08 April 2012

IPhone 4S terlepas dari tanganku

Teknologi semakin hari semakin berkembang. Suatu ketika dulu, aku pakai telefon bimbit ericsson tu dah kira gempaklah. Lama lepas tu, wujud pula iPhone. Orang macam gilakan iPhone pula. Setahun dua lepas tu wujudlah iPhone lain sampailah sekarang dah ada iPhone 4S yang hampir-hampir jadi milik aku.

Hadiah kemenangan aku kemudiannya ditukar kepada iPad 2 sebab penganjur tersilap. Memang inilah idaman aku tapi bimbang pula dengan teknologi yang hebat begini.

Di rumah kami, kini ibu dan ayah Najla masing-masing ada telefon pintar. Kami memang cintakan teknologi dan rasa ketinggalan jika tidak peka dengannya.

Terkadang rasa seperti sukarnya hidup tanpa internet. Bukan kerana sibuk dengan facebook dan seumpamanya semata-mata. Tapi lebih kepada mencari bahan rujukan yang berlambak di situ.

Isteriku rajin memasak dan suka melayari laman-laman yang menyediakan pelbagai resipi.

Aku pula suka mencari bahan bacaan untuk menambah ilmu dalam pelbagai aspek.

Bagi kami, sangatlah rugi tak dapat mengikuti perkembangan terkini dalam bidang masing-masing.

Jadi, iPad akan memudahkan lagi kegiatan ini. Cuma apa yang membimbangkan ialah lebih banyak masa diberikan kepada telefon pintar dan iPad ini. Dan sudah tentu Najla akan turut serta tengok apa yang kami buat.

Adakalanya bagi melekakan Najla, kami ajarkan dia bermain telefon pintar. IPad pula banyak yang aku nampak digunakan anak-anak untuk bermain 'game'. Ya, ia akan tambah melekakan dia.

Inilah yang membimbangkan. Pernah aku jumpa seorang kanak-kanak yang tak pandai bersosial apabila asyik menghadap PC, Wii, PSP, dan sebagainya untuk main 'game'. Diajak keluar pun tak suka.

Nah, inilah kelemahan teknologi. Harith Iskandar dalam program lawaknya di Istana Budaya bersama Jozan, Nabil, Osbon, dan Boboi ada buat bandingan orang dulu dan orang sekarang.

Orang dulu bila nak tukar 'channel' tv, terpaksa bangun dan pusingkan tombol tv. Orang sekarang tekan punat tanpa perlu bangun. 'Channel' dah beratus pun dirasakan "takde cerita bestlah". Kalau ada masalah pada tv, dipanggilnya suami tolong tengokkan sedangkan boleh bangun sendiri.Huishh.

Betul juga lawak sindirannya. Dulu kalau makan-makan di luar bersama keluarga, semuanya akan rancak berbual. Sekarang topik perbualan pun dah kurang. Yang rancak berbual pun dalam facebook. Masing-masing membelek telefon pintar.

IPhone 4S ada aplikasi SIRI. Sangat pintar sebab kita boleh bercakap dengannya dan dia terus buat apa yang kita minta. Semakin canggih, dan semakin malas kahkita nanti?

Perlu betul-betul berdisiplin bila kita ikut perkembangan teknologi ini. Itulah yang perlu aku didik kepada diri, isteri dan anak. Kami kena saling ingat-mengingatkan kerana semua ini sangat seronok dan melekakan.

Walaupun kita berbuat suatu yang bermanfaat, masa untuk bersosial secara muka ke muka (bukan muka buku) sangat perlu diperuntukkan. Barulah kita tahu pelajari kemahiran intrapersonal atau 'soft skills' yang tak dapat dibantu oleh teknologi.

Dan ingatlah pesan pembaca berita 1.30 TV3 tadi, "jadikanlah hujung minggu anda masa yang berkualiti untuk keluarga".

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular