25 April 2014

Uniknya Bau China

Gambar bangunan Macau bercirikan senibina Portugis
(IOS camera - panorama)
“Hah, sama baunya macam di Beijing,” komen Syed yang baru tiba di Guangzhou bersama rakan-rakannya. Tiga daripada lima orang ahli kumpulannya pernah mengunjungi Beijing, jadi mereka sedikit sebanyak sudah arif tentang adat budaya orang China. Jadi, benarlah telahan saya tentang uniknya bau China.

Antara budaya dan amalan harian mereka yang sedikit sebanyak menyumbang kepada keunikan baunya mungkin meloyakan kita. Kadangkala saya berasa seperti tidak mahu berkongsi mengenai hal ini, kerana ia boleh membantutkan hajat kita untuk ke China. Namun, saya fikirkan elok juga diceritakan supaya mereka yang ingin ke sana sudah boleh bersiap sedia.

Memang ramai pengunjung kali pertama akan merungut, kata mereka orang China pengotor, busuk dan sebagainya. Anehnya, tanggapan ini langsung tidak menggugat hasrat mereka untuk kembali mengunjungi China berulang kali.  

Meludah di merata tempat itu perkara normal. Tompokan kesan ludahan mereka ketara dilihat di laluan pejalan kaki, restoran, pasar raya, di dalam lif dan di mana sahaja ada lantai.



Kruooh..Ptuihh!

Bunyi mengumpulkan saliva atau kahak sangat mengganggu kita yang berada berhampiran mereka. Tulikan sahaja telinga, tidak perlu mengelak pun. Mereka cekap meludah. Tidak pernah saya melihat kelibat orang yang terkena ludahan mereka.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, dunia semakin dibuka peluang untuk mengenali China,” kata Sun Yingchun, seorang professor di Universiti Komunikasi China. “Namun, diskriminasi dan prejudis terhadap orang China di negara luar masih berleluasa”, sambungnya lagi.

Diskriminasi dan prejudis yang dimaksudkan Prof Sun merujuk kepada layanan kurang mesra kepada orang China. Ini disebabkan budaya meludah, bercakap kuat, potong barisan dan buang sampah di merata tempat yang sangat sinonim dengan mereka, tidak disenangi masyarakat luar.

Inilah konflik budaya. Siapa betul dan siapa salah bukan persoalannya.

Apabila membaca penjelasan para sarjana Islam seperti Malik Bennabi, al-Faruqi dan Sa’id Hawwa mengenai budaya, kita tentu lebih bertoleransi. Budaya yang berasal daripada perkataan ‘thaqafah’ itu boleh dirumuskan sebagai sistem nilai, sosial dan akhlak yang terbentuk dalam masyarakat di mana seseorang itu dilahirkan dan dibesarkan. Lama kelamaan tanpa disedari ia mengikat tingkah laku individu menjadi sistem hidup masyarakat di situ.

Patutlah setahun saya menetap di Guangzhou, saya dapati budaya meludah bukan masalah bagi mereka. Sejak kecil sudah biasa begitu, Ia menjadi masalah kepada kita yang diasuh dalam sistem nilai, sosial dan akhlak yang berbeza.

Saya pernah terbaca tulisan professor sosiologi di Universiti Plymouth, Britain yang telah mengkaji budaya meludah di enam buah negara di Asia. Kata Prof Ross Coomber, masyarakat Barat melihat budaya meludah orang China sebagai disgusting. Bahkan mereka dididik bahawa budaya meludah ini memudahkan penularan penyakit seperti tuberculosis atau yang biasa kita panggil sebagai Tibi.

Apabila Prof  Coomber mengkaji mengenai dakwaan penularan penyakit tadi, beliau dapati risiko kesihatan yang diajarkan kepada masyarakat Barat itu sebagai overstated kerana tiada bukti jelas mengenainya. Akhirnya, Prof Coomber membuat kesimpulan berikut yang mungkin memeranjatkan kita.

My personal opinion is that spitting is so embedded in these cultures that I don’t see why they have to modify their behavior. A strong, confident country should be able to say, ‘No, these are things that we do and you need to understand that.

Ya, betul kita patut memahaminya. Bukan memandang rendah dan mengkritik semahunya. China mempunyai sejarah ketamadunan ribuan tahun mendahului kita. Jadi, untuk memahaminya kita perlu bertanyakan mengapa mereka meludah.

“Kalau cikgu faham mengapa kami berludah, tentu cikgu boleh menerimanya. Meludah itu tanda kepada paru-paru yang sihat,” ujar seorang anak murid kepada guru Bahasa Inggerisnya, Mary Glass.
Waktu itu Mary sedang mengajar tentang adab makan dan kesopanan menurut budaya Amerika. Begitulah jawapan yang diberitahu anak muridnya setelah dia memberitahu budaya meludah sebagai tidak sopan di Amerika, tetapi tidak di China.

Orang China akan meludah apabila berasa tidak selesa di kerongkong mereka. Jadi, jika terdapat sekatan di situ, mereka akan segera singkirkan saliva dan kahak dengan meludah. Itulah caranya mereka memelihara paru-paru. Oh, begitu rupanya..

Apa pula persepsi orang China kepada kita, orang asing?

Tanggapan mereka, kita tentu mengalami ketidakselesaan yang sama dalam rutin harian, namun kita memilih untuk menelannya. Blurpp! Kita yang pengotor, bukan mereka.  Kita menelan saliva dan kahak, mereka meludahkannya. Tengok, cara berfikir mereka lain.

Sewaktu temasya sukan Olimpik 2008 diadakan di Beijing, wabak SARS sedang menular. Kerajaan China mula tertekan. Mereka tidak mahu rakyatnya dicemuh sebagai penyebar wabak SARS melalui aktiviti meludah. Sebagai solusi, ‘beg ludah’ diedarkan secara meluas kepada rakyatnya supaya mereka meludah di dalam beg yang dibekalkan.

Tindakan ini berjaya mengubah masyarakat mereka untuk meludah di dalam beg itu dalam tempoh sesingkat satu malam. Perkara yang sama berlaku sebelum itu apabila aktivis China melarang masyarakat membeli belah di Carrefour. Tindakan ini adalah tanda boikot kepada Perancis yang didakwa menyokong Dalai Lama dalam isu konflik Tibet-China. Gesaan boikot itu benar-benar memberi kesan kepada 122 cawangan Carrefour di China dalam tempoh semalaman.

Mereka sebenarnya ada kekuatan untuk membuat perubahan jika mereka mahu. Rutin meludah yang sekian lama sebati dalam budaya mereka memang tidak mahu diubah agaknya. Sebab itulah adanya ‘beg ludah’.

Deng Xiaoping, tokoh reformis mereka juga sangat terkenal dengan kehandalan meludah dengan tepat memasuki Spittoon. Spittoon ialah bekas ludah yang disediakan dalam acara rasmi kerajaan agar mereka meludah di dalam bekas itu.


Bau semacam itu bukan sekadar disumbangkan oleh sang peludah, ada lagi budaya lain yang perlukan toleransi kita. Mahukah ke China?

2 ulasan:

Pawana Malam berkata...

Assalamualaikum abg sahal fikri...
lama sudah tak ketemu di alam maya ini...ct doakn abg sht, brjya dn bhgia dunia akhirat brsama famly...blog ct dh xleh bukak...email dh expired...
salam rindu buat teman2 blog dari tahun 2006

ctnur6677@gmail.com

Sahalfikri berkata...

Pawana: Oh, zaman kegemilangan blogger.. Kamu masih aktif blogging ke?

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular