header-photo

Aku mahu kahwin


Kepada semua pembaca blog sama ada kenalan baru dan lama, anda dijemput hadir ke Majlis Perkahwinan saya yang akan diadakan di Jitra, Kedah pada 26 Disember 2009. Jika mahu datang, sms dulu ya. Terima kasih.
[Sila rujuk kad undangan di atas untuk butiran penuh]

Blog ini tidak dapat dikemaskini bermula hari ini sehingga 7 Januari 2010. Kalau dapat curi-curi peluang, adalah kot update.

Siapa pandai mengembek dan mengaum


Cuba kalian mengembek. Mudah kot. Tapi tak boleh kalahkan Lan Pet Pet lah. Mengaum pula. Hah, tang ni yang susah sikit. Susah nak jadi macam real lah. Setakat ini belum pernah dengar manusia yang pandai mengaum.

Masuk kandang kambing mengembek
Masuk kandang harimau mengaum

Begitulah orang Melayu diajar untuk adaptasi diri dengan keadaan setempat. Dalam kata mudahnya, datang tempat orang ikutlah cara orang, jangan dok buat cara sendiri.

Itulah susahnya aku sejak berada di Kedah ini. Nak mengembek susah, nak mengaum pun susah. Sebabnya bila masuk kandang kambing, depa tahu aku bukan kambing. Sama jugalah kalau masuk kandang harimau, depa tahu aku cuba jadi harimau tak menjadi.

  1. Orang-orang sini cakap ada loghat, bila kita bercakap standard, terasa janggal. Maka, aku cubalah cakap tapi ibu kata bunyi macam orang Kelantan je.. Alamak!

  2. Majlis kenduri kahwin di sini tak meriah (tak semua kot..). Selamba adik aku kata macam kenduri arwah sebab majoriti berkopiah putih. Tanpa muzik iringan. Tanpa jeritan dan gelak ketawa. Habislah nanti kenduri aku akan mengharu-birukan suasana. Tambah pula orang Melaka berkumpul, tak mungkin depa nak mengembek atau mengaum.

  3. Tadi solat Jumaat. Bila khatib habis khutbah, dia pun cakap aqimis solah (maksud: dirikanlah solat). Seperti biasa, aku berdirilah untuk solat. Tiba-tiba orang ramai pandang pula aku. Rupa-rupanya selagi bilal tak iqamat sampai hayya 'alas solah (maksud: marilah bersolat), selagi itulah mereka duduk. Nak kena dua kali ajak.
Inilah perkara yang perlu diperhatikan. Berada di negeri orang, kena sesuaikan cara orang. Dalam satu negeri pun, lain daerah lain pula caranya.

Tapi ada juga kandang harimau, dibenarkan mengembek. Tak dibahamnya kambing itu. Inilah yang menariknya. Bertolak ansur dan terbuka. Rasanya komuniti tempat aku kenduri nanti begitu.

Sekitar Aidiladha di Kedah

_MG_4983
_MG_4921
_MG_4987
_MG_4946
_MG_4995

Meriah betul sambutan Aidiladha di Kedah. Berbeza dengan negeri kelahiran aku, Melaka. Di sini dibuat kenduri dan jemputan makan. Kenyang perut makan bihun sup, sate, ketupat palas pulut hitam dan nasi berlauk. Satu hari 3 rumah diziarahi. Macam Aidilfitri pula.

_MG_5138

Aidiladha kali ini baru aku mengagumi Big Apple Donuts. Ini produk tempatan tau. Siap dah buka cawangan di Indonesia, Thailand dan China. Kalau dibandingkan dengan Dunkin Donuts, donut buatan Malaysia ini lebih enak dan banyak pilihan selain lembut rotinya.

_MG_5131

Ini satu lagi produk tempatan yang WAJIB dipromosikan. Bukan sekadar produk Muslim, bahkan halalan toyyibban itu penting. Kali ini jugalah aku terasa kenyangnya makanan Radix Fried Chicken Alor Setar (dekat Shahab Perdana) tanpa terasa mual/muak seperti yang biasa dirasakan setiap kali menjamah KFC. Bagi yang belum tahu, semua produk makanannya berasaskan herba organik tanpa bahan kimia perosak badan.

_MG_5210

Hah, ini kawan lama aku. Humaidi namanya. Aku baik dengannya sewaktu di Matrikulasi UIAM. Selepas itu, dia menyepi kerana terpaksa mengubah haluan diri.

_MG_5219

Menjelang hari perkahwinan aku tak lama lagi, kami sekeluarga pergi menjemputlah. Rumah ini pastinya rumah wajib kerana Mak Njang duduk di Kg Bukit, tempat ayah membesar. Memang keadaan di sini 'sangat kampung'. Aku suka suasana nyaman dan kicauan burung serta bunyi-bunyi cengkerik. Mak Njang akan sebar-sebarkan jemputan di kampung ayah nanti.

_MG_5226

Teringat pula pada Mokhzani. Dia tinggal dalam Kg Bukit Lada. Jiranlah tu dengan kampung ayah. Kami pun terjah. Wah, rumahnya lebih kampung daripada kampung ayah. Dalam.. Gelap.. Lampu jalan pun tak ada. Sampai saja rumahnya, terpegun tengok rumahnya yang besar dengan kereta-kereta yang ada. Nak tahu, pergilah ziarah dia. Dia dah ada anak tau, comel lagi.

_MG_5230



Buat Duit cara Program Affiliate



Bagi tujuan penambahan dana projek aku di China, aku telah ambil keputusan untuk join program affiliate di atas. Itu pun selepas membaca buku tulisan Mohd Rozani Pawan Chek bertajuk 'Buat Duit Dari Rumah'.

Konsepnya sama seperti nuffnang cuma ia ada kelainan sikit kerana ia berikan produk selain membayar komisen kepada kita selaku agennya. Nak mudah, klik saja pada banner ni untuk bacaan lanjut.

Apa pendapat korang?

Hilangnya sebutir mutiara

Dalam kesibukan aku mengikuti pelbagai program dan aktiviti, aku dikejutkan dengan berita pemergian datuk saudaraku yang paling aku rapat. Seorang pejuang Islam yang sangat aktif sejak mudanya bersama-sama Anwar Ibrahim dan Dr Sidek Baba hingga menginfaqkan tanahnya untuk didirikan Taski ABIM pertama di Malaysia. Setiap kali aku pulang ke kampung di Melaka, pasti dia adalah kunjungan wajibku kerana di situlah pesan dan nasihat dakwah diberikan bagi memberi kekuatan ruh dalam diri.

Malam tadi datukku telah pergi selamanya. Aku terpaksa tinggalkan segala program dan aktiviti. Aku perlu bergegas ke Melaka. Ya Allah, tempatkan Ibrahim bin Baba di syurgaMu. Moga Kau berikan aku kekuatan dan semangat sepertimana dia dan pejuang-pejuang Islam yang lain.

Merepek punya kerja

"Owh, baguslah awak nak buat kerja-kerja merepek ini!"

Dalam memuji ada penghinaan. Kenapa dikatakan kerja aku ini kerja merepek? Apa sebenarnya kerja aku? Owh, tidak!

Itu bukan kerja aku. Itu kerja kita. Kerja menyambung risalah Nabi. Atau mudahnya ialah tanggungjawab ajak org buat baik dan larang org buat tak baik adalah tanggungjawab kita.

Cuma aku tak sehebat kalian. Aku tak kuat untuk berdiri melakukan kerja itu sendiri. Aku terpaksa mencari kekuatan lebih. Itulah sebabnya kerja itu menjadi kerjayaku. Belum terdaya memberi ruang masa untuk kerja ini di samping melakukan kerja lain.

Soal merepek, I leave it to you how to define it...

Soal berbuat baik dan cegah kejahatan ke atas diri sendiri terpulanglah. Salah silap adalah norma kehidupan. Tapi kerja ini adalah pasti dan perlu. Kerja MENGAJAK dan MELARANG. Noktah.

***
Komen merepek ini diberikan oleh seorang intelektual yang aku temui semalam dalam program Inter-civilizational Youth Engagement Program 2009 (IYEP3) yang menemani rakan pensyarahnya untuk bicara mengenai krisis ekonomi global.

Abang nak ikut sunnah

Sewaktu aku membantu seorang peguam uruskan kes poligami, aku dapati banyak pengamal poligami menggunakan alasan ikut sunnah. Begitu juga dengan para penceramah yang suka berseloroh menggunakan cerita sama bagi kes-kes poligami.

Bagaimana jika anda adalah seorang perempuan? Rata-rata akan berpaling muka jika diminta izin oleh suami untuk berpoligami. Mereka merasakan sukarnya suami yang dicintainya dikongsi bersama perempuan lain. Tengok saja drama Nur Kasih, kita boleh terkesan dengan perasaan yang dipendam Nur akibat poligami.

Apakah poligami itu salah? Ini harus diperbetulkan. Bukan poligami salah, hukum sudah membenarkan. Pasti ada hikmah di sebalik setiap aturan Allah. Cuma yang boleh dipersalahkan ialah para pengamalnya. Itu pun jika ada silapnya pada dia.


Sengaja aku cerita tentang hal ini sebab kelmarin aku terdengar Ahmad Dhani mengatakan tentang kroniknya masyarakat Indonesia sehingga ke tahap anti-poligami. Ini membuatkan dia mengambil inisiatif lagu P. Ramlee bertajuk Madu Tiga sebagai alat penyampaian mesej bahawa poligami adalah halal.

Bayangkan betapa ekstremnya sesetengah kelompok masyarakat sana yang membenci ulama' kegemaran aku, AA Gym. AA Gym merupakan fenomena hebat di Bandung khususnya dalam membawa masyarakat mengubah diri melalui pembersihan hati. Sampailah satu ketika, dia berpoligami, ramai yang mula menolak dia. Bahkan ada lagu-lagu dibuat mengutuk AA Gym. Mengapa sunnah dipermain-mainkan?

Kasihan betul kepada umat Islam akibat kesilapan dibuat umat Islam sendiri. Si pelaku poligami janganlah meletakkan alasan mengikut sunnah semata-mata sebagai penyebab berpoligami. Jika benar begitu, jadilah seperti pelaku poligami yang memang mengikut sunnah dari banyak segi.

Jika si pelaku itu seperti gambar di atas, dengan keintiman amalnya kepada pendekatan diri kepada Ilahi dan sebagainya, dia harus dipuji. Tapi rata-rata kes yang aku temui dulu adalah pelaku yang curi-curi berpoligami. Itu sudah jelas memberi jawapan kepada tanggungjawab dan keadilan yang tiada pada diri si pelaku.

Antara sunnah terbesar ialah mengerjakan solat fardhu lima waktu di masjid. Cubalah buat ini dulu sebelum cuba berpoligami. Benar, kita mungkin tak mampu ikut semua sunnah tapi sunnah ini lebih mudah berbanding sunnah berpoligami.

Jika sunnah semudah ini pun tak lepas, agak-agak untuk berlaku adil dan bertanggungjawab dalam berpoligami itu bagaimana? Jika ditanya aku, nak bercita-cita pun rasanya tak boleh lagi sebab sunnah mudah banyak lagi tak terbuat. Memang aku tak layak.

Fikirkan orang lain untuk lebih senang



Setuju tak jika aku cakap banyak masalah boleh diselesaikan kalau selalu fikirkan tentang orang lain?

Cuba perhatikan betul-betul. Kita akan jumpa pengajaran yang tersimpan dalam peristiwa yang berlaku sehari-hari. Dari pemerhatian itulah aku membuat kesimpulan tadi. Tambahan pula pengalaman aku di China dapat mengukuhkan lagi kesimpulan itu.

Di Guangzhou, sikap pentingkan diri sendiri menyebabkan orang Malaysia mungkin tak selesa. Bayangkanlah anda sedang memandu, kenderaan sedang berbaris menuju laluan di hadapan. Tiba-tiba kereta di depan anda tak bergerak sedangkan laluan sudah lengang. Anda pun cuba memotong. Setelah dipintas, anda dapati pemandu tadi sedang menelefon. Dia boleh berhenti begitu saja tanpa fikirkan pemandu lain di belakang.

Banyak lagi contoh lain yang menyakitkan hati apabila kejadian pentingkan diri sendiri menjadi amalan kebanyakan masyarakat China di Guangzhou.

Pernah terjadi satu kejadian di pejabat aku bekerja. Aku percaya perkara sama juga berlaku di kebanyakan tempat lain.

"Ishh, itu kan common sense. Lepas buang air, tariklah flush.. takkan yang tu pun nak diajar"

Geram betul kawan aku pada orang yang tak bertanggungjawab itu. Ya, isunya common sense. Aku jawab itu common bagi kita tapi tak bagi dia. Itu pasal dia perlu diajar berbuat demikian.

Apakah dia tak pernah diajar sejak kecil untuk tarik flush? Aku rasa dia sudah diajar tapi dia pentingkan diri sendiri. Dah puas lepaskan apa patut, cukuplah.

Aku tahu pembaca lain boleh senaraikan lebih banyak contoh masalah-masalah hasil pentingkan diri sendiri. Perkara ini nampak kecil, sebab itu ramai dakwa ia common sense. Tapi akhir-akhir ini rakyat Malaysia juga nampak mula hilang common sense.

Maaf aku kata begini. Sebabnya itu mungkin tanggapan orang luar yang datang sesekali ke Malaysia. Orang Islam mungkin didakwa pengotor oleh mereka jika mereka singgah di surau-surau atau masjid. Tandas tersedia banyak yang terabai kebersihannya.

Seperti orang macam aku yang mendakwa orang China (khususnya Guangzhou) itu pengotor sebab banyak tempat di kaki lima yang berbau hancing. Tandas lagi lah teruk.

Memang tak adil untuk hukum semudah itu tapi semua ini adalah cerminan sikap kita. Untuk menjadi lebih beradab, fikirkanlah tentang orang lain. Fikirkan akibat daripada perbuatan kita . Dengan cara inilah kita akan bertambah senang. Begitu juga orang lain. Patutlah ada hadis begini..


Sayangilah saudara kamu seperti mana kamu menyayangi dirimu sendiri.
(Riwayat Bukhari)

Ucapkanlah terima kasih



Aku mula masuk asrama sewaktu Tingkatan 1 tapi sebulan saja. Yalah, duduk asrama bukannya seronok pun. Tambah pula, rumah aku hanya 2 km dari sekolah.Aku masuk sekali lagi di sekolah yang sama pada Tingkatan 3 semata-mata untuk fokus pada PMR.

Namun, yang paling terkesan ialah sewaktu aku di Tingkatan 4. Kali pertama aku berjauhan daripada ibuayah. Maklumlah tak pernah duduk luar negeri Melaka. Jadi, pantang berpisah, aku pasti sedih.

Entah mengapa aku sering terbayang akan kehilangan ibu ayah. Itulah bayangan yang selalu menghantui aku. Yalah, bila berjauhan mana kita nak tahu khabar mereka? Entah sihat entah tidak. Pasti mereka juga risaukan aku.

Atas desakan hati yang sangat merindui mereka dan rasa takut kehilangan mereka, aku selalu mengamalkan MINTA MAAF dan ucapkan TERIMA KASIH kepada mereka setiap kali berpisah. Bahkan aku juga mencium kedua-dua belah pipi mereka selepas mengucup tangan mereka sewaktu bersalam.

Kenapa aku ucap TERIMA KASIH? Sebab aku rasa aku tak terdaya membalas segala jasa mereka. Sewaktu aku balik rumah, lebih terasa jasa mereka berbanding di asrama. Jasa yang dicurahkan kepada aku sewaktu cuti yang singkat sudah cukup membuat aku rasa sangat berterima kasih.

Aku percaya apabila aku ucapkan TERIMA KASIH, pasti lega hati ibu ayah yang tak pernah mengharapkan balasan atas jasa-jasa mereka. Ucapan itu nampak kecil, tapi aku yakin ucapannya itu menghilangkan langsung jerit-perih mereka membesarkan kita. Tak percaya, tanyalah IBU!

Sedangkan aku pun terasa lega apabila orang ucap TERIMA KASIH atas bantuan kecil yang aku hulurkan, inikan pula ibu ayah yang mengorbankan wang dan tenaga membesarkan aku.

Jadi, mengapa tidak kita lembutkan lidah mengucap TERIMA KASIH kepada ibu ayah kita! Ayuh ucapkan kepada mereka!

-----------------------

Entri ini ditulis sempena Kempen 1 Bulan 1 Adab. Dan ia perlukan aku untuk mengikut arahan ini:

  1. Sila ambil kod poster (dah buat).
  2. Tampal kod tadi ke dalam satu entri di blog anda (dah buat).
  3. Entri tadi mestilah mengandungi sebarang kisah bebas mengenai ADAB yang dipromosikan dalam poster tadi (dah buat).
  4. Maklumkan kami dengan mengunjungi BLOG KEMPEN dan tulis dalam ruangan KOMENuntuk beritahu link entri tadi (dah buat).
  5. Jangan lupa letak banner kempen di sidebar blog anda (dah buat).
  6. Tag 3 orang daripada rakan pemblog anda untuk tujuan sama (nak buat lah ni...)
Maka, dengan ini aku ingin tag:

  1. Mamida
  2. AM
  3. Kimi

Jom perelokkan adab

Maaf kerana tak dapat kemaskini blog sebab sibuk siapkan Kempen 1 Bulan 1 Adab ini. Esok insyaAllah akan aku lancarkan melalui blog GPTD.

Korang pun perasan kan betapa semakin rendahnya adab di kalangan masyarakat. Entah-entah kita juga termasuk sama dalam golongan orang yang kurang adab atau biadab.

Tengok saja Piala Malaysia baru-baru ini, perbuatan baling botol dan bakar kerusi umpamanya, adalah satu contoh negatif membuktikan hilangnya adab menonton perlawanan. Sudah adat berlawan, ada menang dan ada kalah. Apakah ini tak boleh diterima?

Patutlah pernah suatu ketika dahulu, sewaktu aku ikuti pengajian pondok di Terengganu selama 2 bulan, sekolah telah mengharamkan permainan bolasepak. Bagi aku tak rasional. Tapi bagi guru-gurunya ia adalah rasional.

Sebabnya pemain-pemainnya dulu sangat kasar. Pasti ada kecederaan teruk hingga patah kaki menjadi fenomena biasa. Maka, apabila ini tak dapat dikawal, terpaksalah diharamkan saja permainan itu.

Takkan Piala Malaysia nak diharamkan kalau melibatkan negeri Kelantan? Maaf, aku bukan asabiyyah kenegerian.

Kita tinggalkan sekejap isu itu. Aku di sini nak ajak para pembaca blog untuk sertai Kempen 1 Bulan 1 Adab. Kempen ini akan dilancarkan esok iaitu 11.11.2009. Kempen ini nak tunjukkan bahawa banyak lagi adab kesopanan ketimuran kita yang sudah diabaikan. Maka, menjadi kewajipan kita untuk kembalikan adab yang dijulang tinggi dulu.

Untuk elakkan sampai terjadi tragedi di stadium kelmarin, aku fikir perubahan kepada perkara mudah perlu dibuat. Contohnya, kita ucap terima kasih. Biasakan diri ucap terima kasih walaupun kepada emak yang hulurkan pinggan nasi kepada kita. Atau kepada pelayan kedai yang bawakan segelas air untuk kita. Atau rakan yang menumpangkan kita naik keretanya.

Banyak lagi akan diperkenalkan. Untuk permulaan, marilah tonton teaser video ini untuk memberi kesedaran kepada diri kita sebelum kita menyebarkan kesedaran ini kepada umum.



Sila layari blog GPTD tau! Jom sertai kempen 1 Bulan 1 Adab!

Christopher Columbus takut kucing


Di tengah-tengah kesibukan jalanraya, tiba-tiba sebuah kereta berhenti. Aku ternampak kelibat seekor anak kucing mencari perlindungan di bawah kereta tadi.

Seorang penunggang motosikal berbangsa INDIA pun berhenti. Menjenguk-jenguk anak kucing tadi. Takut-takut dilenyek kereta yang bersesak-sesak menuju Jalan Gombak.

Kereta tadi cuba bergerak. Anak kucing itu pun berlari mencari perlindungan baru. INDIA tadi menjerit kepadaku. Katanya anak kucing tu ada di bawah kereta aku.

Terus saja aku pasangkan lampu kecemasan. Hon bertubi-tubi datang dari belakang tak aku endahkan. Aku takut kalau-kalau anak kucing tadi mati.

Aku keluar dan jenguk bawah kereta. Eh, tak ada. INDIA tadi beritahu kucing itu dah naik atas tayar. Aku tak nampak pun. INDIA tadi terus capai dengan tangannya bila ternampak ekor kucing tadi.

Dalam pada itu, semakin ramai pemandu kereta dan penunggang motosikal berhenti cuba hulur bantuan. Ada yang sangka enjin kereta aku rosak. Maklumlah aku berada di lorong tengah.

Aku suka sangat keadaan ini kerana masih ramai yang prihatin tentang nasib seekor kucing yang dicintai Abu Hurairah. Anak kucing itu nampak trauma hinggakan INDIA tadi dicakar apabila cuba menyelamatkannya.

Mujur ada INDIA tadi. Aku tak perlu mencuba untuk angkat kucing tadi. Aku alah kepada kucing. Aku suka melihat kucing tapi tidak untuk menyentuhnya atau disentuhnya. Ngee..

Aku sangat menitikberatkan soal kebersihan. Binatang berbulu khususnya sukar mendapat belaianku melainkan ia nampak agak bersih. Tapi aku akan pastikan tanganku dibasuh bersih selepas itu terutama sebelum menjamah makanan.

Tapi..mm.. aku kan.. mmm..


Aku sebenarnya..


Pasal kucing ni.. aku kan..


Bukanlah sebab kebersihan sangat. Tapi.. mm.. ramai je orang macam aku. Betul tak?

Ehem.. Begini. Aku sebenarnya macam Christopher Columbus. Atau Genghis Khan. Atau Alexander The Great. Kenapa aku nak malu? Mereka juga macam aku. Hehe. Kami adalah penghidap Ailurophobia.

Minta sedekah tapi merokok



Benarkah merokok itu ada pelbagai hukum? Sampai ada yang kata ianya harus. Setahu aku paling ringan pun hukumnya hanyalah makruh. Ada baiknya kita baca jawapan Ustaz Zaharuddin untuk memahaminya.

Merokok pula difatwakan haram di beberapa negeri seperti Melaka, Selangor, Kedah dan Perlis. Begitu juga dengan apa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.
[Sila baca ringkasan yang dibuat oleh harakahdaily]

Aku terpanggil menulis tentang rokok disebabkan kebelakangan ini aku telah menjadi perokok sekunder. Bukan aku saja, ibu pun turut terkesan. Sudahlah mereka ini mengakibatkan keburukan kepada diri sendiri, diri orang lain pun tak difikirkannya.

Bagi yang belum merokok, jangan mencuba. Bagi yang sudah merokok, silalah berhenti. Tapi jika susah sangat untuk berhenti, kurangkanlah kekerapan anda merokok. Dan ingatlah agar anda merokok di kawasan yang dikhaskan untuk perokok. Bukan di tempat awam.

Jika memudaratkan diri itu antara asbab pengharaman merokok, mengapa tidak anda menjadikan kami perokok sekunder turut mendapat dosa memudaratkan orang lain? Fikir-fikirkanlah khususnya kepada perokok yang merokok di hadapan anak-anak dan isteri.Janganlah jadi seperti dalam video ini:



Jika anda tetap ingin merokok, pastikan diri anda mempunyai lebihan wang. Sebabnya orang yang kurang duit pastinya akan menyimpan duit itu untuk kegunaan lebih bermanfaat seperti makan dan minum.

Kalau anda rasakan diri itu kurang duit, jangan susahkan diri sendiri dan keluarga dengan menambah beban hutang apabila dijangkiti penyakit pada masa akan datang. Hargailah diri anda untuk hargai diri orang lain.

Seorang yang ingin merokok mestilah orang yang sudah cukup keperluan hidup sehariannya. Jikalau begitulah tafsiran aku, pengemis yang meminta sedekah sedang dia masih merokok adalah orang yang tak layak untuk meminta-minta. Tak begitu?
[Sila baca 2 perenggan akhir sebelum point C dalam rencana ini]

Duit menyebabkan kita gila


Ini kisah lama. Tak sempat nak dikongsikan pada waktu yang sepatutnya. Ramadhan lalu, seminggu selepas ketibaanku ke Malaysia.

"Duit aku banyak tapi tak tahu ke mana. Aku cuba kumpulkan duit untuk kahwin tapi tak dapat. Akhirnya bila aku berhenti jadi peguam, dan aku join kerajaan negeri, baru boleh kahwin.."
"Tak sangka tau yang duit untuk aku kahwin dan beli kereta takde sesen pun dari hasil kerja aku sebagai peguam.."

Memang Ridin (berkacamata) ini petah bercakap. Kalau kita diam pun boleh. Dia akan terus bercakap dan sesekali bertanya.

Dia kongsikan kisahnya sebagai seorang peguam lebih kurang 2 tahun lalu. Memang gajinya besar. Antara kawan-kawan sebaya, dia antara peguam yang mempunyai kelebihan pelbagai yang diberikan majikannya.

Dia diberikan kereta. Gajinya lebih RM2000 (agak banyak jika memulakan kerjaya di Kedah). Elaunnya bertimbun (sebab asyik outstation). Kalau dihitung katanya, hasil duit waktu bujangnya melebihi RM3000 sebulan.

Hairannya, tiada simpanan boleh dibuat. Duitnya diguna tak pernah untuk maksiat dan kejahatan lain pun. Tapi dia tak perasan ke mana habisnya duit. Lainlah kalau duduk KL.

Fikir punya fikir, akhirnya dia yakin yang kerjanya dulu itu tiada berkat. Memang duit banyak tapi punca hasil pendapatan ada bercampur dengan 'teknik' yang menyalahi syarak.

'Teknik' itu sudah menjadi kebiasaan atau norma kehidupan peguam accident macam dia. Banyak kes kemalangan diuruskannya. Dalam menguruskan kes-kes ini, dia mula terperosok dalam 'teknik' itu.

Bukan maksud aku semua peguam mempunyai teknik itu. Tapi ada di kalangan mereka, yang demi mendapatkan duit, matlamat menghalalkan cara. Caranya tak dapat aku dedahkan di sini kerana melibatkan institusi dan badan yang besar.

Pendek kata, ia berkaitan dengan kuasa yang disalahguna. Jika kita dapat bersua, aku boleh ceritakan secara lengkap. Sesiapa dalam bidang kepeguaman pasti arif tentang 'teknik' yang aku maksudkan.

"Suhail, biar kita bergaji kecil.. yang penting hidup berkat, tenang, aman. Kau buatlah kerja dakwah kau. Takde gaji pun takpe, pasti ada bantuan datang.. Yang penting kau tak risau, tak takut, tak bimbang setiap masa. Kau suka apa kau buat, hati pun tenang.."

Kata-kata ini mengukuhkan keyakinan aku terhadap gilanya kita apabila duit menjadi isu utama dalam otak fikiran ini hingga melupakan PEMBUAT duit yang bila-bila masa saja boleh menjadikan duit itu berguna atau tidak kepada kita.

Ziarah cinta Ilahi


Aku memang gemar ziarah sahabat. Jika ada kelapangan, itulah kegiatan yang aku suka sangat-sangat. Apatah lagi sewaktu mood raya masih ada.

Tadi aku baru saja ziarah seorang sahabat seperjuangan. Dalam kesibukan kerja dan kepadatan masa dengan rutin harian sebagai pegawai kerajaan, Nadmin biasanya akan sanggup meluangkan masa untuk berjumpa.

Kali ini ziarah aku bukan hanya ziarah dia dan isteri. Nadmin sudah ada anak bernama Amna Huda yang comel. Seperti abah dan umminya, Huda nampak teliti dalam memandang sesuatu seolah-olah sedang berfikir. Tambahan pula orang baru dia kenal.

Pertemuan kami pasti menyelitkan beberapa isu berkenaan Islam. Inilah yang amat menyenangkan hati sanubari masing-masing. Berbanding pertemuan dengan sahabat-sahabat lain, perbualan kami cuba mengenepikan isu duit yang selalu jadi keluh kesah masyarakat.

Di kalangan daie dan murabbi seharusnya bersedia terjun ke tengah-tengah gelanggang menangani cabaran yang sebenar, bukan sekadar mengungkapkan gagasan Islam yang besar.

Tetapi tidak dapat difahami oleh sasaran, khususnya generasi muda yang jurang kefahamannya dengan pengaruh sekitarnya yang cukup membimbangkan. Di sini, letaknya kebijaksanaan dan kesabaran pendakwah dan pendidik merancang lantaran musuh Islam, bukan saja merancang, malah sedang melaksanakannya.

- Prof Dr Sidek Baba


Murabbi. Iaitu orang yang berjiwa pendidik. Insan-insan murabbi kian hilang dewasa ini. Masih kami teringat sewaktu awal penglibatan dalam arena dakwah, kami selalu dibimbing abang-abang dan kakak-kakak senior yang merupakan murabbi buat kami.

Namun, murabbi yang membimbing kami hanya sebentar. Sebaik saja kami melangkah ke alam kampus utama di Gombak, tiada murabbi yang benar-benar menjaga kami. Akibatnya kami juga tidak dapat menjadi insan berjiwa murabbi yang sebenar untuk membimbing generasi seterusnya.

Akibatnya, generasi kini bagai terumbang ambing mendayung sampan menuju ke muara. Teknik mendayung tak sempat diperturun. Mungkin juga kerana kami kurang pengetahuan mengenainya. Dan rasa tak layak mengajar ilmu yang tak lengkap. Usah bicaralah soal mereka yang memandang sinis, pastinya kalau diajar pun, tak berguna.

"Nah, kita tak boleh teruskan keadaan ini kekal. Kita harus membantu mereka meneruskan perjuangan.. "

Ini bukan kerjaya pilihan aku


Sejauh mana kerjaya kita hari ini adalah pilihan sendiri? Cuba tanya diri kita adakah ini kerjaya yang kita idam-idamkan?

Kalau ingat zaman kecil-kecil dulu, ramai nak jadi polis, bomba, askar atau doktor. Tapi itu hanyalah kata-kata kosong tanpa memikirkan realiti masa depan dan minat mendalam yang sebenar.

Selepas berjaya menamatkan pengajian tinggi di IPT, masih ramai juga yang tak pasti apa kerjaya yang dia inginkan.

"Dah aku belajar undang-undang, mestilah jadi lawyer.."

Ada yang merasakan kerjayanya mestilah daripada bidang yang dia pelajari. Atau..

"Alah, kerja apapun tak kisah.. asalkan ada gaji.."

Ada yang merasakan kerja itu yang penting, tak kisahlah apa kerja pun, sebab gaji sangat diperlukan. Apatah lagi kalau berhutang dengan Pakcik PeTPeTiN.

Kalau mamat yang sangat memilih, mungkin dia menganggur saja kot. Itu kononnya terbaik bagi dirinya.

Jadi, cuba tanya diri anda sendiri? Apakah kerjaya yang anda ceburi hari ini adalah kerjaya yang anda inginkan? Yang anda ada passion dalamnya?

Kenapa aku tanya begini? Sebabnya akhir-akhir ini aku dapati lebih ramai orang yang aku berurusan mengakui mereka kerja begini dan begitu kerana terpaksa.

Maka, tak hairanlah makin banyak perkara jadi huru-hara. Hilang rasa tanggungjawab dan amanah dalam bekerja.

Kebanyakan mengatakan, "dah takde pilihan lain.. aku kerja ni jelah". Oleh yang demikian, timbullah perkara sebegini:

  • Guru tidak berjiwa pendidik - mengajar untuk menghabiskan silibus bukan untuk mendidik pelajar menjadi bijak pandai

  • Polis makan rasuah - jenayah sukar dibendung khususnya jenayah melibatkan dadah (sebab mereka juga bekal dadah untuk penagih/pengedar)

  • Pengawal keselamatan banyak tidur dan lemah - keselamatan pengguna tak terjamin

  • Pegawai kerajaan malas - pelanggan tak dilayannya khususnya pada waktu menghampiri waktu rehat dan waktu habis kerja.

  • Ahli politik retorik kosong - mengejar kemewahan melalui projek-projek dan suapan yang diterima dek kerana kuasa yang ada.

  • Pendakwah yang hipokrit - menjadi glamer kerana inginkan kemewahan hasil ceramah sana sini
Ini adalah antara contoh realiti yang aku berdepan dengan mereka. Bukan dari sumber sekunder. Contoh ini adalah sumber primer.

Tak aku nafikan, ada yang sangat berjaya dan berguna dalam kerjaya yang dia ceburi sekarang. Sebabnya mereka ada passion dalam kerjanya. Sebabnya mereka benar-benar inginkan kerjaya itu. Sebabnya mereka ikhlas, bertanggungjawab dan amanah.

Kita bagaimana? Marilah sama-sama kita muhasabah diri. Ramai yang tenggelam dek kerana duit hingga terlupa tujuan sebenar kerjaya itu diwujudkan.

Tiada hak privasi di SOGO

Apa yang nak aku ceritakan mungkin mengaibkan diri sendiri pada pandangan kalian. Tapi aku rasa ia wajar dihebahkan secara rasional sebagai peringatan kepada semua. Bagaimana jika hak privasi anda diceroboh?

Tadi aku ke SOGO, Kuala Lumpur membeli barangan sepatutnya untuk persiapan perkahwinan. Setelah makan dan sebagainya, seperti biasa, aku ke tandas. Maklumlah perut meragam.

Sedang aku membuang air, aku perasan ada flash kamera. Sumbernya macam dekat saja dengan aku. Rasanya macam dari atas ruang compartment tandas aku. Tengok macam tiada orang.

Kemudian, aku ternampak bayang kaki orang menuju ke tandas sebelah. Hatiku ingat mungkin pengguna lain. Tiba-tiba bayang kaki tu cepat saja keluar dari tandas dan menuju deras ke pintu tandas aku. Aku hanya perhatikan pintu takut-takut dibuka.

Tanpa aku sangka, dengan pantasnya, tangan dia menghulur ke ruang bawah pintu yang sememangnya terdedah dan merakam gambar aku, dengan sekelip mata. Apa??? Tak usahlah ditanya keadaaanku bagaimana waktu itu.

Aku fikir ingin menjerit. Tapi otakku segera terfikirkan dahsyatnya penjahat di Malaysia sekarang ini.

Kalau aku menjerit karang, dirempuhnya pintu tandas dan pukul aku macam mana?
Macam mana kalau aku ditikamnya pula?
Boleh ke aku bergelut dengan dia dengan keadaan tak berpakaian lengkap?

Macam-macam persoalan keluar hinggakan tiada tindakan spontan berani aku ambil. Waktu itu memang hanya aku saja yang ada dalam tandas sebab keadaan sunyi sepi.

Sesudah melepaskan hajat, aku segera bertanyakan penjaga tandas yang nampak lesu dan mengantuk. Dia tak perasan apa-apa. Bahkan tiada rasa cemas pun.

Mujur ada seorang kakak yang menyapa ,"Oh, dik akak nampak ada sorang foreigner tu pakai baju hitam tinggi-tinggi muka macam orang Arab.. dia pun tangkap gambar depan McD.. ntah siapa-siapa punya gambar dia tangkap."

Apa lagi, aku dan akak tu pergi cari dia. Tiada di tingkat bawah. Aku ternampak Pak Guard dan dapatkan dia untuk minta tolong tahan lelaki itu.

"Oh, awak kena buat report dulu. Pergi tingkat atas dan beritahu guard depan pintu utama.."

Apa??? Dia suruh aku pula yang bersusah payah. Dia dengan riak wajah bosan terus menuju ke tandas kerana ingin buang air.

Sambil itu, akak tadi pun dah pergi ke tingkat lain memeriksa mamat tu. Aku segera dapatkan guard yang dimaksudkan tadi.

"Oh macam tu.. tulah teruk ya. Berapa ramai? Muka dia macamana? Dia ada kat mana sekarang?"

Grrrrrr... Apa ni? Dengan wajahnya yang selamba, dia bertanyakan soalan yang aku tak boleh nak jawab. Dan dia senyap saja lepas berikan komen biasa itu. Tanpa sebarang usaha minta kawal semua pintu. Aku yang minta dia arahkan semua pintu dikawal dan kenalpasti mamat tadi.

Aku mencari-cari lagi dan hasilnya gagal. Hanya dapat ucapkan terima kasih kepada akak yang satu-satunya orang prihatin waktu itu. Selepas itu aku berhasrat ke tingkat 7, pejabat pengawal untuk laporkan perkara ini.

Dalam perjalanan menuju ke lif, aku jumpa kembali guard yang beri komen biasa tu. Aku dengan nada sedikit keras, beri komen tentang keselamatan dan kerjasama petugas yang menjaga tandas dan pengawal.

"Awak jumpalah bos saya.." Dia minta aku jumpa bos sambil memperkenalkan siapa bosnya itu.

Bosnya ialah pengawal pertama yang aku jumpa tadi. Yang suruh aku ke tingkat atas. Ahhh, begini ke bos yang mengepalai pengawalan keselamatan di sini? Kata-kata aku hanyalah perkara kosong baginya. Dia cakap dalam keadaan lesu dan nampak langsung tak prihatin.

"Nanti pukul 6, saya masukkanlah isu ini dalam meeting"

Hanya itulah janji dia kepada aku. Dia cakap memang tak boleh tolong sebab tak dapat kesan langsung bagaimana rupa dan ciri-ciri mamat tu. Aku bukan persoalkan pertolongan tu, hanya sikap yang tidak sungguh-sungguh itu yang menyakitkan hati.

AMARAN: Kepada semua rakyat Malaysia, atau pengunjung ke Malaysia.. Sila buang air di rumah atau di masjid berdekatan. Jangan terpedaya dengan pasaraya hebat yang konon dikawal rapi. CCTV di kawasan tandas pun tiada.

Mohon doa rakan-rakan agar kamera mamat tadi rosak dan dia ditimpa musibah yang dapat menginsafkan dia. Aku harap sangat Allah membalas perbuatan jahatnya itu dengan balasan yang keras.

Tinggal 10 tahun untuk Malaysia musnah


Tadi aku solat Jumaat bersama ahli kariah Darul Aman Height buat kali pertama. Kebetulan khatib juga menyentuh bab akhlak dan adab remaja.

Khatib dengan beraninya menyatakan kerosakan akhlak di kalangan remaja ini semakin parah dan mengundang kemusnahan alam dalam tempoh SATU dekad lagi. Maknanya dalam tempoh 10 tahun ini, jika masalah ini tidak diselesaikan, maka kemusnahan akan berlaku.

"Pengaruh media adalah perosak utama," kata khatib penuh bersemangat. Media massa yang memaparkan budaya dan aksi tidak senonoh menjadi ikutan para remaja. Kebebasan yang diperjuangkan mereka diikuti golongan remaja.

"..televisyen, internet, ASTRO.."

Ada benarnya apabila hari ini ramai generasi muda lebih gemar menonton televisyen berbanding hidup bermasyarakat. Rakan-rakan berkumpul hanya untuk berhibur.

Masalah akhlak atau moral tidak dibangkitkan pun di China. Kenapa agaknya? Tak pernah lagi kedengaran berleluasanya kes pelajar kurang ajar kepada guru. Kes rogol dan bunuh. Kes ragut. Kes samun dan rompak.

Berdasarkan pengalaman aku, pengaruh Barat disekat di sana. Mungkin benar apa khatib cakap tadi. Rancangan televisyen tempatan sangat banyak diisi dengan rancangan acuan sendiri.

Terdapat juga rancangan Barat tetapi dialih bahasa ke bahasa Mandarin. Hanya filem-filem tertentu dibenarkan masuk.

Internet. Di sana penapisannya sangat teliti. Sebarang bentuk maklumat berunsur lucah diharamkan. Sama nasibnya dengan pemblog yang diharamkan akses di sana.

Masyarakat di sana tidak didedahkan dengan produk-produk Barat. KFC dan McDonald tak tumbuh melata seperti KungFu (restoran ala KFC produk tempatan). Bank-bank terkenal dunia bukanlah bank pilihan rakyat kerana mereka ada Agriculture Bank of China, Bank of China, China Development Bank, dan banyak lagi bank-bank tempatan.

Bergaya? Generasi mudanya pun bergaya. Tapi kebanyakannya bergaya dengan pakaian jenama mereka tersendiri yang mungkin kalau dijual di Malaysia tak selaris DC, Gucci dan seumpamanya. Mereka gah dengan diri mereka.

Dalam hal ini, kerajaan yang banyak membantu mengubah keadaan masyarakat. Segala yang dibuat adalah atas faktor polisi kerajaan yang mengawal segalanya.

Bukankah budaya Melayu (dikhususkan kepada Melayu sebab banyak pemimpin Melayu) itu penuh adab kesopanan? Kita kena gah dengan budaya kita. Bagaimana? Melalui produk kita jugalah. Apa produk yang kita ada?

Kini China sudah mulai melonggarkan polisinya. Adakah keadaan yang dirasakan lebih selamat daripada Malaysia ini akan berkekalan setelah polisinya diubah?

Kita tunggu dan lihat. Tapi di Malaysia, kita tak boleh tunggu dan lihat. Kena bertindak dan lihat. Tinggal 10 tahun saja lagi..Mmm..

Ke mana hilangnya adab?


"Eleh, harap rumah je besar.. tak mahu la datang lagi" "Kedekut!!!"

Wah, garang sungguh budak berumur 5 tahun itu. Waktu itu aku sedang ziarah raya di sebuah rumah besar. Rumah bak istana dikelilingi rumah-rumah kayu tradisional itu jelas berbeza berbanding yang lain.

Kenapa kanak-kanak sekecil itu tidak beradab? Isu adab ketika beraya yang disentuh Rin pun menarik perhatian aku. Nak salahkan siapa dalam hal ini? Memang sejak akhir-akhir ini generasi pengganti kita ini semakin hilang adab.

Adab yang hilang dalam diri si kecil pasti ada kaitannya dengan si besar. Siapa si besar yang selalu dampingi si kecil? Pastinya si besar itu adalah mak ayahnya.

Jalan menundukkan kepala sewaktu melintasi golongan dewasa. Beri salam atau tegur sapa ketika berselisih dengan orang tua. Bercakap sopan menggunakan perkataan yang sesuai sewaktu berinteraksi dengan mereka. Merendahkan suara bila bicara. Dan banyak lagi adab-adab yang ditanam oleh datuk nenek moyang makin hilang seiring hilangnya datuk nenek moyang kita.

Entah-entah mak ayah zaman moden tidak mengambil ilmu dari datuk nenek moyang kita. Yalah, sibuk cari duit. Mana ada masa nak berguru. Nak didik anak kan dah ada sekolah.Anak buat hal, pujuk dengan materi.

Hilang unsur rohani dan nilai dalam diri. Pembangunan negara pun tak pentingkan sangat hal ini. Lama-kelamaan semuanya jadi kebiasaan.

Mak ditendang. Ayah dimaki. Adik dijadikan teman sekatil. Abanglah rakan sejudi. Kawan-kawan sahabat sejoli. Salah siapa lagi?

Sebenarnya tuan rumah besar tadi terlebih dahulu menghalau anak-anak kecil itu datang beraya ke rumahnya..Mm..

Tok Umi tahu dia akan pergi



Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi (Thaahaa : 55)


Semalam adalah hari pemergian Tok Umi, emak kepada ayah aku yang meninggalkan dunia ini pada 11.00 pagi. Aku dan keluarga yang dikejutkan dengan berita ini segera bertolak ke Pantai Dalam, Petaling Jaya untuk menziarahi arwah Tok Umi.

Berita yang diterima agak lambat dan kami hanya dapat bertolak pada jam 2 petang. Dalam perjalanan terserempak dengan Mak Long yang kemudiannya sama-sama bergerak menuju ke destinasi.Di hentian Tapah, kami bertemu pula dengan Pak Su sekeluarga. Kami seterusnya berkonvoi menuju ke sana.

Perjalanan kami diuji dengan hujan yang sangat lebat sejak dari Kedah hingga ke Perak. Ini menyukarkan perjalanan untuk tiba awal sebelum pengebumian Tok Umi.
"Kebumikan awal. Jangan dilengah-lengahkan. Tak perlu tunggu kami."

Ayah berpesan kepada Pak Lang agar Tok Umi dikebumikan segera. Pada masa itu, keadaan di sekitar kediaman Pak Teh, tempat Tok Umi menghembuskan nafas terakhir, dalam cuaca yang tenang, hujan tidak, panas pun tidak.Segala urusan pengebumian mudah dilaksana.

Setibanya kami di rumah Pak Teh, tahlil sudah pun selesai. Pada jam 9 malam itu, aku dan ayah masuk ke rumah sementara yang lain sedang menjamu selera. Bertemu Pak Lang, bersalaman dan mendapatkan berita kematian.

"Mak sempat habiskan baca Yasin sebelum pergi"
"Ana dapat ajar mak mengucap"
"Semalam mak baru saja raya lepas selesai puasa enam"
"Raya baru ini mak tanya siapa pula yang akan pergi raya kali ini"

Tok Umi juga mencari-cari kain batik lepas sebelum pemergiannya dengan pesan mudah kalau-kalau hendak meninggal nanti. Sempat juga Tok Umi khatam Quran 2 kali dalam Ramadhan lepas.


Sila layari blog Huzaifah untuk lebih banyak gambar

Nyonya minta doa pada Allah



Setelah berhari raya, inilah masa untuk aku meraikan pula dia yang aku sering ceritakan dalam entri-entri di China.

Dia yang bernama Thien Fuimein adalah seorang muallaf yang diberikan hidayah oleh Allah kepadanya dan diberikan kesempatan kepada aku dan rakan-rakan Melayu lain untuk membimbingnya.

Atas pelbagai urusan, aku dengan bantuan beberapa rakan, membawanya ke serata tempat. Penghujung urusan rasminya, dia luahkan hasrat untuk bercuti di Melaka.

Gambar di atas diambil di hadapan Masjid Kampung Hulu yang dibina sejak 1720 lagi. Masjid yang terkenal dengan karamah doa dimakbulkan Allah walaupun doa diminta oleh bukan Islam itu adalah sesuatu yang menarik perhatian.

"Encik, boleh saya masuk bagi sedekah?"
"Sedekah? Saya tak tahu.. cuba masuk dulu"

"Encik, saya mahu bagi RM2 ini untuk masjid"

Lantas seorang Muslim yang duduk-duduk di luar masjid mengambil duit tadi dan dimasukkan ke dalam tabung.

Terima kasih. Itulah ucapan yang diulangi nyonya itu dan terus menuju keluar sambil menjinjing dua beg plastik berisi barangan yang baru dibelinya.

Aku meluru ke arahnya dan memulakan perbualan.

Aku : Nyonya buat apa tadi?
Dia : Bagi sedekah, nak..
Aku : Untuk apa nyonya sedekah?
Dia : Mahu kasi baik semuanya. Saya ada lembu. Ada anak. Ada rumah. Semua mahu kasi selamat.
Aku : Nyonya mahu minta sama siapa?
Dia : Sama Tuhan. Kita punya Tuhan sama. Satu Tuhan saja.
Aku : Oh, Allah.. nyonya minta sama Allah mesti nyonya dapat punya.
Dia : Yalah, yang penting nanti akhirat hidup kita senang.
Aku : Nyonya ini orang Melaka Cina Baba ya?
Dia : Ya.. saya duduk Rumbia sana. Ini saya datang naik bas beli barang. Habis tu, saya tengok-tengok duit sudah cukup naik bas mahu balik. Lebih ada lagi RM2 saya bagi sama masjid.
Aku : Baikla nyonya..jalan baik-baik ya. Nanti Allah kasi selamat.
Dia : Ya, nak.. terima kasih.

Ayah Malie meninggal dunia



Hari ini aku bersama Hakim, Malie dan isteri, dan rakan-rakan dari China berkunjung ke rumah pegawai Imigresen Malaysia di China yang kini menetap di Klang. Kesempatan ini digunakan untuk mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.

Kemudian aku bercadang dengan Malie untuk terus menjamu sup sebagai hidangan malam sebelum masing-masing pulang. Dalam perjalanan, dia cakap dia tak jadi ke warung yang ingin dituju. Dia terpaksa pulang kerana ayahnya terlibat dalam kemalangan.

Jam menunjukkan pukul 8.45 malam dan ayahnya dikhabarkan sedang kritikal. Dia langsung menuju ke kampungnya di Batu Pahat setelah dihubungi emaknya.

Pada jam 1.29 pagi, aku dimaklumkan Malie melalui sms ayahnya sudah meninggal dunia. Dia masih dalam perjalanan sewaktu entri ini ditulis.

Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat ayahnya dan doakan agar diampunkan segala dosa dan dicucuri rahmatNya ke atas allahyarham.

Restoran Han Kook Kwan


Semalam aku diundang ke restoran makanan Korea. Encik Lee, kenalan aku sewaktu bertandang di Korea pada bulan Julai lalu kini berada di Kuala Lumpur.

Dia yang merupakan pelajar Masters jurusan linguistik Melayu bekerja secara separuh masa di Han Kook Kwan sebagai pengurus promosi. Restoran ini terletak di Tingkat 4 Menara Etiqa berhampiran KLCC.

Seperti dalam entri aku terdahulu, aku pernah ceritakan betapa ramahnya Encik Lee. Dia sangat suka ketawa dan bersoal jawab. Apabila diceritakan tentang sesuatu berkenaan Islam, dia pasti tertarik untuk mengetahui lebih lanjut.

Kami memesan makanan Korea seperti yang pernah kami makan dulu. Sememangnya sangat kenyang. Tapi dalam banyak-banyak makanan yang disaji, minuman penutup sajian paling aku gemari.


Air yang dibuat daripada rebusan kulit kayu manis dicampurkan dengan gula dan disimpan dingin sebelum disajikan ini kata isteri Encik Lee mudah saja untuk disediakan. Rasanya sungguh enak.

Setiap kali kita berbual bersama sesiapa saja khususnya masyarakat bukan Islam, aku selalu berpesan untuk cuba selitkan unsur Islam ke dalam diri mereka. Bukankah itu sudah menjadi tanggungjawab kita untuk berikan mereka faham tentang Islam yang sering disalahfaham.

Apatah lagi zaman kini Islam dilabel sebagai agama pengganas. Kita seharusnya tunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mudah dan menyeru kepada keamanan dan kesejahteraan. Konsep ketuhanan yang kita imani boleh disampaikan kepada mereka agar setidak-tidaknya mereka faham agama anutan kita.


Inilah Encik Lee bergambar bersama aku dan Hakim, sukarelawan GPTD yang berkesempatan mengikuti Kembara Dokumentasi Korea pada Julai 2009. Semoga perhubungan kami akan berterusan kukuh atas tali persaudaraan sedarah sedaging nabi Adam.

Aku masuk JELITA keluaran Okt 2009





Kepada semua pembaca blog yang budiman, kali ini aku cadangkan kalian beli majalah JELITA keluaran Oktober 2009. Itu pun jika kalian ingin tahu lebih lanjut tentang aktiviti dakwah yang aku sertai selama ini.

Di kesempatan ini jutaan terima kasih diucapkan kepada Kusyi Hirdan, wartawan yang menemubual aku untuk ruangan Prihatin di mukasurat 200.

Tok Guru benarkan main nombor



Cuba kalian klik pada gambar di atas. Baca sebentar. Apa pendapat anda?

Abangku selamat diijabkabul

Alhamdulillah abangku telah selamat diijabkabulkan pada hari ini pada jam 11.15 pagi di Felda Jengka 24. Mudah saja urusan pernikahan yang dilakukan jurunikah. Perkara baik sebegini seharusnya dipermudah tanpa sebarang percanggahan adat yang menyusahkan.

Tahniah abang. Semoga bahagia hingga ke syurga.. Ameen

Hari Raya Kedua

kuala linggi 1
Sebelum ke kampung datuk di Kuala Linggi, kami singgah di rumah jiran rapat lama. Mereka baru kehilangan permata bongsu yang menjadi mangsa kedengkian manusia dengan menggunakan ilmu hitam.Selama 19 tahun anaknya menderita sebelum pergi meninggalkan dunia ini.

kuala linggi 2
Kami pun kemudiannya tiba di Kuala Linggi. Sudah kebiasaan, setiap raya kedua kami pasti ke sini untuk ziarah golongan terdahulu yang membina generasi sedia ada. Ada satu rumah tu selalu sangat dijadikan tempat shooting untuk drama Melayu terbitan Rosyam Noor. Maklumlah orang Melake..

nekkiahdin
Malam hari kami dijemput ke rumah Nek Kiah Din. Rumah terbuka menghidangkan laksa dan macam-macam juadah. Jumpa Mak Su sekeluarga yang datang dari KL. Minggu depan dia nak ke Paris sambung belajar. Mujur sempat jumpa.

Hari Raya Pertama di Melaka

solat selesai
Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, aku sekeluarga berkesempatan mengambil gambar di hadapan masjid Al-Alami MITC Melaka. Waktu ini abang aku tiada sebab dia sudah pulang ke rumah terlebih dahulu.

rumah mona
Lazimnya seusai menunaikan solat Eid, kami pasti bertandang ke rumah jiran lama. Ayah diminta baca tahlil arwah dan doa selamat. Kunjungan kali ini terasa suram sedikit kerana ahli keluarga jiran ini baru ditimpa malang.Moga Allah permudahkan segala urusan yang sedang mereka hadapi.

nekkiah
Ini rumah nenek saudara aku. Namanya Nek Kiah. Inilah antara orang kuat keluarga besar kami yang biasanya akan menjadi orang yang sibuk tatkala ingin menyambut menantu.Akhir tahun ini, anaknya (sepupu aku) akan menamatkan zaman bujangnya.Selepas dia, abang aku pula. Dan... kemudiannya ada lagi.

nek mami
Rumah ini sangat nyaman. Nenek Mami punyai anak dan cucu yang ramai. Kagum aku lihat rumah ini yang cukup sesak dengan orang tapi kebersihan terjamin. Rumah tak berselerak. Kemas. Mami ini sejak dulu suka sangat berikan nasihat. Aku suka dengar kata-kata nasihat yang bersulamkan nilai agama ini.

Itulah saja bingkisan raya pertama kami di Melaka. Lepas ini nak keluar beraya lagi..

Salam Aidilfitri 1430 H



Bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang, terimalah e-kad ini sebagai ganti kad raya untuk tatapan semua. Moga bertemu lagi selepas Syawal nanti.

Mari cipta perniagaan yang menguntungkan


Setelah menjelajah beberapa kampus berkongsi pengalaman, aku dapati tidak ramai generasi muda berminat tentang kerja sukarelawan atau dakwah. Mungkin kerana kurang hebahan atau memang hakikat zaman kini, budaya senang dan selesa itu lebih mendasari hidup generasi muda. Allahua'lam.

Dalam pada itu, tahniah aku ucapkan kepada semua yang terlibat. Bukan bermakna kita hebat. Tapi kerana kita terpilih oleh Allah untuk berada di jalan ini. Walaupun kuantiti tidak seberapa, diharapkan kualiti terjana.

Di kesempatan yang ada, sempat juga aku berbincang soal masa depan generasi pelapis. Termasuk kelangsungan gerakan dakwah oleh GPTD kerana wujudnya suara sumbang yang membingitkan telinga.

Aku sangat berharap agar penyumbang suara itu dapat kerap turun ke kampus juga agar melihat realiti generasi harapan kita. Mereka tak ramai. GPTD tawarkan alternatif. Yang lain juga punya cara tersendiri. Alangkah baiknya setiap kita yang berdakwah ini mempunyai grup sasaran berbeza. Agar tak ramai itu akhirnya membentuk kelompok yang mengarah ke tujuan yang sama.

Biarlah kita sediakan menu pelbagai. Ada laksa. Ada mee goreng. Ada nasi ayam. Ada bakso. Dan lain-lain. Sebabnya kalau hanya ada laksa, tak mungkin semua orang berminat makan laksa. Maka, rugilah perniagaan kita. Yang penting ialah kita fikirkan bagaimana perniagaan kita boleh untung dan terus untung.

Mencari malam al-Qadr

Hajat aku mencari malam al-Qadr di akhir Ramadhan biasanya dilunaskan dengan beriktikaf di masjid. Aku ceritakan pada dia tentang kehebatan Ramadhan pada malam yang dikatakan lebih baik daripada 1000 bulan.

Dia terpegun dan ingin berusaha lakukan ibadah di malam-malam terakhir. Walaupun baru memeluk Islam, hatinya sangat kuat ingin beribadah. Rumahku di sana sudah dijadikan pusat agama. Cadangan untuk bangunkan malam-malam akhir di sana terpaksa dibatalkan kerana aku perlu pulang ke Malaysia.

Moga Allah beri kekuatan kepada mereka yang aku benarkan menginap di rumahku itu untuk membimbing saudara baru ini dan terus menerus mewujudkan persekitaran cintakan agama.



Selepas aku makan-makan di Cyberjaya bersama Hammad, kami cuba beriktikaf di masjid sekitar Putrajaya. Terkejut aku dengan layanan kerajaan terhadap jemaah yang ingin ke Masjid Putra. Langsung tak menggalakkan penghidupan malam-malam terakhir. Semua jalan ditutup untuk ke masjid. Siapa tahu rasionalnya, tolong jawab!

Langsung aku diajak Hammad ke Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin. Masjid baru ini lengang. Lalu kami masuk bertanyakan pengawal yang sedang bermain dam tentang kebenaran beriktikaf di masjid. Dia benarkan. Alhamdulillah.


Tidak seperti masjid kegemaranku (Masjid KLCC), masjid baru ini tiada jemaah yang menghidupkan malam-malam akhir. Barangkali ia masih sangat baru.

Moga Allah temukan kita dengan malam al-Qadr.. Ameen.

Malaysia tanah airku


Alhamdulillah, aku selamat tiba di tanah airku pada 6.45 petang semalam. Sebaik tiba, aku terus ke Putrajaya dan disambut oleh Hammad yang belanja makan di Restoran Saba, Cyberjaya. Tak lama kemudian, Malie dan isterinya, Farah juga anaknya Aryan Ghazi bersama-sama menikmati juadah hidangan Timur Tengah.

Berikut adalah jadual yang telah diaturkan untuk aku sepanjang berada di Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Kedah pada 14 September ini. Ruang yang ada selepas iftar nanti akan dimanfaatkan dengan perkongsian pengalaman bersama adik-adik IPT. Masyarakat awam juga dijemput sama.

9 Sept - UIAM, Gombak
10 Sept - Kolej Lagenda, Nilai
11 Sept - UNISEL, Batang Berjuntai

Siri Ramadhan China: Berlepas ke Malaysia


Kelmarin aku dan rakan-rakan pelajar Jinan ke Baiyun Orient Hospital. Terletak agak jauh dari bandar tempat kami bermukim.

Kami menziarahi ADUN Gua Musang, Che Hashim Sulaima, 45, yang menghidap penyakit barah paru-paru. Seorang yang sangat rendah diri ini mengenali salah seorang pelajar Jinan.

Apa yang menarik, di tingkat 4 hospital itu, kami terasa seperti di Malaysia. Semua pesakit adalah warga Malaysia.

Hospital ini terkenal dengan kepakarannya merawat sebarang jenis barah menggunakan kaedah yang tiada di Malaysia kerana berisiko tinggi. Antara lain kaedah Stem Cell dari janin yang digugurkan (akibat polisi 1 anak di China) digunakan selain kimoterapi.

Alhamdulillah, YB sendiri sudah beransur pulih dan dijangka pulang untuk berhari raya sebelum kembali ke sini menjalani rawatan susulan.

***


Semalam adalah hari terakhir aku berbuka puasa di China. Aku rasa sedih untuk tinggalkan China kerana Ramadhan di sini telah mengeratkan hubungan silaturrahim aku dengan Muslim China. Selepas ini, mungkin sukar untuk bertemu dengan mereka lagi.

Dan semalam juga, aku cukup seronok kerana pengislaman dia, rakanku itu telah direkodkan secara rasmi melalui Persatuan Muslim Guangzhou. Kepayahan untuk mendapatkan pengesahan persatuan itu sangat berbaloi.

***

Semalam adalah hari ulangtahun kelahiranku. Subhanallah, ramai sungguh orang yang ingat tanggal ini. Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan dan doa-doa yang mengiringi aku. 25 orang jumlahnya. Mujur ada Facebook dan blog juga teknologi telefon yang memudahkan perhubungan.

***



Hari ini aku akan berlepas ke Malaysia dari Guangzhou menaiki pesawat MAS pada pukul 3.00 petang dan dijangka tiba di KLIA pada 7.00 malam. Kepada Hammad dan Malie yang sudi mengambil aku, kita jumpa di stesen Putrajaya ok! InsyaAllah aku akan telefon korang. [Malie, ko tanya Hammad camana plan]

Kepada semua ahli GPTD, insyaAllah kita akan berjumpa dalam siri Kembara Ramadhan.
Banyak perkara boleh kita bincang bersama. Mari sebarkan rahmat ke serata alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...