Memaparkan catatan dengan label masyarakat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masyarakat. Papar semua catatan

25 Februari 2016

Buku Aku Sudah Terbit

Sudah lama aku menyimpan hasrat untuk menulis pengalaman aku mengembara. Kononnya nak mulakan dengan pengalaman menetap di China selama setahun. Rupa-rupanya rezeki Somaliland yang akhir tahun 2015 aku kunjungi nampaknya.

Ada sebab kenapa aku boleh siapkan menulis dalam tempoh sebulan sahaja. Pertamanya kerana Zainuddin dalam filem Tenggelamnya Kapal Van De Wijck dan kedua kerana kursus penulisan yang disampaikan Cikgu Salman Al-Farisi. Kedua-dua ini berasal dari Indonesia.

Jadi, alhamdulillah karya yang asalnya nak diterbitkan sendiri akhirnya memikat hati Karya Bestari untuk menerbitkannya. Inilah buku yang aku maksudkan:


Buku ini mengisahkan tentang pengalaman unik yang aku alami sepanjang berada di Somaliland selama lima hari. Walaupun tempohnya singkat, banyak kejutan yang aku alami. Perasaan takut aku untuk menjejakkan kaki ke benua Afrika kini sudah hilang.

Kalau diikutkan banyak lagi kisah aku nak ceritakan tapi cukuplah sekadar 34 bab yang telah aku kongsikan. Kali ini aku cuba bawa pembaca sama-sama menghayati pengalaman yang telah aku lalui dengan menyediakan 26 video untuk ditonton sambil membaca. Caranya mudah saja, cuba tengok video ini:


Menurut penerbit inilah buku pertama travelog interaktif di Malaysia. Alhamdulillah, tak kisahlah pertama atau berapa pun, asalkan video-video itu dapat membantu pembaca menghayati sendiri perjalanan aku sudah memadai.

Sekarang setiap hari aku kena membelek buku ini untuk buka mukasurat pertama. Walaupun belum masuk ke kedai-kedai buku, aku dah dapatkan 200 naskhah awal untuk sesiapa yang beli terus daripada aku. Naskhah awal ini perlu aku tandatangan seperti yang diminta pembeli. Ini kira naskhah eksklusiflah.. :) Bulan Mac 2016 baru ada di kedai-kedai buku.


Kalau nak dapatkan naskhah dan autograf ini, whatsapp aku cepat-cepat dengan menaip:

SOMALILAND [JUMLAH BUKU NAK DIBELI] [LOKASI]

hantarkan ke 019-3165970.

HARGA RM28 + POS RM 7 (S.M'sia) / RM10 (Sbh/S'wak)



17 Ogos 2015

5 perkara aku belajar sewaktu Aidilfitri

Aidilfitri sudah pun berlalu meninggalkan kita. Amalan ziarah menziarahi pun seolah-olah tamat sebab dah tiada kuih raya. Harap tidak begitulah. Kita teruskan berziarah dan terima orang ziarah ya. Syawal lepas, ada 5 perkara yang aku belajar dalam budaya ziarah.

1) "Biar duit sikit, asalkan hidup berkat," pesan Nek Uda.

Hari raya kedua seperti biasa kami ke Kuala Linggi, Melaka. Dapat bertemu orang-orang tua pasti memuaskan hati. Nek Uda asyik dok ulang ayat di atas. Sementara itu, anaknya ceritakan kisah benar orang di situ yang kaya segera dan akhirnya mati 'tak berlagu'.

"Memang dia orang kaya, sarapan pagi pun naik helikopter dari rumah ke jeti."
"Sorang lagi kaya sebab ahli ajaran sesatnya dok banyak sedekah."

Dua-dua mati meninggalkan harta yang entah tak tahu ke mana, anak juga tiada khabar berita dan harta tinggal terbiar. Pesan Nek Uda itu memang biasa masuk ke telinga waktu para ustaz berceramah. Tapi bila ada kisah real begini, ia lebih menusuk jiwa.

28 September 2011

Ayuh melancong ke Somaliland


Aku pernah bercerita mengenai Somaliland berbeza daripada Somalia. Aku juga pernah bercerita mengenai kepayahan mereka untuk menunaikan haji dalam entri Jom pergi haji naik kapal. Kali ini aku ingin berkongsi lagi.

Somaliland lebih aman dan stabil di rantau bergolak Somalia ini. Dalam kemunduran pembangunan, mereka maju dalam ekonomi pertanian dan stabil dalam politik. Banyak usahawan Malaysia sudah mula menjenguk ruang perniagaan di sana.

Baru-baru ini aku berurusan dengan mereka yang mempunyai kehebatan sistem pemindahan wang secara hawalah tanpa melalui sistem perbankan. Sukar untuk aku terangkan di sini tapi inilah cara terbaik yang dapat mereka cipta dalam melakukan pindahan wang antarabangsa.

Selepas ini, luangkan sedikit masa anda untuk menonton liputan Majalah 3 awal Ramadhan lepas mengenai Somaliland. Anda pasti terkejut bagaimana tukaran wang asing dibuat secara bebas dan selamat di pasar terbuka tanpa kawalan. 

Dan bertambah terkejut apabila mereka tinggalkan saja wang diselimuti kain untuk menunaikan solat di masjid apabila azan berkumandang. Sistem transaksi pembelian barangan juga hanya menggunakan sistem kredit telefon. Untuk memahaminya, tontonlah video di bawah.

Jika anda ingin melancong ke Somaliland untuk merasakan sendiri kebenaran liputan ini, aku bersedia untuk menghubungkan kalian, InsyaAllah. Begitu juga dengan siapa yang berminat untuk berniaga.

05 Julai 2011

Jom pergi haji naik kapal

http://farm3.static.flickr.com/2750/4129224053_cb4128565d.jpg
Gambar Hiasan [Sumber]

Dulu-dulu biasalah kita dengar orang naik haji naik kapal. Kos tambangnya murah tapi masanya panjang. Sebulan barulah sampai Mekah dari Malaysia.

Itu cerita tentang kapal laut. Sekarang tiada lagi. Jemaah haji akan dibawa menaiki kapal terbang untuk sampai ke sana. Bertambah sulit apabila ongkos penerbangan tak termampu ditanggung.

Alamatnya tak dapatlah menunaikan haji segera. Tak mengapa, memang haji diwajibkan atas mereka yang mampu. Justeru, yang belum mampu kenalah gandakan usaha.

TEMPAT BERLEPAS DEWASA (15 tahun ke atas) 15 tahun ke bawah
Semenanjung Malaysia RM  9,980.00 RM 9,011.00
Sabah RM 10,110.00 RM 9,141.00
Sarawak RM 10,065.00 RM 9,096.00

Pagi tadi aku berbual dengan sahabat karibku di INCEIF. Dia yang berasal dari Somaliland beritahu kos haji di Malaysia murah berbanding negaranya. Aku pun tanya kenapa?

Di Somaliland, kos haji bagi seorang dewasa ialah USD 4,800. Nilai ini bersamaan RM 14,436. Bukankah jarak Somaliland lebih dekat dengan Mekah? Ya, memang dekat tapi tambang kapal terbang saja dah USD 3,000.

Peta menunjukkan jarak Somaliland yang berdekatan dengan Mekah
Buat pengetahuan semua, majoriti umat Islam di Somaliland adalah penduduk nomad. Mereka tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau simpanan banyak untuk tunaikan haji. Bersyukurlah sebab kita ada pekerjaan dan pendapatan yang membolehkan simpanan dibuat sebagai usaha nak tunaikan haji.

Menurut sahabat aku juga, di Somaliland, mahar yang perlu disediakan pengantin lelaki adalah sekitar 350 gram - 500 gram emas. Apa??? Minimum RM17,000...

Sukar betul mereka nak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Tapi mereka memang sabar, tabah dan rendah diri. Walaupun adat budaya itu menyusahkan, mereka tetap positif bahawa mereka akan mampu juga suatu hari nanti. Tak merungut langsung.

Bersama Abdirazak berbincang mengenai tugasan yang perlu disiapkan
Di akhir perbualan, dia minta aku bantu mencari alternatif kapal dari Malaysia atau Indonesia yang pasti melewati Somaliland agar jemaah haji mereka dapat tumpang ke Mekah. Hanya dengan cara ini barulah dapat kuota haji mereka dipenuhkan. Selama ini tak pernah pun mencapai kuota.

Syaekhan (Indonesia) dan Abdurrahman (Somaliland) juga turut serta dalam perbincangan

Jawabku, sudah lama Malaysia dan Indonesia tak lagi naik kapal ke sana. Maaf kerana aku tak dapat aturkan alternatif terbaik. Jika ada peniaga yang mampu sediakan servis kapal, mungkin boleh diusulkan. Aku doakan saudara-saudaraku ini akan dipermudahkan urusan mereka suatu hari nanti.

Akan Datang: Somaliland Berbeza Daripada Somalia

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular