hinggalah 3 petang. Syukur sekali apabila isteri hanya mengambil masa 7 minit.

Ada pula seorang ayah kelihatan murung apabila kutanyakan status anak. Rupa-rupanya anaknya meninggal dunia sebaik keluar dari perut ibunya dek kerana jantung yang lemah dan paru-paru berada di luar jasad. Sudah tentu takdir Allah itu layak buat kita yang harus merenung jauh pengajaran di dalamnya.

Setelah itu, isteriku kelihatan sangat lemah. Anak perempuan yang dilahirkan seberat 3.01kg langsung disusukan. Sempat aku ucapkan tahniah dan terima kasih kepada isteri kerana melahirkan anak kami. Aku tahu ucapan dan kucupan suami itu sangat bermakna buat isteri.

Dalam keletihan itu, terpaksa juga aku tinggalkannya sendirian bersama anak. Sudah polisi hospital tidak membenarkan suami menemaninya. Hanya sesekali datang menjenguk untuk menghantar makanan atau barangan saja dibenarkan.

Sungguh, kehebatan Tuhan menjadikan kita sebagai manusia penuh dengan ciri kompleks yang tersirat dalam zahir dan batin diri kita sendiri. Ciri-ciri itu jika diteliti dapat menambahkan lagi rasa cinta dan kagumnya kita kepada Dia Maha Pencipta.


Lebih-lebih lagi apabila kita melihat permulaan proses kehidupan manusia di depan mata sendiri melalui kelahiran anak ini. Sudah pasti juga kita bakal melihat perubahan-perubahan dalam fasa kehidupannya yang mencerminkan diri kita suatu ketika dahulu.

Tiada kata lain yang patut kuucapkan kala ini melainkan ucapan terima kasih kepada ibu. Selepas ini aku akan mengerti betapa patah kata dan tindakan yang menongkah ketaatan akan mengguris hati ibu dan ayah. Ampuni anakmu ini ibu.. ayah. 

Benarlah bahawa kehidupan ini umpama roda yang berpusing. Aku kini berada di putaran yang pernah dilalui ibu dan ayah. Jauh di sudut hati, aku terasa seperti ingin menangis apabila menyaksikan kelahiran ini. Namun, aku tabahkan hati untuk membekalkan semangat kepada isteri yang sedang bergelut kala itu.

25 Oktober 2010

Penyaksian kelahiran suatu keinsafan

Isteriku sudah pun dimasukkan ke wad pagi tadi untuk kelahiran permata hati kami yang pertama. Jika dihitung menurut kebiasaan, anak kami dijangka melangkah ke alam dunia ini 16 Oktober lepas.


Hari ini sudah lajak 9 hari isteriku menanti kelahirannya tapi masih tiada tanda-tanda kelahiran. Konon nak dapatkan 20.10.2010, Allah tak izinkan. Sudah tentu ada hikmahnya.

Hikmahnya banyak sebenarnya kerana banyak urusan aku pada waktu itu perlu diselesaikan. Sama juga dengan ahli keluargaku sendiri dan keluarga mertua. Alhamdulillah penangguhan itu menyelesaikan banyak perkara lain.

Risau juga melihat keadaan isteri yang tidak memperlihatkan tanda-tanda kelahiran akan tiba. Mujur ada rakan-rakan dan orang lain yang memaklumkan pengalaman mereka melahirkan anak menjangkau tarikh jangkaan. Kiranya keadaan yang dialami isteri adalah normal.

Isteriku terpaksa aku tinggalkan di hospital buat sementara kerana polisi yang tidak membenarkan aku menemannya. Sewaktu menziarahinya bersama keluarga, kamar sebelahnya dihuni seorang makcik yang sedang mengerang kesakitan untuk melahirkan anaknya yang kelima tidak lama lagi.

Ya Rabbi, barulah tampak di mataku betapa sakitnya melahirkan anak. Itu pun masih belum dilahirkan, emaknya sudah tak tertanggung derita. Bertambah sayu di hati apabila suaminya tiada di sisi kerana urusan kerja.

Kata ibu, suami perlu berikan sokongan kepada isteri pada saat-saat begini. Sakitnya sukar digambarkan apabila anak semakin rapat menuju ke rongga rahim yang semakin terbuka.

Alangkah ruginya andai kita tak dapat menyaksikan kelahiran ini. Tangisan pertamanya memadamkan segala derita yang dialami sebelum ini oleh sang ibu. Sudah pasti dengan penyaksian ini, kita tak mungkin bisa membuatkan ibu menangis pula kerana keangkuhan kita.

Itulah yang kuharapkan pada esok hari. Untuk menyaksikan kelahiran ini. Untuk kukhabarkan pada alam akan kekagumanku terhadap kehebatanNya. Untuk kuceritakan pada diri tentang sehelai kain putih yang perlu dijaga sebaik mungkin. Untuk kusematkan dalam sanubari akan beban pendidik yang menuju jalan abadi.

14 Oktober 2010

Cempaka Sari dilanda ribut

Setelah sekian lama hidup aman damai, inilah kali pertama negeri Cempaka Sari dilanda ribut. Ribut berasal dari khabar angin kononnya rakyat berbilang bangsa saling membenci antara satu sama lain.

Khabar pula disampaikan Pak Terang yang memiliki perniagaan piring hitam terbesar negara. Tiada siapa kenal suara yang dirakamkan dalam piring hitam yang tersebar luas itu. Hanya ada pelekat tertera ‘Perniagaan Pak Terang’ dan alamatnya.

“Kita harus wujudkan bangsa Cempaka. Inilah simbol perpaduan kita. Usah digunakan lagi pemakaian nama bangsa Cina, Melayu dan India.”

Begitulah petikan suara yang keluar dari piring hitam yang sedang berkumandang di rumah Tok Su, penghulu Kampung Hadarah. Ramai anak-anak muda kampung berkumpul di sana mula berikan pandangan berbeza.

Ada yang minta dibunuh saja Pak Terang. Dengan pantas, Tok Su menghalang. Katanya suara ini bukan suara Pak Terang. Tambahan pula, dia orang kuat pemerintah. Tok Su tak berani menentang.

Adizaman lantas bangun mengangkat tangan menjadikan suasana hingar-bingar terus berubah menjadi senyap seketika.

“Jangan terburu-buru. Kita tidak dididik untuk menghukum tanpa diadili. Sejak bila Islam mengajar kita bunuh-membunuh? Dengan adanya piring ini, kita yang bersatu jadi berpecah. Cuba saudara semua fikirkan, jika tiada piring ini, akan wujudkah perkara perpecahan ini?”

Mereka yang hadir serentak menjawab TIDAKK!

“Jadi, kita perlu rasional. Dengan kita terburu-buru, ia boleh dijadikan bukti bahawa kita sedang berpecah. Bukankah itu merugikan? Saudara-saudara sekalian, piring hitam ini perlu dihapuskan.. tapi bukan dengan kekerasan.”

Adizaman memang dikenali dengan sikapnya yang matang dalam menghadapi sebarang situasi. Apa yang disampaikan pun sering membuatkan orang tertanya-tanya kalimah seterusnya. Walaupun baru berusia 20 tahun, Adizaman mampu menggerakkan rakyat di Kampung Hadarah.

“Tapi Adizaman, bagaimana hendak hapuskan piring hitam ini kalau bukan dipatah-patah dan dibakar saja? ” Darah muda Lazim membuak-buak ingin memusnahkan semua piring hitam.

“Nanti akan saya fikirkan..”

08 Oktober 2010

Teknologi membuatkan kita hebat


Kreatif dan inovatif. Itulah sifat yang ada pada ahli-ahli teknologi yang membuatkan perkembangan teknologi bergerak cukup pantas. Misalnya, bagi pengikut setia Apple, sudah tentu Iphone4 menjadi idaman. Namun, fenomena baru ini sudah tentu juga tidak kekal.

Dulu sewaktu kanak-kanak, ilmu komputer yang aku tahu hanyalah ms-dos. Sudah kira hebatlah tu jika dapat buka fail daripada cakera liut menggunakan ms-dos. Zaman itu, ayah aku masih lagi menggunakan mesintaip. Aku hanya bermain dengan mesintaip sebab suka dengan kesan bunyinya. :)

Masih lagi aku ingat, waktu itu ayah sibuk dengan kerja-kerja dakwah. Ke sana ke mari tanpa telefon bimbit. Mesyuarat dan usrah setiap minggu. Kadang-kadang naik motosikal, kadang-kadang naik kereta. Ada masa kereta buat hal. Tapi, ayah tetap akan pergi.

Ayah juga tak lupa untuk mengajak aku bersamanya. Sebaik tiba di sana, aku dapati ramai kawan-kawan ayah yang datang. Mereka berbincang hal-hal yang tak tercapai dek akal aku.

Waktu itu aku rasa biasa saja tapi hari ini aku rasa mereka semua hebat belaka. Pengurusan masa cekap walaupun tiada telefon bimbit membunyikan alarm atau deringan jam tangan berjenama.


Dokumen-dokumen ayah juga aku suka baca. Dokumentasi mereka cukup lengkap sedangkan mereka menaip secara manual tanpa kekunci yang membolehkan tulisan dipadam. Kagum.

Semua kepayahan dulu kini tiada. Teknologi telah memajukan kehidupan kita. Itulah sepatutnya. Maksud aku, kerja kita semakin mantap. Pengurusan masa lebih teliti. Tempoh siap kerja lebih singkat. Perbincangan tak perlu bersua muka, boleh saja buat keputusan atas talian atau dalam telefon sambil memandu. Dan lain-lain..

Terima kasih pakar teknologi!

Namun, adakah teknologi ini benar-benar membuatkan kita semakin laju, mantap, hebat, dan seumpamanya? Akhir-akhir ini aku dapati teknologi ini memang memudahkan tapi ramai juga yang ambil mudah teknologi hinggakan hasil yang diharapkan tidak setanding orang dulu-dulu pun. Di mana silapnya? Aku bingung.

04 Oktober 2010

Anak iringi ibu terima ijazah



Semenjak Syawal, aku tidak berkesempatan menulis entri dalam blog ini. Cuma hari ini aku cuba gagahkan diri memberikan sedikit masa mencoretkan ucapan tahniah buat isteri.

Hari ini adalah hari bahagia buatnya. Sudah pasti Mak dan Abah turut berasa gembira atas kejayaan anak sulung mereka. Sebagai suami, aku tidak terlepas untuk sama-sama meraikannya.

Kali ini aku cukup bertuah kerana dapat merakamkan detik gemilang ini. Anak kami ikut mengiringi ibunya menghadiri majlis konvokesyen UIAM.

Berkali-kali aku berdoa memohon Allah berikan kesempatan kepada isteriku untuk memasuki dewan hebat ini bagi menerima ijazah daripada rektornya. Dan syukur kepadaNya atas pemakbulan doaku.

Menurut doktor, usia kandungan yang telah mencecah 9 bulan 2 hari pada hari ini adalah saat genting. Bila-bila masa saja permata hati ini boleh keluar untuk melangkah ke alam seterusnya.


Buat isteriku, tahniah abang ucapkan. Semoga kejayaan ini memberi semangat baru kepada sayang meneruskan hidup sebagai anak, isteri, pekerja, ibu dan khususnya khalifah di muka bumi.

Tak sabar rasanya hendak ceritakan pada anak kita nanti tentang kesempatannya bersama sayang naik ke pentas menerima ijazah pada hari ini. Akan kuceritakan padanya..Ya, bila sampai waktunya.

09 September 2010

Salam Aidilfitri buat semua


Salam Aidilfitri diucapkan kepada semua sanak saudara, sahabat handai, rakan taulan dan semua yang mengenali diri ini. Semoga Syawal yang menjelang mengukuhkan lagi kemesraan antara kita di samping kemaafan menghapuskan segala keresahan hati.

Khusus buat ibu dan ayah juga mak dan abah, kami memohon ampun dan maaf atas segala salah silap selama ini sama ada secara sedar atau sebaliknya dalam setiap perkataan dan perbuatan. Doakan agar kehidupan kami sekeluarga sentiasa diberkati Allah dan dikurniakan zuriat soleh solehah yang menjadi kebanggaan Nabi tercinta.

Kami juga mendoakan agar ibu ayah, mak dan abah sentiasa dikurniakan rezeki yang melimpah, kesihatan yang berterusan, dan kesenangan dunia akhirat.

Daripada saya, Muhammad Suhail Ahmad dan isteri tersayang, Nur Nadzifa Ahmad Azam.

03 September 2010

Lambakan kerja kemanusiaan

Kebelakangan ini aku asyik mesyuarat. Banyak isu kemanusiaan semasa yang perlu diselesaikan. Bagi GPTD, ada tiga peluang baik untuk pendedahan awal.

Pertama, pihak Muslim Kemboja menginginkan seorang guru muda yang boleh mengajar Bahasa Melayu pada setiap dua bulan. Mereka mahu belajar semula Bahasa Melayu tapi diajar menggunakan tulisan Jawi.

Pada kesempatan aku berkunjung ke Kemboja pada 20 - 22 Ogos lalu, aku dok perhatikan khatib membaca khutbah dalam bahasa Khmer. Walaupun aku tak faham, aku rasa khatib gunakan tulisan Jawi kerana dia membaca kertas catatannya dari kanan ke kiri.

Selepas solat, aku bertemu imam dan dapati memang dia menulis menggunakan tulisan Cham. Ya, kita memanggilnya sebagai tulisan Jawi. Kerana sudah biasa gunakan tulisan itu untuk Bahasa Cham, dia juga gunakannya untuk Bahasa Khmer.

Maka, Bahasa Melayu yang turut dipertuturkan masyarakat Cham terdahulu juga ditulis dalam tulisan Jawi ini. Generasi muda ramai yang tidak tahu lagi tulisan ini. Jadi, dengan mengajar Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi, ia dapat mendekatkan mereka kepada budaya asal orang Cham.

Kedua, penduduk Pakistan rata-rata kehilangan sumber asas kehidupan akibat bah besar yang melanda. Ini menyebabkan kami terpanggil untuk membawa bantuan supaya disalurkan kepada mangsa-mangsa.

Jadi, InsyaAllah kami akan hantar satu pasukan pada 7 September ini untuk misi bantuan berterusan. Untuk membangunkan kembali struktur hidup masyarakat Pakistan pasti mengambil masa bertahun-tahun seperti yang pernah berlaku di Acheh akibat bencana tsunami dulu.

Untuk itu, kami akan menghantar sekurang-kurangnya 2 orang sukarelawan untuk ke sana pada setiap 2 bulan. Ini bagi memastikan projek 'beri pancing' seperti pembinaan sekolah, pam air dan microfinance dapat diteruskan dengan baik.

Sebagai permulaan, kami akan membawa bantuan makanan khas sempena Aidilfitri untuk kampung-kampung terpencil yang kurang mendapat sambutan bantuan luar. Walaupun kelihatan seperti banyak bantuan sudah dihulurkan, pada hakikatnya masih ramai yang belum mendapatkannya.

Ketiga, Palestin adalah isu yang tak pernah senyap. Sudah lama jaringan kami dengan persatuan Palestin telah terjalin. Kali ini kami dapat tahu seorang sukarelawan kami sanggup ke sana menetap selama 6 bulan bagi menguruskan pejabat kami di sana.

Dalam tempoh itu, sukarelawan muda juga diperlukan pada setiap sebulan untuk jalani latihan bersama senior itu. Kerana di sana, kami sudah mempunyai banyak projek berterusan seperti pam air dan kilang roti. Bolehlah sukarelawan muda dapatkan pendedahan dan tunjuk ajar langsung 'on ground'.

Semua projek ini adalah untuk jangkamasa panjang. Kita tak mahu fenomena 'touch n go' menular di kalangan aktivis masyarakat. Kalau setakat ikut musim baru bagi bantuan, memang susah. Apatah lagi jika sekadar mahukan publisiti. Akibatnya masyarakat sendiri yang berterusan dalam keadaan malang.

Ada yang bertanya kenapa aku sibuk dengan negara luar tapi tidak di dalam negara. Jawapan aku mudah saja, sejak bila kita terpedaya dengan dasar 'pecah dan perintah' zaman penjajah yang memecah belahkan kita seluruh dunia? Bukankah ada lagi banyak kelompok NGO lain yang fokus dalam negara?

Kita terpisah hanya pada batas geografi bukan pada usia, warna kulit dan keturunan. Orang Islam sudah tentu pula bersaudara tanpa mengira kepentingan bangsa, nama, dan pangkat.

Jadi, ayuh saudaraku sekalian. Jika anda seorang yang komited, tahan cabaran, optimis, berfikiran terbuka, berlapang dada, empati, bertanggungjawab, dan sedia belajar dan diajar; ayuh jadi sukarelawan kami.

p/s: Anak kecil baru belajar tunggang basikal perlukan tiga roda, bila dia pandai baru kita cabutkan 2 roda belakang.

28 Ogos 2010

Arak sudah halal

Pada bulan Ramadhan, sudah jadi kebiasaan pihak masjid menjemput imam-imam Arab untuk memimpin solat tarawih. Kebiasaan ini dijadikan alasan untuk lebih khusyuk dan puas menunaikan ibadah solat bersama Pak Arab ini.

Memang ada baiknya begitu. Namun, jangan disangka apa saja yang dibawa oleh orang Arab, ianya pasi Islamik. Seperti suatu ketika dulu, apabila disko mendendangkan lagu Arab untuk berjoget dirasakan lagu Islamik. Yalah, diungkapkan kata 'Allah..Allah.." sedangkan ucapan itu biasa menitir di bibir Arab kafir juga sebenarnya.



Di Malaysia, bagi aku banyak juga perkara negatif yang dibawa Pak Arab ini. Antaranya ialah budaya menghisap shisha. Tadi aku berbuka di satu restoran Arab, kononnya ingin mencuba selera Arab.

Di sana ramai betul budak sekolah melepak. Berbual sambil hisap shisha. Dari dulu lagi aku tak suka pada shisha yang diHALALkan oleh orang kita kerana Pak Arab pun hisap shisha. Sedangkan ianya persis merokok. Aku bersetuju dengan penulisan ini [Sila baca].


Pak Arab juga sudah bawa arak HALAL ke Malaysia. Aku sendiri pernah meminumnya kerana dijamu rakan. Sehinggalah aku ke kedai makan Arab di Danau Kota, aku terasa tak sedap hati. Kenapa menu itu tertulis 'non-alcoholic halal beer'? Sejak itu aku tak minum lagi.

Bukan namanya saja yang menyakitkan hati, botol dan imejnya juga persis botol arak HARAM. Kenapa Pak Arab cipta minuman ini dengan mengubahnya menjadi HALAL tapi imej tetap seperti HARAM? Tak mahu buat dosa tapi mahu bergaya macam minum air kencing syaitan?


Air-air ini juga sangat digemari budak-budak muda tadi. Gaya minumnya kalau dilihat oleh datuk nenek mereka, pasti disalahertikan. Aku juga bersetuju dengan fatwa ini [Sila baca].

Orang Melayu jadilah Melayu sebenar, tak perlu ikut Pak Arab. Budaya luar yang positif harus diikuti, tapi yang negatif begini mohon dijauhkan.

p/s: Budaya Melayu berkait rapat dengan Islam

26 Ogos 2010

Berdakwah kerana nama


Sewaktu aku berkira-kira untuk melepaskan jawatan peguam yang dipegang selama seminggu pada bulan Mei lepas, banyak pesanan yang disampaikan bos kepada aku.

"Saya rasa perlu berikan masa muda yang penuh tenaga ini untuk kerja dakwah demi Islam"
"Baguslah begitu tapi saya risaukan sesuatu.."

Bos aku amat risaukan satu perkara. Dia bimbang kalau-kalau aku salah buat keputusan demi kepentingan diri. Bukan kepentingan umat Islam.

Bukan mudah untuk asingkan kepentingan diri dan kepentingan umat apabila kita bergelumang dalam dunia kesukarelawanan ini. Katanya juga kalau salah niat, gerakan yang cuba dibentuk untuk umat sukar mendatangkan kesan baik dalam diri penggerak lain dan umat.

Satu perkara itu ialah 'Haibah'. Kehebatan diri. Melakukan kerja amal untuk nama. Agar nama dikenali ramai. Agar orang kenal siapa SUHAIL.

Jika itulah matlamat dalam perjuangan aku, aku pasti KALAH. Dalam tak sedar, aku boleh terperangkap. Asyik berkata tentang diri sendiri dan sebagainya. Hinggakan pada satu tahap aku seronok memimpin dan tak mahu mengalah dengan individu atau organisasi lain.

Pendek kata, pantang kalah dengan apa yang orang lain buat. Bahkan jika diajak bekerjasama, dirasakan tidak perlu kerana aku sendiri boleh buat. Macam-macam lagilah andaian 'bahaya' yang boleh menimpa aku dinyatakan oleh bos.

Kini aku telah membuat keputusan dan aku dapati hal ini ada benarnya jika tidak berhati-hati. Aku mohon dengan sangat agar Allah muliakan aku di sisiNya bukan dengan cara manusia yang memuliakan aku melainkan aku dikurniakan Allah kekuatan menahan pujian dan bangga diri.

Aku mohon saudara, sahabat, teman dan kenalan selalulah berikan kata nasihat dan teguran juga tunjuk ajar dalam aku mengharungi liku-liku hidup untuk menjadi pejuang di jalanNya.

25 Ogos 2010

Pemimpin perlukan ketaatan pengikut


Menjadi pemimpin adalah suatu yang pasti bagi setiap individu. Paling tidak seseorang itu harus memimpin dirinya sendiri dan keluarga. Kemudian berkembang menjadi pemimpin di kalangan masyarakat.

Kepemimpinan dalam organisasi contohnya adalah amat penting. Seorang pemimpin harus ditaati kerana keputusan seharusnya disepakati apabila pemimpin ini memberikan kata putus.

Apa gunanya jika kata putus pemimpin tidak berupaya memutuskan kata-kata lain? Apakah dia masih layak memimpin?

Dalam hal ini, aku memandangnya dalam dua keadaan. Pertama, pemimpin itu punya kelayakan tetapi tidak ditaati oleh pengikut. Kedua, pemimpin itu memang tidak layak dan kata putusnya tidak melalui proses perbincangan yang telus.

Dalam kedua-dua keadaan ini, seorang pemimpin masih harus ditaati walaupun kata putusnya nampak kurang bijak. Kerana apa? Kerana kita yang melantiknya dan seharusnya ketaatan diberikan dengan baik. Suarakan ketidakpuasan hati dalam perbincangan, dan akur apa jua keputusan selepas itu. Barulah organisasi akan dapat bergerak seirama.

Jadi, andai aku pemimpin, dan kataku tidak ditaati, itu bermakna aku tidak diperlukan. Apa guna jadi pemimpin jika tidak dapat memimpin? Daripada membiarkan masa terbazir dibonekakan, lebih baik undur diri.

Dalam konteks kekeluargaan, sama juga halnya. Biasanya kita dengar suami sebagai pemimpin harus ditaati selagi tidak melanggar syariah. Jadi, dia harus ditaati walaupun dalam perkara kecil seperti mensyaratkan ahli rumah menyusun kasut mengarah ke luar.

Begitu juga suami tadi terikat pula dengan ibunya sebagai pemimpin untuknya. Salahkah andai kita tidak menurut perintah ibu yang meminta kita pulang ke kampung? Terkadang pelbagai alasan dibuat, dan tiada usaha dibuat untuk cuba pulang ke kampung. Dan ini dirasakan wajar.

Namun, bagi aku ia salah. Sekecil mana pun permintaan pemimpin-pemimpin ini, sebagai pengikut, kita harus ikut. Jika tidak, usah salahkan pemimpin yang berundur diri. Atau suami yang membuka 'cawangan' bagi atasi kebosanan. Atau ibu yang tidak mempedulikan lagi anaknya.

Behind the success of every great leader is the support, hard work and invisible struggle of many unknown people who are known as the ‘followers’
-Dr. Adalat Khan

24 Ogos 2010

Takut menghadapi 'akan'


Kebanyakan kita sering berada dalam keadaan takut, resah, gelisah, dan bimbang apabila memikirkan tentang masa depan. Ya, tentang apa 'akan' terjadi. Walhal sedetik masa di hadapan langsung tidak ada dalam pengetahuan kita.

Kita hanya merancang, dan DIA menentukan. Secara teori, kita pasti inginkan perancangan kita itu menjadi. Oleh sebab tak pasti ia akan menjadi atau tidak, kita cenderung untuk berprasangka negatif.

"Boleh ke aku pass exam ni?"
"Macamana nanti kalau dia tolak pinangan aku?"
"Diorang kata kawasan ni banyak pencuri, takutlah.."
"Anak aku belajar di kolej tengah-tengah bandar, risau dibuatnya kalau-kalau dia terikut budaya entah apa-apa entah"

Macam-macam butir kata meluru keluar dari mulut saat perasaan itu hadir. Cuba kita hisab kembali perjalanan hidup lepas. Bukankah banyak juga yang dirancang kemudiannya berubah menjadi lain. Dan perubahan itu sebenarnya baik untuk kita.

Kita terlalu memikirkan soal 'akan' sedangkan yang lebih penting ialah 'semasa'. Apa yang sedang berlaku itu lebih penting. Maksud aku waktu inilah kita harus bersiap sedaya mungkin untuk melaksanakan perancangan.

Hati harus tekad. Setelah memikirkan itu terbaik, maka kesungguhan harus menyusul disulami rasa kebergantungan pada DIA. Apabila tiba masanya, tengok sajalah apa bakal berlaku.

Kebergantungan kita kepada Allah adalah puncak segala-galanya. Sudah tentu tiada prasangka negatif tentang 'akan'. Ia harus dilatih.

Bak kata mentorku, jadilah seperti semut, yang bersungguh melakukan apa yang dibuat sekalipun ia tahu mungkin ia mati dipijak makhluk yang lebih besar.


Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanamnya dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.
[Hadis Riwayat Imam Ahmad]

23 Ogos 2010

Do you like this?


Gambar ini aku tangkap sewaktu berada di Kemboja. Dalam kepayahan mencari rezeki, mereka masih mampu tersenyum apabila dirakamkan gambar ini.

Jika anda sukakan gambar ini, sila klik 'Like' dalam link ini.

19 Ogos 2010

Melayu Champa saudara kita

[Peta ini menunjukkan kerajaan Champa yang kini merupakan negara Vietnam]

Esok jam 6.30 pagi aku akan bertolak ke KLIA untuk menjalani misi bantuan pakaian Aidilfitri kepada masyarakat Islam Kemboja. Tugasku adalah sebagai jurugambar selain menjadi hos untuk video dokumentasi yang bakal dihasilkan.

Jadi, aku membaca maklumat yang harus diketahui sebagai gambaran awal tentang masyarakat Cham. Subhanallah, kerajaan Champa sebenarnya mempunyai pertalian rapat dengan kerajaan Melayu Melaka (kesan: masyarakat mengikut adat budaya Melayu). Islam datang lebih awal kepada mereka tetapi pengaruh Islam tersebar meluas selepas rajanya memeluk Islam pada awal abad ke-16.

Sejarah hidup masyarakat Cham sarat dengan peperangan yang mengakibatkan kematian golongan Melayu-Cham yang ramai khususnya pada zaman rejim Pol Pot yang kejam membunuh ramai ulama di S-21. Tapak sekolah yang dijadikan pusat penyeksaan ini kini dijadikan muzium yang akan aku lawati.



Akibat daripada zaman rejim itu juga mereka mula disisihkan daripada amalan agama dan budaya Melayu. Pol Pot mahukan 1Kemboja macam 1Malaysia yang bermaksud semua harus patuh padanya termasuklah menggunakan bahasa dan nama Kemboja dan tidak bertuhan.

Mufti Kemboja, Sohibus Samahah Okhna Haji Kamarudin Yusof, mendakwa bahawa tulisan Cham yang sebenar adalah berasaskan Jawi dan hampir menyamai Bahasa Melayu. Mufti ini juga jika diizinkan bakal kami temubual.

Kerana itulah kami ke Kemboja menjejaki masyarakat Cham yang kini sangat impikan jatidiri Melayu-Cham dikembangkan semula. Bayangkanlah betapa gembiranya mereka nanti apabila menerima baju Melayu dan baju kurung untuk meraikan Aidilfitri tak lama lagi.

Ingat, kita sama serumpun. Usah fikirkan hanya kita Melayu 1Malaysia Malaysia sedangkan ikatan kita dengan mereka bukan sekadar Melayu tetapi menggenggam ajaran Islam yang sama.

Usah terpedaya dengan dasar pecah dan perintah amalan penjajah yang membuatkan kita bersikap ananiah. Hanya melepaskan keperluan dan kehendak AKU. Bukan KAU. Bukan DIA.

Nota: Istilah 1Kemboja tidak digunapakai pada zaman itu

18 Ogos 2010

Bersyukur dan akur pada lumrah hidup


Sudah 3 tahun aku tinggalkan dunia kepeguaman. Memang terasa rindu untuk membelek buku-buku perundangan. Aku sangat suka pada ilmu perundangan khususnya perundangan Syariah.

Baru-baru ini ayah dan ibu datang ke rumah. Mereka bawakan sekotak koleksi buku perundanganku untuk disimpan di rumah sendiri. Menyentuh kotak saja pun dah terasa auranya.

Kala itu, aku membandingkan diri aku hari ini dengan rakan peguam lain. Ya, jauh.. memang aku jauh ketinggalan dalam aspek peningkatan diri dalam bidang kepeguaman. Ilmu-ilmu yang aku pelajari tidak dapat dipraktikkan.

Mujur ada rakan-rakan yang masih menjadikan aku rujukan apabila bertembung persoalan perundangan. Maka, sekali sekala aku dihubungi dan ilmu aku dapat dimanfaatkan. Mereka sangka aku masih peguam.

Soalan yang paling aku suka ialah berkenaan perundangan Syariah dalam bidang pembahagian pusaka dan cerai berai. Sistem mahkamah Syariah tidak diasaskan untuk mencari kesalahan tetapi memperbaiki kesilapan. Kerana itu prosesnya nampak leceh dan panjang, tapi di mana ada ruang untuk dipulihkan, itu didahulukan.

Malangnya pula jawapan aku kebanyakannya hanyalah teori. Maka, mereka hanya boleh dapatkan idea saja sedangkan praktis boleh berubah mengikut keperluan semasa khususnya mengenai prosedur.

Untungnya pula peningkatan diri dari segi pengalaman mengenal kehidupan tak mungkin dapat dirasakan jika aku bergelar peguam. Kemahiran teamwork, decisionmaking, event management, PR dan lain-lain softskills untuk pengurusan sesama manusia banyak sudah aku pelajari.

Begitulah lumrah hidup. Kalau untung di sini, mungkin rugi di sana. Sukar sekali untuk untung di dua-dua tempat. Cuma kerinduanku pada ilmu perundangan yang adakala membuatkan aku terasa kerdil.

Semalam aku disedarkan daripada lamunan rindu itu. Aku bertemu dengan kawan lama di UIA dulu. Kisah duka hidupnya panjang. Pendek cerita, dia kini terpaksa mulakan belajar semula. Dalam usia sebaya aku, dia baru saja masuk tahun kedua jurusan Sains Kemanusiaan.

Ya Rabbi, dalam aku terasa kerdil, bagaimana agaknya dia merasakan dirinya apabila berjumpa aku? Ada orang lebih susah hidupnya. Aku harus lebih bersyukur dan akur pada lumrah hidup.

17 Ogos 2010

Baju raya dah siap

Lega rasa hati apabila baju-baju yang ditempah sudah pun siap untuk raya. Sebanyak 300 set pakaian raya kami tempah dan semuanya sudah siap. Pasti seronok masyarakat Kemboja menerimanya nanti.

Beginilah set baju raya untuk lelaki. Mereka memang sangat sukakan baju Melayu tapi bukan sepasang. Mereka lebih gemar memakainya bersama kain pelekat dan kopiah.

Kebanyakan golongan yang bakal dibantu adalah masyarakat Melayu Campa. Mungkin kita jarang dengar tentang mereka yang pernah ditindas oleh regim Khmer suatu ketika dahulu.

Walaupun serumpun dan sebudaya dengan kita, mereka agak jauh ketinggalan dari sudut pengamalan budaya Melayu. Namun, dalam hati mereka masih inginkan kemelayuan terserlah sebagai jatidiri bangsa warisan mereka.
Atas semangat itulah juga kami datang membawa sumbangan kalian. Bukan sekadar pakaian raya untuk lelaki. Begitu juga kepada wanita. Mereka akan diberikan satu set baju kurung berserta tudung.

Menurut pengalaman misi lalu, kebiasaan ibu-ibu akan memakai terus baju kurung yang diberikan apabila ia diserahkan. Begitu spontan reaksi gembira mereka apabila menerima pakaian begini.

Tidak dilupa juga orang-orang di belakang tabir ini. Para petugas yang bertungkus lumus menyiapkan urusan pembungkusan. Tugas ini sangat penting kerana bagaimana kita persembahkan pemberian itu akan mempengaruhi perasaan si penerima nanti.

Sahabat dan rakan blogger juga sanak saudara, saya menyeru kalian untuk terus menyumbang bagi menampung kos bantuan pakaian raya ini kepada mereka.

Buat masa ini, kami baru saja dapat sumbangan untuk 150 set pakaian raya. Manakala selebihnya masih memerlukan kos RM7500. Ayuh sumbangkan RM50 seorang bagi melayakkan mereka mendapat satu set pakaian raya.

Proses mengembalikan jatidiri Melayu ini boleh dimulakan dengan cara penampilan terlebih dahulu. Ingat, kami selaku NGO kemanusiaan dan kebajikan, berfikir panjang. Bukan sekadar bantuan touch n go.

Ini adalah permulaan kepada proses yang panjang. Sepertimana pernah kami lakukan di Afghanistan dan Bosnia. Kami mahukan mereka akhirnya mandiri tanpa bantuan kita. Biar mereka hidup sendiri mencari rezeki dengan kesungguhan melalui kemahiran yang bakal kami bekalkan.

Kita tak mahu lahirkan peminta sedekah tapi kita mahu lahirkan penjejak rahmah.

16 Ogos 2010

Beratnya tangan untuk memberi

Pada setiap kali Ramadhan, selalu kita dengar banyak orang menyumbang duit untuk berbuka dan morey. Tak lupa juga sesetengah orang mencari golongan miskin, anak yatim dan orang tua untuk dibawa ke majlis iftar di hotel terkemuka.

 

Tangan yang berat pun sudah jadi ringan untuk sebulan ini. Mengapa jadi begini? Sudah pasti mereka memahami hadis ini, seperti sabda Nabi s.a.w.:

 

"Bulan Ramadan, bulan rahmat telah datang kepada kamu. Di mana Allah SWT telah berpaling kepadamu dan menurunkan ke atasmu rahmat yang istimewa, mengampunkan akan kesalahan-kesalahan, memperkenankan akan doa-doa, melihat di atas perlumbaan-perlumbaanmu bagi mendapatkan kebaikan yang besar dan berbangga-bangga kepada malaikat-malaikat mengenaimu. Maka tunjukkanlah akan kebaikan-kebaikan daripada kamu. Kerana sesungguhnya orang yang paling 'dikasihani' dan paling malang ialah seseorang yang terluput daripada rahmat Allah dalam bulan ini". (riwayat at-Tabrani)

 

Bulan yang istimewa sekali dalam setahun ini adalah ruang terbaik untuk kita mendapat ganjaran berlipat kali ganda atas amal kebaikan yang dilakukan. Bukan sekadar memberi makan, tetapi apa saja yang dikategori sebagai amal kebaikan kepada orang lain, itu pasti diberi ganjaran berganda.

 

Dari Ibnu Abbas, beliauberkata: "Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.' (Hadis Bukhari dan Muslim)

 

Amalan sedekah cukup hebat ganjarannya. Amat rugilah kita jika tidak mengambil peluang sebulan ini. Ya, walaupun amalan sedekah boleh dibuat pada bila-bila masa. Namun, ganjaran waktu ini tak ternilai..

 

Dalam satu hadis lain, Rasulullah bersabda:

"Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung". (Hadis Bukhari)

 

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengajak semua untuk kita kecapi nikmat rahmat Ilahi ini dengan membantu masyarakat Islam di luar sana. Di Kemboja, umat Islam serba daif dan sangat memerlukan bantuan. Untuk iftar, sudah ramai yang membantu. Kali ini mereka tertanya-tanya adakah pakaian baru untuk mereka pada Aidilfitri akan datang?

 

Ayuh kita gembirakan hati mereka dengan hanya sumbangan RM50. Sumbangan kecil ini amat bermakna bagi mereka.

 

p/s: Sila hubungi saya untuk menyumbang 017-6144026/017-6665970




14 Ogos 2010

Kerajaan belum layak ditabik


Aku sudah lama fobia menunggang motosikal di laluan paling kiri. Sudah berkali-kali tayar bocor terkena paku. Paling teruk sewaktu aku selekoh sebelum masuk ke terowong laluan motosikal di Shah Alam.

Semalam aku semakin fobia menunggang motosikal. Ini semua gara-gara lubang-lubang yang terdapat di jalanraya. Aku menunggang di jalan persekutuan (MRR2), bukannya jalan kampung. Diulangi sekali lagi, jalan persekutuan. Di lorong laluan tengah.

Tiba-tiba aku terlanggar lubang yang hanya boleh perasan apabila dah terlalu hampir. Waktu itu hujan baru rintik. Jalan licin. Cuaca mendung. Badanku terangkat, tayar motor tersasar, tanganku terhentak pada cermin sisi motor. Habis pecah cermin sisi dan berterabur atas jalan.

Alhamdulillah aku masih boleh mengawal tunggangan walaupun seluruh badanku terangkat seolah-olah hampir tercampak. Kenderaan lain sedang laju waktu itu. Aku terus teringat pada isteriku.

Mujur Allah takdirkan ia terjadi tanpa isteri sebagai pembonceng. Laluan harianku itu sebelum ini dapat aku elak lubangnya tapi masih ada gegaran yang menyakitkan punggung kami.

MasyaAllah. Aku semakin fobia menunggang motosikal. Namun apakan daya, hanya itulah kenderaan yang mampu aku miliki.

Teringat pula pada penunggang yang mati tercampak akibat terlanggar lubang yang besar di tengah jalan baru-baru ini. Semakin fobia dibuatnya.

Dalam hal jalanraya ini, aku tabik pada kerajaan Guangzhou, China kerana tiada masalah tampalan. Memang begitulah sepatutnya sebagai kawasan bandar. KL ini bandar ke bukan? Jadi, aku tak boleh tabiklah kerajaan ini.

p/s: Pemimpin negara kan naik kereta mewah, langgar lopak rasa macam langgar semut je..

11 Ogos 2010

Warung judi tumpuan Melayu


Hari ini kita sudah pun mula berpuasa. Teringin sekali aku menjengah warung judi berdekatan. Aku panggil sport toto, 4D dan seumpamanya sebagai warung kerana keadaannya semeriah warung kopi juga.

Biasanya mak-mak suka marah pada bapak-bapak yang suka melepak di warung kopi. Mereka habiskan duit minum kopi lama-lama di sana. Sampaikan terlupa tanggungjawab di rumah.

Begitu jugalah di warung judi ini. Mereka sanggup kerap berada di sini kononnya untuk dapatkan wang yang lebih.

Belanja membeli nombor ekor umpama membeli kopi. Harganya yang murah tak terasa nilainya.Maka setiap harilah pakcik-pakcik ini ke warung judi sama seperti ke warung kopi.

Sehari sebelum puasa, aku uruskan hal-hal keluarga. Aku parkir kereta di hadapan warung judi Idaman Gombak. Ternyata pakcik-pakcik Muslim memeriahkan suasana di warung itu.

Bukan usia muda, tapi dalam lingkungan 50-an. Pakcik-pakcik ini tak langsung menampakkan reaksi malu atau takut kepada orang lalu lalang. Bahkan selepas selesai membeli nombor di warung A, terus pula dia ke warung B.

Aku jenguk warung judi, jelas terpampang bahawa penjualan nombor ekor diHARAMkan ke atas orang Islam. Jelas juga kelihatan ia hanyalah notis pemberitahuan, bukan polisi yang dipraktis. Dan semakin jelaslah, pakcik-pakcik ini masih belum faham 5 hukum asas dalam Islam.

Sebab itulah aku teringin sangat nak ke sana lagi. Aku nak tengok adakah Ramadhan ini nasib warung judi sama seperti warung kopi. Tiada orang yang nak lepak.

Kalau masih sama perangai pakcik-pakcik ini, aku sarankan pihak berwajib untuk sediakan van jenazah bagi menangkap mereka yang tak 'berpuasa' ini sebab mereka masih melepak di warung.

09 Ogos 2010

Pastikan bakul ada isinya


Ada sekumpulan pelajar dari universiti sekitar Lembah Klang datang menemui aku baru-baru ini. Ini adalah kumpulan keempat yang datang berbincang dengan aku untuk merancang program ke China.

Kumpulan pelajar perempuan ini datang dengan bakul yang kosong. Maka, mudahlah aku mengisi bakul itu. Dan sudah pasti mereka tidak perlu bersedia lebih kerana kedatangan mereka adalah untuk perbincangan awal.

Berbanding kumpulan sebelumnya, mereka datang dengan bakul berisi. Jika bakulnya berisi, sudah pasti aku akan tanya apakah isinya. Alangkah malang nasib mereka kerana isi yang diceritakan rupa-rupanya tiada dalam bakul.

Maka, jangan marahlah jika anda ditegur dengan agak tegas. Sekiranya anda menyediakan kertas cadangan, pastinya kertas itu hasil daripada kajian awal anda berkenaan info dan fakta asas yang membolehkan objektif program tercapai.

Jika kertas kerja hendak ke China aku dapati adanya perkataan Kemboja, apakah maksudnya? Copy & paste. Mudahnya kerja korang ya. Jika tiada seorang pun boleh berbahasa Cina, boleh ke nak buat program bakti siswa seperti di sini?

Dan jika anda juga ingin ke China untuk program jalan-jalan, silalah cari agen pelancongan.
Aku berminat untuk membantu mereka yang ingin berbakti kepada manusia lain dengan perancangan jangkamasa panjang. Bukan Touch n Go.

Mahasiswa bukan begini sepatutnya, mereka harus proaktif, kreatif dan mandiri. Pemimpin ialah orang yang boleh memimpin dan dipimpin. Mujurlah mereka masih dalam proses menjadi pemimpin, kesalahan simple masih boleh dimaafkan.

03 Ogos 2010

Dulu lain, sekarang lain..


Baru-baru ini aku diundang menjadi panelis untuk forum "Gerakan Mahasiswa Milenia: Relevan atau Tidak?" di Universiti Sains Malaysia (USIM). Dalam sesi forum, aku diminta ulas tentang sejarah gerakan mahasiswa dan realiti hari ini.

Pendek kata, isu demonstrasi bukan lagi alat perubahan yang boleh dijana oleh mahasiswa seperti zaman 80-an. Perkongsian pintar dengan mana-mana pihak lebih berbaloi melainkan demonstrasi dibuat dengan strategi bijak yang teratur bersama-sama dengan tindakan susulan.

Realiti hari ini masyarakat semakin pintar. Kalau sekadar cakap berdegar, belum tentu dapat menaik semangat mereka untuk berubah. Dan isunya juga, apakah perubahan yang ingin dibuat? Biar kenal penyakitnya, barulah dicarikan ubatnya.

Idea yang telah aku bawa itu rupa-rupanya selari dengan dua panelis lain yang pada jangkaanku pasti bersemangat untuk berdemonstrasi seperti era Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Ahmad Shabery Cheek dan lain-lain kerana usia mereka yang lebih muda.

Usahlah bernostalgia jika sekadar untuk meniru. Tak ada gunanya membandingkan ayam dengan helang walaupun asal mereka adalah daripada famili burung.

28 Julai 2010

Guru tak semakin terbeban ke?


Kalaulah guru sudah berpolitik, bagaimana agaknya apabila dia mengajar? Adakah dia akan selitkan perjuangan politiknya dalam berbicara dengan anak murid?

Kalaulah aku guru itu, sudah tentu itu peluang terbaik. Penerapan apa jua ideologi akan mudah diserap apabila usaha dilakukan seawal usia muda anak-anak.

Buktinya, kita boleh lihat sendiri bagaimana anak-anak Israel diajar membenci rakyat dan negara Palestin bermula dari sekolah lagi. Buat saja carian di youtube, anda boleh dapati banyak video mengenainya.

"Oh tidak. Saya tak akan campuraduk politik dalam pengajaran"

Itulah jawapan yang mungkin kita perolehi. Pengalaman aku jalankan motivasi di sebuah sekolah swasta di Perak suatu ketika dahulu pernah memeranjatkan aku. Apabila aku ingin mulakan cerita Nabi, anak-anak murid berusia 10 tahun bising menyuruh aku cerita tokoh lain.

Tokoh pilihan mereka ialah Nik Aziz, Ibrahim Ali dan Anwar Ibrahim. Ada juga terus mencadangkan kisah liwat untuk diceritakan.

Hmm.. sahabat-sahabat sekalian, bukankah UPSR dan PMR dicadang untuk dimansuhkan pula. Apa kaitannya dengan guru-guru ini? Bukankah juga mereka akan tetap terbeban dengan aktiviti-akiviti pelajar untuk dinilai secara berterusan?

Hari ini saja guru-guru sudah banyak merungut dengan beban kerja yang tak tertanggung. Agak-agaknya dengan penglibatan langsung dalam politik nanti, mereka akan lebih stabil?

Entahlah, fikir-fikirkan dan selamat beramal..

27 Julai 2010

Guru dan pelajar boleh berpolitik


Kebenaran untuk guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 berpolitik menampakkan keterbukaan kerajaan dalam kegiatan politik. Mahasiswa juga sudah dibenarkan menjadi aktivis politik.

Ini memberi petanda pentas politik kini semakin ketandusan karakter kepemimpinan yang matang dan berketrampilan. Begitulah andaian mudah aku. Selain itu, ia juga mempunyai kepentingan politik dalam mencari pengaruh di kalangan generasi belia. Yalah, bukan mudah meraih undi pada zaman masyarakat semakin pandai hari ini.

Namun awas, semua mahasiswa dan guru patut berhati-hati. Dalam kebenaran masih ada kawalan. Hanya Ketua Pendaftar Universiti dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran berhak beri kebenaran.

Andainya 'pemberi' kebenaran ini seorang yang rasional dan tidak 'dicucuk hidung', fenomena baru ini pasti membanggakan. Andai sebaliknya, pasti masa depan negara semakin parah apabila 'pemberi' hanya membenarkan mereka aktif dalam parti yang sama sepertinya.

Ini bukan soal kerajaan sedia ada atau pembangkang. Sama sahaja yang akan berlaku jika kerajaan dipimpin oleh mana-mana parti. Jika si 'pemberi' dikawal langsung oleh kerajaan, tidak perlulah dipersoalkan kenapa mereka yang ingin berpolitik dalam barisan pembangkang tak dibenarkan.

Ini adalah sifir mudah yang aku jangkakan. Boleh jadi sifir ini salah. Boleh jadi juga betul. Jadi, fikir-fikirkanlah dan selamat beramal.. :)

26 Julai 2010

Malangnya nasib si penunggang


Syukur pada Allah atas rezeki yang dikurniakanNya buat kami sekeluarga. Isteriku sudah hampir sebulan bekerja di sebuah syarikat IT di Damansara.

Setiap hari aku perlu menghantarnya pergi dan pulang pejabat. Memandangkan baru memiliki motosikal, hanya itulah pengangkutan terbaik untuk kami.

Bila cerita tentang motosikal ini, selalu kita sakit hati dengan penunggangnya kan?Lebih-lebih lagi kalau kita adalah pemandu kereta.

"Apalah dia ni takde akai ka! Bawak motor tengah-tengah jalan." "Dia ingat dia besau sangat ke dok bawak tengah habalan ni!"

Aku juga pernah marah begini. Apatah lagi waktu kita nak cepat mengejar waktu. Tapi sejak akhir-akhir ini baru aku sedar bukank semudah itu untuk mengata sang penunggang.

Kenapa? Sebab utamanya ialah faktor jalanraya. Di tepi jalan biasanya banyak objek tajam. Dulu tayar motor aku selalu bocor dek masalah ini. Sejak itu aku suka menunggang di lorong tengah (tapi masih di sisi tepi).

Jalan yang berlubang-lubang pun masalah besar. Adakala boleh tersasar pemanduan kita. Apatah lagi kalau ada pembonceng. Kasihan isteriku yang sedang mengandung 7 bulan terhentak-hentak badannya apabila aku tak sempat mengelak lubang-lubang ini.

Buat pengetahuan kawan-kawan, berhati-hatilah menunggang motosikal di Jalan Kepong berdekatan Taman Metropolitan. Jalannya sangat teruk hinggakan aku terpaksa mengambil lorong paling kanan bagi melancarkan perjalanan kami.

Bagi para pemandu, mohon kemaafan kalian kerana mengganggu laluan pecut di jalanraya pada sesetengah keadaan. Usahlah membunyikan hon sekuat hati. Cukuplah mengangkat lampu tinggi sebagai isyarat mohon ke tepi. Berikan sedikit masa untuk kami mengelak lubang-lubang itu.

p/s: Kemalangan jalanraya banyak disebabkan kecuaian pemandu dan struktur jalan yang teruk bukannya kereta lama/antik penyebabnya

18 Julai 2010

Bancian Bagi Yang Sibuk


Blog aku agak kurang diberi perhatian sejak akhir-akhir ini. Aku agak sibuk dengan urusan kerja kesukarelaan yang tak habis-habis. Baru saja selesai SATU, pasti akan diteruskan dengan SATU lagi. Begitulah rutinnya.

Ada baiknya kita sentiasa sibuk, namun keluarga perlu diberikan masa yang bermutu. Atau libatkan saja keluarga bersama kesibukan anda, kerja dapat dilaksana dan hubungan kekeluargaan dapat dipererat.

Aku baru saja selesai uruskan Himpunan Relawan GPTD 2010 di Masjid Asy-Syakirin pada tarikh Israk Mikraj yang lepas. Di situlah ahli keluarga aku ramai yang terlibat. Isteri, adik, adik-adik ipar dan bapa mertua.

Selepas ini pasti lebih sibuk kerana tindakan susulan lebih penting daripada program itu. Dan pastinya melibatkan ahli keluarga juga. Beginilah kehidupan aku yang dirasakan cukup seronok.

Dalam kesibukan inilah, rumah hanya dijadikan tempat tidur. Jarang sekali kami dapat melepak di rumah. Pagi tadi baru aku perasan, kad banci sudah tertampal di pintu rumah.

"Eh, macamana boleh ada kad banci?" "Diorang datang kita takde kat rumah kot" "Tapi, diorang kena bagi surat kata nak datang lagi.. ini tidak! Pandai-pandai je letak kad terus"

Kalau tengok tv, begitulah seharusnya. Diterangkan kerajaan, pembanci akan meninggalkan surat maklum untuk datang membanci lagi jika kita tiada di rumah. Tapi sebenarnya ada pembanci yang malas. Apa boleh buat... manusia!

Nota : Pembanci dibayar RM50 sehari

27 Jun 2010

Berkelah di pantai Kuala Linggi


Sudah 10 tahun aku tak berenang di laut. Semalam aku dan ahli keluarga lain berkelah di pantai Kuala Linggi. Kami tahu di sana tak ramai orang. Jadi, berseronoklah kami sekeluarga.

Kebanyakan kawasan berhampiran pantai sudah dimiliki orang. Apabila ingin berkelah,mesti dapatkan izin dengan bayaran sepatutnya. Tapi ia bersekali dengan sewa chalet.

Mujur tuan tanah baik hati menunjukkan kami kawasan yang tak bertuan. Di sanalah kami berkelah. Perkelahan ini juga bagi meraikan adik bongsu aku yang bakal masuk universiti 3 hari lagi.

Aktiviti sebegini sangat penting bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan lebih-lebih lagi apabila ahli keluarga tinggal berjauhan dan jarang bertemu. Buatlah saja apapun aktiviti seumpama ini. Tengok wayang, berkhemah di hutan, berjogging di taman, mengemas laman, dan apa saja.. yang penting BERJEMAAH. Pasti tak sia-sia.

Setiap perkara yang tidak disertakan padanya nama ALLAH maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda-gurau serta main-main kecuali empat perkara. Suami yang bercanda dengan isterinya, seorang yang melatih kudanya, seorang yang sedang memilih antara dua sasaran dan seorang yang berlumba dalam sukan renang.

- Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 2312.

20 Jun 2010

Setiap hari adalah yang terbaik buat ayah


Hari ini aku terasa tak sedap badan. Juga terasa serba salah kerana tak sms pun ayah tentang sambutan Hari Bapa pada hari ini. Aku tanya pada isteri, apa sejarah sambutan Hari Bapa ya?

Setahu isteriku, ia hanyalah complement kepada Hari Ibu. Oh, jawapan itu tak memuaskan hati aku. Lantas aku bertanya kepada Pakcik Wiki. Dan akhirnya aku puas hati kerana aku tidak menyambut Hari Bapa. Ternyata sejarahnya berkait rapat dengan penganut Kristian.

Cukuplah rasanya ayah, Suhail sentiasa berdoa kepada ayah. Juga menjaga hati ayah agar tak pernah terguris walau sedikit atas ucap kata dan tindakan. Juga membantu ayah di kala ayah memerlukan bantuan.

Dan sudah pasti ianya berlaku setiap hari. Semalam aku mendengar ceramah Dato' Dr Siddiq Fadzil. Beliau memetik sebuah hadis yang bermaksud:

Tidak ada yang dapat menolak takdir Allah kecuali doa, dan tidaklah yang menambah umur kecuali berbuat kebajikan...


Paling kurang 5 kali sehari aku ingat ayah dalam doaku. Aku tak mampu berikan kemewahan harta dan wang ringgit untuk ayah. Aku mohon Allah berikan yang terbaik buat ayah hasil didikan ayah menjadikan siapa aku hari ini.



Tapi ayah, Suhail dan anak-anak ayah yang lain ada sambutan Hari Bapa yang tersendiri. Tak mahulah ikut sejarah Hari Bapa yang diraikan sekarang. Bukankah hari ulangtahun kelahiran ayah adalah Hari Bapa yang sepatutnya?

Tanpa kelahiran ayah pada tarikh itu, tidak wujudlah jasad yang dilahirkan dari perut ibu. Jadi, sambutan itu sudah pun berlangsung. Siap ada suap-suap ayah ibu lagi. Tak cukup lagi, ditambah pula dengan ciuman sayang ibu.. nampak tak?

p/s: Lebih-lebih lagi ibu

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular