"Ya Allah kau jadikan setiap perbuatanku adalah jihad dalam keluargaku"
"Dan KAU lindungilah diriku daripada rasa kesal dan sesal"
"Sungguh cobaan yang KAU berikan padaku amat berat, Ya Allah"
"Dan KAU lindungilah diriku daripada rasa kesal dan sesal"
"Sungguh cobaan yang KAU berikan padaku amat berat, Ya Allah"
Ini sedutan doa seorang ibu yang hidup bagaikan hamba kepada anak dan menantunya dalam episod petang tadi dalam MUTIARA HATI TV9. Tak pernah lagi aku terfikir kesabaran itu satu jihad yang boleh kita lakukan dalam kehidupan seharian.
Biasanya bila disebut jihad, orang pasti memikirkan soal perang. Tapi jihad itu luas rupa-rupanya. Perang jihad terbesar. Yang kecil seperti kisah ini juga jihad. Sebabnya jihad itu kan melibatkan pengorbanan. Perang yang terbesar kerana mempertaruhkan nyawa demi agama.
Kalau dalam keluarga yang 'sial' (aku terpaksa guna bahasa indonesia - sengaja aku tak kata bahasa melayu sebab bagi kita ini adalah perkataan kesat, tapi bagi mereka sial itu ada satu keadaan yang sangat teruk) kita boleh hidup dengan kesabaran, itu juga satu pengorbanan jiwa dan perasaan. Sebab itu boleh dipanggil jihad.
Bayangkanlah si ibu tadi diperhamba membasuh, menjemur, menseterika pakaian si anak, dsb sambil anak duduk senang-lenang. Juga dimaki hamun, anak sendiri pula lebihkan isteri, solat pun dimarahi, nak guna telefon pun disekat, dll.
Namun, setiap ibu sayangkan anaknya. Dia tak pernah mendoakan kecelakaan buat anaknya tetapi selalu mendoakan kebahagiaan anaknya dengan isteri. Anak apa camni?
Aku tersentuh seketika menonton kisah ini kerana aku punya jiran, juga saudara yang sebegini layanannya kepada si ibu. Betapa payah ibu menjaga dan mendidik kita bagai menatang minyak yang penuh, apakah sanggup kita mengherdiknya walau dengan secebis kata ,"Ahh!" ?
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) - Luqman (31):14
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). - Al-Isra' (17):23
Tiada ulasan:
Catat Ulasan