header-photo

Orang lain lagi teruk (97 pp)


Rakaman CCTV sebelum kanak-kanak ini dilanggar
Akhirnya kanak-kanak ini meninggalkan satu pengajaran kepada kita
Sudah lama aku nak tulis fenomena ini. Masih ingat Malaysia kecoh dengan kes anak kecil dilanggar van dan tidak diendah 18 orang yang melewatinya? Bermula dari kes itu, ramai pula yang mengutuk warga China yang tak berperikemanusiaan.

Bertambah buruk apabila ramai salah faham mengatakan undang-undang China melarang bantu orang dalam kemalangan. Secara berbanding, lebih daripada 18 orang warga Malaysia bukan saja tidak membantu mangsa kemalangan, malah mereka merompak pula. Bukankah ini lebih teruk?

Syiling yang berterabur dikutip oleh sebahagian masyarakat  Malaysia yang 'prihatin'

Media massa memang suka buat sensasi, dan malang bagi kita yang menerimanya bulat-bulat. Usah biarkan mereka bentuk pemikiran kita. Banyakkan membaca dari pelbagai sumber.

Lori beras yang terlibat dalam kemalangan memberi 'rezeki' kepada sebahagian masyarakat Malaysia

Dare to follow Rule 100? (97 words)

Mulai hari ini, aku nak perkenalkan 'Peraturan 100'. Ini bermakna aku adalah pemblog yang hanya menggunakan maksimum 100 patah perkataan. Tak kiralah aku taip BM atau BI mesti ikut peraturan ini. Selain pembaca senang membacanya, aku sendiri pun taklah meleret-leret bercakap menaip. Jadi, dapatlah aku disiplinkan diri agar menaip perkara penting saja. Ingat lagi tak waktu sekolah dulu kita kena buat rumusan maksimum 100 patah perkataan? Bukan mudah, tapi inilah latihan yang baik. Aku juga akan letakkan jumlah patah perkataan pada tajuk entri. Siapa mahu sahut cabaran, ayuh dapatkan batch di atas dan letakkan pada blog anda..dan berusahalah!

p/s: Tiga kali aku edit intro untuk dapatkan jumlah patah perkataan ini. Fuh, susahnya..

Senyap seketika

Maaf.
Aku terpaksa senyap seketika.
Hanya selepas 25 Disember 2011 barulah aku kembali.
Sedang bertungkus lumus menyelesaikan bahagian terakhir.
Doakan yang terbaik buat sahabatmu ini.
Tugasan hampir selesai.
Peperiksaan bakal tiba.
Kerjaya sedang dicari.

InsyaAllah, kita kan bertemu lagi.

Artikel aku di UTUSAN


PADA setiap kali Ramadan, Global Peace Mission (GPM) Malaysia pasti akan menghantar rombongannya ke Kemboja untuk menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia kepada mereka yang memerlukan.

Berbeza daripada tahun lepas, keperluan yang diutamakan pada tahun ini bukan lagi baju kurung atau baju Melayu. Muqaddam dan al-Quran adalah keperluan mendesak yang didambakan oleh kebanyakan generasi muda yang cintakan agama.

Madrasah-madrasah sekitar Kemboja tidak begitu banyak perubahan sejak awal GPM mula berkunjung ke sana. Meskipun sesetengahnya telah mendapat bantuan pembinaan bangunan baru, keperluan asas pengajian masih tidak mencukupi.

Sememangnya bulan Ramadan yang baru lalu, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan tilawah al-Quran selain menunaikan ibadah-ibadah sunat yang lain. Begitu jugalah harapan masyarakat Islam Kemboja yang dahagakan amalan sebegini khususnya golongan pelajar madrasah.

Namun, kekurangan sumber rujukan seperti muqaddam dan al-Quran membataskan pelaksanaan ibadah itu.
Senaskhah muqaddam terpaksa dikongsi antara empat ke lima orang untuk dibaca.

Al-Quran pula hanya dapat dirujuk ustaz yang mengajar. Sedangkan para pelajar terpaksa membacanya secara hafalan langsung daripada apa yang dibacakan ustaz.

Selain membaca al-Quran, pemahaman atas makna ayat-ayat Kalamullah itu juga amat penting. Ini hanya dapat difahami melalui penerangan makna oleh ustaz dan ustazah yang mengajar...

[Teruskan membaca di Utusan Malaysia, 5 Oktober 2011]

Ayuh melancong ke Somaliland


Aku pernah bercerita mengenai Somaliland berbeza daripada Somalia. Aku juga pernah bercerita mengenai kepayahan mereka untuk menunaikan haji dalam entri Jom pergi haji naik kapal. Kali ini aku ingin berkongsi lagi.

Somaliland lebih aman dan stabil di rantau bergolak Somalia ini. Dalam kemunduran pembangunan, mereka maju dalam ekonomi pertanian dan stabil dalam politik. Banyak usahawan Malaysia sudah mula menjenguk ruang perniagaan di sana.

Baru-baru ini aku berurusan dengan mereka yang mempunyai kehebatan sistem pemindahan wang secara hawalah tanpa melalui sistem perbankan. Sukar untuk aku terangkan di sini tapi inilah cara terbaik yang dapat mereka cipta dalam melakukan pindahan wang antarabangsa.

Selepas ini, luangkan sedikit masa anda untuk menonton liputan Majalah 3 awal Ramadhan lepas mengenai Somaliland. Anda pasti terkejut bagaimana tukaran wang asing dibuat secara bebas dan selamat di pasar terbuka tanpa kawalan. 

Dan bertambah terkejut apabila mereka tinggalkan saja wang diselimuti kain untuk menunaikan solat di masjid apabila azan berkumandang. Sistem transaksi pembelian barangan juga hanya menggunakan sistem kredit telefon. Untuk memahaminya, tontonlah video di bawah.

Jika anda ingin melancong ke Somaliland untuk merasakan sendiri kebenaran liputan ini, aku bersedia untuk menghubungkan kalian, InsyaAllah. Begitu juga dengan siapa yang berminat untuk berniaga.

Hanya yang berkenaan boleh terus membaca


Anda lelaki ke perempuan? Jika anda lelaki, anda layak untuk terus membaca perenggan di bawah. Jika perempuan, boleh juga teruskan membaca. Selain daripada itu, sila henti membaca.

Baik. Lelaki dan perempuan. Jikalau kalian berumur bawah 40 tahun, kalian akan diutamakan untuk terus membaca. Pada usia ini, adakah anda rasa puas melakukan kerja yang sedang dilakukan atau sebaliknya? Jika tidak puas, boleh teruskan membaca.

Kepuasan dalam bekerja belum tentu dapat diberikan walaupun dibayar dengan gaji yang lumayan. Apatah lagi apabila merasakan kerja yang dibuat sehari-hari hanya untuk kepentingan diri dan seolah tak memikirkan orang lain. Anda setuju atau tidak? Jika setuju, teruskan membaca.

Ada sesetengah orang berasa puas melakukan kerja yang diminatinya walaupun tidak mendapat habuan yang tinggi. Contohnya, penyanyi jalanan, pemuisi, pelukis dan sebagainya. Mereka puas melakukan apa yang disukainya walaupun ganjaran duit belum tentu mencukupi untuk menampung keperluan harian. Hanya kerana ingin menyampaikan mesej kepada orang ramai, dengan rasa prihatin akan nasib orang lain, mereka berkarya menabur erti kemanusiaan. Cuba fikirkan satu perkara yang benar-benar anda minat untuk lakukan. Jika perkara itu juga berunsurkan kemanusiaan, sila teruskan membaca.

Selain menjadi penghibur atau karyawan, ada juga kerjaya lain yang memupuk semangat cintakan kemanusiaan. Bukan sekadar nasib masyarakat tempatan, tetapi kisah-kisah duka masyarakat dunia menjadi perhatiannya. Maka, bermusafirlah dia ke sana ke mari untuk berganding bahu sesama manusia. Anda punya kekuatan untuk sering bermusafir? Jika ya, teruskan membaca.

Ke mana saja, dicarinya manusia yang boleh membantu, agar dapat dia salurkan kepada yang perlu dibantu. Usahanya terancang, tidak membabi buta. Kalau perlu mesyuarat, akan diaturkan. Perhubungan moden menggunakan komputer bagi menghebahkan usaha, melalui facebook dan laman sesawang juga e-mel menambahkan efektif kerjanya. Selain berada di pejabat, dia sanggup ke lokasi bantuan dan ke mana saja untuk menjalin hubungan kerja. Anda rasa anda seorang yang mahir menggunakan komputer, boleh kerja dalam kumpulan, multitasking dan sukakan masa kerja fleksibel? Jika ya, teruskan membaca.

Keramahannya berkomunikasi cukup menyenangkan sesiapa yang bersamanya. Tidak kiralah dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris, dia boleh berbicara sekalipun tidak fasih. Walaupun tidak berkelulusan tinggi, dia boleh menguruskan kerja dengan baik. Walaupun bidang yang dipelajari tidak menjurus kepada minatnya tadi, dia boleh cemerlang dalam bidang yang diminati. Maka, tiada masalah jika anda minat apa yang anda lakukan. Ok, teruskan membaca.

Jika semua perkara di atas menepati diri anda, sila hantarkan resume anda ke gpmhq@yahoo.com. Bagi yang tidak menepatinya dan sepatutnya tidak membaca sehingga ke perenggan ini, sila maklumkan kepada mereka yang sepatutnya membaca.

Global Peace Mission (GPM) Malaysia adalah badan bukan kerajaan yang khusus menangani kerja-kerja kemanusiaan antarabangsa sedang mencari calon-calon eksekutif yang sesuai untuk mengisi bidang kerja berikut:
  • Pentadbiran
  • IT dan Media
  • Operasi
  • Kewangan dan Pemasaran


p/s: Aku mula terdedah dan berpeluang mengikuti misi kemanusiaan luar negara GPM sewaktu masih menuntut di tahun kedua universiti

Duty vs Right


Yesterday I was told by a lecturer in 'Ethics and Governance' class that duty and right are different. He made it simple. Duty is what others expect from you. Right is what you may claim for it.

"Duties come with obligations and rights come with claims"

After heard this, I found something else. Ya, still in the name of governance, but between 'slave' and 'Lord'.

It is our duty to perform whatever Lord expect from us. To do this, He prescribed everything in the Holy Book together with the sayings of His Messenger. Thus, all of them become obligations on us.

Once the obligations were duly exercised, we shall be rightful to have what He promised. Thus, our claims through prayers will then be fulfilled.

So, if our claims not being granted, it seems like we don't deserve the right. Why? Perhaps the duties were not so well performed. Hmm... simple analogy from the deep of my thought.

p/s:  Care not only the human rights but also the duties to other human

Apabila baik bertukar buruk



Anda ada pisau di rumah? Apa gunanya pisau? Ya, untuk memotong sayur, daging, ayam dan sebagainya bagi memasak. Atau juga untuk memotong kertas dan kad bagi tujuan dekorasi. Maka, ia adalah baik kerana memudahkan urusan kita yang bermanfaat.

Tapi, ia boleh bertukar buruk, apabila digunakan kakak untuk bergurau dengan adik. Atau penjenayah yang cuba mengugut si gadis untuk memberikannya duit. Atau pembunuh yang dengan kejamnya menikam orang yang dibencinya sepuas hati.

Sama juga dengan pen, pensil, pembaris, pencungkil gigi, penyepit, sudu, garfu, sikat, dan banyak lagi benda yang ada di rumah. Jika disalahguna, maka ia boleh bertukar buruk.

 [Bacaan lanjut mengenai senjata dalam penjara]

Pernah kan kita dengar atau tonton drama bagaimana tahanan penjara mengasah berus gigi untuk dijadikan senjata? Pendek kata, tujuan itu penyebab kepada benda-benda tadi jadi baik atau buruk.

Facebook. FB. Ada yang memboikot atas alasan sendiri, tapi bukan isu itu yang ingin aku kongsikan. Isu aku ialah tentang penggunaannya.

Bagiku 'connecting people' bukan lagi milik Nokia sepenuhnya. Peranan itu diambil alih oleh jenama telefon seperti I-Phone dan BlackBerry dan aplikasi dalam talian.

Kalau dulu, generasi aku sibuk berkenalan dengan rakan baru menggunakan MIRC, kini generasi adik-adik lebih selesa dengan FB.

FB itu baik. Atau buruk. Bergantung kepada pengguna itu sendiri. Sama sifatnya dengan benda-benda fizikal yang ada di rumah tadi. Bezanya FB ini tak dapat dipegang dan bersifat maya.

Tahu tak anda, ada yang salahguna FB untuk tujuan 'human trafficking' iaitu pemerdagangan orang. Bagi mereka yang ingin mencari kenalan baru, jaga-jagalah kerana identiti dalam FB tak serupa dengan identiti sebenar seseorang.

Lain halnya jika kita berkenalan di kelas, sekolah, tuisyen, dan tempat-tempat lain. Perkenalan kita secara bertemu muka membuatkan kita boleh mengagak identiti seseorang berdasarkan perbualan, mimik muka, dan penampilan seseorang.

Malangnya jika kita sudah menjadi cukup rapat dalam alam FB, kita pun sudah menaruh kepercayaan kepadanya. Lalu, diaturkan pertemuan dan kita seronok pula ingin berjumpa. Tatkala bertemu barulah tahu siapakah orangnya. Bertambah malang apabila cinta sudah berputik pada si dia. Saat bertemu tak mahu dah berusaha mengenal identiti sebenarnya si dia. Ah, aku percaya dia.


Wahai adik-adik yang terjebak dalam situasi begini, jauhkan diri daripada terperangkap dalam perasaan cinta yang tak pasti. Atau pun mungkin kita tak bercinta, tapi sekadar mahu berkawan rapat. Dan jika mahu bertemu pun, pastikan ditemani ahli keluarga yang lebih tua.

Baru-baru ini, dua orang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah swasta dilaporkan hilang selepas dihantar ke sekolah akibat keluar ingin bertemu teman FB. Tempat pertemuan ialah di sebuah hotel ternama. Ibubapa terperanjat apabila polis mengesahkan kes hilang dalam masa yang sama melibatkan 10 orang.

Takdir Allah mendetikkan hati kedua pelajar tadi untuk kembali ke rumah apabila berasa tidak selesa menunggu di hotel. Maka, selamatlah mereka daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang. Ada satu sindiket yang sedang dijejak PDRM menggunakan FB sebagai umpan kepada kanak-kanak.


Apabila berkawan rapat dalam FB dan diajak mereka bertemu, di situlah mereka akan membawa kanak-kanak ini masuk ke bilik hotel dan dibotakkan rambut semua kanak-kanak perempuan ini agar mereka malu untuk keluar. Kemudian, diserahkannya kanak-kanak ini kepada broker yang akan menjualnya di Thailand untuk menjadi pelacur kanak-kanak [baca: mangsa Pedofilia].

Nah, FB yang asalnya baik bertukar buruk apabila ada pihak salahguna. Mangsa yang kurang faham tentang salahguna ini mulalah menyalahkan ibubapa yang menegur. Hanya apabila sudah terhantuk baru nak terngadah.

Cukuplah rasanya jika FB menjadi medan kita bertemu dengan rakan dan saudara yang sudah kita kenali atau berkaitan dengan kita. Jika mahukan kenalan baru, waspadalah setinggi-tingginya. Sebagai ibubapa, pantaulah kegiatan anak-anak di FB. Banyak jenayah hari ini berlaku di luar sangkaan kita.

Keluarga terabai kerana BlackBerry


BlackBerry dikatakan pesaing kepada I-Phone. Kelebihan kedua-dua telefon pintar ini lebih dirasakan anak muda. Kalaulah kita berikan hadiah BB dan IP ini kepada orang tua kita, kegunaannya masih sekadar menelefon dan bermesej.

Generasi IT seperti kami ini lebih menghargai pemberian sebegini. Selain menggunakannya sebagai telefon, ia juga menjadi pengganti komputer. Selagi bateri masih bertenaga, selagi itulah talian internet terpasang.

Bagus memang bagus. Asyik-asyik dengar deringan ringkas menandakan mesej atau dinding muka buku (facebook) baru masuk. Jadi, tiadalah kita ketinggalan berita terkini mengenai orang yang berhubung dengan kita.

Apabila membeli belah, aku suka mencari makanan yang sah halal oleh JAKIM. Jadi BB membantu aku menyemak status halal produk. Mudah. Adakalanya perkataan pada kandungan barang yang dibeli tak difahami, semak saja pada Google, dapat juga jawapannya.

Sebagai orang yang banyak tugasan, perhubungan e-mel sangat penting. Deringan nada lain pula menandakan e-mel baru sudah masuk. Semak saja di BB dan langsung membalasnya. 

Banyak lagi aplikasi yang baik-baik seperti al-Quran sebagai pengganti kitab sebenar bagi membolehkan masa lapang digunakan untuk membacanya. Jika bosan, ada juga permainan disediakan. Tukaran wang asing semasa, kadar emas semasa, kamus ekonomi, dan lain-lain turut dimuatkan dalam BB.

"Engkau ni asyik-asyik mesej.."
"Mana ada, macam-macam benda lain boleh buat.."

Orang tua-tua mungkin tak faham akan kelebihan yang lain. Ada yang beranggapan pengguna telefon pintar semacam bermain mesej semata-mata.

Pada suatu hari aku terfikir, berapa banyak masa yang aku luangkan kepada BB berbanding keluarga di sisi? BB lebih rapat denganku pada setiap masa. Pantang 'menangis', aku terus melayannya. Adakala isteri dan anak memanggil ingin bercakap denganku, tapi aku dahulukan BB.


Oh, ini salah! Aku perlu disiplin diri. Tengok orang tua-tua dulu, mereka bertuah kerana tiada teknologi canggih yang membuatkan lebih masa dapat diluangkan dengan keluarga. 

Hari ini, kita disibukkan dengan dunia maya melebihi dunia realiti. Anak-anak berhari raya di kampung tapi membawa komputer riba bersama. Tidak lagi bermain di luar rumah, berkenalan sanak saudara dan berjalan-jalan menziarahi tetangga.

Facebook membuatkan diri ketawa. Youtube membuatkan diri tersenyum. Seolah-olah kita kenal benar orang di dalam alam itu, dan mereka juga kenal siapa kita. Malang sekali apabila saudara sendiri yang datang berziarah pun kita tak kenal. Apatah lagi jika kebajikan keluarga pula yang terabai.

Teknologi itu baik. Yang membezakannya menjadi sebaliknya ialah disiplin. Tiada disiplin, rosaklah kita. Kemahiran diri lebih banyak terbina dari pergaulan sosial di alam realiti. Di sinilah kekuatan yang perlu kita cari untuk hadapi cabaran masa depan.


Mangsa kebuluran Somalia terima sumbangan

Global Peace Mission (GPM) telah menghantar sejumlah USD10,000 sebagai bantuan awal kepada pelarian di Mogadishu, Somalia pada 25 Ogos 2011/25 Ramadhan 1432 untuk keperluan makanan selama sebulan. Penyerahan cek kepada saudara Hassan Syeikh Ali, wakil Yayasan Zam Zam Somalia telah diadakan pada tarikh yang sama di Balai Berita SINAR, Kumpulan Karangkraf.

 
 GPM telah menjalinkan kerjasama erat dengan rakan anggota Union of NGOs of Islamic World (UNIW) iaitu Yayasan Zam Zam Somalia bagi tujuan pengagihan bantuan makanan tersebut. Ini dilakukan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan memandangkan Yayasan ini lebih berpengalaman dan arif tentang keadaan di sana.

 
 Lokasi pilihan untuk bantuan awal ini ialah di daerah Dharkenley di wilayah Banaadir, Mogadishu. Mangsa kebuluran paling teruk akibat kemarau dan konflik berpanjangan ini adalah penduduk di antara Sungai Shabele dan Sungai Jubba. Kebanyakan mereka melarikan diri ke Mogadishu bagi mendapatkan bekalan makanan, penempatan dan perubatan kerana kelompok penentang, Al-Shabab telah menyekat bantuan luar masuk ke kawasan asal mereka.

 

 Menurut laporan rasmi UNHCR, setakat 2 September 2011, jumlah tertinggi pelarian iaitu seramai 17,790 orang telah melarikan diri ke Dharkenley. Ini mengakibatkan kekurangan bekalan makanan yang mencukupi bagi menyara keperluan penduduk tempatan dan para pelarian.

 
 Bantuan makanan yang disampaikan oleh GPM melalui Yayasan Zam Zam berupa beras (25kg), tepung gandum (25kg), minyak (3liter) dan kurma (2kg) bagi setiap keluarga. Sebanyak 175 keluarga atau 1,225 mangsa telah mendapat bantuan makanan ini.

 
 Pengagihan bantuan makanan secara teratur dan bersistem oleh Yayasan Zam Zam dapat mengelakkan daripada berlakunya perebutan di kalangan mangsa yang memerlukan. Ini membuktikan keberkesanan gerak kerja Yayasan yang cukup berpengalaman dalam menguruskan bantuan-bantuan kemanusiaan.

 

 Keriangan yang terpancar di wajah mereka setelah mendapat bantuan ini jelas kelihatan apabila mereka menerimanya dan membawa makanan tersebut pulang ke penempatan masing-masing.

 


 Pihak GPM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang telah menyumbang untuk membantu rakyat Somalia pada fasa pertama yang lalu. Untuk fasa seterusnya, GPM masih mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada wakil kami, Yayasan Zam Zam di Mogadishu untuk pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan GPM. Fasa kedua akan menumpukan kepada projek jangka masa panjang seperti pembinaan perigi Waqaf, khemah, perubatan dan pendidikan. Sumbangan tuan/puan boleh disalurkan ke akaun GLOBAL PEACE MISSION (GPM) seperti berikut:
Untuk pertanyaan sila hubungi 03-61883230 atau 019-3165970. "Humanitarian Mission Across Borders" GLOBAL PEACE MISSION (GPM) 2-2A, Jalan GJ2 Batu 51/2 Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur, Malaysia Tel: +60 3 6188 3230 Fax: +60 3 6188 3233 Email: gpmhq@yahoo.com Website: www.gpm.com.my

Salam Aidilfitri kepada semua




Sebarkan erti kemanusiaan

Sudah lama aku tak main tagging dalam blog. Bersempena kempen menderma untuk Tabung Kemanusiaan Somalia kali ini aku ingin main tagging entri dalam blog. Caranya mudah.

1) Sila buat satu entri dalam blog anda dengan memaparkan poster di bawah:

2) Sila kongsikan satu hadis atau ayat al-Quran mengenai seruan bersedekah atau menderma atau berzakat. Jadi di sini aku ingin kongsikan ayat berikut berikut:

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh                                                                                               (Al-Munafiqun:10)
3) Sila tag TIGA orang kenalan anda. Jadi, di sini saya ingin tag rakan-rakan saya seperti di bawah:
Syed Adam
Rin
Marliza Radzi

4) Akhir kalam, sedikit pesanan. Saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa yang masih berbaki tak sampai 10 hari. Semoga malam al-Qadr dapat kita nikmati bersama. Dan semoga bantuan kita kepada umat Islam Somalia yang kebuluran mendapat ganjaran berlipat kali ganda.

Somalia kebuluran dalam kemarau

Bantulah umat Islam Somalia

Ramadhan dilalui rakyat Somalia dalam keadaan serba kekurangan. Mereka terpaksa mengharungi kemarau teruk hinggakan cukup sukar untuk dapatkan bekalan air bersih. Begitu juga dengan makanan untuk berbuka puasa.

Seperti yang pernah aku catatkan dalam entri Somalia berbeza daripada Somaliland, kehidupan rakyat Somalia masih kucar-kacir dan tidak aman akibat pemberontakan puak penentang kerajaan. Ini menambahkan kesengsaraan hidup umat Islam di sana kala Ramadhan ditempuhi.

Sebagai umat Islam, kita turut merasa beban yang ditanggung saudara kita yang dicintai ini. Jika para pembaca blog ini merupakan badan korporat, NGO atau individu yang mampu menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai, sila berbuat demikian agar Ramadhan kali ini dapat mereka lalui dengan lebih gembira dan tenang.

Laporan projek tabung kemanusiaan boleh dibaca di Malaysian Insider

Bersyukurlah atas kurnia Ilahi kepada kita khususnya umat Islam Malaysia yang dilimpahi rezeki yang lazat. Golongan tidak berkemampuan juga turut mendapat simpati badan dan individu yang prihatin.

Di Somalia, majoriti umat Islam dalam keadaan daif. Mereka perlukan bantuan masyarakat antarabangsa seperti kita untuk meneruskan kehidupan. Hidup dan mati, itulah percaturan mereka seharian. Semoga Allah membantu mereka dan terus menetapkan hati mereka dalam keimanan.
It was narrated from Abu Huraira (ra) that Rasulullah (saw) said: "Allah (swt) said, ‘Spend, O son of Adam, and I shall spend on you.’ ” -Hadith Bukhaari and Muslim

Andai Nabi bersama kita

Andainya Nabi tercinta bersama kita
Yang dekat dan jauh akan datang menghampirinya


Berharap menyaksikan cahaya mentari sebelum ia terbenam
Menginginkan hampir dengannya sallalahu ‘alaihi wassalam

Tatkala bersama hati terasa indah
Yang dipinta padaNya tentu dianugerah
Cahaya Tahaa takkan pernah punah
Temukan kami dengannya wahai Tuhan tempat berserah

Aku sanggup berkorban demimu wahai Rasul tercinta
Muhammad pedagang yang mulia


Menghampirimu jiwa kan tenang siang dan malam
Wahai pembawa rahmat sekalian alam

-----
Rancangan لو كان بيننا (Andai Nabi bersama kita) cukup terkesan di hati sesiapa yang menyaksikannya. Setahun lalu aku menyaksikannya melalui laman youtube. Memang benar hati ini sangat tersentuh apabila membayangkan kewujudan Nabi bersama kita dalam kehidupan hari ini.

Allahu Akbar. TV Al-Hijrah sekarang sudah memaparkan rancangan ini kepada khalayak umum. Alangkah indahnya menonton segmen demi segmen yang ditayangkan. Setiap soalan yang diajukan kepada responden bagaikan sukar untuk aku jawab. Sejauh mana cintaku kepada Nabi s.a.w.

Sajak yang aku nukilkan di atas adalah terjemahan kepada lagu tema rancangan ini dengan sedikit olahan. Semoga Allah curahkan rahmatnya ke atas kita supaya kasih dan sayang kita kepada Nabi s.a.w. memberi kesan dalam hidup kita di dunia ini.

Sekolah Ramadhan

Somaliland Berbeza Daripada Somalia

Somaliland seperti yang pernah aku kongsi dalam entri Jom Pergi Haji Naik Kapal terletak di sebelah utara Somalia. Jarang kita dengar nama Somaliland bukan?

Aku beritahu rakan-rakan Somaliland yang aku mengenali Somalia sebagai negara yang teruk. Haru biru dengan ketiadaan sistem pemerintahan yang berkesan. Ramai penjenayah yang bebas memiliki senjata api. Dan macam-macam lagi kritikan aku.


Beginilah yang biasa dipaparkan dalam media massa mengenai Somalia. Bukan di Malaysia saja, cuba tanyakan Pakcik Google, dia juga akan tunjukkan gambar-gambar begini.

Jadi, bila saja rakan-rakanku tadi ajak aku untuk perjuangkan Perbankan Islam di sana, aku rasa kurang berminat. Lantas dijawab bahawa aku silap menilai negara Somalia. Apatah lagi bila aku tak tahu kewujudan Somaliland.


Cuba teka yang mana satu bendera Somaliland dan yang mana pula bendera Somalia? Kalau tengok pada bendera, tak nampak langsung ciri persamaan antara dua negara ini. Di sebelah kiri ialah Somalia yang dijajah Itali. Di sebelah kanan pula ialah Somaliland yang dijajah British.

Inilah perbezaan yang Abdul Rahman terangkan kepada aku. Dipendekkan cerita, pada tahun 1991, Somaliland terpisah daripada tanah besar Somalia kerana mengisytiharkan kemerdekaan sendiri. 

Sebab itulah dalam data CIA World Factbook, tiada data negara bernama Somaliland. Ia hanya disebut dalam data negara Somalia.

Mohamed SIAD Barre
Menarik betul bila mereka berjaya mengharmonikan wilayah autonomi itu daripada haru biru yang berlaku awal 1991 (selepas kejatuhan rejim diktator Mohamed SIAD Barre) dalam tempoh yang singkat. 

Waktu ini, Somalia di sebelah selatan masih lagi bergolak. Terpaksalah PBB menghantar tentera pengaman dari 1993 hingga 1995. Ingatkan akan bertambah baik, rupa-rupanya selepas tentera balik, suasana kembali tegang.

Jadi ditubuhkan Kerajaan Persekutuan Peralihan (TNG) yang diberi mandat sehingga Ogos tahun ini untuk mewujudkan perlembagaan  baharu Somalia. Sehingga kini masih berlaku pemberontakan di Somalia kerana Al-Shabaab menentang kewujudan kerajaan ini. [Sumber]

Mogadishu di Somalia

Hendak atau tidak, terpaksalah aku fahami sejarah Somaliland dan Somalia. Barulah sekarang aku faham rupa-rupanya rakan-rakanku berasal dari negara jajahan yang sama seperti Malaysia. Negaranya sudah 10 tahun mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.

Sebagai negara yang masih belum mendapat pengiktirafan dunia, pelaburan asing masih tidak memberangsangkan. Kerajaan lebih menumpukan kepada pelabur tempatan untuk meningkatkan tahap keselamatan, pendidikan dan kesihatan masyarakat berbanding sektor ekonomi. [Sumber]

Maka perkembangan Islamisasi sistem pemerintahan yang dibawa penjajah masih lagi baharu. Begitu juga dengan peningkatan taraf hidup. Malaysia boleh dikatakan seperti datuk yang sudah banyak makan garam. Pastilah cucu kena belajar banyak lagi atas kejayaan datuknya dalam mengharapkan perubahan.

Mahu tidak bekerja di Somaliland?

Selemah-lemah iman

Semalam perkara sama berulang. Dah banyak kali berlaku di kejiranan aku ini.

Rakan-rakan facebook mungkin dah dengar rungutan aku tentang ini. Dan mereka pun dah komen macam-macam.

Aku rasa kasihan dengan kejiranan aku. Bukanlah aku sekeluarga sangat baik dalam kejiranan ini, tapi untuk mengharapkan situasi yang lebih baik pasti memakan masa yang lama.

Rasanya aku tak mampu dan tak sesuai membesarkan anak dalam kejiranan begini. Kini aku mula berkira-kira untuk berpindah.

Begini kisahnya. Semalam aku dengar lelaki menjerit marahkan perempuan di bawah rumah aku. Adikku yang baru sampai rumah bilang ada dua orang lelaki dok gaduh dengan seorang perempuan.

Aah, biasalah tu. Tapi dalam hati rasa tak puas hati sebab perkara begini perlu ditegur.

Aku tak berani tegur sebab pengalaman awal-awal aku pindah sini, aku pernah tegur seorang lelaki yang terajang bantai makwenya dalam kereta sampai bergegar kereta.

Apabila aku kumpulkan orang kampung dan tahan lelaki itu, dia dilepaskan begitu saja. Lepas itu aku ditarik seorang pemuda. Dia pesan jangan ambil tahu urusan orang sini.

Apa? Bukankah kejiranan ini patut saling membantu ke arah suasana hidup yang lebih harmoni?

Kalau yang buat onar tu orang luar, barulah agaknya kena basuh. Kalau orang dalam, tak usahlah menyibuk. Hoh.

Isteriku pun pernah jerit, "woi, jangan pukul anak". Terus aku tegur supaya jangan buat lagi sebab risaukan anak dan isteri diapa-apakan waktu aku tiada di rumah.

Ada yang kerap pukul anak dengan batang kayu mob setiap kali terjerit-jerit mencari anak kecil umur 4 tahun.

Anak memaki hamun dan marahkan emaknya selalu merimaskan aku sekeluarga.

Stiker alamat di peti surat aku dicabutnya jiran sebab nakkan posmen letak semua surat mereka di situ juga.

Apa yang aku bimbang, kalau tegur aku dan keluarga mungkin dalam bahaya. Sedangkan anak, isteri, dan emak pun sanggup diapa-apakan, inikan pula orang asing.

Haishh. Nak tegur salah, tak tegur salah. Inilah lemahnya iman aku yang hanya mampu membencinya di hati.

p/s: Sambungan kisah Somalia selepas ini
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Cubaan

Ini sekadar testing kalo post dr BB. Najla tidor.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Jom pergi haji naik kapal

http://farm3.static.flickr.com/2750/4129224053_cb4128565d.jpg
Gambar Hiasan [Sumber]

Dulu-dulu biasalah kita dengar orang naik haji naik kapal. Kos tambangnya murah tapi masanya panjang. Sebulan barulah sampai Mekah dari Malaysia.

Itu cerita tentang kapal laut. Sekarang tiada lagi. Jemaah haji akan dibawa menaiki kapal terbang untuk sampai ke sana. Bertambah sulit apabila ongkos penerbangan tak termampu ditanggung.

Alamatnya tak dapatlah menunaikan haji segera. Tak mengapa, memang haji diwajibkan atas mereka yang mampu. Justeru, yang belum mampu kenalah gandakan usaha.

TEMPAT BERLEPAS DEWASA (15 tahun ke atas) 15 tahun ke bawah
Semenanjung Malaysia RM  9,980.00 RM 9,011.00
Sabah RM 10,110.00 RM 9,141.00
Sarawak RM 10,065.00 RM 9,096.00

Pagi tadi aku berbual dengan sahabat karibku di INCEIF. Dia yang berasal dari Somaliland beritahu kos haji di Malaysia murah berbanding negaranya. Aku pun tanya kenapa?

Di Somaliland, kos haji bagi seorang dewasa ialah USD 4,800. Nilai ini bersamaan RM 14,436. Bukankah jarak Somaliland lebih dekat dengan Mekah? Ya, memang dekat tapi tambang kapal terbang saja dah USD 3,000.

Peta menunjukkan jarak Somaliland yang berdekatan dengan Mekah
Buat pengetahuan semua, majoriti umat Islam di Somaliland adalah penduduk nomad. Mereka tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau simpanan banyak untuk tunaikan haji. Bersyukurlah sebab kita ada pekerjaan dan pendapatan yang membolehkan simpanan dibuat sebagai usaha nak tunaikan haji.

Menurut sahabat aku juga, di Somaliland, mahar yang perlu disediakan pengantin lelaki adalah sekitar 350 gram - 500 gram emas. Apa??? Minimum RM17,000...

Sukar betul mereka nak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Tapi mereka memang sabar, tabah dan rendah diri. Walaupun adat budaya itu menyusahkan, mereka tetap positif bahawa mereka akan mampu juga suatu hari nanti. Tak merungut langsung.

Bersama Abdirazak berbincang mengenai tugasan yang perlu disiapkan
Di akhir perbualan, dia minta aku bantu mencari alternatif kapal dari Malaysia atau Indonesia yang pasti melewati Somaliland agar jemaah haji mereka dapat tumpang ke Mekah. Hanya dengan cara ini barulah dapat kuota haji mereka dipenuhkan. Selama ini tak pernah pun mencapai kuota.

Syaekhan (Indonesia) dan Abdurrahman (Somaliland) juga turut serta dalam perbincangan

Jawabku, sudah lama Malaysia dan Indonesia tak lagi naik kapal ke sana. Maaf kerana aku tak dapat aturkan alternatif terbaik. Jika ada peniaga yang mampu sediakan servis kapal, mungkin boleh diusulkan. Aku doakan saudara-saudaraku ini akan dipermudahkan urusan mereka suatu hari nanti.

Akan Datang: Somaliland Berbeza Daripada Somalia

Shariah benarkan guna batu blok, pisau dan batang besi untuk menghukum?


 “In late May, four Muslim men were tried in London, England and were found guilty of a vicious attack against a local schoolmaster named Gary Smith, who was the head of religious studies at the Central Foundation Girls’ School, an academically prestigious school for girls ages 11 to 18. Mr. Smith’s head was smashed by a concrete block; his face was slashed by a knife; and his body was beaten by a metal rod. THIS IS WHAT SHARIAH LAW TEACHES…AND IT IS ALREADY HERE INSIDE THE U.S.A." [Baca berita sepenuhnya]
Sejak bila pula undang-undang Shariah ada hukuman guna batu blok, pisau dan batang besi? Ini semua hanyalah salah faham pada perbuatan orang Islam.

Tapi bagi aku, ahli perwakilan dewan yang membahaskan keperluan 'rang undang-undang menghalang sebarang pelaksanaan undang-undang selain English Law' tak boleh dipersalahkan sepenuhnya

Apa yang berlaku ini perlu dijadikan pengajaran. Semasa aku berbual dengan Encik Lee, seorang warga Korea yang suka berbincang pasal Islam, dia juga pernah berkata, "After reading about Islam and other religions, I found out that the religions are the cause of chaos and problem".

Lalu aku segera betulkan. Kata aku, semua manusia mempunyai sikap dan sifat berbeza tak kira apa jua agama yang dianuti. Jadi, sebarang tindakan individu atau kelompok belum tentu melambangkan ajaran agama mereka.

Aku juga bertanya, "Why is that when Muslims doing wrong, people say Islam taught them so? But when other people of other religion doing the same, people never associate them with their religion?"
Dia hanya diamkan diri dan terus pertahan pendiriannya.

Salah faham boleh terjadi disebabkan kurang informasi. Samalah nasib seperti ibubapa yang risaukan anaknya menjadi muallaf sebab takut terputus tali ikatan keluarga.

Juga nasib yang sama kepada pelukis karikatur dalam Utusan Malaysia baru-baru ini. Islam tidak difahami dan dihukum sebagai agama zalim, keras, mengongkong dan macam-macam lagi.


Hah, sudah sampai masanya bagi kita yang malas membelek Quran dan Hadis, untuk mula membacanya dan memahami terjemahannya. Bila orang kata ini ajaran Islam, segeralah buat semakan, jangan terus percaya.

Bagi yang gemar berada depan skrin komputer, semak saja gunakan indeks ini. Jika perlukan penjelasan lanjut juga boleh buat carian di internet. Rasanya dengan kecanggihan teknologi begini, tak sepatutnya orang Islam sendiri buat penilaian salah terhadap agamanya.

Lainlah jika kita seorang pemalas yang hanya baca dari satu sumber di internet. Kalau jenis ini, barangkali boleh terjerumus kepada fahaman salah. Bagi yang rajin, pada akhirnya dia pasti dapat temukan kebenaran.

Baguslah ada tindakan diambil ke atas kartunis itu kerana membawa fahaman salah kepada masyarakat. Tapi disarankan juga untuk terangkan kepada umum konsep rogol dalam undang-undang Shariah agar dapat difahami status sebenar.

Dalam entri perundangan akan datang, aku cuba kongsikan kepada pembaca tentang rogol dan segala aspek berkaitan. Tanggungjawab ini terpikul atas aku, maka nantikan ya.

Rain nyanyi lagu Cina




اطلبوا العلم ولو بالصين

Hadis di atas menyeru kita agar menuntut ilmu walaupun hingga ke negara China. Dalam ilmu hadis, hadis ini dikategori sebagai hadis dhaif (lemah). Namun, kebanyakan ulama' menerima pakai hadis ini sebagai sumber motivasi, bukannya penentu hukum. Ia sama sekali berbeza dengan hadis maudu' (palsu) yang tidak diterima langsung. [Bacaan lanjut: Sumber 1, Sumber 2]

China sehingga ke hari ini mempunyai populasi terbanyak dalam dunia. Sekaligus menjadikan China sebagai negara dengan majoriti rakyat bukan Islam terbesar di dunia. Sudah tentu ada sesuatu yang unik di sini dalam pelbagai aspek.

Keunikannya boleh kita perhatikan apabila menetap di sini lebih lama. Sebabnya jika sekadar cuti-cuti seminggu dua, barangkali penilaian kita kurang tepat. Mungkin kita berminat pada membeli-belah saja tapi benci pada situasi dan keadaan hidup di sini.

Di universiti tempat aku belajar, ilmu bahasa turut diterapkan dengan nilai budaya. Benarlah pepatah Melayu berkata, "Bahasa Jiwa Bangsa". Dengan pelajari bahasa, kita dapat mengenal bangsanya.

Laoshi berada dalam posisi ketiga dari kiri (yang sedang membongkok berbaju kelabu)
Gigih. Itulah keunikan pertama yang aku perhatikan dalam jiwa kebanyakan orang China. Contohnya, semua laoshi (guru) aku cukup menepati masa. Tenaga mereka mengajar kami sentiasa konsisten. 

Dari kelas pertama hingga habis semester, semangat dan kesungguhan tidak menurun. Setiap sesi pembelajaran, wujud komunikasi dua hala. Laoshi mahu setiap xuesheng (pelajar) faham apa yang dipelajari.

Dalam kelas pertama lagi aku sudah disuruh menyanyi lagu Mandarin. Apa tidaknya, dah aku pandai-pandai nyanyi lagu Gong Xi Gong Xi Gong Xi Ni bila laoshi tanya siapa tahu lagu Cina.

Gambar Hiasan
Walaupun aku hanya mendendangkan bait itu saja, tepukan daripada laoshi sangat memberangsangkan bagaikan dia peminat aku yang kononnya seperti Rain. Uweeeeeeekkkkk. Patutlah dalam setiap kelas, kami sangat ceria sebab hari-hari dapat aura positif dari laoshi.

Laoshi kami juga ada yang sediakan kuiz pada setiap hari. Diulangi sekali lagi, setiap hari. Tertekan bukan? Memang patut pun sebab hanya dengan cara inilah hanzi (karakter tulisan Cina) dapat dihafal.

Gambar Hiasan : Ulangkaji pelajaran di universiti sewaktu musim bunga
Bila direnungkan, kegigihan ini bagi aku terhasil akibat persaingan sengit antara satu sama lain. Kan masyarakatnya ramai, jadi mereka perlu usaha lebih untuk dapatkan hasil yang lebih baik. Lama kelamaan kegigihan ini menjadi budaya dalam hidup. [Baca pengalaman Richard Hong]

Kuasai Mandarin di Guangzhou

Berdiri di hadapan bangunan pentadbiran Universiti Jinan
Pada 19 Februari 2009, aku telah mendaftarkan diri sebagai pelajar di Kolej Bahasa dan Budaya, Universiti Jinan yang terkenal di Guangzhou. Pada waktu inilah dapat kita jumpa beberapa kenalan Melayu dari Malaysia dan Indonesia selain bangsa asing dari seluruh pelusuk dunia.

Pandangan hadapan pintu utama universiti
Pilihan universiti ini adalah atas cadangan seorang pelajar senior yang aku kenali di Malaysia. Tidak dinafikan kesan efektif pelajari Bahasa Mandarin di negara asalnya lebih tinggi berbanding mempelajarinya di Malaysia.

Satu semester saja sudah memadai untuk komunikasi asas Bahasa Mandarin. Walaupun bahasa pertuturan warga Guangzhou adalah Bahasa Kantonis, Bahasa Mandarin adalah bahasa standard negara yang boleh difahami dan dipertutur oleh kebanyakan masyarakatnya.

Justeru, tidaklah menjadi masalah kalau nak naik teksi, beli barang, bersiar-siar dan melakukan sebarang aktiviti lain. Selain kemahiran bertutur, kemahiran mendengar pun perlu diasah. Ini kerana memahami apa yang dipertuturkan orang lain kepada kita juga penting.

Sebab itulah, di sini kami diajar penguasaan empat bidang dalam bahasa iaitu penulisan, pemahaman, pendengaran dan pertuturan. Jika anda rajin dan kuat menghafal karakter tulisan hanzi memudahkan lagi kehidupan di sini apabila tulisan dapat dibaca.

Kolej Bahasa dan Budaya Universiti Jinan
Mula-mula belajar dulu, aku terpaksa melatih lidah untuk menyebut betul-betul nama kampus ini iaitu 暨南大学华文学院 (Ji Nan Da Xue Hua Wen Xue Yuan). Berbelit juga lidah menyebutnya.

Bila naik teksi, jika hanya menyebut Ji Nan Da Xue (Universiti Jinan), boleh jadi pemandunya tercengang. Universiti Jinan biasanya merujuk kepada sebuah universiti yang terkenal di Shandong. Shandong terletak kira-kira 1,890 km  dan memakan masa selama hampir sehari perjalanan menaiki kereta dari Guangzhou.

Bersama rakan Malaysia di tasik buatan dalam kawasan universiti
Tahukah anda betapa seronoknya belajar di universiti dalam taman? Suasananya cukup nyaman apabila pokok-pokok menghijau hidup subur di sekeliling kita. Ditambah pula dengan tasik buatan dengan jambatan menghubungkan daratan dengan kawasan santai di tengah-tengah tasik.

Kalau rindukan Malaysia, bolehlah duduk-duduk di sini mengarang sajak atau surat untuk dikirimkan. Atau berbual-bual kosong bersama teman sambil mengunyah kuaci. Tapi kedua-duanya tak pernah aku lakukan. Hehe.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...