Anda lelaki ke perempuan? Jika anda lelaki, anda layak untuk
terus membaca perenggan di bawah. Jika perempuan, boleh juga teruskan membaca.
Selain daripada itu, sila henti membaca.
Baik. Lelaki dan perempuan. Jikalau kalian berumur bawah 40
tahun, kalian akan diutamakan untuk terus membaca. Pada usia ini, adakah anda
rasa puas melakukan kerja yang sedang dilakukan atau sebaliknya? Jika tidak
puas, boleh teruskan membaca.
Kepuasan dalam bekerja belum tentu dapat diberikan walaupun
dibayar dengan gaji yang lumayan. Apatah lagi apabila merasakan kerja yang
dibuat sehari-hari hanya untuk kepentingan diri dan seolah tak memikirkan orang
lain. Anda setuju atau tidak? Jika setuju, teruskan membaca.
Ada sesetengah orang berasa puas melakukan kerja yang
diminatinya walaupun tidak mendapat habuan yang tinggi. Contohnya, penyanyi
jalanan, pemuisi, pelukis dan sebagainya. Mereka puas melakukan apa yang
disukainya walaupun ganjaran duit belum tentu mencukupi untuk menampung
keperluan harian. Hanya kerana ingin menyampaikan mesej kepada orang ramai,
dengan rasa prihatin akan nasib orang lain, mereka berkarya menabur erti
kemanusiaan. Cuba fikirkan satu perkara yang benar-benar anda minat untuk
lakukan. Jika perkara itu juga berunsurkan kemanusiaan, sila teruskan membaca.
Selain menjadi penghibur atau karyawan, ada juga kerjaya
lain yang memupuk semangat cintakan kemanusiaan. Bukan sekadar nasib masyarakat
tempatan, tetapi kisah-kisah duka masyarakat dunia menjadi perhatiannya. Maka,
bermusafirlah dia ke sana ke mari untuk berganding bahu sesama manusia. Anda
punya kekuatan untuk sering bermusafir? Jika ya, teruskan membaca.
Ke mana saja, dicarinya manusia yang boleh membantu, agar
dapat dia salurkan kepada yang perlu dibantu. Usahanya terancang, tidak membabi
buta. Kalau perlu mesyuarat, akan diaturkan. Perhubungan moden menggunakan
komputer bagi menghebahkan usaha, melalui facebook dan laman sesawang juga e-mel
menambahkan efektif kerjanya. Selain berada di pejabat, dia sanggup ke lokasi
bantuan dan ke mana saja untuk menjalin hubungan kerja. Anda rasa anda seorang
yang mahir menggunakan komputer, boleh kerja dalam kumpulan, multitasking dan sukakan masa
kerja fleksibel? Jika ya, teruskan membaca.
Keramahannya berkomunikasi cukup menyenangkan sesiapa yang
bersamanya. Tidak kiralah dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris, dia boleh berbicara sekalipun tidak fasih. Walaupun tidak berkelulusan tinggi, dia boleh menguruskan kerja
dengan baik. Walaupun bidang yang dipelajari tidak menjurus kepada minatnya
tadi, dia boleh cemerlang dalam bidang yang diminati. Maka, tiada masalah jika
anda minat apa yang anda lakukan. Ok, teruskan membaca.
Jika semua perkara di atas menepati diri anda, sila
hantarkan resume anda ke gpmhq@yahoo.com. Bagi
yang tidak menepatinya dan sepatutnya tidak membaca sehingga ke perenggan ini,
sila maklumkan kepada mereka yang sepatutnya membaca.
Global Peace Mission (GPM) Malaysia adalah badan bukan
kerajaan yang khusus menangani kerja-kerja kemanusiaan antarabangsa sedang
mencari calon-calon eksekutif yang sesuai untuk mengisi bidang kerja berikut:
- Pentadbiran
- IT dan Media
- Operasi
- Kewangan dan Pemasaran
p/s: Aku mula terdedah dan berpeluang mengikuti misi kemanusiaan luar negara GPM sewaktu masih menuntut di tahun kedua universiti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan