Memaparkan catatan dengan label china. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label china. Papar semua catatan

07 Jun 2016

Sentap Apabila Nampak Sphinx di China



Cuba perhatikan gambar ini! Jika anda sudah ke Mesir, anda pasti tahu kebenarannya. Tengok latarbelakang pun sudah tahu.

Ini ialah Sphynx di Lanzhou, China Dibina mengikut saiz sebenar sebagai satu daya tarikan pelancong. Bagi menghidupkan bandar yang dahulunya terkenal di Laluan Sutera, pelbagai usaha dibuat. Itu sahaja hasratnya, tak perlulah mengata China sebagai 'copycat master'. Entah-entah nanti kita pun teringin untuk tengok juga.

Sejak Presiden Xi Jinping mengumumkan visi 'One Belt, One Road'  pada 2013, usaha kuasa besar Asia ini bukan lagi main-main. Atas nama perkembangan ekonomi, China mahu dilihat sebagai jambatan utama menghubungkan Asia dan Eropah. 

Jangan terkejut nanti kita juga dapat tumpang gembira naik keretapi laju dari Malaysia hingga ke Istanbul. Kini China sedang membantu Turki menyiapkan projek keretapi laju dari Ankara ke Istanbul sejauh 533km. Perjalanan antara dua bandar ini yang biasanya memakan masa 7 jam bakal dipendekkan menjadi 3 jam setengah.

Seronok bukan melihat perkembangan dunia? Dahulu sewaktu Dr. Mahathir sebut tentang Wawasan 2020, aku pun berasa seronok. Baru darjah 3 waktu itu, sudah membayangkan kereta proton terbang. Pejam celik pejam celik, hanya tinggal 4 tahun sahaja untuk visi itu tercapai.

Hari ini tak dengar lagi tentang visi ini. Tahu tak sebenarnya ada 9 cabaran perlu ditangani menjelang tahun 2020? Setelah 26 tahun wawasan ini diperkenalkan, cabaran manakah yang sudah berjaya ditangani? 

"Sudahlah Suhail, kau fikirkan tentang diri kau saja. Tak perlu sibuk fikirkan hal ini."

Bukan apa, aku nak tempah kereta proton terbang siap-siap.

Bacaan lanjut di sini:
1) https://en.m.wikipedia.org/wiki/Wawasan_2020
2) http://www.hurriyetdailynews.com/more-talks-needed-on-china-turkey-high-speed-railway.aspx?pageID=238&nID=68715&NewsCatID=359
3) http://www.bbc.com/news/world-asia-china-36431831

25 April 2014

Uniknya Bau China

Gambar bangunan Macau bercirikan senibina Portugis
(IOS camera - panorama)
“Hah, sama baunya macam di Beijing,” komen Syed yang baru tiba di Guangzhou bersama rakan-rakannya. Tiga daripada lima orang ahli kumpulannya pernah mengunjungi Beijing, jadi mereka sedikit sebanyak sudah arif tentang adat budaya orang China. Jadi, benarlah telahan saya tentang uniknya bau China.

Antara budaya dan amalan harian mereka yang sedikit sebanyak menyumbang kepada keunikan baunya mungkin meloyakan kita. Kadangkala saya berasa seperti tidak mahu berkongsi mengenai hal ini, kerana ia boleh membantutkan hajat kita untuk ke China. Namun, saya fikirkan elok juga diceritakan supaya mereka yang ingin ke sana sudah boleh bersiap sedia.

Memang ramai pengunjung kali pertama akan merungut, kata mereka orang China pengotor, busuk dan sebagainya. Anehnya, tanggapan ini langsung tidak menggugat hasrat mereka untuk kembali mengunjungi China berulang kali.  

Meludah di merata tempat itu perkara normal. Tompokan kesan ludahan mereka ketara dilihat di laluan pejalan kaki, restoran, pasar raya, di dalam lif dan di mana sahaja ada lantai.

11 April 2014

9 Jam Menuju Masjid

Dalam pesawat AK1018 kali ini, hanya aku sahaja orang Melayu. Destinasinya ialah Macau, dan kemudiannya aku akan melewati sempadan untuk memasuki China.

Sebaik sahaja melepasi Gongbei, kakiku memijak Zhuhai.

 "Bau China masih sama," getus hatiku. Sudah lima tahun aku tinggalkan bumi ini, tapi baunya masih sama. Aku boleh cam bau bumi ini.

Badan aku sudah keletihan menaiki pesawat selama empat jam setengah. Sebelum tiba di Guangzhou, aku telah menempuhi empat jam lagi perjalanan menaiki bas dan berjalan kaki. Bayangkanlah betapa jasad ini amat merindukan tilam empuk.

Bersama grup Jabatan Akauntan Terengganu - menara baru dicat semula
Masjid Huaisheng. Aku singgah di sini dahulu sebelum mencari hotel. Solat dan berehat sebentar. Masjid ini cukup bermakna buat diri ini. Lebih-lebih lagi buat Saad bin Abi Waqas. Pakcik Nabi ini telah membina masjid ini pada tahun 630 sebagai tanda memperingati baginda sewaktu Saad menetap di sini.

 "Abang kalau nak bergambar jangan lupa tangkap gambar menara putih itu." Pesan aku sambil menuding jari ke arah menara asli yang dibina pada zaman Saad Abi Waqas. Ramai pengunjung Melayu dibawa ke masjid ini, tapi sayang sekali sejarahnya tidak diceritakan agen pelancongan.

Yalah, mereka sendiri kebanyakannya orang bukan Islam. Tiada signifikan penting dalam hidup mereka tentang masjid ini. Apatah lagi tentang pakcik Nabi. Tentang Islam, masih belum 'dibukakan' hati untuk mengenalinya.

Aku pantang ditegur orang Melayu. Semua yang menegur aku sewaktu berada di masjid ini, tentu aku ceritakan sejarahnya. Terpinga-pinga mereka apabila mengetahui Islam tiba di tanah besar China ini lebih awal daripada Tanah Melayu.

Biar lebih ramai sedar, ziarah ke China bukan sekadar untuk membeli-belah. Bukan pula untuk berbuat maksiat. Datanglah dengan menikmati keunikan sejarah Islam di China.

Aku baru tahu sedikit. Makin dicari, makin banyak pula kisahnya. Ini baru kisah Guangzhou.

18 Jun 2013

Tempahan akhir tahun sahaja

MAKLUMAN KEPADA SEMUA

Kepada semua pengunjung blog yang ingin mendapatkan khidmat tour guide ke Guangzhou, diminta untuk menghubungi saya sekiranya tarikh yang anda cadangkan ialah pada bulan Disember 2013 ke atas. 

Hanya untuk bertanya harga dan menempah tarikh yang dirancang sahaja. Tiada nombor telefon wakil saya di Guangzhou akan didedahkan melainkan setelah tempahan dibuat.

Maaf, last minute booking tak dapat dilayan. Begitu juga dengan tempahan untuk seorang hingga lima orang. 

JIKA ANDA INGIN KE GUANGZHOU SEORANG KE LIMA ORANG PADA BILA-BILA MASA,

Anda boleh ikuti bengkel melancong sendiri. Lebih mudah, jimat dan bebas.

Sila emelkan ke panduantravel@gmail.com untuk pertanyaan.


23 Jun 2011

Rain nyanyi lagu Cina




اطلبوا العلم ولو بالصين

Hadis di atas menyeru kita agar menuntut ilmu walaupun hingga ke negara China. Dalam ilmu hadis, hadis ini dikategori sebagai hadis dhaif (lemah). Namun, kebanyakan ulama' menerima pakai hadis ini sebagai sumber motivasi, bukannya penentu hukum. Ia sama sekali berbeza dengan hadis maudu' (palsu) yang tidak diterima langsung. [Bacaan lanjut: Sumber 1, Sumber 2]

China sehingga ke hari ini mempunyai populasi terbanyak dalam dunia. Sekaligus menjadikan China sebagai negara dengan majoriti rakyat bukan Islam terbesar di dunia. Sudah tentu ada sesuatu yang unik di sini dalam pelbagai aspek.

Keunikannya boleh kita perhatikan apabila menetap di sini lebih lama. Sebabnya jika sekadar cuti-cuti seminggu dua, barangkali penilaian kita kurang tepat. Mungkin kita berminat pada membeli-belah saja tapi benci pada situasi dan keadaan hidup di sini.

Di universiti tempat aku belajar, ilmu bahasa turut diterapkan dengan nilai budaya. Benarlah pepatah Melayu berkata, "Bahasa Jiwa Bangsa". Dengan pelajari bahasa, kita dapat mengenal bangsanya.

Laoshi berada dalam posisi ketiga dari kiri (yang sedang membongkok berbaju kelabu)
Gigih. Itulah keunikan pertama yang aku perhatikan dalam jiwa kebanyakan orang China. Contohnya, semua laoshi (guru) aku cukup menepati masa. Tenaga mereka mengajar kami sentiasa konsisten. 

Dari kelas pertama hingga habis semester, semangat dan kesungguhan tidak menurun. Setiap sesi pembelajaran, wujud komunikasi dua hala. Laoshi mahu setiap xuesheng (pelajar) faham apa yang dipelajari.

Dalam kelas pertama lagi aku sudah disuruh menyanyi lagu Mandarin. Apa tidaknya, dah aku pandai-pandai nyanyi lagu Gong Xi Gong Xi Gong Xi Ni bila laoshi tanya siapa tahu lagu Cina.

Gambar Hiasan
Walaupun aku hanya mendendangkan bait itu saja, tepukan daripada laoshi sangat memberangsangkan bagaikan dia peminat aku yang kononnya seperti Rain. Uweeeeeeekkkkk. Patutlah dalam setiap kelas, kami sangat ceria sebab hari-hari dapat aura positif dari laoshi.

Laoshi kami juga ada yang sediakan kuiz pada setiap hari. Diulangi sekali lagi, setiap hari. Tertekan bukan? Memang patut pun sebab hanya dengan cara inilah hanzi (karakter tulisan Cina) dapat dihafal.

Gambar Hiasan : Ulangkaji pelajaran di universiti sewaktu musim bunga
Bila direnungkan, kegigihan ini bagi aku terhasil akibat persaingan sengit antara satu sama lain. Kan masyarakatnya ramai, jadi mereka perlu usaha lebih untuk dapatkan hasil yang lebih baik. Lama kelamaan kegigihan ini menjadi budaya dalam hidup. [Baca pengalaman Richard Hong]

20 Jun 2011

Kuasai Mandarin di Guangzhou

Berdiri di hadapan bangunan pentadbiran Universiti Jinan
Pada 19 Februari 2009, aku telah mendaftarkan diri sebagai pelajar di Kolej Bahasa dan Budaya, Universiti Jinan yang terkenal di Guangzhou. Pada waktu inilah dapat kita jumpa beberapa kenalan Melayu dari Malaysia dan Indonesia selain bangsa asing dari seluruh pelusuk dunia.

Pandangan hadapan pintu utama universiti
Pilihan universiti ini adalah atas cadangan seorang pelajar senior yang aku kenali di Malaysia. Tidak dinafikan kesan efektif pelajari Bahasa Mandarin di negara asalnya lebih tinggi berbanding mempelajarinya di Malaysia.

Satu semester saja sudah memadai untuk komunikasi asas Bahasa Mandarin. Walaupun bahasa pertuturan warga Guangzhou adalah Bahasa Kantonis, Bahasa Mandarin adalah bahasa standard negara yang boleh difahami dan dipertutur oleh kebanyakan masyarakatnya.

Justeru, tidaklah menjadi masalah kalau nak naik teksi, beli barang, bersiar-siar dan melakukan sebarang aktiviti lain. Selain kemahiran bertutur, kemahiran mendengar pun perlu diasah. Ini kerana memahami apa yang dipertuturkan orang lain kepada kita juga penting.

Sebab itulah, di sini kami diajar penguasaan empat bidang dalam bahasa iaitu penulisan, pemahaman, pendengaran dan pertuturan. Jika anda rajin dan kuat menghafal karakter tulisan hanzi memudahkan lagi kehidupan di sini apabila tulisan dapat dibaca.

Kolej Bahasa dan Budaya Universiti Jinan
Mula-mula belajar dulu, aku terpaksa melatih lidah untuk menyebut betul-betul nama kampus ini iaitu 暨南大学华文学院 (Ji Nan Da Xue Hua Wen Xue Yuan). Berbelit juga lidah menyebutnya.

Bila naik teksi, jika hanya menyebut Ji Nan Da Xue (Universiti Jinan), boleh jadi pemandunya tercengang. Universiti Jinan biasanya merujuk kepada sebuah universiti yang terkenal di Shandong. Shandong terletak kira-kira 1,890 km  dan memakan masa selama hampir sehari perjalanan menaiki kereta dari Guangzhou.

Bersama rakan Malaysia di tasik buatan dalam kawasan universiti
Tahukah anda betapa seronoknya belajar di universiti dalam taman? Suasananya cukup nyaman apabila pokok-pokok menghijau hidup subur di sekeliling kita. Ditambah pula dengan tasik buatan dengan jambatan menghubungkan daratan dengan kawasan santai di tengah-tengah tasik.

Kalau rindukan Malaysia, bolehlah duduk-duduk di sini mengarang sajak atau surat untuk dikirimkan. Atau berbual-bual kosong bersama teman sambil mengunyah kuaci. Tapi kedua-duanya tak pernah aku lakukan. Hehe.

27 Mei 2011

Nama asal Guangzhou ialah Zaitun

Bila orang dah mula sebut pasal Guangzhou, fikiran aku terus menerjah kenangan silam tinggal di sana. Satu perkataan saja yang boleh aku gambarkan. Seronok!

Apatah lagi kalau aku membelek gambar-gambar yang aku snap sepanjang berada di sana. Terasa rindu sekali untuk kembali ke bumi itu.

Jika Malaysia adalah negara Islam, negara itu adalah negara kafir. Namun suatu ketika dahulu bumi Guangzhou itu bersinar dengan kedatangan pakcik Nabi. 800 tahun lebih awal daripada Islam datang ke Malaysia.

Guangzhou dulu dikenali sebagai Kanton dalam buku sejarah. Kalau baca buku catatan perjalanan (Rihlah) Ibnu Battuta, dinyatakan tempat itu sebagai Zaitun kerana begitu ramai orang Arab berdagang di sana. [Marco Polo juga sebut Zaiton]

Zaitun-Kanton-Guangzhou. Inilah sebabnya aku teringin berada lebih lama di sana. Aku mahu mengkaji dan meneladani kesan tinggalan sejarah ini. Jika dulu setahun saja, lepas ini perlu lebih lama. Bukan lagi berseorangan tapi bersama keluarga.

Untuk menambahkan semangat aku, selepas ini aku berazam untuk menghimbau kembali nostalgia lama. Aku akan kongsi gambar yang ada sebagai sumber inspirasi.

25 Mei 2011

Cari aku sebab nak ke Guangzhou

Gambar bersama teman sekelas sewaktu bercuti di Taman Tema Chimelong, Guangzhou
Tiga empat bulan lepas, aku dapat beberapa emel yang meminta aku bawa mereka ke Guangzhou. Kira-kira enam grup kesemuanya.

Ada juga tiga grup penuntut IPT yang berjumpa dengan aku untuk buat lawatan dan khidmat sosial ke Guangzhou.

Baru-baru ini aku ke pejabat firma guaman tempat aku bekerja dulu. Satu jabatan bercadang nak ke Guangzhou dan minta aku bawa mereka ke sana.

Setakat ini semuanya aku tolak dan sekadar memberi khidmat nasihat saja. Tapi seorang kawan aku sarankan aku bawa saja mereka ini sebab aku ada pengalaman dan kenalan di sana.

Jadi, barulah aku terfikir ada baiknya juga aku bawa mereka. Yalah kita dah biasa dengan tempat tu dan orang dah minta. Lagipun pasport masih bersih, rugi tak manfaatkan sebelum tamat tempoh.

Ada juga yang cadangkan aku buat travel agency tapi aku rasa itu kena serius. Aku sekadar nak bantu menjadi teman pengiring kawan lain yang mahu berjalan secara free n easy di Guangzhou. Itu saja kot, tak ada modal nak buat bisnes pelancongan pun.

Apa pendapat korang?

[Ditambah 24 Jan 2013: Sila baca Tanyalah Kalau Nak Ke Guangzhou]

[Terkini setakat 29 April 2013: Anda boleh ikuti Bengkel Melancong Ke Guangzhou]

[Ditambah 18 Jun 2013: Sila baca Tempahan akhir tahun sahaja]

05 Mei 2011

Bolehkah minum Wong Lo Kat?

Hari ini cukup panas. Badan pun terasa panas. Lantas aku teringat pada Uncle Azman. Dialah teman rapatku sewaktu berada di Guangzhou. Kata uncle, "Minumlah Wang Lao Ji untuk sejukkan badan".

Air apa ini? Kata uncle ianya halal sebab ia berasaskan herba. Setiap kali kami bermain boling, inilah minuman pesanan kami. Dan sememangnya ia menyejukkan dari dalam.

Di Malaysia ia dikenali sebagai air Wong Lo Kat tetapi Wang Lao Ji di Guangzhou? Perbezaannya hanya pada bahasa. Di Malaysia menggunakan Bahasa Kantonis, bukan Bahasa Mandarin dalam menyebut perkataan yang sama.

Resipi minuman herba ini diasaskan oleh Wong Chat Bong pada zaman Dinasti Qing iaitu pada tahun 1828. Ia diperkenalkan di wilayah yang pernah aku diami, Guangdong (ibu negerinya ialah Guangzhou). Jadi, meminumnya mengingatkan aku nostalgia kembara di sana.

Entah kenapa hari ini aku terasa was-was akan kehalalan air ini. Jadi, aku semak terus direktori halal keluaran JAKIM untuk dapatkan kepastian.  [Sila klik di sini]



Alhamdulillah, ia halal untuk dinikmati. Ayuhlah kita tingkatkan kepekaan tentang status halal makanan dan minuman yang kita pilih. Ia bakal menjadi darah daging kita yang tidak boleh dipisahkan.

Kini ramai pengguna sudah mulai merasakan kepentingan status halal hingga menyebabkan syarikat bukan Islam turut berusaha mendapatkan status demikian.

Namun, kita tetap perlu awas akan 'lakonan' yang berani oleh sesetengah peniaga yang ingin menarik pelanggan Melayu dengan meletakkan logo halal yang tidak diiktiraf.

Untuk kepastian, semak saja dalam laman JAKIM tadi. Atau beranikan diri untuk bertanyakan sijil halal yang seharusnya dipaparkan. Paling tidak pun, status halal yang dikeluarkan badan luar juga boleh diterimapakai.

p/s: Jika was-was, usah makan atau minum produk itu

09 Ogos 2010

Pastikan bakul ada isinya


Ada sekumpulan pelajar dari universiti sekitar Lembah Klang datang menemui aku baru-baru ini. Ini adalah kumpulan keempat yang datang berbincang dengan aku untuk merancang program ke China.

Kumpulan pelajar perempuan ini datang dengan bakul yang kosong. Maka, mudahlah aku mengisi bakul itu. Dan sudah pasti mereka tidak perlu bersedia lebih kerana kedatangan mereka adalah untuk perbincangan awal.

Berbanding kumpulan sebelumnya, mereka datang dengan bakul berisi. Jika bakulnya berisi, sudah pasti aku akan tanya apakah isinya. Alangkah malang nasib mereka kerana isi yang diceritakan rupa-rupanya tiada dalam bakul.

Maka, jangan marahlah jika anda ditegur dengan agak tegas. Sekiranya anda menyediakan kertas cadangan, pastinya kertas itu hasil daripada kajian awal anda berkenaan info dan fakta asas yang membolehkan objektif program tercapai.

Jika kertas kerja hendak ke China aku dapati adanya perkataan Kemboja, apakah maksudnya? Copy & paste. Mudahnya kerja korang ya. Jika tiada seorang pun boleh berbahasa Cina, boleh ke nak buat program bakti siswa seperti di sini?

Dan jika anda juga ingin ke China untuk program jalan-jalan, silalah cari agen pelancongan.
Aku berminat untuk membantu mereka yang ingin berbakti kepada manusia lain dengan perancangan jangkamasa panjang. Bukan Touch n Go.

Mahasiswa bukan begini sepatutnya, mereka harus proaktif, kreatif dan mandiri. Pemimpin ialah orang yang boleh memimpin dan dipimpin. Mujurlah mereka masih dalam proses menjadi pemimpin, kesalahan simple masih boleh dimaafkan.

29 Mac 2010

Tak hairanlah tukar pelan



Kalau diikutkan giliran musim, kini sudah masuk musim bunga. Suhunya sepatutnya tidak lagi dingin. Namun, akibat perbuatan rakus manusia membangunkan dunia, berlakulah pelanggaran aturan alam.

Suhu turun dan naik secara mendadak tanpa dapat diramal. Keadaan ini menyebabkan situasi begini sukar dihadapi. Tubuh badan terasa lemah selain pening kepala datang tiba-tiba. Dari 23'C boleh bertukar terus ke 6'C.

Aku yang tidak berpengalaman berasa gusar dengan keadaan ini memandangkan isteriku dalam keadaan tidak stabil. Bukan sekadar iklim, beberapa faktor lain turut membimbangkan. Berada di negara bukan Islam yang tidak mengamalkan demokrasi jelas berbeza keadaannya dengan negara-negara demokrasi lain seperti di Eropah. Soal pendidikan anak-anak juga perlu diambil berat.
Dalam kebimbangan ini, aku memohon petunjukNya agar diberikan jalan terbaik untuk penerusan hidup. Doa dan solat hajat dilaksanakan agar permusafiran ini mendapat barakah daripadaNya.

Setelah beberapa pertimbangan dibuat, aku memutuskan untuk pulang ke Malaysia. Hati yang tergerak dengan petunjuk tertentu dengan tawakal kepadaNya memberi keyakinan kepadaku atas keputusan ini.

Sudah tentu kepulangan ini memberi reaksi pelbagai daripada rakan dan saudara. Ada yang positif dan ada yang negatif. Perkara normal yang biasa dilalui oleh pekerja dakwah sepertiku.

Adalah satu kebiasaan dalam strategi dakwah untuk bertukar pelan gerakan. Malahan dakwah itu bukan sifatnya terikat pada batas geografi. Hatta orang yang berbaring sakit dan tidak boleh bergerak wajib ke atasnya meneruskan tradisi dakwah warisan Nabi ini.


Kepulangan pastinya menemui ahli keluarga terlebih dahulu. Aku kembali ke Melaka apabila dapat tahu keluargaku berada di sana. Kelihatan ayah sedang menyiapkan pagar di rumah nenek saudara.

Kesempatan membantu ayah membuat kerja-kerja kampung ini diluangkan sebaiknya. Laman rumah nenek saudara yang agak besar perlu dikemaskan. Sudah lama aku tidak berpeluh begini. Apabila Nek Cot suruh aku menyarungkan pakaian kebun Babah, teringat aku pada arwah yang sangat berpengaruh dalam menentukan kelangsungan kerja dakwahku hingga ke hari ini.

Sahabat dan saudara, kerja kampung begini rupa-rupanya mendidik jiwa kita untuk tidak hanya mendongak. Setelah usia meningkat, barulah dirasakan betapa pentingnya untuk menunduk. Patutlah arwah Babah dan rakan-rakannya tidak pernah berbangga hasil pertukangan tangan mereka dalam membina taski pertama di Malaysia.

27 Mac 2010

Coraklah anak dengan bantuanNya



Isteriku beberapa hari pada musim dingin lepas mula berasa kurang selesa badannya. Sewaktu menikmati pertunjukan bunga api pun dia sudah tunjukkan tanda-tanda. Kepala terasa berat dan selera makan hilang.

Dia mula muntah dan tak boleh bau masakan di dapur. Memandangkan ini seolah petanda pertumbuhan benih generasi pelapis, cepat-cepat aku hubungi pihak hospital mencari perkhidmatan termurah.

Ujian pra-kehamilan telah dibuat dan ditentukan sah mengandung. Namun, cuti tahun baru Cina menyebabkan 4 hari kami menunggu untuk ke hospital memandangkan para doktor juga bercuti panjang.

Inilah pengalaman baru dalam hidup yang perlu aku pelajari. Pastinya sikit gelabah menghadapi perkara yang belum ada ilmu mengenainya, apatah lagi tiada orang rujukan yang boleh membantu di sisi.

Isteriku kurang bermaya dan sangat lemah. Selepas mendapatkan nasihat doktor, dia dimasukkan cecair vitamin dan glukos ke dalam badan. Sebagai orang asing, caj yang dikenakan sememangnya tinggi. Pemeriksaan awal sahaja sudah mencecah RM500. Untuk melahirkan di hospital kerajaan, kenalah siapkan RM10,000. Itupun kalau kelahiran normal, jika kaedah caesarian dibuat, perlulah membayar RM20,000.


Sambil menunggu isteri dirawat, aku berjalan kaki melihat kawasan sekitar hospital. Kelihatan beberapa individu dari luar Guangzhou menjual kuku harimau dan tanduk binatang. Bahasanya sukar difahami dan cara penjualannya juga agak kasar kerana memaksa pengguna untuk membeli.

Cuba saudara bayangkan, betapa para penjual ini terpaksa mempertaruh nyawa untuk mendapatkan kuku dan tanduk binatang semata-mata mencari sumber pendapatan meneruskan kehidupan harian. Manakala kita pula dihambat dengan keperitan mencukupkan keperluan kewangan untuk melahirkan anak.

Situasi yang berbeza ini mempunyai satu persamaan, iaitu dalam meneruskan kehidupan khususnya bagi menyambung kesinambungan melalui kelahiran generasi kita, Allah jadikan kepayahan agar kita sungguh-sungguh menjaga anak itu.

Betapa sedih dan pilu apabila anak yang dilahirkan itu kemudiannya menjadi tuan kepada kita. Adakah begitu sikap kita terhadap orang tua? Jika begitulah, sia-sia segala usaha mencukupkan keperluan kebendaan untuk anak-anak kita kerana mereka juga akan menghina kita kelak. Hanya beruntunglah bagi mereka yang mencukupkan anak-anak dengan harta keimanan. Moga Allah membantuku dan isteri..

17 Mac 2010

Jangan pandang rendah teknologi China

Cuti Tahun Baru Cina di sini biasanya selama dua minggu. Kebanyakan peniaga akan ambil peluang balik kampung. Ada juga yang cuti sebulan. Yalah, dalam setahun hanya waktu inilah mereka bercuti. Hari-hari lain mereka pulun mencari duit. Kesungguhan mereka sewaktu bekerja patut kita contohi.

Hendak ke mana pun tak tahu. Untuk elakkan kebosanan terperap dalam rumah, aku ajak isteri ke Pusat Sains Guangzhou yang terletak agak jauh dari pusat bandar. Hebatnya di sini, ke mana saja anda mahu pergi, pengangkutan awamnya tersedia untuk membawa anda.

Kami menaiki METRO subway hingga ke stesen terakhir. Subway di sini ada 5 line dan akan bertambah melebihi 10 dalam 3 tahun lagi. Line 5 (terbaharu) terletak di tingkat 4 bawah tanah. Boleh anda bayangkan?

Setibanya di Pusat Sains, kami pun beratur untuk tonton AVATAR 3D. Malangnya iklan yang menyatakan tayangan dalam bahasa Inggeris turut disediakan adalah tidak benar.

"Tak payahlah kita tengok Avatar. Bahasa Mandarin pasti merosakkan penghayatan kisah sebenar filem ni. Sudahlah subtitle pun tak ada.."

Akhirnya kami hanya menikmati apa yang termampu untuk diterokai saja. Alang-alang dah datang kan. Sempatlah naik virtual voyage di angkasa lepas. Tak aku sangka di satu kawasan pedalaman terdapat Pusat Sains yang hebat dan besar begini.

Teringat sewaktu aku bujang dulu, aku diajak menonton filem Transformers oleh rakan-rakan Melayu di sini. Kehebatan China meniru produk luar tak dapat disangkal lagi. Setiap iklan yang ditunjukkan pasti berubah menjadi transformers. Peti ais. Mesin basuh. Microwave. Dan juga waiter McDonalds. Cepat betul gelombang ciplak mengekor.

Jangan pandang remeh pada produk ciplak mereka. Di sebalik itu, ia membuktikan mereka mempunyai kepakaran luarbiasa dalam menghasilkan sesuatu dalam tempoh singkat. Bukan semuanya tak bermutu, ada yang setanding dengan original.

Pasti anda juga tak sangka jika aku katakan kereta Hummer juga mereka boleh buat. Dan ramai pemiliknya dengan gah memandunya di jalanraya. Kereta Chery di Malaysia tak pernah lagi aku nampak setakat ini. Kebanyakan mereka berkereta mewah sama ada buatan asing atau tempatan. Kereta kecil hanyalah Mini Cooper atau SMART.

15 Mac 2010

Tahun Baru Harimau

Sewaktu tahun baharu 2010, aku dan isteri bersama adik-adik ipar teringin sangat tengok pertunjukan bunga api. Kami pun menuju ke Bukit Belacan untuk menyaksikannya. Rupa-rupanya lalulintas tersekat sebab ramai sangat nak naik ke puncak. Akhirnya kami pun hanya dapat tengok serpihannya saja di tepi jalan.

Jadi, kali ini di Guangzhou aku tak mahu lepaskan peluang. Aku dan isteri bersiap lebih awal untuk saksikan pertunjukan bunga api sempena kedatangan Tahun Baru Harimau. Seawal jam 8 malam kami tiba di kawasan hotel 5 bintang bernama ‘White Swan Hotel’ di tepi Pearl River (yang dahulunya merupakan jalan perdagangan antarabangsa).

Apabila menghampiri jam 8.30 malam, masyarakat Cina bertambah sesak dan kelihatan anggota polis semakin ramai mengawal keadaan. Hendak naik ke atas jambatan, tak dibenarkan. Lagipun diletakkan penghadang di tepi jambatan agar orang tidak jatuh ke dalam sungai. Penghadang yang tinggi menyebabkan pandangan terhalang.

Sudahlah malam ini juga adalah malam Valentine yang diraikan sesetengah golongan muda, jadi bertambah padatlah manusia. Kebarangkalian untuk kehilangan ahli keluarga agak tinggi kalau begini. Inilah kali pertama kami berada dalam keadaan begini. Tangan isteri sentiasa aku genggam. Walaupun begitu, aku respek dengan pihak polis yang cekap mengawal keadaan. Lalulintas juga diawasi sehingga rakyat bersurai.

Isteriku rasa tak sedap badan sejak semalam tapi dia gagahkan diri juga sebab aku cakap inilah saja peluang yang ada untuk menyaksikan pertunjukan bunga api tahun baru.

“Kan abang dah cakap, orang kat sini bila kagum akan cakap camtu,” ujar aku kepada isteri.

Memang orang di sini apabila kagum dengan sesuatu khususnya pertunjukan sebegini, mereka dengan kuatnya akan menyatakan “Waaa..”. Bukan seorang dua, tapi bagaikan makmum mengikut imam mengaminkan fatihah.

08 September 2009

Siri Ramadhan China: Berlepas ke Malaysia


Kelmarin aku dan rakan-rakan pelajar Jinan ke Baiyun Orient Hospital. Terletak agak jauh dari bandar tempat kami bermukim.

Kami menziarahi ADUN Gua Musang, Che Hashim Sulaima, 45, yang menghidap penyakit barah paru-paru. Seorang yang sangat rendah diri ini mengenali salah seorang pelajar Jinan.

Apa yang menarik, di tingkat 4 hospital itu, kami terasa seperti di Malaysia. Semua pesakit adalah warga Malaysia.

Hospital ini terkenal dengan kepakarannya merawat sebarang jenis barah menggunakan kaedah yang tiada di Malaysia kerana berisiko tinggi. Antara lain kaedah Stem Cell dari janin yang digugurkan (akibat polisi 1 anak di China) digunakan selain kimoterapi.

Alhamdulillah, YB sendiri sudah beransur pulih dan dijangka pulang untuk berhari raya sebelum kembali ke sini menjalani rawatan susulan.

***


Semalam adalah hari terakhir aku berbuka puasa di China. Aku rasa sedih untuk tinggalkan China kerana Ramadhan di sini telah mengeratkan hubungan silaturrahim aku dengan Muslim China. Selepas ini, mungkin sukar untuk bertemu dengan mereka lagi.

Dan semalam juga, aku cukup seronok kerana pengislaman dia, rakanku itu telah direkodkan secara rasmi melalui Persatuan Muslim Guangzhou. Kepayahan untuk mendapatkan pengesahan persatuan itu sangat berbaloi.

***

Semalam adalah hari ulangtahun kelahiranku. Subhanallah, ramai sungguh orang yang ingat tanggal ini. Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan dan doa-doa yang mengiringi aku. 25 orang jumlahnya. Mujur ada Facebook dan blog juga teknologi telefon yang memudahkan perhubungan.

***



Hari ini aku akan berlepas ke Malaysia dari Guangzhou menaiki pesawat MAS pada pukul 3.00 petang dan dijangka tiba di KLIA pada 7.00 malam. Kepada Hammad dan Malie yang sudi mengambil aku, kita jumpa di stesen Putrajaya ok! InsyaAllah aku akan telefon korang. [Malie, ko tanya Hammad camana plan]

Kepada semua ahli GPTD, insyaAllah kita akan berjumpa dalam siri Kembara Ramadhan.
Banyak perkara boleh kita bincang bersama. Mari sebarkan rahmat ke serata alam.

03 September 2009

Siri Ramadhan China: Hanya kerana gambar



Ini adalah entri ketiga aku tak sampai 24 jam. Sejurus selepas entri sebelum ini dimasukkan, aku terima beberapa kata-kata semangat daripada sahabat-sahabatku.

Di YM, ramai yang mengajakku untuk bersabar. Namun, hati masih rasa marah dan benci kepada orang politik itu. Lalu, aku ke blog sahabat-sahabat lain. Aku baca kembara dakwah sahabat dakwahku.

Entah kenapa aku tertarik untuk ke laman adik ini yang terlalu banyak diuji dalam hidupnya. Sejak aku kenali dia sehinggalah aku ke China, dia antara orang yang kerap menghubungi aku. Kisah hidupnya banyak menginsafkan aku.

Sudah menjadi kegemaranku mengambil tahu kebajikan sahabat, maka aku mula mengenali keluarganya sehinggalah pemergian ibunya. Dan hidupnya terus menerus diuji dengan pemergian insan-insan tersayang.

Blog Syira menarikku untuk ke sana. Mataku seolah terpukau dengan gambar ini.




Aku terus solat. Sudah ramai ingatkan aku untuk sabar. Tapi untuk solat, tiada. Jadi, aku terus solat. Hinggalah hatiku kembali tenang.

Di akhir solat, kedengaran bunga ting dari YM aku. Sahabat karibku di pejabat lama bertanyakan tentang kemarahan aku. Perbualan hampir dua jam membuatkan aku lebih mengenali selok belok orang politik.

Sahabatku itu dulu pernah menjadi orang politik yang menanamkan kebencian terhadap aku. Dia sudah luahkan segalanya. Maka, hatiku reda dengan apa yang berlaku kerana hakikat dunia mereka bukanlah sama dengan dunia aku.

Bak kata sahabatku itu, dakwah hanya 1% saja dalam perjuangan mereka..

02 September 2009

Siri Ramadhan China: Orang politik tak boleh berdakwah

Hati aku sedang sakit sekarang. Terpaksa aku luahkan walaupun entri sebelum ini baru saja aku masukkan. Aku perlu cerita tentang politik. Silap.. Orang politik.

Mengapa orang politik fikirannya pasti curiga kepada orang lain?
Mengapa orang politik pantang melihat orang lain lebih berjaya daripada dia?
Mengapa orang politik tetap berpolitik walaupun bukan dalam medannya?

Bila kalian membaca entri tentang aku membantu dia memeluk Islam, adakah kalian tercabar? Langsung kemudiannya, mencerita buruk di belakang tentang aku? Mengatakan aku nak gunakan dia bagi menaikkan reputasi aku?

Orang politik itu memang GILA! Dia ingat semua orang macam dia! Dia ingat hanya dia saja yang boleh buat betul (yang pada hakikatnya lebih banyak buat salah kat orang)!

Aku MARAH ni! Aku BENCI orang politik itu!

Huuuhh! Aku cuba tenang..
-----

Ceritanya begini. Sebaik saja orang politik itu tahu aku dapat membawa dia peluk Islam, orang politik itu pun menawarkan macam-macam kepada dia.

Ada yang kata aku silap sebab ceritakan tentang kisah pengislaman dia kepada orang politik itu. Tapi aku sebenarnya cuba untuk berikan orang politik itu peluang kedua untuk aku percayakannya semula.

Tengok-tengok, dia tikam belakang lagi. Depan aku, mulut manis. Aku dapat SMS, jawapannya seperti orang DAKWAH. Tapi hakikatnya, dia tetap orang POLITIK yang JAHAT.

Aku tak pernah minta disanjung atau nak masukkan dalam resume aku yang aku islamkan dia. Itu kerja Allah, bukan aku.

Dari sumber lain yang dipercayai, orang politik itu tercabar dengan aku kerana dia juga sedang usaha nak islamkan orang lain. Tengok-tengok aku dulu. Masya Allah! Apa punya orang la ni. Ini bukan kerja kita. Ini kan kerja ALLAH! Insaflah!

Kesimpulannya, jika orang politik itu baca blog aku. Atau anak buah dia baca blog ini, aku harap beritahulah kepada orang politik itu.

Aku takkan lepaskan dia kepada orang yang aku tak percaya! Aku sedang cari orang yang aku boleh percaya! Bukan orang politik itu! Dan tiada lagi peluang ketiga untuk orang politik itu!

p/s: Apa orang politik itu ingat semua orang boleh digula-gulakan dengan duit?

END

Siri Ramadhan China: Patahnya dahan penyokong

Bak kata Epah dan AM, memang dia ni sangat berani. Daging babi yang disuakan untuk dijamah ditolaknya.

"Kenapa kamu tak makan? Kamu dah masuk Islam kan?"

Dia hanya mendiamkan diri tanpa menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan. Hanya melihat adiknya makan bersama kawan-kawan.

Walaupun begitu, dia tetap punya hati. Dia kerap menangis di rumah dan pejabat. Namun, tangisannya bukan kerana sesalan memeluk Islam. Tangisannya disebabkan tekanan yang tak dapat ditahannya. Dari luaran ramai mengatakan dia kuat. Tapi hakikat dalam diri selalu rasa dianiaya.

"Sabar.. Sabar..," ujar En Jamri. Pantang jumpa En Jamri mesti dia cakap sabar.. sabar.. sabar..

"Waktu kamu menangis tu, terus saja kamu ingat Allah.. kamu terus doa yang baik-baik.. kamu akan rasa puas lepas tu," pesan aku kepada dia.

"Kelmarin saya sedih sangat.. saya menangis waktu saya sedang sujud. Rasa tak mahu bangun"
"Kamu tahu tak kenapa kamu tak boleh bangun?"
"Kenapa?"
"Sesungguhnya pada waktu kamu sujud, Allah sangat dekat dengan kamu. Itu pasal kamu rasa sangat suka sujud.."

Selepas aku terangkan begitu. Dia cukup suka. Baru dia tahu rupa-rupanya mudah sungguh untuk dekatkan diri dengan Allah. Tak perlu perantara pun.

Selain aku dan En Jamri, En Yusof dan isterinya Kak Faezah, adalah dahan-dahan penyokongnya untuk kekal seimbang walau dipukul angin kuat.


Bahkan mereka jugalah antara terawal yang mendedahkan kepada dia tentang Islam. Panggilan abah sudah cukup menggambarkan keakraban dia dengan En Yusof.

Sebelum En Yusof, rakan baiknya ialah Ina. Pendek kata, Ina banyak ajak dia kenali Allah, kemudian En Yusof (selepas Ina terpaksa pulang ke Malaysia) dan kini aku. Dahan-dahan sekelilingnya patah satu demi satu.



Kali ini En Yusof dan Kak Faezah (bersama anak-anak) pula terpaksa berpindah ke Shanghai kerana kenaikan pangkat. Begitu juga dengan En Jamri sekeluarga. Maka, bermula 29 September 2009, tinggallah aku seorang diri yang wajib membimbingnya sebaik mungkin.


AKAN DATANG: Pengislaman dia dipolitikkan

01 September 2009

Siri Ramadhan China: Jadi gila baca Quran






"Tak perlu pakai tudung kalau kamu rasa takut"

Itulah saranan aku waktu dia bertanya apakah dia perlu pakai tudung untuk ke pejabat. Dia bimbang sangat kalau-kalau pengislaman dia diketahui adiknya sendiri. Adiknya sangat benci pada Islam.

"Tapi saya mesti mahu sembahyang juga"
"Dekat mana kamu nak solat?"
"Saya solat dalam bilik bos"
"Owh, oklah kalau macam itu"


Keesokan harinya dia yang seharusnya ke rumah sahabat Melayu yang menjemput kami berbuka puasa, langsung tak kelihatan. Kata tuan rumah, dia asyik menangis hari ini. Dia kena marah oleh adiknya.

Mesti ada yang tak kena. Aku pun sms tanyakan dia mahu mengaji ke tidak? Dia cakap mahu. Kami berjumpa di satu tempat untuk mengaji. Tanpa dia bercerita apa-apa, dia pun keluarkan sehelai kertas dan sehelai tisu [seperti dalam gambar di atas dan bawah]



Apa ini? Owh, ini adalah luahan hatinya hari ini. Adiknya dapat menghidu pengislaman dia. Adik dia terserempak dengannya di toilet sedang dia ambil wudhu. Adik dia masuk ke bilik bos dan nampak dia mahu solat.

"Adik saya tolak saya sembahyang sampai saya nak jatuh"
"Dia cakap saya gila sebab baca Quran"
"Dia benci sama saya"

"Jadi, kamu balas apa? Kamu tak marah dia balik?"


Tiba-tiba aku jadi marah orang kata baca Quran boleh gila. Tapi, rupa-rupanya dia lebih bijak daripada aku. Dia kata dia tak perlu marah-marah. Sabar saja sudah cukup. Kalau dia marah, pasti adiknya akan kata sebab Islamlah dia jadi marah-marah adik dia.

Bukan sekadar itu. Adiknya ajak dia makan tengahari bersama. Sengaja dipesannya masakan babi. Disuruhnya kakaknya makan..

AKAN BERSAMBUNG..

27 Ogos 2009

Siri Ramadhan China: Mungkin itu malaikat

Kali ini aku berbuka di Masjid Huaisheng, masjid pertama di Canton (Guangzhou) yang dibina oleh Saad Abi Waqqas sebagai tanda peringatan kepada Nabi Muhammad saw. Masjid ini terkenal dan di sini ramai orang yang datang berbuka dan bertarawih.

Ramai sungguh jemaah di sini hinggakan kerusi dan meja yang disediakan tak cukup menampung semuanya. Air susu dicampur Sprite menjadi minuman awal pembuka puasa.

Berbanding sebelum ini, jemaah di sini lebih beradab kerana beratur dalam mengambil makanan yang disediakan. Ada sekitar 20 jemaah yang tak dapat menikmati sedekah para penyumbang ini.

Para pengemis juga ramai yang turut serta. Dan pada waktu inilah, baru aku nampak para pengemis ini turut solat. Tidak seperti hari-hari Jumaat sebelum ini, kelibat mereka hanya di pintu keluar masjid.


Sama seperti masjid sebelum ini, tazkirah ringkas diberikan sebelum solat Isyak ditunaikan Masyarakat Cina pada waktu ini sangat khusyuk mendengarnya. Apa yang disampaikan imam hanyalah perkara asas yang didahagakan jemaah. Waktu ini jugalah jika anda ke sini, anda dapat melihat begitu ramai Cina Muslim.


Ramai bukan? Secara kiraan kasar, dianggarkan sekitar 700 ahli jemaah membanjiri ruang solat. Solatnya tak sederas masjid sebelum ini. Agak tenang sedikit, cuma bahang siangnya masih terasa.


Waktu ini jugalah wanita Cina Muslim dapat dilihat dengan banyaknya. Bagi masyarakat Malaysia dan Indonesia yang terbiasa mengenakan telekung untuk bersolat mungkin terasa janggal melakukan demikian di sini. Rata-rata mereka hanya menutup aurat apabila menunaikan solat seperti sewaktu mereka berjalan di kaki lima. [Penutupan auratnya masih kurang sempurna barangkali disebakan kurang kefahaman]


Kasut-kasut yang anda sarungkan di kaki biarkan saja di mana pun. Tiada kejadian hilang kasut seperti di Malaysia. Tak kiralah kasut anda murah atau mahal, insyaAllah anda akan dapati kasut anda di tempat asal anda meninggalkannya.


Pada malam ini, ada acara sangat bermakna buat rakanku itu. Ya, rakan yang aku ceritakan sebelum ini. Malam ini pengucapan shahadah dibuat di hadapan imam. Kami minta Imam Abdullah mengadakan acara kecil ini selepas jemaah lain beredar.



Kejutan buat imam kerana jarang sekali orang Cina ingin memeluk Islam. Walaupun terdapat persatuan Islam Guangzhou, mereka sendiri tiada daftar muallaf. Namun, aku harus tabik pada imam yang sangat sungguh-sungguh beri faham kepada rakanku itu sebelum shahadah dibacakan sedangkan dia sedang mengejar waktu untuk pulang.


"Suhail, waktu saya solat tarawih tadi, ada sesuatu mengusap-mengusap bahu kanan saya tiga kali"
"Barangkali itu adalah malaikat yang ingin menyambut kamu.."
"Saya rasa nak nangis tadi"
"Alhamdulillah, kamu kini Muslim. Tahniah.. Allah sayang kamu"


Akan datang: Dia ditolak hingga hampir terjatuh hanya kerana memeluk Islam

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular