Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan

17 Ogos 2015

5 perkara aku belajar sewaktu Aidilfitri

Aidilfitri sudah pun berlalu meninggalkan kita. Amalan ziarah menziarahi pun seolah-olah tamat sebab dah tiada kuih raya. Harap tidak begitulah. Kita teruskan berziarah dan terima orang ziarah ya. Syawal lepas, ada 5 perkara yang aku belajar dalam budaya ziarah.

1) "Biar duit sikit, asalkan hidup berkat," pesan Nek Uda.

Hari raya kedua seperti biasa kami ke Kuala Linggi, Melaka. Dapat bertemu orang-orang tua pasti memuaskan hati. Nek Uda asyik dok ulang ayat di atas. Sementara itu, anaknya ceritakan kisah benar orang di situ yang kaya segera dan akhirnya mati 'tak berlagu'.

"Memang dia orang kaya, sarapan pagi pun naik helikopter dari rumah ke jeti."
"Sorang lagi kaya sebab ahli ajaran sesatnya dok banyak sedekah."

Dua-dua mati meninggalkan harta yang entah tak tahu ke mana, anak juga tiada khabar berita dan harta tinggal terbiar. Pesan Nek Uda itu memang biasa masuk ke telinga waktu para ustaz berceramah. Tapi bila ada kisah real begini, ia lebih menusuk jiwa.

06 November 2010

Urusan pendaftaran dah bertukar ke?

Setelah anakku diberikan nama, aku pun ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyiapkan sijil kelahiran dan kad MyKidnya. Urusannya nampak mudah tapi semua dokumen berkaitan perlu disediakan terlebih dahulu.

Pada asalnya aku ingin mendaftarkan nama anak pada hari ketujuh, tapi kad nikah kami tidak laku. Kata pegawainya, aku perlu sertakan sijil nikah asal. Kali terakhir aku tengok sijil nikah kami hanyalah sebelum ke China, jadi aku tak pasti di mana ia tersimpan.

Selepas sehari barulah jumpa sijil itu. Urusan kemudiannya cepat saja disiapkan. Aku tabik pada JPN yang cekap membuat kerja. Tidak sampai setengah jam, sijil kelahiran anak kami, SAHAL NAJLA, sudah pun siap. Hanya kad MyKid memerlukan tempoh sebulan untuk siap.

Apabila diteliti sijil kelahiran anak kami, ayah pun tegur kenapa tidak diletakkan tarikh hijriah dalam sijil? Yalah, tak teringat pula aku. Langsung aku segera ke JPN pada keesokan harinya.




"Saya nak ubah sijil ini boleh?"
"Ubah apa?"
"Nak masukkan tarikh Islam"
"Tak boleh!"
"Eh, ayah saya kata boleh.."
"Sekarang dah tak sama macam dulu. Kalau dulu tulis tangan, jadi boleh lah.."


Permintaan aku tak dapat dipenuhi pihak JPN. Katanya mereka menggunakan sistem khas yang membolehkan input dimasukkan pada ruangan yang terhad. Jika sudah dimasukkan tarikh masihi tak boleh masuk tarikh hijriah.

Mereka kata lagi bahawa hanya input Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris saja yang boleh diubah. Sukar juga untuk aku menyanggahnya lagi kerana aku faham sistem pengaturcaraan bukannya boleh diubah begitu saja.

Tapi kan aku tertanya-tanya juga sama ada itu hanya alasan atau hakikat. Jika benar maklumat itu tidak boleh diisi, maka terpaksalah aku menulisnya dengan tangan.

Terkenang aku pada nasib kita di MyKad, ruangan bangsa juga sudah tiada. Mungkin kerana sistem tidak menyediakan ruangan bangsa untuk dipaparkan dalam MyKad.

Sayang sekali apabila setiap bangsa hilang identiti bangsanya sendiri dalam MyKad. Soal bangsa sudah mula jadi isu sensitif sedangkan bangga pada bangsa itu perlu bagiku. Bangga bukan bererti bongkak dan hidung tinggi sehingga memandang rendah bangsa lain.

Allah mengajak kita untuk saling mengenali antara bangsa tetapi jika setiap bangsa mula terhakis nilai bangsanya sendiri, di mana lagi elemen perbezaan bangsa tadi dapat dipelajari.

Apabila kita bangga dengan bangsa kita, pasti kita akan berusaha mengekalkan budaya bangsa. Tengok saja bagaimana majunya bangsa Cina di China.

Perbezaan tidak bererti permusuhan. Kita di Malaysia cukup dicemburui negara asing kerana berbilang bangsa tapi dapat hidup aman damai. Indahnya saat-saat begini.

Aku bangga aku Melayu. Dan kau juga harus bangga kau Cina atau India. Begitu juga jika kau Iban, Kadazan dan sebagainya. Jika diizinkan Allah, ingin saja aku telusuri budaya kalian agar aku lebih memahami siapa kalian.

19 Ogos 2010

Melayu Champa saudara kita

[Peta ini menunjukkan kerajaan Champa yang kini merupakan negara Vietnam]

Esok jam 6.30 pagi aku akan bertolak ke KLIA untuk menjalani misi bantuan pakaian Aidilfitri kepada masyarakat Islam Kemboja. Tugasku adalah sebagai jurugambar selain menjadi hos untuk video dokumentasi yang bakal dihasilkan.

Jadi, aku membaca maklumat yang harus diketahui sebagai gambaran awal tentang masyarakat Cham. Subhanallah, kerajaan Champa sebenarnya mempunyai pertalian rapat dengan kerajaan Melayu Melaka (kesan: masyarakat mengikut adat budaya Melayu). Islam datang lebih awal kepada mereka tetapi pengaruh Islam tersebar meluas selepas rajanya memeluk Islam pada awal abad ke-16.

Sejarah hidup masyarakat Cham sarat dengan peperangan yang mengakibatkan kematian golongan Melayu-Cham yang ramai khususnya pada zaman rejim Pol Pot yang kejam membunuh ramai ulama di S-21. Tapak sekolah yang dijadikan pusat penyeksaan ini kini dijadikan muzium yang akan aku lawati.



Akibat daripada zaman rejim itu juga mereka mula disisihkan daripada amalan agama dan budaya Melayu. Pol Pot mahukan 1Kemboja macam 1Malaysia yang bermaksud semua harus patuh padanya termasuklah menggunakan bahasa dan nama Kemboja dan tidak bertuhan.

Mufti Kemboja, Sohibus Samahah Okhna Haji Kamarudin Yusof, mendakwa bahawa tulisan Cham yang sebenar adalah berasaskan Jawi dan hampir menyamai Bahasa Melayu. Mufti ini juga jika diizinkan bakal kami temubual.

Kerana itulah kami ke Kemboja menjejaki masyarakat Cham yang kini sangat impikan jatidiri Melayu-Cham dikembangkan semula. Bayangkanlah betapa gembiranya mereka nanti apabila menerima baju Melayu dan baju kurung untuk meraikan Aidilfitri tak lama lagi.

Ingat, kita sama serumpun. Usah fikirkan hanya kita Melayu 1Malaysia Malaysia sedangkan ikatan kita dengan mereka bukan sekadar Melayu tetapi menggenggam ajaran Islam yang sama.

Usah terpedaya dengan dasar pecah dan perintah amalan penjajah yang membuatkan kita bersikap ananiah. Hanya melepaskan keperluan dan kehendak AKU. Bukan KAU. Bukan DIA.

Nota: Istilah 1Kemboja tidak digunapakai pada zaman itu

16 Januari 2009

Melayu ikut perlembagaan Malaysia

[AMARAN: Entri ini untuk Melayu yang mempunyai upaya kewangan dan kudrat akal dan tenaga]

Pepatah Melayu mengatakan, 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.' Itu kalau kita betul-betul Melayu ikut perlembagaan lah agaknya.

Sebab pepatah itu berkaitan hukum persaudaraan dalam Islam. Orang Melayu adalah orang Islam. Jadi seharusnya orang Islam itu sama merasai kesakitan saudara Islamnya yang lain.

Adakah anda betul-betul Melayu apabila anda katakan begini:

(1) Susahlah nak boikot barangan tu, semuanya kita perlukan

(2) Derma untuk Palestin? Mm.. boleh tapi aku tak banyak duit. Lagipun nak guna untuk perkara lain

(3) Apa kau dah gila nak pergi berjihad kat Palestin? Tak berani aku

(4) Eh, kalau kita boikot, ekonomi negara kita pun akan jatuh merudum

(5) Demonstrasi sana sini buat kacau lalulintas saja. Tak bertamadun je aku nampak. Bakar bendera. Bakar patung.

(6) Bukankah berdoa itu senjata paling kuat orang mukmin? Kita berdoa sajalah


Andai kata tindakan anda hanyalah berdoa, anda perlu berfikir sekali lagi. Apakah anda betul-betul Melayu mukmin? Jika tidak, anda sebenarnya TIDAK BUAT APA-APA. Doa hanya akan menjadi senjata kuat jika anda betul-betul berdoa.

Tengok saja sesetengah makmum di masjid mengaminkan doa. Ada yang sambil bercakap. Ada yang sms. Tak kurang yang sambil lewa. Doa mereka inikah yang akan jadi senjata? Cuba fikir, berapa ramai betul-betul berdoa..

Aku percaya orang Melayu mukmin takkan berdoa tanpa tindakan lain

AKAN DATANG: Kumpulan rock buat album khas Palestin

06 November 2008

Apa aku buat


Ini ikan gelek burit. Di sini setiap hari pasti makan ikan. Kalau kita di Malaysia nak makan ikan-ikan laut dalam ini mahal harganya. Di sini setiap kali keluar memancing pasti dapat ikan seperti ini. Besar ikan-ikannya. Siapa pakar tang ikan mesti tahu kita panggil apa ikan ini. Cuba teka..


Kali ini aku mahu cerita tentang kerja aku. Setiap hari pada jam 8.30 - 10.30 pagi aku ditugaskan mengajar orang tua membaca al-Quran. Macam pernah aku ceritakan pada entri lepas.

Jarak rumah tempat aku menginap ke markaz tempat aku mengajar ialah 600 meter. Setiap hari aku pasti berjalan kaki ulang alik 3 kali. Sekalipun aku makan banyak, aku rasa rutin ini dapat mengekalkan bentuk fizikal badan aku.Hehe.


Aku punya 7 anak murid dan 2 saja yang boleh membaca dan menulis. Ini gambar aku sedang mendengar bacaan Iqra' Nek Azrin. Bacaannya semakin lancar. Walaupun buta huruf, kebanyakan mereka kini dah mula mengenali huruf-huruf dengan baik. Cuma sebutan masih belum lancar.

Di sini nama panggilan berlainan dengan nama sebenar. Nek Azrin contohnya. Azrin itu nama cucunya. Jadi sesiapa yang sudah ada cucu, dipanggil dengan nama Nek kepada nama cucunya. Kalau hanya ada anak belum bercucu, dipanggil Pak kepada nama anaknya. Contoh: Pak Azrin. Begitu juga dengan maknya.

Jadi, di sini aku tak tahu nama sebenar mereka. Memang panggilannya kena begitu. Cuma sesiapa yang belum berkahwin saja dipanggil namanya yang betul. Bila dia kahwin nanti, namanya dipanggil Pak [nama anaknya] pula.

Nama anak/cucu yang dikaitkan itu mestilah nama anak sulong. Itu saja. Mudah kan? Tapi itu yang membuatkan aku sangat susah nak ingat nama mereka. Sebabnya sini tiada panggilan datuk.

Nek Azrin tadi adalah panggilan bagi datuk kepada Azrin dan nenek kepada Azrin. Ini yang aku keliru. Terutamanya bila orang sini berbual-bual mengenai seseorang.



Selepas sesi pagi berakhir, aku lanjutkan pengajaran Fardhu Ain pada jam 1.30 petang hingga 3.30 petang. Walaupun aku pegang rotan dan dibenarkan merotan, aku masih tak mahu merotan. Sebabnya aku tak reti buat macam itu sekalipun kepada budak-budak. Cukuplah aku menaikkan suara saja.


Pada malam hari, bermula jam 6.30 malam hingga 7.30 malam, aku mengajar tajwid kepada anak-anak. Jumlah mereka seramai 8 orang. Mereka mudah faham dan ingat. Seminggu ini aku dah ajar 4 hukum tajwid. Yang paling seronok, bila aku soal, berlumba-lumba mereka angkat tangan nak menjawab.

Selesai isyak, aku luangkan setengah jam mengajar bapak-bapak pula makhraj huruf dan tajwid. Sesi ini banyak ketawa. Maklumlah orang tua dah ramai tiada gigi. Jadi, bila diminta sebut betul-betul, lidahnya tergeliat lah.

Inilah rutin harian aku. Cuma hari Sabtu dan Ahad saja yang tiada kelas petang. Untuk aku berehat. Tapi, ada ura-ura mereka nak beri aku cuti 3 hari untuk bercuti dengan mereka di satu pulau. Tengoklah nanti.

10 Ogos 2008

Apa tujuan merdeka?

Dalam kekecohan ramai berkenaan bendera terbalik, aku bawakan kalian ke 16 Disember 1949 sewaktu sidang Parlimen pertama tokoh revolusi Indonesia, Soekarno menjadi Presiden.

Rata-rata setuju bahawa kehebatan tokoh ini membuatkannya menjadi idola kebanyakan pemimpin tanahair kita yang tercinta, Malaysia. Maka, golongan kiri yang juga mengaguminya seharusnya meneliti kata-katanya ini.


"..bahawa kemerdekaan nasional bukanlah tujuan terakhir bagi kita. Bagi kita, Indonesia merdeka tak bukan dan tak lebih hanyalah syarat untuk mencapai kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dalam arti jasmani mahupun rohani.

Kemakmuran rakyat dan kesejahteraan rakyat adalah tujuan kita bersama. Idealisme itu memang berguna. Ajukanlah idealisme tuan itu dalam hal mencapai kemakmuran dan kesejahteraan rakyat supaya idealisme tuan itu menjadi pendorong kepada pemerintah dalam bekerja dan berusaha.

Tetapi agar idealisme itu dapat dikerjakan hendaklah ia diajukan dengan melihat kepada realiti yang kita hadapi sekarang dengan mempertimbangkan bukti-bukti yang nyata...

Oleh kerana itu, maka lebih jelaslah lagi betapa pentingnya adanya keamanan dan ketenteraman di seluruh Indonesia.."




Mengenai rasa kecewa dengan kepemimpinan negara melalui cara menterbalikkan bendera, adalah amat sesuai kita hayati maksud tersirat dalam filem 'The Last Castle' ini..


Sewaktu mereka merancang menawan penjara dan memohon bantuan luar


Sekalipun mereka kecewa dengan kezaliman pemimpin, kesetiaan kepada negara masih dipertahankan

08 Ogos 2008

Mengapa perlu diterbalikkan?

Protes. Marah. Bantah. Tentang.

TERBALIK. Kenapa perlu terbalikkan bendera Malaysia? Oh, tanda protes. Aku baru tahu ada kempen sebegitu. Malie beritahu. Langsung aku browse laman orang lain kalau-kalau ada yang berbuat begitu. Hasilnya..

http://www.suaradu.com/
http://ajlaaizwan.blogspot.com/
http://kickdefella.wordpress.com/
http://harismibrahim.wordpress.com
http://zorro-zorro-unmasked.blogspot.com

Aku kurang setuju perbuatan menterbalikkan bendera. Aku rasa tindakan sorang ni lebih rasional kalau benar marah kepada pemimpin negara..

http://www.perisik-rakyat.com/

Dan aku sokong juga pendapat dia ni http://www.bmahendran.com/?p=457

Maaflah, aku merasakan masyarakat Malaysia kini kurang bersikap nasionalis. Bendera tu bukan lambang pemimpin. Itu adalah lambang kedaulatan negara. Kemerdekaan yang diusahakan pemimpin terdahulu membuatkan kita berada dalam keamanan sekarang.

Nak pergi solat Jumaat jap, lepas ni aku sambung...

[sambungan]

Setelah membaca komen saudara Izwan, aku melayari youtube mencari '10 tahun sebelum merdeka'. Ada 4 klip semuanya. Bukan sekadar itu, aku juga melayari satu lagi klip lain..

http://www.youtube.com/watch?v=97_e0Kdeg2w

Begini pandangan aku. Dalam mencapai kemerdekaan, memegang tampuk kepimpinan negara sendiri, British adalah halangan terbesar. Maka, 3 pendekatan dan kemungkinan boleh kita jangkakan iaitu:

1) Jika pemimpin Melayu bersetuju habis dengan segala cadangan British, tiada gunanya minta merdeka. Pendek kata jadi Pak Turut. Hasilnya nanti kita masih terjajah.

2) Jika pemimpin Melayu menolak habis-habisan dan menentang British, pastinya kemerdekaan tak mungkin tercapai.

3) Jika pemimpin Melayu berkompromi dan bertolak ansur dengan British, kemerdekaan boleh dicapai.

Pilihan ketiga nampaknya menjadi. Dan kemerdekaan itu pun berlaku. Namun dalam acuan British serba sedikit. Kini, British tiada lagi dan seharusnya pemimpin-pemimpin sekarang membuat acuannya sendiri.

Malangnya, pelbagai isu mula timbul akibat kaum-kaum lain mencabar ketuanan Melayu. Perlembagaan sedia ada (acuan Barat pada asalnya) seharusnya ditafsir dengan hati-hati, bukan dengan memberi kebebasan sepenuhnya oleh sesiapapun mentafsirkannya.

Walaubagaimanapun, setidak-tidaknya kita patut berterima kasih kepada Ahmad Ibrahim yang menyebabkan Artikel 121(1A) dimasukkan dalam Perlembagaan kita bagi menjaga ketuanan Melayu. Ingat, Melayu sewajibnya Muslim mengikut perlembagaan. Inilah acuan yang sebenar kita inginkan.

Pada fikiran aku, pendekatan Dato' Onn dulu apabila membuka ruang kepada bukan Melayu memasuki UMNO adalah langkah positif mengelakkan semua ini berlaku. Namun, idea dia ditentang dan dia meletakkan jawatan seterusnya kalah dalam parti barunya.

UMNO mula memasukkan MCA dan MIC ke dalam Perikatan bagi mendapatkan kerjasama kaum-kaum lain. Ini dirasakan dapat menyatukan kaum di Malaysia walaupun dengan kewujudan parti-parti begini sendirinya adalah satu bentuk perpecahan.

Idea Dato' Onn itu kan hampir serupa dengan idea yang pernah dibawa PKMM apabila Tan Cheng Lock bersetuju menerima cadangan Perlembagaan Rakyat yang mengusulkan bahawa semua kaum di Tanah Melayu sebagai Melayu.

Kelemahan pemimpin yang kurang tegas dalam mempertahankan ketuanan Melayu membuatkan hak-hak Melayu menjadi isu untuk dihapuskan oleh bukan Melayu. Mengapa bukan Melayu membincangkan isu kita sedangkan isu mereka tidak pula kita bongkarkan?

Kesilapan yang berlaku sekarang, hendak atau tidak, kita harus akui bahawa kita ketandusan pemimpin berwibawa dalam berjuang untuk memartabatkan hak istimewa kita.

Dulu kita boleh tolak ansur dengan British kerana kuasa di tangan mereka. Kini, kita masih mahu tolak ansur dengan 'mereka' walaupun kuasa sudah di tangan kita. Ya, mungkin tak salah bertolak ansur tapi tidaklah sampai menggadaikan hak kita.

Jadi, salahnya bukan pada negara yang dicintai ini. Hargailah Mohamed Hamzah yang bersusah payah mencipta bendera kita dengan gubahan idea Dato' Onn yang tersirat di dalamnya kewibawaan negara yang tidak mengharuskan perpecahan.

Kita tegurlah pemimpin-pemimpin ini mengikut cara yang kita rasakan sesuai. Biar pelbagai. Yang penting mesej kita sampai. Dan mungkin cara menterbalikkan bendera bertujuan begini. Silakan jika anda rasa itu sesuai. Aku tidak rasakan begitu.

Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.


16 Januari 2008

Berhati-hati


Cuba korang tengok pada baju mamat ni. Dah nampak belum? Satu kata-kata yang bagus tertera di belakang bajunya. Cuma ada sesuatu yang mencurigakan.

Aku tertanya-tanya adakah dia ini orang Melayu? Apabila aku sebut Melayu, ia sewajibnya seorang Muslim. Aku cukup tak setuju dengan kewujudan Melayu Kristian dan sebagainya. Maaf, aku tak mahu bicara panjang hal ini.

Dengan kesempatan yang ada, aku bertanya mamat ni.

"Abang, tumpang tanya sikit"
"Gapo dio?"

"Siapa Samuel yang tertulis kat belakang baju ni?"
"Entoh, tok tahu"

"Abang tak kenal Samuel tu sape?"
"Kawe pake baju ni tok tahu apo"

"Kalau tak silap saya, ini dari kitab Bible, puak Kristian"
"Iyo?"

Dalam keadaan sedikit tercengang, dia pergi meninggalkan aku selepas menghantar makanan yang dipesan. Sekali sekala aku nampak ditarik-tarik baju yang dipakainya. Dia kelihatan seperti bingung.

Hati aku terdetik untuk menegur kerana aku rasa bersalah kalau aku tak betulkan. Yalah, mana tahu dia tak tahu apa yang dipakainya. Memang pun dia begitu.

MAN LOOKS ON THE OUTSIDE BUT GOD LOOKS AT THE HEART (Samuel 16:7)

Mesej yang disampaikan baik dan benar. Namun, kita seorang Muslim punya rujukan kuat yang telah menyempurnakan kata-kata itu iaitu al-Quran dan al-Hadis. Tuhan yang dimaksudkan dalam Samuel berbeza dengan Tuhan kita. Konsep jelas bercanggah.

Tugas kita untuk menegur dan berdakwah ni bukan apabila kita diberi jawatan untuk kerja itu, tapi ia adalah tanggungjawab setiap individu bergelar Muslim.

Cuma, bezanya ialah kekuatan kita pada waktu itu. Kalau berupaya, gunakanlah kuasa yang ada, atau lidah atau setidak-tidaknya dalam hati untuk menjalankan tanggungjawab itu.

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim)

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular