09 September 2011

Mangsa kebuluran Somalia terima sumbangan

Global Peace Mission (GPM) telah menghantar sejumlah USD10,000 sebagai bantuan awal kepada pelarian di Mogadishu, Somalia pada 25 Ogos 2011/25 Ramadhan 1432 untuk keperluan makanan selama sebulan. Penyerahan cek kepada saudara Hassan Syeikh Ali, wakil Yayasan Zam Zam Somalia telah diadakan pada tarikh yang sama di Balai Berita SINAR, Kumpulan Karangkraf.

 
 GPM telah menjalinkan kerjasama erat dengan rakan anggota Union of NGOs of Islamic World (UNIW) iaitu Yayasan Zam Zam Somalia bagi tujuan pengagihan bantuan makanan tersebut. Ini dilakukan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan memandangkan Yayasan ini lebih berpengalaman dan arif tentang keadaan di sana.

 
 Lokasi pilihan untuk bantuan awal ini ialah di daerah Dharkenley di wilayah Banaadir, Mogadishu. Mangsa kebuluran paling teruk akibat kemarau dan konflik berpanjangan ini adalah penduduk di antara Sungai Shabele dan Sungai Jubba. Kebanyakan mereka melarikan diri ke Mogadishu bagi mendapatkan bekalan makanan, penempatan dan perubatan kerana kelompok penentang, Al-Shabab telah menyekat bantuan luar masuk ke kawasan asal mereka.

 

 Menurut laporan rasmi UNHCR, setakat 2 September 2011, jumlah tertinggi pelarian iaitu seramai 17,790 orang telah melarikan diri ke Dharkenley. Ini mengakibatkan kekurangan bekalan makanan yang mencukupi bagi menyara keperluan penduduk tempatan dan para pelarian.

 
 Bantuan makanan yang disampaikan oleh GPM melalui Yayasan Zam Zam berupa beras (25kg), tepung gandum (25kg), minyak (3liter) dan kurma (2kg) bagi setiap keluarga. Sebanyak 175 keluarga atau 1,225 mangsa telah mendapat bantuan makanan ini.

 
 Pengagihan bantuan makanan secara teratur dan bersistem oleh Yayasan Zam Zam dapat mengelakkan daripada berlakunya perebutan di kalangan mangsa yang memerlukan. Ini membuktikan keberkesanan gerak kerja Yayasan yang cukup berpengalaman dalam menguruskan bantuan-bantuan kemanusiaan.

 

 Keriangan yang terpancar di wajah mereka setelah mendapat bantuan ini jelas kelihatan apabila mereka menerimanya dan membawa makanan tersebut pulang ke penempatan masing-masing.

 


 Pihak GPM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang telah menyumbang untuk membantu rakyat Somalia pada fasa pertama yang lalu. Untuk fasa seterusnya, GPM masih mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada wakil kami, Yayasan Zam Zam di Mogadishu untuk pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan GPM. Fasa kedua akan menumpukan kepada projek jangka masa panjang seperti pembinaan perigi Waqaf, khemah, perubatan dan pendidikan. Sumbangan tuan/puan boleh disalurkan ke akaun GLOBAL PEACE MISSION (GPM) seperti berikut:
Untuk pertanyaan sila hubungi 03-61883230 atau 019-3165970. "Humanitarian Mission Across Borders" GLOBAL PEACE MISSION (GPM) 2-2A, Jalan GJ2 Batu 51/2 Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur, Malaysia Tel: +60 3 6188 3230 Fax: +60 3 6188 3233 Email: gpmhq@yahoo.com Website: www.gpm.com.my

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular