Semalam aku diundang ke restoran makanan Korea. Encik Lee, kenalan aku sewaktu bertandang di Korea pada bulan Julai lalu kini berada di Kuala Lumpur.
Dia yang merupakan pelajar Masters jurusan linguistik Melayu bekerja secara separuh masa di Han Kook Kwan sebagai pengurus promosi. Restoran ini terletak di Tingkat 4 Menara Etiqa berhampiran KLCC.
Seperti dalam entri aku terdahulu, aku pernah ceritakan betapa ramahnya Encik Lee. Dia sangat suka ketawa dan bersoal jawab. Apabila diceritakan tentang sesuatu berkenaan Islam, dia pasti tertarik untuk mengetahui lebih lanjut.
Kami memesan makanan Korea seperti yang pernah kami makan dulu. Sememangnya sangat kenyang. Tapi dalam banyak-banyak makanan yang disaji, minuman penutup sajian paling aku gemari.
Air yang dibuat daripada rebusan kulit kayu manis dicampurkan dengan gula dan disimpan dingin sebelum disajikan ini kata isteri Encik Lee mudah saja untuk disediakan. Rasanya sungguh enak.
Setiap kali kita berbual bersama sesiapa saja khususnya masyarakat bukan Islam, aku selalu berpesan untuk cuba selitkan unsur Islam ke dalam diri mereka. Bukankah itu sudah menjadi tanggungjawab kita untuk berikan mereka faham tentang Islam yang sering disalahfaham.
Apatah lagi zaman kini Islam dilabel sebagai agama pengganas. Kita seharusnya tunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mudah dan menyeru kepada keamanan dan kesejahteraan. Konsep ketuhanan yang kita imani boleh disampaikan kepada mereka agar setidak-tidaknya mereka faham agama anutan kita.
Inilah Encik Lee bergambar bersama aku dan Hakim, sukarelawan GPTD yang berkesempatan mengikuti Kembara Dokumentasi Korea pada Julai 2009. Semoga perhubungan kami akan berterusan kukuh atas tali persaudaraan sedarah sedaging nabi Adam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan