Setelah anakku diberikan nama, aku pun ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyiapkan sijil kelahiran dan kad MyKidnya. Urusannya nampak mudah tapi semua dokumen berkaitan perlu disediakan terlebih dahulu.
Pada asalnya aku ingin mendaftarkan nama anak pada hari ketujuh, tapi kad nikah kami tidak laku. Kata pegawainya, aku perlu sertakan sijil nikah asal. Kali terakhir aku tengok sijil nikah kami hanyalah sebelum ke China, jadi aku tak pasti di mana ia tersimpan.
Selepas sehari barulah jumpa sijil itu. Urusan kemudiannya cepat saja disiapkan. Aku tabik pada JPN yang cekap membuat kerja. Tidak sampai setengah jam, sijil kelahiran anak kami, SAHAL NAJLA, sudah pun siap. Hanya kad MyKid memerlukan tempoh sebulan untuk siap.
Apabila diteliti sijil kelahiran anak kami, ayah pun tegur kenapa tidak diletakkan tarikh hijriah dalam sijil? Yalah, tak teringat pula aku. Langsung aku segera ke JPN pada keesokan harinya.
"Saya nak ubah sijil ini boleh?"
"Ubah apa?"
"Nak masukkan tarikh Islam"
"Tak boleh!"
"Eh, ayah saya kata boleh.."
"Sekarang dah tak sama macam dulu. Kalau dulu tulis tangan, jadi boleh lah.."
Permintaan aku tak dapat dipenuhi pihak JPN. Katanya mereka menggunakan sistem khas yang membolehkan input dimasukkan pada ruangan yang terhad. Jika sudah dimasukkan tarikh masihi tak boleh masuk tarikh hijriah.
Mereka kata lagi bahawa hanya input Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris saja yang boleh diubah. Sukar juga untuk aku menyanggahnya lagi kerana aku faham sistem pengaturcaraan bukannya boleh diubah begitu saja.
Tapi kan aku tertanya-tanya juga sama ada itu hanya alasan atau hakikat. Jika benar maklumat itu tidak boleh diisi, maka terpaksalah aku menulisnya dengan tangan.
Terkenang aku pada nasib kita di MyKad, ruangan bangsa juga sudah tiada. Mungkin kerana sistem tidak menyediakan ruangan bangsa untuk dipaparkan dalam MyKad.
Sayang sekali apabila setiap bangsa hilang identiti bangsanya sendiri dalam MyKad. Soal bangsa sudah mula jadi isu sensitif sedangkan bangga pada bangsa itu perlu bagiku. Bangga bukan bererti bongkak dan hidung tinggi sehingga memandang rendah bangsa lain.
Allah mengajak kita untuk saling mengenali antara bangsa tetapi jika setiap bangsa mula terhakis nilai bangsanya sendiri, di mana lagi elemen perbezaan bangsa tadi dapat dipelajari.
Apabila kita bangga dengan bangsa kita, pasti kita akan berusaha mengekalkan budaya bangsa. Tengok saja bagaimana majunya bangsa Cina di China.
Perbezaan tidak bererti permusuhan. Kita di Malaysia cukup dicemburui negara asing kerana berbilang bangsa tapi dapat hidup aman damai. Indahnya saat-saat begini.
Aku bangga aku Melayu. Dan kau juga harus bangga kau Cina atau India. Begitu juga jika kau Iban, Kadazan dan sebagainya. Jika diizinkan Allah, ingin saja aku telusuri budaya kalian agar aku lebih memahami siapa kalian.
1 ulasan:
bila permodenan dicedok secara bulat-bulat, asas agama makin terpinggir.takut & malu dikata orang kita ni mundur.nampaknya nilai islam belum diserap sepenuhnya dalam mentadbir negara.anyway tahniah kepada suhail & isteri.cantik nama anak (ehem cantik mcm maknye...bapaknye??hmmm,kena pikir dulu nih (**,)
Catat Ulasan