31 Mei 2010

Israel's Attack on Gaza flotilla‎



Kebiadapan Israel harus diajar kerana melanggar hak asasi manusia dan undang-undang perairan antarabangsa. Apakah diri kita tak terasa apa-apa apabila melihat video di atas yang menyaksikan tindakan pengganas yang sibuk menggelar orang lain pengganas.

Mari kita umat Islam sedunia berdoa agar Allah selamatkan misi kemanusiaan kapal ke Gaza. Juga diberikan kemenangan kepada orang Islam dan mana-mana pihak yang bersama dengannya.

Tidak cukup dengan sekatan yang dikenakan oleh umat Islam sendiri di negara jiran, misi yang tidak bermotifkan peperangan turut menjadi mangsa kekejaman Israel yang menghantar komando terlatih menyekat bantuan makanan dan perubatan ini.

Sebarkan kempen untuk boikot Israel dengan lebih serius dan doakan umat Islam yang ingin memperjuangkan rakyat Palestin.

30 Mei 2010

Siapa nak ke luar negara?


Jangan lepaskan peluang ini. Kepada adik-adik sekalian, jom sertai himpunan ini. Dalam program ini, kami akan terus membahagikan adik-adik kepada grup kecil negara yang akan dikunjungi.

Kami juga sediakan latihan dan bimbingan untuk menjadikan adik-adik relawan yang komited dalam menjalankan tugas menjelajah negara asing. Antara tempat yang bakal dituju:

Maninjau, Indonesia
Aceh, Indonesia
Jawa, Indonesia
Sepanyol
Yunan, China
Morocco, Maghribi
Istanbul, Turki
Syria
Pulau Krismas, Australia
Pulau Kokos, Australia
Sri Lanka
dan lain2..

Siapa cepat dia dapat!

12 Mei 2010

Rajin-rajinlah bertegur sapa



Sewaktu aku kecil-kecil dulu, aku tinggal di kampung dalam bandar. Aku dibesarkan dalam keluarga yang terperangkap dalam pembangunan. Hanya beberapa buah rumah kampung saja tinggal.

Di depan ada kompleks perniagaan dan EON, manakala di belakang dan kanan ada taman perumahan. Hanya di sebelah kiri terdapat rumah-rumah kampung.

Petang hari selepas sekolah, pasti aku lewati rumah-rumah kampung untuk ke kelas agama dan bermain bolasepak. Sewaktu berkayuh, pasti terserempak dengan orang-orang tua. Pada awalnya aku tak kenal mereka, tapi akhirnya kami jadi semacam saudara.

Sebabnya setiap kali bertembung, pakcik tu pasti menyapa aku:

"Nak, anak siapa ni?"
"Nak pergi mengaji ya, nak?"
"Kayuh basikal tu elok-elok, jangan laju sangat"
"Anak.."

Mula-mula malu juga aku nak menyapa pakcik yang tak aku kenal. Tapi lama-lama aku jadi seronok nak tegur pakcik tu:

"Pakcik.."
"Nak ke pasar ye, pakcik?"
"Pakcik sihat?"

Seronok rasanya hidup di kampung. Kemudian kami pun berpindah ke perumahan moden. Di sini, keadaan tak sama seperti waktu aku kecil. Jiran kami kebanyakannya pelajar IPT. Sapaan dan teguran kepada mereka semacam tiada respon.

Secara tak sedar, aku pun mula rasa malas untuk menyapa. Yalah, pandangan mereka pun semacam pula seolah-olah kita berbuat silap. Tapi aku tak salahkan mereka. Mungkin mereka alami malu alah seperti aku dulu.

Persoalannya sampai bila kita nak malu kan? Aku juga adakalanya malu untuk menyapa 'orang baru'. Kita perlu mula cakap, pasti hilang rasa malu.Kini aku sedang berusaha untuk menyapa sesiapa saja yang aku temui.. pelanggan warung yang duduk di sebelah, peniaga tempat kita berurusniaga, jemaah masjid, pengemis, dll.

JOM KEMPEN 1 BULAN 1 ADAB!
RAJIN-RAJINLAH BERTEGUR SAPA

p/s: Kalau dah kenal, perlu ke ada rasa malu?

02 Mei 2010

Terapi Trauma di Posko Sg Batang (Hari Ketiga)

Semalam kami berkesempatan menziarahi mangsa tanah longsor di Posko Sg Batang, Maninjau. Di sini kami kumpulkan anak-anak untuk menggembirakan mereka. Soalan berunsur agama dijadikan kuiz dan mereka cukup ceria untuk menjawabnya. Dengan cara itu kami berikan hadiah berupa makanan ringan.


Anak-anak yang tidak terisi dengan program dan aktiviti terasa seronok apabila kami hadir memecahkan sunyi. Trauma yang mereka hadapi dapat dilupakan seketika. Sesekali permainan berbahasa Arab diperkenal bagi memupuk rasa cinta pada Islam. Selain itu, kuiz berkenaan para Nabi turut menarik minat mereka.


Walaupun permainan ini dikhususkan kepada anak-anak, para ibu turut terasa keceriaannya. Sudah tentu kegembiraan ibu terletak pada kegembiraan anak-anaknya.



Tidak lupa juga kepada golongan tua, kami sampaikan sumbangan daripada Global Peace Mission(GPM) untuk 111 buah keluarga yang terlibat. Sumbangan kecil itu tidaklah dapat membantu mereka menyelesaikan banyak keperluan, namun hati mereka sedikit terubat dengan keprihatinan kita selaku orang luar.

Di kesempatan ini, aku merayu kepada semua yang membaca. Sebarkan dan sampaikanlah berita ini. Mereka perlukan rumah shelter sendiri. Sekarang mereka hanya menumpang di musolla kerana shelter yang disediakan hanya dapat didiami oleh mangsa gempa bumi pada Disember lalu.

Sumbangan anda diperlukan. Sila sumbangkan kepada:

Global Peace Mission
Bank Islam Malaysia Berhad - No Akaun 14 023 01 002922 4 atau
Maybank - No Akaun 564 221 611 602

01 Mei 2010

Maninjau sudah panas (Hari Kedua)

Alhamdulillah ketibaan kami disambut oleh Bang In dan Ustaz Nas di Padang. Perjalanan mengambil masa 3 jam untuk ke Maninjau.


Sebaik bangun pagi di rumah tumpangan milik adik ipar Pak Hamka, kami dibawa ke kawasan tanah longsor kecil berdekatan kampung Pak Bashir (anggota ABIM dan GPTD yang pernah ke sini pasti kenal tokoh ini)


Pada waktu solat Jumaat, aku dipersila membaca khutbah Jumaat di Masjid Al-Huda yang turut ditimpa bencana gempa terdahulu dan tanah longsor. Sesudah itu, kami menuju kawasan paling teruk ditimpa tanah longsor.


Jorong Pandan adalah antara kawasan teruk dilanda tanah longsor. Jalannya terputus dan ketika kami tiba, ia baru saja dapat disambungkan menggunakan batang pokok sebagai jambatan.

Kami berhasrat meneruskan perjalanan hingga ke Jorong Galapung. Di sana lebih teruk. Kami adalah kelompok luar yang terawal masuk ke kawasan ini. Kenderaan terpaksa ditinggalkan dan kami berjalan kaki sejauh 3 km.


Perjalanan kami terhenti di sempadan Jurong Galapung kerana jalan sudah terputus. Sepanjang perjalanan itu sangat sukar diredahi. Kaki aku terperosok hingga ke paras lutut kerana terpijak lumpur basah.

Keesokan hari kami akan ke rumah pengungsi untuk carian data dan maklumat terkini keperluan dan sebagainya yang mereka perlukan. Setakat ini, bencana tanah longsor di sini nampaknya kurang liputan khususnya daripada masyarakat antarabangsa.

Bertolak ke Maninjau (Hari Pertama)

Kami telah diberi makan percuma oleh AirAsia pada 29 April 2010 kerana terpaksa menunggu pesawat lebih 2 jam.

Kami sudah pun naik ke pesawat tetapi disuruh keluar kerana jentera pembawa tangga terlanggar sayap pesawat.

Inilah jentera tangga yang melanggar pesawat menyebabkan satu batang kecil pada celah sayap rosak. Jurutera yakin pesawat masih boleh digunakan tetapi juruterbang tidak sanggup tanggung risiko. Jadi, kami disuruh kembali ke tempat menunggu. Kasihan para sahabat di Padang menunggu kami lebih 3 jam.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular