Kalau diikutkan giliran musim, kini sudah masuk musim bunga. Suhunya sepatutnya tidak lagi dingin. Namun, akibat perbuatan rakus manusia membangunkan dunia, berlakulah pelanggaran aturan alam.
Suhu turun dan naik secara mendadak tanpa dapat diramal. Keadaan ini menyebabkan situasi begini sukar dihadapi. Tubuh badan terasa lemah selain pening kepala datang tiba-tiba. Dari 23'C boleh bertukar terus ke 6'C.
Aku yang tidak berpengalaman berasa gusar dengan keadaan ini memandangkan isteriku dalam keadaan tidak stabil. Bukan sekadar iklim, beberapa faktor lain turut membimbangkan. Berada di negara bukan Islam yang tidak mengamalkan demokrasi jelas berbeza keadaannya dengan negara-negara demokrasi lain seperti di Eropah. Soal pendidikan anak-anak juga perlu diambil berat.
Setelah beberapa pertimbangan dibuat, aku memutuskan untuk pulang ke Malaysia. Hati yang tergerak dengan petunjuk tertentu dengan tawakal kepadaNya memberi keyakinan kepadaku atas keputusan ini.
Sudah tentu kepulangan ini memberi reaksi pelbagai daripada rakan dan saudara. Ada yang positif dan ada yang negatif. Perkara normal yang biasa dilalui oleh pekerja dakwah sepertiku.
Adalah satu kebiasaan dalam strategi dakwah untuk bertukar pelan gerakan. Malahan dakwah itu bukan sifatnya terikat pada batas geografi. Hatta orang yang berbaring sakit dan tidak boleh bergerak wajib ke atasnya meneruskan tradisi dakwah warisan Nabi ini.
Kepulangan pastinya menemui ahli keluarga terlebih dahulu. Aku kembali ke Melaka apabila dapat tahu keluargaku berada di sana. Kelihatan ayah sedang menyiapkan pagar di rumah nenek saudara.
Kesempatan membantu ayah membuat kerja-kerja kampung ini diluangkan sebaiknya. Laman rumah nenek saudara yang agak besar perlu dikemaskan. Sudah lama aku tidak berpeluh begini. Apabila Nek Cot suruh aku menyarungkan pakaian kebun Babah, teringat aku pada arwah yang sangat berpengaruh dalam menentukan kelangsungan kerja dakwahku hingga ke hari ini.
Sahabat dan saudara, kerja kampung begini rupa-rupanya mendidik jiwa kita untuk tidak hanya mendongak. Setelah usia meningkat, barulah dirasakan betapa pentingnya untuk menunduk. Patutlah arwah Babah dan rakan-rakannya tidak pernah berbangga hasil pertukangan tangan mereka dalam membina taski pertama di Malaysia.
2 ulasan:
supposedly in uk dah spring..tapi bunga pun keluar ciput je..dan suhu pun naik turun tak tentu
itulah.. di China pun masih lagi begitu. tengok sajalah terkini di Xinjiang, banjir berlaku akibat pencairan salji secara tiba-tiba.. global warming effect.
Catat Ulasan