11 Disember 2012
MT #10: Tips Mencari Makanan Halal di China
Sent from my iPad
21 September 2012
Ahmad Bill Gate dan Syed Steve Job
Dalam dunia perkomputeran, nama Bill Gate dan Steve Job tidak asing lagi. Mereka adalah pereka OS tersendiri. Ada pula pereka perisian yang turut dikenali ramai, Mark Zuckerberg. Mereka sekadar contoh untuk renungan.
Mereka dikenali dan disegani bukan hanya disebabkan hasil ciptaan mereka mesra pengguna, tetapi disebabkan liputan meluas yang dibuat. Publisiti namanya. Ini tugas pengamal media massa.
Sesetengah masyarakat dunia melabelkan kehebatan mereka ini sebagai agenda Yahudi, khususnya freemasonry. Justeru, aplikasi dan kemudahan yang ditawarkan ini wajib ditolak. Jika semua melakukan begini, sudah tentu mereka dan produk masing-masing tidak akan dikenali.
Sesetengah masyarakat lain berpandangan ada kebaikan di dalam menggunakan produk mereka. Dalam arus perdana, jika menongkah arus dirasakan rugi. Apa kata kita gunakan medium ini dengan cara yang baik? Bukankah lebih mudah tugas menyampaikan yang dianjurkan Islam itu dilaksanakan?
Tidak perlulah kita sebut sesetengah masyarakat lain yang langsung tidak mengendahkan apa jua isu, yang penting HAPPY! Dakwah ke, freemason ke, apa ke.. lantaklah.
Hari ini, masyarakat Muslim dunia terpukul dengan paparan video atau gambar yang menyentuh sensitiviti agama dalam dunia siber ini. Ini memang kerja mereka yang anti-Islam.
Persoalannya apa kerja kita? Membidas dengan segala emosi tak tertahan? Di mana indahnya akhlak keperibadian Nabi yang ditonjolkan? Nabi pernah dihina lebih teruk pada zaman baginda, dan perhatikan respon Nabi. Saidina Ali apa diludah dalam peperangan, membatalkan niat membunuh musuhnya kerana bimbang terikutkan emosi.
Protes. Demonstrasi. Boikot. Semua ini adalah kerja yang betul jika dibuat berdasarkan adab yang dianjurkan Islam. Di dunia ini masih ramai juga yang keliru dengan agama Islam, bahkan ditakutkan dengan Islam. Islamophobia.
Golongan begini biasanya terkesan dengan media massa. Apa yang dipaparkan itulah dirasakan betul. Mereka tengok video penghinaan itu. Mereka tengok respon umat Islam. Semuanya melalui medium empunya orang bukan Islam. Akhirnya, mereka akan buat kesimpulan sendiri.
Kesimpulan yang berlaku kepada makcik tua Yahudi yang menghina Nabi ialah indahnya Islam. Kesimpulan yang berlaku kepada musuh yang selamat daripada dibunuh Saidina Ali ialah indahnya Islam. Moga inilah juga kesimpulan yang boleh dibuat umum.
Boikot youtube sebagai contoh, akan memberi impak jika dibuat secara menyeluruh seperti golongan pertama yang aku cerita tadi, menolak sepenuhnya. Tapi mungkin kita rasa tak boleh hidup tanpa youtube, maka boikot hanya pada tempoh masa terhad.
Apa kata ada muslimtube diwujudkan? Mahukah kita tinggalkan youtube untuk menggunakan semata-mata muslimtube? Pengalaman aku bersama pejuang-pejuang Salam World, mereka banyak juga mendapat respon mengutuk mereka cuba meniru facebook. Sayangnya pengutuk ini adalah umat Islam.
Aku sedari dahulu cukup tabik dengan satu sisi Al-Arqam. Mereka berjaya mencipta komuniti sendiri dengan aktiviti sendiri dan produk-produk sendiri. Mereka tidak langsung bergantung kepada produk luar. Sokongan kelompok sendiri sangat penting bagi mengembangkan lagi kekuatan produk itu.
Mungkin kita ada Ahmad Bill Gate. Atau Syed Steve Job. Tapi mereka tidak yakin untuk ke hadapan. Kerana sokongan sukar didapatkan. Kalau kritikan memang tak tertahan. Kritikan pula hanyalah kosong berbaur kebencian dan sindiran.
Kita perlu konsisten. Jika nada kita tinggi dalam membantah penghinaan kepada Islam, kita juga perlu bernada tinggi mempopularkan produk umat Islam. Jika umat Islam sendiri tidak yakin, bagaimana pula untuk membina rasa teringin untuk mereka yang bukan Islam menyokong produk kita?
Kita ada Tv Al-Hijrah dan radio IKIM. Berapa kerap kita menonton atau mendengar siaran ini berbanding saluran MTV, HBO, Cinemax, dan lain-lain?
Ayuh ambillah saranan As-Syahid Hassan al-Banna yang mengajak perubahan besar dibuat bermula daripada kecil. Kita mulakan dengan diri kita, kemudian keluarga, kemudian kejiranan, kemudian kampung, kemudian negeri, kemudian negara, kemudian dunia.
Saranan ini kalau dilihat dari sudut berniaga pun memang berkesan. Contohnya berniaga kek. Mula-mula keluarga dan sanak-saudaralah perlu beri sokongan. Maka, adalah permintaan. Kek yang dibeli itu kemudian dibawa ke rumah atau pejabat. Orang lain makan dan berminat, maka permintaan baru pula. Perkara sama berlaku lagi. Permintaan semakin banyak. Akhirnya menjadi bualan kek yang kita buat.
Aku sangat berminat dalam bidang media. Jika ada Ahmad Bill Gate dan Syed Steve Job di luar sana, tolonglah hubungi aku. Aku akan berikan sokongan kuat kepada kalian.
19 September 2012
Strepsils haram dimakan
Terpampang jelas di depan paket, Dichlorobenzyl Alchohol. Biasanya tiada, mungkin ini paket baru. Selama ini juga tak pernah teringat untuk semak ramuan yang terkandung di belakang paket.
"Sayang, abang tak jadi beli Strepsils sebab ada alkohol. Haram"
Memandangkan aku terasa was-was dek kerana ilmu fiqah yang pernah aku pelajari menyimpulkan kalau setitis arak pun walau tidak memabukkan tetap haram. Cuma aku tertanya yang dipelajari secara terperinci ialah arak, bukan alkohol.
Bagi mendapatkan jawapan, aku pos soalan ke facebook, mengharapkan rakan ahli farmasi dapat menjawab dengan hujahan sumber Islam. Maka, berikut adalah respon daripada rakan-rakan termasuk adikku, Huzaifah, perunding produk halal bertauliah
3) Fatwa yang dikeluarkan oleh JAKIM (Terima kasih Rizqi Mukriz)
4) Capaian yang ditunjukkan oleh rakan farmasi, Syahiera Farhana.
Setelah memahami ilmu perubatan dari sudut syarak atas sumber-sumber yang diperolehi, aku kini tidak lagi was-was untuk menggunakan Strepsils.
Wallahua'lam. Moga kita ditunjukkan Allah jalan yang benar dan lurus.
07 September 2012
7 September + 20 Syawal = Aku dan Dia
Tanda ingatan dengan ucapan dari rakan-rakan dan doa mereka amat dihargai. Sekalipun facebook yang mengingatkan, klik dan menekan butang papan kekunci adalah usaha yang aku hargai. Aku sendiri pun selalu diingatkan facebook tentang ulangtahun kelahiran rakan, tetapi tanpa berbuat apa-apa dengan ingatan itu, tiadalah ingatan yang sebenar diungkapkan dengan ucapan dan doa.
Teknologi juga sudah menyiapkan autobot rasanya. Apabila data kita disimpan, sebaik saja sampai tarikh ulangtahun, sistem akan trigger. Maka, dapatlah aku ucapan salam ulangtahun kelahiran daripada CariGold Forum, PhotoMalaysia Community, Noeman GSM dan Netlog.
Sebaik tiba di pejabat, Pengurus Besar Jabatan Sumber Manusia pun menghantar e-mel ucapan selamat ulangtahun kelahiran.
Terima kasih kepada teknologi yang datangnya dari bijak pandai manusia menciptanya, yang datangnya pula mereka dari Sang Maha Kuasa yang menciptakan mereka. Sudah tentu setinggi-tinggi penghargaan tak terungkap buat Allah Rabbul Jalal.
Kelahiranku dan isteri, juga semua kita adalah untuk menguji kita. Perjanjian kita denganNya di alam ruh. Kerana itu, aku mohon doa ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai, rakan taulan, dan sesiapa yang mengenaliku agar Allah kurniakan kebaikan di dunia dan akhirat buat kami sekeluarga.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami.
04 September 2012
Bapak angkat dari Kokos datang
02 September 2012
Telusuri perjalanan menjejak Cheng Ho
31 Ogos 2012
Selamat jalan adik-adikku
Kemusafiran ini berlangsung sekitar dua minggu bermula 26 Ogos 2012 hingga 7 September 2012 di sekitar daerah Guangzhou & Kunming, Yunnan. Pelbagai rintangan dihadapi selama mengaturkan perjalanan ini.
Yang lebih mencabar, tiada seorang pun daripada mereka yang tahu berbahsa Mandarin. Kenalan yang boleh membantu pula semua kembali ke Malaysia untuk berhari raya. Jadi, mereka terpaksalah menghadapinya sendiri.
Sengaja aku tidak tunjukkan risau. Kata-kata semangat memang tak putus aku berikan. Inilah cara GPTD latih ahlinya. Selagi berpegang kepada prinsip ketaatan kepada ketua, insyaAllah perjalanan akan dibantuNya.
Dan nampaknya memang begitulah yang berlaku. Tak sabar rasanya nak dengar kisah. Mereka sebaik pulang nanti. Yang pasti, kemusafiran ini akan menyedarkan rasa kebergantungan total kepada Allah Yang Maha Kuasa. Itulah yang pernah aku rasa.
Terima kasih kepada mentorku
Yang aku kagumi ialah adikku sorang ini, Abdul Hakim Shahbuddin. Berbanding aku dulu, dia tidak cukup dana untuk berada di sana setahun. Tapi cabaranku disahutnya dengan baik dan tawakkal yang tinggi. Benarlah sunnah perjuangan ini cukup manis diikuti.
Tahniah kepada Nor Sakinah Ya'kob, Hdariyani Kampun dan Arina Abdul. Kepada Fakhri dan Orang Kampung Line, sabar ya.. Giliran kalian akan tiba selepas ini. InsyaAllah. Bacaan lanjut boleh dibuat dengan klik pada capaian berikut:
Eksplorasi Cheng Ho sudah bermula
Jejak Cheng Ho #1: Selamat tiba di Guangzhou, China
Jejak Cheng Ho #2: Selamat tiba di Kunming, Yunnan
19 Ogos 2012
Salam Aidilfitri Buat Semua
22 Julai 2012
#2 : Janganlah tadarus sahaja
Sejak kecil, tadarus di bulan Ramadhan memang sudah dibudayakan. Bacaan anak-anak pun semakin lancar. Alangkah baiknya jika kali ini kita kejar untuk fahami pula ayat yang dibaca.
“Habis tu, bila nak khatam pula?”
“Apa masalahnya? Mesti khatam ke dalam bulan ni?
“Yalah..”
“Habis Ramadhan, dah tak payah baca Quran?”
Tergamam dibuatnya. Betul juga, kenapa nak kejarkan sangat khatam? Al-quran dah terangkan bahawa Quran diturunkan pada bulan Ramadhan sebagai petunjuk kepada manusia.
Maksudnya tips-tips untuk hidup, bagaimana nak uruskan masalah, cara mencapai kejayaan, uruskan bisnes, hubungan kekeluargaan, hubungan kemasyarakatan, menjadi ketua dan lain-lain semuanya ada dalam Quran.
Jadi, hanya dengan faham makna barulah kita sedar petunjukNya. Tambahkan kualiti lebih baik daripada kuantiti. Sungguh, Allah Maha Hebat Menilai..
21 Julai 2012
#1: Ada tarawih baru nak datang
Barangsiapa yang bangun (mengerjakan ibadah) pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan kerana mencari pahala (di sisi Allah) diampunkan dosa-dosanya yang lalu.
[Hadith Bukhari, Kitab Solat Terawih]
19 Julai 2012
Masalah tandas tak sudah-sudah 2
Inilah aku sewaktu tiba di stesen Nong Khai, selepas itu terasa nak buang air. Sebab itulah jumpa tandas cangkung ini.
Masjid Jamek di Laos juga seperti ini.
Ini pula keadaan menunggu iftar di Masjid Jamek Vientiane. Gambar kurang elok, guna kamera murah.
Ok, berbalik kepada topik gunakan sistem tandas begini. Paling ketara perbezaannya ialah cepat dan jimat.
Tandas flush menggunakan sekitar 6 liter air sekali pam. Dengan sistem ini, sekali gayung mungkin 1 liter. Tiada juga masalah tunggu air penuh tangki.
15 Julai 2012
Masalah tandas tak sudah-sudah 1
21 Jun 2012
Inginkan panduan travel?
Kepada yang merujuk kepada entri Cari aku sebab nak ke Guangzhou, jangan emelkan ke muhdsuhail.ahmad@gmail.com lagi ya sebab dah tak larat nak semak.
20 Jun 2012
Sibuk dan rosak
08 Mei 2012
Betul ke kerja bukan kerana gaji?
"Kenapa encik ingin bekerja dengan kami?"
"Saya ingin aplikasi ilmu yang telah dipelajari untuk syarikat ini memandangkan bidang pengajian saya bertepatan dengan bidang kerja yang ditawarkan"
Begitulah lebih kurang jawapan skema. Tapi cuba kita tanya betul-betul kepada diri sendiri, kenapa sebenarnya kita nak bekerja di sesuatu tempat? Sementara memikirkan jawapan, aku nak teruskan kisah interview tadi.
"Berapa gaji yang encik inginkan?"
"RM4000"
"Eh, tinggi sangat encik. Kami pun tidak mampu nak bayar graduan baru setinggi itu. Boleh berikan justifikasi kadar gaji begitu?"
"Ijazah yang saya miliki ini adalah dalam bidang professional. Selain itu, saya ada pengalaman ...bla bla bla"
Apabila ditanya gaji, pasti ramai minta tinggi. Jarang rasanya yang jawab terpulanglah (aku percaya ada tapi tak ramai kot). Antara alasan yang diberikan (bukan dalam interview) ialah belanja hidup yang semakin meningkat. Nak kahwin pun susah dsb.
Jadi, betul ke tidak, kebanyakan kita bekerja kerana perlukan wang untuk meneruskan kehidupan? Bukanlah semata-mata untuk aplikasi ilmu yang ditimba.
Sebabnya dalam kehidupan, setiap diri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat. Dan tak dilupa juga, kewajipan kepada Yang Maha Esa itu pun sama penting.
Biasa kan kita dengar orang kebanyakan suka berkata, "semua benda perlukan duit"? Memang betul dalam melaksanakan semua kewajipan dan tanggungjawab perlukan duit. (Walaupun hakikatnya duit bukanlah segala-galanya - nak bincang bab ni panjang pula.. lain kali).
Jadi, kalau betul kerja untuk aplikasi ilmu semata-mata, gaji bukanlah keutamaan. Maka, seorang pelajar undang-undang, mestilah jadi peguam. Seorang pelajar kejuruteraan, mestilah jadi jurutera. Seorang pelajar pengajian agama, mestilah menjadi ustaz.
Biar aku kongsi pengalaman rakan-rakan sepengajian undang-undang. Seorang daripadanya kini menjadi peniaga tudung online yang kaya raya. Seorang lagi menjadi peniaga besi kimpalan. Seorang lagi menjadi pengacara televisyen yang terkenal. Seorang lagi menjadi ketua editor syarikat penerbitan terkenal.
Adakah sia-sia ilmu yang ditimba mereka di universiti dulu? Inilah yang selalu dilemparkan kepada golongan seperti mereka, khususnya sebelum mereka berjaya, menjadi terkenal, kaya raya dsb.
Sebab itulah aku mengajak kita berfikir sama ada tujuan kerja kita untuk aplikasi ilmu atau pendapatan yang membantu kita meneruskan kehidupan? Aku percaya lebih ramai mementingkan pendapatan.
Bagi aku tidak salah. Bukankah Allah suka hambanya yang kaya daripada miskin? Bukankah para sahabat seperti Abdur Rahman bin 'Auf dan Uthman ibn 'Affan adalah hartawan?
Dengan pendapatan yang baik, maka kewajipan dan tanggungjawab mereka terlaksana dengan baik. Seorang suami bertanggungjawab menyediakan keperluan harian kepada keluarga. Rumah, pakaian, makanan, nafkah.. ini baru yang asas.
Tanggungjawab sebagai ayah, keperluan sekolah anak-anak dan seumpamanya? Sebagai anak dan abang/adik/kakak, sudah tentu masalah ayah/ibu/adik-beradik harus diringankan? Sebagai anggota masyarakat, keperluan orang yang lebih susah perlu dibantu dengan banyak bersedekah.
Jadi, apa jua pekerjaan yang baik dan mengarah kepada pelaksanaan kewajipan dan tanggungjawab kita itu adalah sesuai untuk kita. Usahlah lagi kita memandang kecil kepada sesiapa yang tidak bekerja sesuai dengan bidang pengajiannya.
Memanglah ilmu yang dipelajari perlu dimanfaatkan. Itulah kehendak agama. Tapi benarkah ibubapa atau diri kita sendiri benar-benar mahukan yang ini atau mahukan maksud di sebaliknya iaitu pendapatan yang baik? Renung-renungkanlah.
p/s: Berniaga sendiri lebih baik daripada makan gaji
26 April 2012
Tak ada duit pun boleh menderma
"Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah (bersedekah) dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan"
Sewaktu berkunjung ke Jakarta, aku sempat membeli buku itu dan membacanya memberikan satu kefahaman baru dalam mengerti maksud keutamaan bersedekah (atau menderma). Memang benar keajaiban berlaku kepada pelaku yang yakin dengan janji-janjiNya.
Berbalik kepada soal duit yang dirasakan tiada lebih, maka logik akal mengatakan tak dapatlah didermakan kepada orang lain. Ya, sifir matematik 10 – 1 jawapannya 9. Maksudnya duit yang kita ada bakal berkurangan apabila dibelanjakan untuk keperluan harian.
Untuk memahami sifir sedekah, kenalah baca buku itu. Sebabnya sifirnya jauh berbeza dengan sifir matematik. Dan hanyalah mereka yang berbuat, akan menerima sifir sedekah ini.
Tapi kalau nak ikut logik matematik, baiklah. Tahukah yang kita ada sesuatu yang tidak berkurangan walaupun diberikan kepada orang lain? Setakat yang aku terfikir ialah ilmu dan darah.
Semalam, aku dapat mesej daripada Pusat Darah Negara.
"PUSATDARAH: PDN perlu platelet Aferesis. Dibuka 8pg – 4ptg kecuali Khamis dan Jumaat ditutup 8mlm. Ahad tiada pendermaan plasma/platelet.Jika perlu tel 0326955590/26955599"
Kalaulah dirasakan tak dapat menderma duit, ayuh kita derma darah. Itu tak memerlukan kos lain kecuali pengangkutan ke PDN. Kalau memang tak boleh derma sebab tak cukup syarat, dermakanlah ilmu yang ada. Sampaikanlah walau satu ayat.
Kalau susah sangat juga, Islam ada solusi lain. Dermakanlah senyuman anda kepada orang lain. Dengan itu, kita menceriakan hati orang yang memandang. Sekaligus rasa hati yang tenang itu menjadi hasil sedekah kita. Senyumlah.
"Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).
Kalau tak boleh juga, kedekutlah nampaknya kita ini.
p/s: Sedekah perlu diutamakan kepada ahli keluarga yang memerlukan terlebih dahulu.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
24 April 2012
Bangga tak kalau anak pandai?
Ini semua dibuat bukan semata-mata untuk tidak dimarahi guru jika tak siap kerja rumah. Ia menggalakkan anak untuk sungguh-sungguh belajar. Tambah pula bila nampak ibu ayah turut serta beri sokongan untuknya belajar.
Hatinya tentu girang dan gembira untuk buat kerja rumah. Itu pun kalau ibu bapanya bukan singa yang sentiasa nak menerkam mangsa. Hehe..
Tiada ibu bapa yang nakkan anaknya gagal dalam pelajaran. Suatu kegembiraan dan kebanggaan ibu bapa apabila anaknya mendapat nombor satu dalam kelas. Apatah lagi kalau menjadi pelajar cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM dan Universiti.
Tapi ada satu kesedaran yang lebih penting daripada itu. Pelajaran yang kita tekankan itu adalah fardhu kifayah, maksudnya satu kelompok masyarakat terlepas tanggungjawab dalam bidang ilmu terbabit sekiranya ada segelintir (walau seorang pun dah cukup) yang mahir ilmu itu.
Ilmu fardhu 'ain tak siapa pun boleh tinggalkan. Ini lebih penting, tapi di manakah kita letakkan kepentingan ilmu ini? Ilmu apa? Ilmu agama.
Aku menulis untuk muhasabah diri juga. Dalam seminggu agak-agak berapa kali kita menuntut ilmu agama? Kita cerita pasal diri kita dululah sebelum nak masuk bab mengajar anak ilmu ini.
Kalau difikir-fikirkan kembali, ilmu apapun (fardhu kifayah atau fardhu 'ain) macam terhenti setakat di universiti. Selepas daripada itu, bagi yang tidak mencari, tiada penambahan ilmu.
Hari demi hari disibukkan dengan kerja. Waktu lapang pula untuk bersama keluarga. Memang mungkin setiap hari dok buka buku tapi buku kedoktoran, kepeguaman, kejuruteraan, perbankan dan sebagainya.
Agak-agak buku agama, pasal aqidah, syariah dan akhlak dah berapa lama kita tak buka? Jika sudah lama tak buka, ayuh kita mulakan semula. Mungkin kali ini bersama isteri atau anak-anak.
Kita cuba ambil masa setiap hari setakat 15 minit selepas Maghrib untuk baca Quran bersama atau baca buku agama sambil didengar anak isteri. Penting sebenarnya untuk kita ulangkaji atau tambah ilmu agama sebab ia fardhu 'ain.
Takut-takut selama ini aqidah kita tak lurus. Kita bekerja yang patutnya dapat jadi ibadah, langsung tiada faedah melainkan untuk bergantung harap pada gaji, seolah-olah rezeki di tangan majikan.
Takut-takut selama ini syariah kita tak lurus. Kita solat tak pernah tinggal, puasa lengkap, zakat ditepati, haji ditunaikan dsb. Tapi kesemuanya tak menepati rukun dan syarat sah ibadah itu.
Takut-takut selama ini akhlak kita tak lurus. Kita tak tahu bagaimana nak menjaga hak orang lain. Kita sibukkan diri sendiri. Kita berselisih dengan saudara tanpa mempamerkan senyum atau menyapa dengan salam.
p/s: Ada yang bangga anaknya menyanyi dalam program realiti, ada juga yang bangga anaknya mengaj dalam program realiti.
19 April 2012
Hanya pandai bersosial dalam muka buku
Aku ingat lagi, dulu-dulu MIRC cukup terkenal sebagai laman sosial pertama popular di Malaysia. Bermulalah istilah chit-chat (yang asalnya produk makanan nestle) menjadi popular merujuk kepada aktiviti chatting. Para ustaz berceramah pun sebut chit-chat sana sini.
Kemudian, wujudlah Friendster. Kemudian, bertambah lagi (aku pun tak dapat sign up yang lain-lain) sehinggalah kini, Facebook.
Bezanya dulu, telefon pintar tiada. Masih aku ingat, telefon bimbit pertama aku ialah Sony Ericsson empat segi, siap dengan antena kecil bersalut getah. Telefon bimbit hanya digunakan untuk menelefon dan bermesej. Itu sahaja.
Tapi kini, telefon pintar bukan saja mampu dimiliki orang berkerjaya. Anak-anak di bangku sekolah turut dibekalkan ibubapa dengan telefon pintar. Maka, boleh dikatakan pemiliknya seolah-olah tidak berpisah dengan laman mukabuku (dan laman sosial lain).
Perasan tak apabila kita keluar makan bersama keluarga, kita atau orang lain, kurang berinteraksi sesama ahli keluarga. Masing-masing sibuk tengok apa update mukabuku. Ada yang tersengih, senyum dan ketawa. Tapi bukan kerana berbual dengan keluarga sendiri atau rakan di depan mata.
Ayah dan ibu adalah orang lama. Mereka memang biasa berbual berdua sejak anak-anak berjauhan. Setibanya anak pulang ke kampung, di dalam kereta, tanya khabar ayah ibu dibalas sepatah. Sebabnya di tangannya sibuk sms atau melayan mukabuku. Betapa sedihnya hati ayah ibu yang mengharapkan dapat berbual mesra dengan anak-anak yang jarang bertemu. Begitulah yang mungkin berlaku.
Bukan sekadar itu. Dalam sesi temuduga, panel penemuduga pernah beritahu, ramai calon tidak boleh berinteraksi dengan baik. Bahkan bahasa yang digunakan pun seolah macam mereka bercakap dalam mukabuku.
Jika benar situasi ini semakin berleluasa, aku bimbang kemahiran berkomunikasi dalam meneruskan hidup bersosial semakin lemah. Akibatnya berlaku banyak salah faham, terasa hati dan pentingkan diri sendiri.
Aku percaya kemahiran ini hanya dapat diasah dalam kehidupan realiti. Kehidupan maya tak boleh ganti peranan manusia sebenar di luar. Sebab itulah adab budaya dan tatasusila tidak boleh terbentuk dalam dunia maya.
Pesan ini untuk aku juga yang gila gajet. Apabila bersama keluarga atau rakan, kurangkanlah penggunaan alat-alat canggih ini melainkan yang mendesak saja. Banyakkan tegur sapa walaupun dengan orang yang tidak dikenali.
Macam di perhentian bas, begitulah yang biasa aku buat dulu. Dan orang lain pun waktu zaman persekolahan. Penumpang di sebelah pun kita berbual panjang. Jika makan di warung, orang lain yang duduk semeja pun kita tegur dan berbual.
Tapi sekarang, aku pun dah kurang berbual, tambah pula orang lain yang ditegur seolah lebih selesa 'berbual' dalam telefon pintar saja. Pengalamanku juga, kenalan dalam mukabuku yang nampak 'peramah' apabila bertemu, tidak semenarik kita berbual dengannya dalam mukabuku.
Zaman sudah berubah...
15 April 2012
Orang kaya belum tentu senang
Selepas aku menonton Bersamamu di TV3 minggu lepas, terus terasa ingin menulis sesuatu tentang kesusahan. Sebabnya aku rasa hidup orang yang lebih susah mungkin juga berlaku kepada orang yang tidak miskin.
Hendaklah orang yang mampu, memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, hendaklah ia menafkahkan dari apa yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar yang diberikan Allah kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahanBukan aku kata tak perlu jadi orang kaya. Maksud aku kekayaan bukan jaminan kebahagiaan dan ketenangan. Rumah yang besar belum tentu mendamaikan. Duit yang banyak belum tentu menceriakan. Melainkan bagi mereka yang menggunakannya ke jalan yang dikehendakiNya.
(At-Talaaq:7)
Kena diingat juga, orang fakir itu hampir kepada kekafiran. Sebabnya orang fakir miskin mungkin boleh jadi tersimpang aqidahnya apabila menyalahkan takdir yang menimpa dirinya. Mungkin berusaha dengan cara yang salah bagi mendapat kekayaan.
10 April 2012
Siapa ajar anakku cakap "Babi"?
Tak pernah pula terfikir kenapa dia buat macam itu sampailah aku dengar ceramah kisah Abdur Rahman ibn Abu Bakrah.
Dia sangat memerhatikan apa yang ayahnya lakukan pagi dan petang lalu bertanya tentang apakah yang ayahnya lakukan. Dalam hadis itu anaknya menjelaskan amalan zikir ayahnya secara terperinci. Nak tunjuk kat kita yang anak sangat tajam pemerhatiannya.
Bukan itu saja, anak juga mudah menghafal. Walaupun hanya dengan mendengar apa yang disebut orang lain. Tanpa perlu diajar untuk menghafalnya.
Lepas itu, terus menerpa di fikiran aku kenapa Najla dok gonyoh kami. Rupa-rupanya sebab aku yang suka bergurau senda dengan dia macam itu setiap kali balik kerja. Patutlah dia buat begitu.
Tadi isteriku cerita Najla dok cakap BABI berkali-kali. ini memang pelik sebab kami tak pernah sebut perkataan itu, apatah lagi untuk memaki hamun dengan perkataan itu.
Boleh jadi ke Najla terdengar sebutan BABI daripada kanak-kanak yang suka bermain di tingkat bawah, terjerit-jerit dan memaki hamun hampir setiap hari. Memang mereka suka mencarut. Adoi..
Najla juga terikut jerit "Epah!" bila pintu depan terbuka. Sebabnya memang aku suka jerit macam itu untuk panggil adikku yang tinggal di rumah sebelah.
Anakku sudah mula banyak bercakap. Jaga-jaga.
p/s: Kisah itu diceritakan dalam hadis sahih #5071 Kitab Sunan Abu Daud.
08 April 2012
IPhone 4S terlepas dari tanganku
Hadiah kemenangan aku kemudiannya ditukar kepada iPad 2 sebab penganjur tersilap. Memang inilah idaman aku tapi bimbang pula dengan teknologi yang hebat begini.
Di rumah kami, kini ibu dan ayah Najla masing-masing ada telefon pintar. Kami memang cintakan teknologi dan rasa ketinggalan jika tidak peka dengannya.
Terkadang rasa seperti sukarnya hidup tanpa internet. Bukan kerana sibuk dengan facebook dan seumpamanya semata-mata. Tapi lebih kepada mencari bahan rujukan yang berlambak di situ.
Isteriku rajin memasak dan suka melayari laman-laman yang menyediakan pelbagai resipi.
Aku pula suka mencari bahan bacaan untuk menambah ilmu dalam pelbagai aspek.
Bagi kami, sangatlah rugi tak dapat mengikuti perkembangan terkini dalam bidang masing-masing.
Jadi, iPad akan memudahkan lagi kegiatan ini. Cuma apa yang membimbangkan ialah lebih banyak masa diberikan kepada telefon pintar dan iPad ini. Dan sudah tentu Najla akan turut serta tengok apa yang kami buat.
Adakalanya bagi melekakan Najla, kami ajarkan dia bermain telefon pintar. IPad pula banyak yang aku nampak digunakan anak-anak untuk bermain 'game'. Ya, ia akan tambah melekakan dia.
Inilah yang membimbangkan. Pernah aku jumpa seorang kanak-kanak yang tak pandai bersosial apabila asyik menghadap PC, Wii, PSP, dan sebagainya untuk main 'game'. Diajak keluar pun tak suka.
Nah, inilah kelemahan teknologi. Harith Iskandar dalam program lawaknya di Istana Budaya bersama Jozan, Nabil, Osbon, dan Boboi ada buat bandingan orang dulu dan orang sekarang.
Orang dulu bila nak tukar 'channel' tv, terpaksa bangun dan pusingkan tombol tv. Orang sekarang tekan punat tanpa perlu bangun. 'Channel' dah beratus pun dirasakan "takde cerita bestlah". Kalau ada masalah pada tv, dipanggilnya suami tolong tengokkan sedangkan boleh bangun sendiri.Huishh.
Betul juga lawak sindirannya. Dulu kalau makan-makan di luar bersama keluarga, semuanya akan rancak berbual. Sekarang topik perbualan pun dah kurang. Yang rancak berbual pun dalam facebook. Masing-masing membelek telefon pintar.
IPhone 4S ada aplikasi SIRI. Sangat pintar sebab kita boleh bercakap dengannya dan dia terus buat apa yang kita minta. Semakin canggih, dan semakin malas kahkita nanti?
Perlu betul-betul berdisiplin bila kita ikut perkembangan teknologi ini. Itulah yang perlu aku didik kepada diri, isteri dan anak. Kami kena saling ingat-mengingatkan kerana semua ini sangat seronok dan melekakan.
Walaupun kita berbuat suatu yang bermanfaat, masa untuk bersosial secara muka ke muka (bukan muka buku) sangat perlu diperuntukkan. Barulah kita tahu pelajari kemahiran intrapersonal atau 'soft skills' yang tak dapat dibantu oleh teknologi.
Dan ingatlah pesan pembaca berita 1.30 TV3 tadi, "jadikanlah hujung minggu anda masa yang berkualiti untuk keluarga".
03 April 2012
Agama tak patut dipersalahkan (99pp)
13 Mac 2012
Anak bukan milik kau
Masalahnya hari ini, penjenayah langsung tak hargai anugerah ini. Apa mereka ini tak ada anak? Ataukah mereka tak sedar mereka adalah anak kepada mak ayahnya?
Kenapalah sewenang-wenang mereka menculik, merogol, membunuh, atau membakar permata hati orang lain? Nurin Jazlin hingga kini tak ditemui. Kelmarin adik Nurul Nadirah pula ditemukan rentung.
Dan tadi, aku baru dapat mesej BBM tertulis "Sekiranya anda ternampak kereta GEN 2 WMN 8545 warna hitam. Anak kawan saya adam diculik area Serdang. Tolong!!! Plz spread this to others, saya just sebar aje!!! Tq. –Hafif"
Semakin berleluasa nampaknya. Apa kau ingat anak itu milik kau?
P/s: Ya Allah selamatkanlah semua anak-anak kecil di Malaysia daripada menjadi mangsa kekejaman syaitan manusia.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
13 Februari 2012
Kanak-kanak dilanggar basikal (100 pp)
Sumber: Prince91 |
p/s: Sering terfikir bagaimana situasi kehidupan bersama Nabi di Madinah dulu
08 Februari 2012
Ayah risau Najla sakit
Najla lemah hanya turutkan saja ayah untuk duduk atas kuda |
Alhamdulillah..Najla dah berak td..byk, cair dan berbuih.. Perut dh lmbut.. Mkn bubur pn ok td, dh stat ckp byk.. Huhu
Inilah gaya Najla yang sebenar dapat duduk atas kuda setelah dia kembali segar |
30 Januari 2012
Sanggup korek hidung kawan? (100 pp)
27 Januari 2012
Media bebas mengaibkan orang (99 pp)
Pesalah punk ditahan oleh polis Syariah di Acheh |
BACA: Kitaabul Hisbah (English)
BACA: For Many in Pakistan, a Television Show Goes Too Far
BACA: It’s true, trash TV sells
p/s: Berwaspadalah dengan kuasa kerana takut disalahguna. Perubahan dibuat menggunakan kuasa semata-mata tiada baiknya selain seiring dengan pendidikan. Islam pentingkan mendidik bukan menghukum.
Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik
Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...
Popular
-
Mula-mula aku berasa sakit yang tak tertahan pada geraham bongsu yang dah lama di menyempit di hujung rahang kanan. Memang malam itu langsun...
-
Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...
-
Kepada semua pembaca blog sama ada kenalan baru dan lama, anda dijemput hadir ke Majlis Perkahwinan saya yang akan diadakan di Jitra, Kedah ...