Memaparkan catatan dengan label dakwah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dakwah. Papar semua catatan

08 Ogos 2011

Andai Nabi bersama kita

Andainya Nabi tercinta bersama kita
Yang dekat dan jauh akan datang menghampirinya


Berharap menyaksikan cahaya mentari sebelum ia terbenam
Menginginkan hampir dengannya sallalahu ‘alaihi wassalam

Tatkala bersama hati terasa indah
Yang dipinta padaNya tentu dianugerah
Cahaya Tahaa takkan pernah punah
Temukan kami dengannya wahai Tuhan tempat berserah

Aku sanggup berkorban demimu wahai Rasul tercinta
Muhammad pedagang yang mulia


Menghampirimu jiwa kan tenang siang dan malam
Wahai pembawa rahmat sekalian alam

-----
Rancangan لو كان بيننا (Andai Nabi bersama kita) cukup terkesan di hati sesiapa yang menyaksikannya. Setahun lalu aku menyaksikannya melalui laman youtube. Memang benar hati ini sangat tersentuh apabila membayangkan kewujudan Nabi bersama kita dalam kehidupan hari ini.

Allahu Akbar. TV Al-Hijrah sekarang sudah memaparkan rancangan ini kepada khalayak umum. Alangkah indahnya menonton segmen demi segmen yang ditayangkan. Setiap soalan yang diajukan kepada responden bagaikan sukar untuk aku jawab. Sejauh mana cintaku kepada Nabi s.a.w.

Sajak yang aku nukilkan di atas adalah terjemahan kepada lagu tema rancangan ini dengan sedikit olahan. Semoga Allah curahkan rahmatnya ke atas kita supaya kasih dan sayang kita kepada Nabi s.a.w. memberi kesan dalam hidup kita di dunia ini.

26 Ogos 2010

Berdakwah kerana nama


Sewaktu aku berkira-kira untuk melepaskan jawatan peguam yang dipegang selama seminggu pada bulan Mei lepas, banyak pesanan yang disampaikan bos kepada aku.

"Saya rasa perlu berikan masa muda yang penuh tenaga ini untuk kerja dakwah demi Islam"
"Baguslah begitu tapi saya risaukan sesuatu.."

Bos aku amat risaukan satu perkara. Dia bimbang kalau-kalau aku salah buat keputusan demi kepentingan diri. Bukan kepentingan umat Islam.

Bukan mudah untuk asingkan kepentingan diri dan kepentingan umat apabila kita bergelumang dalam dunia kesukarelawanan ini. Katanya juga kalau salah niat, gerakan yang cuba dibentuk untuk umat sukar mendatangkan kesan baik dalam diri penggerak lain dan umat.

Satu perkara itu ialah 'Haibah'. Kehebatan diri. Melakukan kerja amal untuk nama. Agar nama dikenali ramai. Agar orang kenal siapa SUHAIL.

Jika itulah matlamat dalam perjuangan aku, aku pasti KALAH. Dalam tak sedar, aku boleh terperangkap. Asyik berkata tentang diri sendiri dan sebagainya. Hinggakan pada satu tahap aku seronok memimpin dan tak mahu mengalah dengan individu atau organisasi lain.

Pendek kata, pantang kalah dengan apa yang orang lain buat. Bahkan jika diajak bekerjasama, dirasakan tidak perlu kerana aku sendiri boleh buat. Macam-macam lagilah andaian 'bahaya' yang boleh menimpa aku dinyatakan oleh bos.

Kini aku telah membuat keputusan dan aku dapati hal ini ada benarnya jika tidak berhati-hati. Aku mohon dengan sangat agar Allah muliakan aku di sisiNya bukan dengan cara manusia yang memuliakan aku melainkan aku dikurniakan Allah kekuatan menahan pujian dan bangga diri.

Aku mohon saudara, sahabat, teman dan kenalan selalulah berikan kata nasihat dan teguran juga tunjuk ajar dalam aku mengharungi liku-liku hidup untuk menjadi pejuang di jalanNya.

25 April 2010

Minta guru ajarkan kita

"Hidup ini adalah satu proses kematangan yang natural"

Inilah kata-kata yang sering aku ungkapkan. Bukan daripada buku atau sesiapa. Hanya rumusan daripada pengalaman perjalanan hidup yang pernah aku lalui.

Dinamakan proses kematangan kerana pasti sebelum kita benar-benar matang, kita banyak buat silap. Bukan sekali tapi berkali-kali dan makan masa. Kesilapan lepas bukanlah perkara memalukan. Ia sekadar sejarah yang mencorakkan kita hari ini.

Cuba kita perhatikan kisah hidup kita selama ini. Pasti kita dapati betapa nikmatnya kesilapan lalu. Begitu juga kejayaan. Semua ini yang membentuk jatidiri kita.


Cuba kita renung lebih dalam. Kita sedar atau tidak proses ini adalah kehendak Allah? Ya, renungilah dengan baik setiap perkara yang berlaku dalam hidup ini. Pasti kita dapati peristiwa yang berlaku adalah 'matapelajaran bernyawa' (living lessons) untuk mengajar kita.

Itulah yang aku rasakan. Biar aku kongsi sedikit apa berlaku kepada diriku baru-baru ini:

1- Jika anda baca entri sebelum ini, ini adalah sambungan rentetan peristiwa Jumaat, Sabtu dan Ahad.

2- Pada khutbah Jumaat, aku disedarkan khatib tentang kejayaan sebenar. Hanya orang beriman sahaja yang boleh berjaya. Noktah. [kupasan ayat pertama surah Al-Mukminun]

3- Fajar Sabtu, aku mengikut mertua ke surau Villa Bestari. Kagum dengan ramainya jemaah Subuh. Ditekankan dalam kuliah Subuh tentang kepentingan solat berjemaah khususnya Subuh & Isyak. [juga merupakan ciri kejayaan yang diterangkan dalam surah Al-Mukminun]

4- Fajar Ahad, aku mengikuti perkongsian kuliah Subuh oleh sahabat setaman. Diterangkan soal konsentrasi dalam solat yang akan memudahkan segala urusan dalam hidup. Rasa betapa dekatnya Allah dalam diri. [pengkuliah baru mengikuti latihan solat khusyuk oleh Abu Sangkan]

5- Pagi Ahad hingga ke petang, aku hadiri 'Seminar Kenali Potensi Diri' oleh Dr Azizan Osman. Subhanallah, makin terasa kehebatan Allah. Instinct aku merasakan Dr Azizan mempunyai hubungan luarbiasa dengan Allah, cuma dia tak pamerkan seperti gaya seorang ustaz. Dia banyak ilmu khususnya dalam bidang metafizik. Bukankah metafizik itu juga bahagian spiritual? Keyakinan kepada kuasa Allah kun fayakun ditanamkan kepada peserta secara tak sedar menggunakan aplikasi ilmu alpha mind.

Wahai sahabat, nampakkah kalian matapelajaran yang sedang aku ambil daripadaNya? Aku memang sedang belajar untuk yakin. Aku juga minta untuk berjaya. Aku minta selalu daripadaNya. Maka, DIA ajar aku melalui peristiwa-peristiwa ini.

Ada yang kata kebetulan tapi istilah itu tiada dalam hidup aku. Setiap yang berlaku ada maksudnya. Kita mungkin tak sedar dalam sedar. Jadi, kalian pasti faham bagaimana perasaanku sekarang.

Mintalah sahabat.. Mintalah! Mintalah matapelajaran apa yang kita mahukan. DIAlah guru paling hebat.

p/s: Tiada guru yang boleh kita taksub melainkan Maha Guru Yang Maha Mengetahui

02 Mac 2010

Tak sangka Nasrullah datang



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Lama aku tak dapat layari blogger.com sejak berada di China. Sesekali saja dapat kemaskini blog melalui emel. Tapi tak memuaskan hati.

Entri kali ini sekadar ingin berkongsi kisah Nasrullah (bantuan Allah). Nasrullah pasti akan datang kepada kita bila kita meminta kepadaNya dengan sebenar-benarnya. Itulah pesan mentor aku.

Katanya lagi jangan sesekali buruk sangka pada Allah. DIA adalah seperti yang kita sangkakan. Kalau kita sangka dia tak akan bagi Nasrullah, begitulah nasib kita. Kalau bersangka baik selalu, Nasrullah juga selalu datang.

Dua tiga hari lepas aku kehilangan dompet. Bayangkanlah apabila berada di negara asing, ia pasti membimbangkan bila kita kehilangan dokumen penting seperti IC dan kad ATM.

Ya Rabbi, aku jadi bimbang sangat. Aku teringat pesan mentorku tadi. Maka aku panjatkan doa agar DIA kembalikan dompet aku. Aku yakin akan aku dapat dompet itu. Tapi pencarianku di dalam rumah menemui jalan buntu.

Sesekali aku berasa putus asa. Ia mungkin jatuh di luar kawasan rumah dan pasti (pada sangkaanku) sudah diambil orang atau dibuang. Aku cuba lawan. Itu pastinya bisikan syaitan. Aku teruskan pengharapan agar Allah kembalikan dompet itu. Ya, bukan mudah.

Malam kelmarin aku tergerak untuk ke Restoran Nur Bostan. Sebaik sampai, bosnya tanya pada aku ada tak sesiapa rakyat Malaysia kehilangan dompet. Terus aku kata, akulah orangnya. Dia pun terangkan lagi barang-barang yang ada dalam dompet itu. Makin yakinlah aku.

Dan memang benar, Nasrullah datang tanpa disangka. Siapa yang gerakkan hati aku untuk ke situ malam itu? Siapa yang gerakkan hati jejaka Xinjiang itu untuk menyimpan dompet itu? Apakah terjangkau dek akal kita akan Nasrullah?

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman: “bilakah datangnya pertolongan Allah?”. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Al- Baqarah 2:214).

25 November 2009

Hilangnya sebutir mutiara

Dalam kesibukan aku mengikuti pelbagai program dan aktiviti, aku dikejutkan dengan berita pemergian datuk saudaraku yang paling aku rapat. Seorang pejuang Islam yang sangat aktif sejak mudanya bersama-sama Anwar Ibrahim dan Dr Sidek Baba hingga menginfaqkan tanahnya untuk didirikan Taski ABIM pertama di Malaysia. Setiap kali aku pulang ke kampung di Melaka, pasti dia adalah kunjungan wajibku kerana di situlah pesan dan nasihat dakwah diberikan bagi memberi kekuatan ruh dalam diri.

Malam tadi datukku telah pergi selamanya. Aku terpaksa tinggalkan segala program dan aktiviti. Aku perlu bergegas ke Melaka. Ya Allah, tempatkan Ibrahim bin Baba di syurgaMu. Moga Kau berikan aku kekuatan dan semangat sepertimana dia dan pejuang-pejuang Islam yang lain.

16 November 2009

Fikirkan orang lain untuk lebih senang



Setuju tak jika aku cakap banyak masalah boleh diselesaikan kalau selalu fikirkan tentang orang lain?

Cuba perhatikan betul-betul. Kita akan jumpa pengajaran yang tersimpan dalam peristiwa yang berlaku sehari-hari. Dari pemerhatian itulah aku membuat kesimpulan tadi. Tambahan pula pengalaman aku di China dapat mengukuhkan lagi kesimpulan itu.

Di Guangzhou, sikap pentingkan diri sendiri menyebabkan orang Malaysia mungkin tak selesa. Bayangkanlah anda sedang memandu, kenderaan sedang berbaris menuju laluan di hadapan. Tiba-tiba kereta di depan anda tak bergerak sedangkan laluan sudah lengang. Anda pun cuba memotong. Setelah dipintas, anda dapati pemandu tadi sedang menelefon. Dia boleh berhenti begitu saja tanpa fikirkan pemandu lain di belakang.

Banyak lagi contoh lain yang menyakitkan hati apabila kejadian pentingkan diri sendiri menjadi amalan kebanyakan masyarakat China di Guangzhou.

Pernah terjadi satu kejadian di pejabat aku bekerja. Aku percaya perkara sama juga berlaku di kebanyakan tempat lain.

"Ishh, itu kan common sense. Lepas buang air, tariklah flush.. takkan yang tu pun nak diajar"

Geram betul kawan aku pada orang yang tak bertanggungjawab itu. Ya, isunya common sense. Aku jawab itu common bagi kita tapi tak bagi dia. Itu pasal dia perlu diajar berbuat demikian.

Apakah dia tak pernah diajar sejak kecil untuk tarik flush? Aku rasa dia sudah diajar tapi dia pentingkan diri sendiri. Dah puas lepaskan apa patut, cukuplah.

Aku tahu pembaca lain boleh senaraikan lebih banyak contoh masalah-masalah hasil pentingkan diri sendiri. Perkara ini nampak kecil, sebab itu ramai dakwa ia common sense. Tapi akhir-akhir ini rakyat Malaysia juga nampak mula hilang common sense.

Maaf aku kata begini. Sebabnya itu mungkin tanggapan orang luar yang datang sesekali ke Malaysia. Orang Islam mungkin didakwa pengotor oleh mereka jika mereka singgah di surau-surau atau masjid. Tandas tersedia banyak yang terabai kebersihannya.

Seperti orang macam aku yang mendakwa orang China (khususnya Guangzhou) itu pengotor sebab banyak tempat di kaki lima yang berbau hancing. Tandas lagi lah teruk.

Memang tak adil untuk hukum semudah itu tapi semua ini adalah cerminan sikap kita. Untuk menjadi lebih beradab, fikirkanlah tentang orang lain. Fikirkan akibat daripada perbuatan kita . Dengan cara inilah kita akan bertambah senang. Begitu juga orang lain. Patutlah ada hadis begini..


Sayangilah saudara kamu seperti mana kamu menyayangi dirimu sendiri.
(Riwayat Bukhari)

10 November 2009

Jom perelokkan adab

Maaf kerana tak dapat kemaskini blog sebab sibuk siapkan Kempen 1 Bulan 1 Adab ini. Esok insyaAllah akan aku lancarkan melalui blog GPTD.

Korang pun perasan kan betapa semakin rendahnya adab di kalangan masyarakat. Entah-entah kita juga termasuk sama dalam golongan orang yang kurang adab atau biadab.

Tengok saja Piala Malaysia baru-baru ini, perbuatan baling botol dan bakar kerusi umpamanya, adalah satu contoh negatif membuktikan hilangnya adab menonton perlawanan. Sudah adat berlawan, ada menang dan ada kalah. Apakah ini tak boleh diterima?

Patutlah pernah suatu ketika dahulu, sewaktu aku ikuti pengajian pondok di Terengganu selama 2 bulan, sekolah telah mengharamkan permainan bolasepak. Bagi aku tak rasional. Tapi bagi guru-gurunya ia adalah rasional.

Sebabnya pemain-pemainnya dulu sangat kasar. Pasti ada kecederaan teruk hingga patah kaki menjadi fenomena biasa. Maka, apabila ini tak dapat dikawal, terpaksalah diharamkan saja permainan itu.

Takkan Piala Malaysia nak diharamkan kalau melibatkan negeri Kelantan? Maaf, aku bukan asabiyyah kenegerian.

Kita tinggalkan sekejap isu itu. Aku di sini nak ajak para pembaca blog untuk sertai Kempen 1 Bulan 1 Adab. Kempen ini akan dilancarkan esok iaitu 11.11.2009. Kempen ini nak tunjukkan bahawa banyak lagi adab kesopanan ketimuran kita yang sudah diabaikan. Maka, menjadi kewajipan kita untuk kembalikan adab yang dijulang tinggi dulu.

Untuk elakkan sampai terjadi tragedi di stadium kelmarin, aku fikir perubahan kepada perkara mudah perlu dibuat. Contohnya, kita ucap terima kasih. Biasakan diri ucap terima kasih walaupun kepada emak yang hulurkan pinggan nasi kepada kita. Atau kepada pelayan kedai yang bawakan segelas air untuk kita. Atau rakan yang menumpangkan kita naik keretanya.

Banyak lagi akan diperkenalkan. Untuk permulaan, marilah tonton teaser video ini untuk memberi kesedaran kepada diri kita sebelum kita menyebarkan kesedaran ini kepada umum.



Sila layari blog GPTD tau! Jom sertai kempen 1 Bulan 1 Adab!

02 Oktober 2009

Nyonya minta doa pada Allah



Setelah berhari raya, inilah masa untuk aku meraikan pula dia yang aku sering ceritakan dalam entri-entri di China.

Dia yang bernama Thien Fuimein adalah seorang muallaf yang diberikan hidayah oleh Allah kepadanya dan diberikan kesempatan kepada aku dan rakan-rakan Melayu lain untuk membimbingnya.

Atas pelbagai urusan, aku dengan bantuan beberapa rakan, membawanya ke serata tempat. Penghujung urusan rasminya, dia luahkan hasrat untuk bercuti di Melaka.

Gambar di atas diambil di hadapan Masjid Kampung Hulu yang dibina sejak 1720 lagi. Masjid yang terkenal dengan karamah doa dimakbulkan Allah walaupun doa diminta oleh bukan Islam itu adalah sesuatu yang menarik perhatian.

"Encik, boleh saya masuk bagi sedekah?"
"Sedekah? Saya tak tahu.. cuba masuk dulu"

"Encik, saya mahu bagi RM2 ini untuk masjid"

Lantas seorang Muslim yang duduk-duduk di luar masjid mengambil duit tadi dan dimasukkan ke dalam tabung.

Terima kasih. Itulah ucapan yang diulangi nyonya itu dan terus menuju keluar sambil menjinjing dua beg plastik berisi barangan yang baru dibelinya.

Aku meluru ke arahnya dan memulakan perbualan.

Aku : Nyonya buat apa tadi?
Dia : Bagi sedekah, nak..
Aku : Untuk apa nyonya sedekah?
Dia : Mahu kasi baik semuanya. Saya ada lembu. Ada anak. Ada rumah. Semua mahu kasi selamat.
Aku : Nyonya mahu minta sama siapa?
Dia : Sama Tuhan. Kita punya Tuhan sama. Satu Tuhan saja.
Aku : Oh, Allah.. nyonya minta sama Allah mesti nyonya dapat punya.
Dia : Yalah, yang penting nanti akhirat hidup kita senang.
Aku : Nyonya ini orang Melaka Cina Baba ya?
Dia : Ya.. saya duduk Rumbia sana. Ini saya datang naik bas beli barang. Habis tu, saya tengok-tengok duit sudah cukup naik bas mahu balik. Lebih ada lagi RM2 saya bagi sama masjid.
Aku : Baikla nyonya..jalan baik-baik ya. Nanti Allah kasi selamat.
Dia : Ya, nak.. terima kasih.

27 September 2009

Restoran Han Kook Kwan


Semalam aku diundang ke restoran makanan Korea. Encik Lee, kenalan aku sewaktu bertandang di Korea pada bulan Julai lalu kini berada di Kuala Lumpur.

Dia yang merupakan pelajar Masters jurusan linguistik Melayu bekerja secara separuh masa di Han Kook Kwan sebagai pengurus promosi. Restoran ini terletak di Tingkat 4 Menara Etiqa berhampiran KLCC.

Seperti dalam entri aku terdahulu, aku pernah ceritakan betapa ramahnya Encik Lee. Dia sangat suka ketawa dan bersoal jawab. Apabila diceritakan tentang sesuatu berkenaan Islam, dia pasti tertarik untuk mengetahui lebih lanjut.

Kami memesan makanan Korea seperti yang pernah kami makan dulu. Sememangnya sangat kenyang. Tapi dalam banyak-banyak makanan yang disaji, minuman penutup sajian paling aku gemari.


Air yang dibuat daripada rebusan kulit kayu manis dicampurkan dengan gula dan disimpan dingin sebelum disajikan ini kata isteri Encik Lee mudah saja untuk disediakan. Rasanya sungguh enak.

Setiap kali kita berbual bersama sesiapa saja khususnya masyarakat bukan Islam, aku selalu berpesan untuk cuba selitkan unsur Islam ke dalam diri mereka. Bukankah itu sudah menjadi tanggungjawab kita untuk berikan mereka faham tentang Islam yang sering disalahfaham.

Apatah lagi zaman kini Islam dilabel sebagai agama pengganas. Kita seharusnya tunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mudah dan menyeru kepada keamanan dan kesejahteraan. Konsep ketuhanan yang kita imani boleh disampaikan kepada mereka agar setidak-tidaknya mereka faham agama anutan kita.


Inilah Encik Lee bergambar bersama aku dan Hakim, sukarelawan GPTD yang berkesempatan mengikuti Kembara Dokumentasi Korea pada Julai 2009. Semoga perhubungan kami akan berterusan kukuh atas tali persaudaraan sedarah sedaging nabi Adam.

26 September 2009

Aku masuk JELITA keluaran Okt 2009





Kepada semua pembaca blog yang budiman, kali ini aku cadangkan kalian beli majalah JELITA keluaran Oktober 2009. Itu pun jika kalian ingin tahu lebih lanjut tentang aktiviti dakwah yang aku sertai selama ini.

Di kesempatan ini jutaan terima kasih diucapkan kepada Kusyi Hirdan, wartawan yang menemubual aku untuk ruangan Prihatin di mukasurat 200.

16 September 2009

Mari cipta perniagaan yang menguntungkan


Setelah menjelajah beberapa kampus berkongsi pengalaman, aku dapati tidak ramai generasi muda berminat tentang kerja sukarelawan atau dakwah. Mungkin kerana kurang hebahan atau memang hakikat zaman kini, budaya senang dan selesa itu lebih mendasari hidup generasi muda. Allahua'lam.

Dalam pada itu, tahniah aku ucapkan kepada semua yang terlibat. Bukan bermakna kita hebat. Tapi kerana kita terpilih oleh Allah untuk berada di jalan ini. Walaupun kuantiti tidak seberapa, diharapkan kualiti terjana.

Di kesempatan yang ada, sempat juga aku berbincang soal masa depan generasi pelapis. Termasuk kelangsungan gerakan dakwah oleh GPTD kerana wujudnya suara sumbang yang membingitkan telinga.

Aku sangat berharap agar penyumbang suara itu dapat kerap turun ke kampus juga agar melihat realiti generasi harapan kita. Mereka tak ramai. GPTD tawarkan alternatif. Yang lain juga punya cara tersendiri. Alangkah baiknya setiap kita yang berdakwah ini mempunyai grup sasaran berbeza. Agar tak ramai itu akhirnya membentuk kelompok yang mengarah ke tujuan yang sama.

Biarlah kita sediakan menu pelbagai. Ada laksa. Ada mee goreng. Ada nasi ayam. Ada bakso. Dan lain-lain. Sebabnya kalau hanya ada laksa, tak mungkin semua orang berminat makan laksa. Maka, rugilah perniagaan kita. Yang penting ialah kita fikirkan bagaimana perniagaan kita boleh untung dan terus untung.

09 September 2009

Malaysia tanah airku


Alhamdulillah, aku selamat tiba di tanah airku pada 6.45 petang semalam. Sebaik tiba, aku terus ke Putrajaya dan disambut oleh Hammad yang belanja makan di Restoran Saba, Cyberjaya. Tak lama kemudian, Malie dan isterinya, Farah juga anaknya Aryan Ghazi bersama-sama menikmati juadah hidangan Timur Tengah.

Berikut adalah jadual yang telah diaturkan untuk aku sepanjang berada di Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Kedah pada 14 September ini. Ruang yang ada selepas iftar nanti akan dimanfaatkan dengan perkongsian pengalaman bersama adik-adik IPT. Masyarakat awam juga dijemput sama.

9 Sept - UIAM, Gombak
10 Sept - Kolej Lagenda, Nilai
11 Sept - UNISEL, Batang Berjuntai

08 September 2009

Siri Ramadhan China: Berlepas ke Malaysia


Kelmarin aku dan rakan-rakan pelajar Jinan ke Baiyun Orient Hospital. Terletak agak jauh dari bandar tempat kami bermukim.

Kami menziarahi ADUN Gua Musang, Che Hashim Sulaima, 45, yang menghidap penyakit barah paru-paru. Seorang yang sangat rendah diri ini mengenali salah seorang pelajar Jinan.

Apa yang menarik, di tingkat 4 hospital itu, kami terasa seperti di Malaysia. Semua pesakit adalah warga Malaysia.

Hospital ini terkenal dengan kepakarannya merawat sebarang jenis barah menggunakan kaedah yang tiada di Malaysia kerana berisiko tinggi. Antara lain kaedah Stem Cell dari janin yang digugurkan (akibat polisi 1 anak di China) digunakan selain kimoterapi.

Alhamdulillah, YB sendiri sudah beransur pulih dan dijangka pulang untuk berhari raya sebelum kembali ke sini menjalani rawatan susulan.

***


Semalam adalah hari terakhir aku berbuka puasa di China. Aku rasa sedih untuk tinggalkan China kerana Ramadhan di sini telah mengeratkan hubungan silaturrahim aku dengan Muslim China. Selepas ini, mungkin sukar untuk bertemu dengan mereka lagi.

Dan semalam juga, aku cukup seronok kerana pengislaman dia, rakanku itu telah direkodkan secara rasmi melalui Persatuan Muslim Guangzhou. Kepayahan untuk mendapatkan pengesahan persatuan itu sangat berbaloi.

***

Semalam adalah hari ulangtahun kelahiranku. Subhanallah, ramai sungguh orang yang ingat tanggal ini. Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan dan doa-doa yang mengiringi aku. 25 orang jumlahnya. Mujur ada Facebook dan blog juga teknologi telefon yang memudahkan perhubungan.

***



Hari ini aku akan berlepas ke Malaysia dari Guangzhou menaiki pesawat MAS pada pukul 3.00 petang dan dijangka tiba di KLIA pada 7.00 malam. Kepada Hammad dan Malie yang sudi mengambil aku, kita jumpa di stesen Putrajaya ok! InsyaAllah aku akan telefon korang. [Malie, ko tanya Hammad camana plan]

Kepada semua ahli GPTD, insyaAllah kita akan berjumpa dalam siri Kembara Ramadhan.
Banyak perkara boleh kita bincang bersama. Mari sebarkan rahmat ke serata alam.

03 September 2009

Siri Ramadhan China: Hanya kerana gambar



Ini adalah entri ketiga aku tak sampai 24 jam. Sejurus selepas entri sebelum ini dimasukkan, aku terima beberapa kata-kata semangat daripada sahabat-sahabatku.

Di YM, ramai yang mengajakku untuk bersabar. Namun, hati masih rasa marah dan benci kepada orang politik itu. Lalu, aku ke blog sahabat-sahabat lain. Aku baca kembara dakwah sahabat dakwahku.

Entah kenapa aku tertarik untuk ke laman adik ini yang terlalu banyak diuji dalam hidupnya. Sejak aku kenali dia sehinggalah aku ke China, dia antara orang yang kerap menghubungi aku. Kisah hidupnya banyak menginsafkan aku.

Sudah menjadi kegemaranku mengambil tahu kebajikan sahabat, maka aku mula mengenali keluarganya sehinggalah pemergian ibunya. Dan hidupnya terus menerus diuji dengan pemergian insan-insan tersayang.

Blog Syira menarikku untuk ke sana. Mataku seolah terpukau dengan gambar ini.




Aku terus solat. Sudah ramai ingatkan aku untuk sabar. Tapi untuk solat, tiada. Jadi, aku terus solat. Hinggalah hatiku kembali tenang.

Di akhir solat, kedengaran bunga ting dari YM aku. Sahabat karibku di pejabat lama bertanyakan tentang kemarahan aku. Perbualan hampir dua jam membuatkan aku lebih mengenali selok belok orang politik.

Sahabatku itu dulu pernah menjadi orang politik yang menanamkan kebencian terhadap aku. Dia sudah luahkan segalanya. Maka, hatiku reda dengan apa yang berlaku kerana hakikat dunia mereka bukanlah sama dengan dunia aku.

Bak kata sahabatku itu, dakwah hanya 1% saja dalam perjuangan mereka..

02 September 2009

Siri Ramadhan China: Orang politik tak boleh berdakwah

Hati aku sedang sakit sekarang. Terpaksa aku luahkan walaupun entri sebelum ini baru saja aku masukkan. Aku perlu cerita tentang politik. Silap.. Orang politik.

Mengapa orang politik fikirannya pasti curiga kepada orang lain?
Mengapa orang politik pantang melihat orang lain lebih berjaya daripada dia?
Mengapa orang politik tetap berpolitik walaupun bukan dalam medannya?

Bila kalian membaca entri tentang aku membantu dia memeluk Islam, adakah kalian tercabar? Langsung kemudiannya, mencerita buruk di belakang tentang aku? Mengatakan aku nak gunakan dia bagi menaikkan reputasi aku?

Orang politik itu memang GILA! Dia ingat semua orang macam dia! Dia ingat hanya dia saja yang boleh buat betul (yang pada hakikatnya lebih banyak buat salah kat orang)!

Aku MARAH ni! Aku BENCI orang politik itu!

Huuuhh! Aku cuba tenang..
-----

Ceritanya begini. Sebaik saja orang politik itu tahu aku dapat membawa dia peluk Islam, orang politik itu pun menawarkan macam-macam kepada dia.

Ada yang kata aku silap sebab ceritakan tentang kisah pengislaman dia kepada orang politik itu. Tapi aku sebenarnya cuba untuk berikan orang politik itu peluang kedua untuk aku percayakannya semula.

Tengok-tengok, dia tikam belakang lagi. Depan aku, mulut manis. Aku dapat SMS, jawapannya seperti orang DAKWAH. Tapi hakikatnya, dia tetap orang POLITIK yang JAHAT.

Aku tak pernah minta disanjung atau nak masukkan dalam resume aku yang aku islamkan dia. Itu kerja Allah, bukan aku.

Dari sumber lain yang dipercayai, orang politik itu tercabar dengan aku kerana dia juga sedang usaha nak islamkan orang lain. Tengok-tengok aku dulu. Masya Allah! Apa punya orang la ni. Ini bukan kerja kita. Ini kan kerja ALLAH! Insaflah!

Kesimpulannya, jika orang politik itu baca blog aku. Atau anak buah dia baca blog ini, aku harap beritahulah kepada orang politik itu.

Aku takkan lepaskan dia kepada orang yang aku tak percaya! Aku sedang cari orang yang aku boleh percaya! Bukan orang politik itu! Dan tiada lagi peluang ketiga untuk orang politik itu!

p/s: Apa orang politik itu ingat semua orang boleh digula-gulakan dengan duit?

END

Siri Ramadhan China: Patahnya dahan penyokong

Bak kata Epah dan AM, memang dia ni sangat berani. Daging babi yang disuakan untuk dijamah ditolaknya.

"Kenapa kamu tak makan? Kamu dah masuk Islam kan?"

Dia hanya mendiamkan diri tanpa menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan. Hanya melihat adiknya makan bersama kawan-kawan.

Walaupun begitu, dia tetap punya hati. Dia kerap menangis di rumah dan pejabat. Namun, tangisannya bukan kerana sesalan memeluk Islam. Tangisannya disebabkan tekanan yang tak dapat ditahannya. Dari luaran ramai mengatakan dia kuat. Tapi hakikat dalam diri selalu rasa dianiaya.

"Sabar.. Sabar..," ujar En Jamri. Pantang jumpa En Jamri mesti dia cakap sabar.. sabar.. sabar..

"Waktu kamu menangis tu, terus saja kamu ingat Allah.. kamu terus doa yang baik-baik.. kamu akan rasa puas lepas tu," pesan aku kepada dia.

"Kelmarin saya sedih sangat.. saya menangis waktu saya sedang sujud. Rasa tak mahu bangun"
"Kamu tahu tak kenapa kamu tak boleh bangun?"
"Kenapa?"
"Sesungguhnya pada waktu kamu sujud, Allah sangat dekat dengan kamu. Itu pasal kamu rasa sangat suka sujud.."

Selepas aku terangkan begitu. Dia cukup suka. Baru dia tahu rupa-rupanya mudah sungguh untuk dekatkan diri dengan Allah. Tak perlu perantara pun.

Selain aku dan En Jamri, En Yusof dan isterinya Kak Faezah, adalah dahan-dahan penyokongnya untuk kekal seimbang walau dipukul angin kuat.


Bahkan mereka jugalah antara terawal yang mendedahkan kepada dia tentang Islam. Panggilan abah sudah cukup menggambarkan keakraban dia dengan En Yusof.

Sebelum En Yusof, rakan baiknya ialah Ina. Pendek kata, Ina banyak ajak dia kenali Allah, kemudian En Yusof (selepas Ina terpaksa pulang ke Malaysia) dan kini aku. Dahan-dahan sekelilingnya patah satu demi satu.



Kali ini En Yusof dan Kak Faezah (bersama anak-anak) pula terpaksa berpindah ke Shanghai kerana kenaikan pangkat. Begitu juga dengan En Jamri sekeluarga. Maka, bermula 29 September 2009, tinggallah aku seorang diri yang wajib membimbingnya sebaik mungkin.


AKAN DATANG: Pengislaman dia dipolitikkan

01 September 2009

Siri Ramadhan China: Jadi gila baca Quran






"Tak perlu pakai tudung kalau kamu rasa takut"

Itulah saranan aku waktu dia bertanya apakah dia perlu pakai tudung untuk ke pejabat. Dia bimbang sangat kalau-kalau pengislaman dia diketahui adiknya sendiri. Adiknya sangat benci pada Islam.

"Tapi saya mesti mahu sembahyang juga"
"Dekat mana kamu nak solat?"
"Saya solat dalam bilik bos"
"Owh, oklah kalau macam itu"


Keesokan harinya dia yang seharusnya ke rumah sahabat Melayu yang menjemput kami berbuka puasa, langsung tak kelihatan. Kata tuan rumah, dia asyik menangis hari ini. Dia kena marah oleh adiknya.

Mesti ada yang tak kena. Aku pun sms tanyakan dia mahu mengaji ke tidak? Dia cakap mahu. Kami berjumpa di satu tempat untuk mengaji. Tanpa dia bercerita apa-apa, dia pun keluarkan sehelai kertas dan sehelai tisu [seperti dalam gambar di atas dan bawah]



Apa ini? Owh, ini adalah luahan hatinya hari ini. Adiknya dapat menghidu pengislaman dia. Adik dia terserempak dengannya di toilet sedang dia ambil wudhu. Adik dia masuk ke bilik bos dan nampak dia mahu solat.

"Adik saya tolak saya sembahyang sampai saya nak jatuh"
"Dia cakap saya gila sebab baca Quran"
"Dia benci sama saya"

"Jadi, kamu balas apa? Kamu tak marah dia balik?"


Tiba-tiba aku jadi marah orang kata baca Quran boleh gila. Tapi, rupa-rupanya dia lebih bijak daripada aku. Dia kata dia tak perlu marah-marah. Sabar saja sudah cukup. Kalau dia marah, pasti adiknya akan kata sebab Islamlah dia jadi marah-marah adik dia.

Bukan sekadar itu. Adiknya ajak dia makan tengahari bersama. Sengaja dipesannya masakan babi. Disuruhnya kakaknya makan..

AKAN BERSAMBUNG..

27 Ogos 2009

Siri Ramadhan China: Mungkin itu malaikat

Kali ini aku berbuka di Masjid Huaisheng, masjid pertama di Canton (Guangzhou) yang dibina oleh Saad Abi Waqqas sebagai tanda peringatan kepada Nabi Muhammad saw. Masjid ini terkenal dan di sini ramai orang yang datang berbuka dan bertarawih.

Ramai sungguh jemaah di sini hinggakan kerusi dan meja yang disediakan tak cukup menampung semuanya. Air susu dicampur Sprite menjadi minuman awal pembuka puasa.

Berbanding sebelum ini, jemaah di sini lebih beradab kerana beratur dalam mengambil makanan yang disediakan. Ada sekitar 20 jemaah yang tak dapat menikmati sedekah para penyumbang ini.

Para pengemis juga ramai yang turut serta. Dan pada waktu inilah, baru aku nampak para pengemis ini turut solat. Tidak seperti hari-hari Jumaat sebelum ini, kelibat mereka hanya di pintu keluar masjid.


Sama seperti masjid sebelum ini, tazkirah ringkas diberikan sebelum solat Isyak ditunaikan Masyarakat Cina pada waktu ini sangat khusyuk mendengarnya. Apa yang disampaikan imam hanyalah perkara asas yang didahagakan jemaah. Waktu ini jugalah jika anda ke sini, anda dapat melihat begitu ramai Cina Muslim.


Ramai bukan? Secara kiraan kasar, dianggarkan sekitar 700 ahli jemaah membanjiri ruang solat. Solatnya tak sederas masjid sebelum ini. Agak tenang sedikit, cuma bahang siangnya masih terasa.


Waktu ini jugalah wanita Cina Muslim dapat dilihat dengan banyaknya. Bagi masyarakat Malaysia dan Indonesia yang terbiasa mengenakan telekung untuk bersolat mungkin terasa janggal melakukan demikian di sini. Rata-rata mereka hanya menutup aurat apabila menunaikan solat seperti sewaktu mereka berjalan di kaki lima. [Penutupan auratnya masih kurang sempurna barangkali disebakan kurang kefahaman]


Kasut-kasut yang anda sarungkan di kaki biarkan saja di mana pun. Tiada kejadian hilang kasut seperti di Malaysia. Tak kiralah kasut anda murah atau mahal, insyaAllah anda akan dapati kasut anda di tempat asal anda meninggalkannya.


Pada malam ini, ada acara sangat bermakna buat rakanku itu. Ya, rakan yang aku ceritakan sebelum ini. Malam ini pengucapan shahadah dibuat di hadapan imam. Kami minta Imam Abdullah mengadakan acara kecil ini selepas jemaah lain beredar.



Kejutan buat imam kerana jarang sekali orang Cina ingin memeluk Islam. Walaupun terdapat persatuan Islam Guangzhou, mereka sendiri tiada daftar muallaf. Namun, aku harus tabik pada imam yang sangat sungguh-sungguh beri faham kepada rakanku itu sebelum shahadah dibacakan sedangkan dia sedang mengejar waktu untuk pulang.


"Suhail, waktu saya solat tarawih tadi, ada sesuatu mengusap-mengusap bahu kanan saya tiga kali"
"Barangkali itu adalah malaikat yang ingin menyambut kamu.."
"Saya rasa nak nangis tadi"
"Alhamdulillah, kamu kini Muslim. Tahniah.. Allah sayang kamu"


Akan datang: Dia ditolak hingga hampir terjatuh hanya kerana memeluk Islam

24 Ogos 2009

Siri Ramadhan China: Kenyang betul

Hari pertama Ramadhan, aku sempat berbuka di masjid. Masjid Xiao Dong Ying ini letaknya terpencil. Melayu yang duduk sini 4 tahun pun tak tahu kewujudan masjid ini. Tengok sajalah kedudukannya di celahan rumah-rumah lama.

Aku dimaklumkan rakan, di sini juga ada iftar. Patutlah ada meja disediakan. Tidak seperti di Malaysia, kita lebih selesa duduk atas hamparan.

Wanita juga tak dipinggirkan. Ruangan bilik ini disediakan untuk kaum wanita yang hadir.


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Sebaik saja azan dilaungkan, minuman dan kuih muih tersedia dijamah. Ya Rabbi, nikmatnya.. Ada Coke (orang Arab sedekah.. mereka memang suka air ini), air mineral, tamar, biskut, kuih samosa goreng (orang Pakistan sedekah).

Hanya 10 minit diperuntukkan untuk buka puasa. Kemudian, kami terus saja menunaikan solat Maghrib. Seronok sebab saf penuh sehingga melimpah ke luar dewan solat.

Lepas solat, jemaah keluar semula untuk makan nasi. Tengok ni sistem beratur tak diamalkan, habis badan dihimpit orang. Tapi, alhamdulillah makanan cukup untuk semua.

Berselera masing-masing makan. Di meja inilah tempat aku makan bersama rakan-rakan Cina yang baru dikenali. Aku saja yang bercakap sambil makan. Yang lain diam saja khusyuk makan.

Set nasi berlauk ayam goreng, daging masak halia dan sayur goreng ini disedekah oleh satu restoran milik pedagang Arab. Enak dan lazat sekali. Aku paling lewat habis. Tak kiralah aku bercakap atau diam, memang biasanya aku lambat.

Ini kali pertama aku lihat ramainya orang Cina boleh membaca al-Quran. Ramai daripada biasalah. Tapi lebih ramai lagi yang tak reti membaca. Sementara menunggu Isyak, tilawah quran dulu.

Aku didatangi rakanku dari Xinjiang, Abdul Rahman yang ingin berbual denganku. Quran terpaksa aku tutup. Dia tunjukkan gambar Mekah dan sangat ingin ke sana. Dia sudah tiada kerja. [Panjang kisah dia.. kalau siapa ikuti siri taklimat aku di Malaysia nanti, mungkin akan dapat dengar cerita dia]

Selepas azan berkumandang, sebelum Isyak didirikan, imam pasti memberi tazkirah Ramadhan dalam 10 minit. Masing-masing memberikan perhatian khususnya orang Cina kerana inilah satu-satunya sumber ilmu yang jarang diperolehi dalam hari-hari biasa.

Ramai kan? Yang berkulit putih.. berkulit hitam..

Di luar pun ada..

Ada lagi.. Aku hitung secara kasar.. dalam lingkungan 400 ahli jemaah pada malam ini. Semuanya solat 20 rakaat. Mereka juga ada tasbih rupanya. Tasbih setiap selang 2 rakaat tak sempat aku rekodkan. InsyaAllah lain kali.


Akan datang: Dia diusap-usap oleh makhluk tak dikenali



20 Ogos 2009

Usah dipisahkan Melayu dan Islam


Aku sampaikan berita keinginan dia untuk peluk Islam kepada seorang rakan Melayu. Dia asli Melayu. Cakapnya nampak bersopan. Lemah lebut bicara si jejaka ini.

"Mana kau tahu dia nak masuk Islam?"
"Dia beritahu aku. Sekarang ni dia dah mula belajar mengaji"


Tersenyum dia mendengar berita ini. Dia nampak berminat untuk tahu lebih lanjut. Aku terus ceritakan apa yang sudah berlaku.

"Macamana nak ajar dia mengaji? Aku pun dah bertahun tak baca al-Quran. Dah lupa dah.."

Apa? Terkejut aku mendengar pengakuan ikhlas dia. Dia jadi malu. Dia kata dia sudah lupa baca al-Quran. Ya Rabbi, apakah huruf hijaiyyah dan baris serta tajwid itu tak lagi diingati?

Aku jadi bimbang.

-------

Waktu itu ada acara keramaian. Aku tengok jam menunjukkan 20 minit saja lagi masa yang tinggal untuk aku solat Maghrib. Lantas aku ajak rakan-rakan Melayu lain untuk turut mengerjakan kewajipan.

"Takpe, pergilah dulu.."
"Oh, masjid jauhlah.. takde tempat dekat sikit?"


Tiada yang bersungguh menjawab pelawaan aku. Dengan rasa sedih, aku menghilangkan dii untuk tumpang solat di kawasan berdekatan. Tiba-tiba aku dapat panggilan.

"Sudah solat? Saya mahu pergi masjid.."

Saudara yang masih belum mengesahkan keIslamannya ini ingin solat Maghrib. Apa? Aku sudah solat. Takpelah, aku cakap marilah kita naik teksi ke masjid.

Dalam teksi, aku katakan yang aku dah solat. Dia cakap kenapa tak ajak dia. Aku cakap aku takut tak sempat dan kewajipan itu hanya tertanggung atas aku. Dia belum lagi.

"Yalah, tapi saya tak mahu tinggal sembahyang.."

Aku jadi malu. Aku tenangkan hati dengan berfikir, mungkin rakan-rakan Melayu ku itu solat dekat-dekat sana di kaki lima.





Jumhur ulama’ daripada mazhab Maliki dan Syafie: Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum bunuh walau pun meninggalkan satu fardhu sahaja. Disuruh agar bertaubat selama tiga hari, jika enggan dijatuhkan hukuman hudud dengan dipenggal kepalanya. Selepas dibunuh, dimandikan dan disembahyangkan ke atasnya serta ditanam di tanah perkuburan orang Islam kerana dia tidak dikira kafir. Ini juga adalah pendapat yang rajih pada mazhab Hanbali sebagaimana dikatakan oleh Ibn Qudamah dalam Al-Mughni [Sila rujuk di sini]





Beratnya hukuman dunia ini. Sanggupkah kita? Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular