header-photo

Common Sense


Dah berkali-kali aku rasa serik nak guna tandas masjid. Jarang sekali aku jumpa yang bersih. Kalau nampak bersih pun, pam rosak. Atau paip tak berfungsi. Atau pintu tiada selak.

Malu pula tengok masjid tersergam indah tapi tandas begini. Baunya memang susah nak tahan.

Pernah tak dengar yang orang Melaka menilai seseorang itu pembersih atau tidak melalui tandas. Ini pesan nenek aku. Kalau masuk ke tandas rumah A, kotor.. maknanya A pengotor.

Cuba guna formula ini untuk masjid. Maknanya umat Islam pengotor. (Spesifik: Jemaah di masjid itu). Apakah kita tak faham ajaran Islam berkenaan istinjak? Entah-entah ini kali pertama dengar perkataan ISTINJAK.

Hmm.. takpelah. Sekalipun tak dipanggil istinjak, ia adalah Common Sense (CS). Menjaga kebersihan diri dan sekeliling kan CS.

Maka, CS aku apabila menggunakan tandas awam (walaupun berbayar) ialah aku akan 'mencuci' tandas itu sebelum gunakannya.

(1) Mula-mula aku curahkan air pada pili dan getah air
(2) Aku pun curahkan pada pemegang dan selak pintu
(3) Dinding tandas setinggi sekaki dari lantai aku alirkan air
(4) Pemegang pam tandas pun dialirkan air
(5) Barulah menunaikan hajat dan istinjak
(6) Memastikan tandas yang aku gunakan bersih sebelum keluar

Kalau korang macam mana hadapi situasi begini? Belum lagi sentuh bab CS lain ni..

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman". (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Mangkuk tandas di Laos dan Thailand hanya perlu jirus segayung air untuk hilangkan najis - lebih jimat daripada tandas kita yang perlukan setong air

Beri ruang kepada wanita

"Perempuan ada 9 nafsu dan 1 akal tapi lelaki ada 9 akal dan 1 nafsu"
"Kaum yang dipimpin oleh wanita tidak akan berjaya dalam urusan mereka"
"Lelaki lebih layak memimpin daripada perempuan"

Asyik-asyik isu gender. Kesamarataan hak lelaki dan perempuan. Perjuangan yang selalu dilaungkan golongan aktivis Hak Asasi Manusia. Mereka pasti marah dengan ketiga-tiga pernyataan di atas.

Ini semua salah faham sebenarnya. Yang salah faham pun umat Islam sendiri (sesetengah mereka tidak). Islam tak pernah meletakkan perempuan dalam kelas kedua. Bahkan Islam yang menaikkan kembali taraf perempuan.

Tak semua perkara boleh disamaratakan dengan lelaki. Hormon badan pun berbeza. Ini juga mempengaruhi tindakan dan pemikiran [Sila baca artikel ini]. Yang betul, ialah perjuangan keadilan hak. Bukan kesamarataan hak.

Aku cukup tak puas hati dengan rancangan 'Apa Apa Aje' terbitan TV3. Aku suka perbincangan isu rumahtangga tapi aku benci fenomena tuding jari berdasarkan gender. (Sejak Amy Mastura hoskan, lagi dahsyat)

Bukankah masalah rumahtangga berpunca daripada sikap suami atau isteri? Sikap adalah fokusnya. Bukan gender. S. I. K. A. P. Sikap!!!

Aku rasa cara kita pandang wanita banyak dipengaruhi adat budaya setempat dan lingkungan hidup seseorang itu dibesarkan.

Potong sayur, kemas rumah, sidai kain, memasak, lipat kain, seterika baju disinonimkan dengan wanita. Lelaki jangan sentuh. Bertukang, mengecat,.. (aku jadi 'blank' tak tahu nak tulis contoh lain).. adalah kerja lelaki. Perempuan langsung tak boleh buat. Huh..

Servant of God bertanyakan aku tentang status wanita menjadi hakim menurut Islam. Ini pastinya isu besar dalam hal kehakiman syariah tapi tidak dalam kehakiman sivil. (Siapa rajin baca, baca pendapat aku di sini)

Lakukan apa saja demi politik


Rata-rata masyarakat yang aku temui sudah muak mendengar perkataan politik. Apatah lagi untuk bercakap mengenainya. Jauh sekali untuk berpolitik.

Politik disalahfaham sebagai satu cara/taktik/helah untuk mendapatkan atau mengelakkan sesuatu untuk kepentingan sendiri secara kotor.

Kalau nak menang, kita suapkan duit kepada pengundi. Kalau nak naik pangkat, kita kena pandai bodek. Jadi, politik berlaku di mana-mana saja. Pemandu teksi pun boleh berpolitik.

Politik yang asalnya murni tercemar kerana politikus kotor. Buat apa saja demi kepentingan peribadi atau kelompok. Jadi, jangan salahkan masyarakat andai tersalah faham.

Maksud politik kalau ikut Kamus Dewan ada tiga. Tapi umum lebih merasakan politik sinonim dengan maksud yang ketiga.

Kita memang waras bila di luar gelanggang politik. Tapi bila kita dalam gelanggang, kita pun terikut sama. Kalau tak, kita mungkin dengan sendirinya terpinggir ke luar gelanggang. Seolah-olah hanya yang kotor akan menang.

Baru-baru ini, adalah beberapa junior yang aku kenal masuk politik kampus. Daripada pemerhatian aku, politik kampus pun dipolitikkan. Sayang sekali apabila adik-adik bakal pemerintah negara tak dapat kenal erti politik.

AUKU dipinda untuk membenarkan parti politik masuk kampus. Agar mahasiswa terdedah lebih awal. Tapi pindaan ini pasti sia-sia apabila ia dipolitikkan.

Pernah aku cuba melangkah ke gelanggang tapi aku kembali menyeretkan kaki ke luar. Aku lebih selesa ke bidang dakwah. Aku juga fikirkan kepentingan umum dan dapat bertindak dengan penuh kepuasan.


Kata Pak Natsir, " Bagi orang dakwah, semua orang adalah kawan melainkan yang benar-benar lawan. Bagi orang politik, semua orang adalah lawan melainkan yang benar-benar kawan."

Namun, aku percaya perlunya orang dakwah dalam politik.

Dalam dakwah pun nak berpolitik?..huh

AKAN DATANG: Berikan ruang kepada wanita

Kumpulan rock buat album khas Palestin


Ini kumpulan rock ANALISA yang hanya sempat menerbitkan satu album dan terbubar pada tahun 1991 apabila vokalisnya menubuhkan kumpulan UKAYS. Aku terkejut juga bila tahu albumnya berjudul PALESTIN. Ini bukti sokongan jelas ANALISA terhadap perjuangan Palestin walaupun disampaikan dalam gaya begini [sila dengar lagu di bawah].



Aku terfikir pada era 1989-1991, bagaimanakah agaknya mentaliti rakyat Malaysia khususnya Melayu. Adakah seruan boikot akan dibalas dengan pelbagai alasan seperti hari ini?

Mungkin belum ada kesedaran untuk boikot waktu itu. Mungkin juga waktu itu ramai tak endahkan lagi tentang Palestin.

Aku yang baru darjah satu memang tak tahu pasal Palestin. Dalam banyak-banyak buku ayah yang aku belek, hanya kisah Perang Teluk yang aku tahu.

Maka, pastinya Saari Amri takkan berani memimpin anak muda ini untuk menerbitkan album PALESTIN. Sebabnya jualan album tak mungkin laris.

Jika benar sangkaan aku, aku tabik ANALISA dan Saari Amri. Sebabnya inilah pengorbanan yang sanggup mereka lakukan. Entah untung entah tidak, aku tak jumpa sumber.

Walaupun berambut panjang, berseluar jeans ketat, terjerit-jerit, terkinja-kinja dan sebagainya, inilah perjuangan cara mereka dengan mesej yang jelas. (Adik aku, epah pun patut aku puji atas perjuangan dia tempoh hari)

Zaman itu internet hanya digunakan pelajar IPT melalui program RangKoM sebelum JARING diperkenalkan. Aku percaya medium utama bawa kesedaran hanya media cetak dan televisyen/radio. Seharusnya kita hari ini lebih sedar daripada mereka.


Kalau kumpulan nasyid yang sedar aku tak hairan

AKAN DATANG: Lakukan apa saja demi politik

Melayu ikut perlembagaan Malaysia

[AMARAN: Entri ini untuk Melayu yang mempunyai upaya kewangan dan kudrat akal dan tenaga]

Pepatah Melayu mengatakan, 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.' Itu kalau kita betul-betul Melayu ikut perlembagaan lah agaknya.

Sebab pepatah itu berkaitan hukum persaudaraan dalam Islam. Orang Melayu adalah orang Islam. Jadi seharusnya orang Islam itu sama merasai kesakitan saudara Islamnya yang lain.

Adakah anda betul-betul Melayu apabila anda katakan begini:

(1) Susahlah nak boikot barangan tu, semuanya kita perlukan

(2) Derma untuk Palestin? Mm.. boleh tapi aku tak banyak duit. Lagipun nak guna untuk perkara lain

(3) Apa kau dah gila nak pergi berjihad kat Palestin? Tak berani aku

(4) Eh, kalau kita boikot, ekonomi negara kita pun akan jatuh merudum

(5) Demonstrasi sana sini buat kacau lalulintas saja. Tak bertamadun je aku nampak. Bakar bendera. Bakar patung.

(6) Bukankah berdoa itu senjata paling kuat orang mukmin? Kita berdoa sajalah


Andai kata tindakan anda hanyalah berdoa, anda perlu berfikir sekali lagi. Apakah anda betul-betul Melayu mukmin? Jika tidak, anda sebenarnya TIDAK BUAT APA-APA. Doa hanya akan menjadi senjata kuat jika anda betul-betul berdoa.

Tengok saja sesetengah makmum di masjid mengaminkan doa. Ada yang sambil bercakap. Ada yang sms. Tak kurang yang sambil lewa. Doa mereka inikah yang akan jadi senjata? Cuba fikir, berapa ramai betul-betul berdoa..

Aku percaya orang Melayu mukmin takkan berdoa tanpa tindakan lain

AKAN DATANG: Kumpulan rock buat album khas Palestin

Boikot tetap boikot


Semalam aku berkesempatan menyertai bantahan besar-besaran terhadap kebiadaban Israel peringkat Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh. Hebatnya kerajaan negeri kerana dalam tempoh tak sampai 24 jam dapat mengerahkan tenaga rakyatnya untuk berkumpul.

Ramai rakyat marhaen selain pelajar dan kakitangan kerajaan juga NGO terbabit, tak dapat sertai kerana tiada maklumat.


Apapun, tahniah diucapkan kerana ramai yang hadir. Setidak-tidaknya ia menjadi mesej kepada dunia bahawa rakyat Melaka membenci tindakan Israel dan Amerika.

Tengok sajalah anak-anak muda di bawah ini. Mesej itu jelas terpampang pada banner, banting, kertas, patung dan sebagainya. Bagus.


Para penceramah ramai dan waktu mereka berceramah barulah kelihatan siapa yang tertarik dan 'ditarik' untuk datang.

Seperti juga usaha boikot. Tak semudah yang kita canangkan. Maka, umum menyatakan susahlah nak makan. Semuanya produk mereka.


Kenyataan begini boleh menyebabkan semangat orang lain turut luntur. Memang benar susah untuk boikot semuanya. Boikotlah mana yang ada alternatifnya. Kalau yang tiada, apa boleh buat.

Contoh:

(1) Produk: Burger McChicken / Zinger
Alternatif: Burger Ramly (biarlah tak sama tapi ia tetap burger)

(2) Produk: Google / Internet Explorer / Firefox
Alternatif: Tiada

Janganlah disebabkan contoh kedua ini kita pun mengatakan,"boikot konon tapi guna juga.." Di sinilah masanya kita gunakan Fiqh Awlawiyat dalam isu pertembungan antara kebaikan dengan keburukan [panjang jika ingin dibicarakan - InsyaAllah ada kesempatan aku tulis].

Apa kata kita usahakan paling minima pun boikot produk makanan segera mereka iaitu McDonald, KFC, A&W, Pizza Hut, dan Burger King. Tak usahlah minum air bikarbonat seperti Coca Cola. Mereka dapat keuntungan banyak daripada semua ini. Tak pernah mengalami kejatuhan [sila klik sini]. Semua ini juga tidak baik untuk kesihatan.

Kita hanya perlu korbankan kemahuan kita saja, bukannya keperluan (nyawa)

Boikot A, Sokong B


Ini Najmuddin (Ketua Penyelaras GPTD)yang mengisahkan sejarah dan realiti semasa Palestin bagi meningkatkan kesedaran anak muda (untuk hari terakhir di Kelantan).

Memberi kesedaran memang tugas kita. Tapi untuk orang itu sedar, itu tugasnya sendiri. Tak siapa bisa mengubah seseorang melainkan dirinya sendiri.

Antara tuntutan terkini ialah BOIKOT. Saat aku terdengar perkataan ini, aku sangsi dengan mentaliti masyarakat Malaysia khususnya para pemimpin dan peniaga francais (sebab saku mereka tak lagi berat).

Boikot mampu memberi tekanan ekonomi tapi mentaliti kita kena berubah dulu. Jika tidak, ianya takkan berhasil. Malaysia punya upaya kuat dan mampu memimpin usaha boikot berskala dunia memandangkan Malaysia adalah satu-satunya negara Islam yang lantang dan berstrategi.

Usaha pemboikotan mesti sepadu. Kita perlu bersatu seperti puak kulit hitam dalam sejarah pertama boikot (sila baca Montgomery Bus Boycott) yang berhasil. Pra-syarat yang diletakkan untuk hasil positif usaha boikot antaranya mestilah ada alternatif.

Kepada sesiapa yang pandai masak-memasak (macam Mak Lang aku), jahit-menjahit dan macam-macam kebolehan menghasilkan produk untuk kami yang memboikot ini, sila war-warkan. Tahniah kepada Radix Fried Chicken (cepat-cepatlah buka cawangan di negeri lain) yang telah menjadi B menggantikan A.

Selain tekanan ekonomi, kita perlu juga berikan tekanan emosi kepada Israel dan Amerika. Aku baru saja mencipta iklan berformat gif di bawah ini yang diharap dapat disebar kepada ramai. Marilah kita pamerkan di blog-blog kita supaya dunia tahu bahawa kita para pemblog yang sangat cintakan KEAMANAN.

[Klik pada gambar untuk dapatkan kod]

Alangkah seronoknya berdakwah

Aku kini di Kelantan bersama prospek pendakwah muda. Bukan mudah mencari orang-orang muda begini di kala teman sebaya mereka sibuk merempit dan berfoya-foya.

Namun bukan mudah juga untuk aku ungkapkan dakwah dalam bahasa mudah. Dakwah biasanya dianggap eksklusif. Gelaran bagi mereka yang terlibat pastinya ustaz atau ustazah. Sesiapa yang pandai berceramah, hanya itulah cara dakwah.

Atau umum menjadikan dakwah sinonim dengan gerakan tabligh. Tak lebih daripada itu. Maka, bayangkanlah wahai kawan-kawan, bagaimanakah cara aku menunjukkan bahawa dakwah itu milik semua dan sangat mudah.


Bermula dengan ceramah dan perkongsian pengalaman di USM Kubang Kerian, sedikit kelucuan aku selitkan dalam menyampaikan isi topik 'Alangkah Seronoknya Berdakwah'. Sungguhpun tak ramai, aku percaya kualiti lebih bererti. Mereka semua dalam bidang berkaitan perubatan. Maka Dr Danial Zainal Abidin model pendakwah yang pasti tak lupa aku tonjolkan.

Perjalanan diteruskan ke Pengkalan Chepa. Aku ditemukan dengan beberapa peserta dari Kolej Islam Sains dan Teknologi dan Cosmopoint Kelantan. Masih bukan kuantiti menjadi ukuran. Masa yang akan diluangkan lebih lama dengan mereka.

Selepas Isyak, terus aku membawa mereka menyelami erti dakwah dalam kehidupan harian. Menggunakan topik sama dengan pagi tadi, aku menceritakan pelbagai perkara.


Di akhirnya, aku selitkan video Dr Masaru Emoto yang memperlihatkan kebesaran Allah. Kesan percakapan, pemikiran kita mampu memberi tenaga positif atau negatif kepada air. Logiknya perbuatan dakwah pasti memberi kesan tidak langsung kepada manusia yang tubuhnya terdiri daripada 75% cecair. Khususnya kepada diri sendiri.

Raub sunyi daripada deringan telefon bimbit


Sedang asyik aku sms tiba-tiba talian terputus. Rupa-rupanya bas yang aku naiki kini berada dalam lingkungan hutan. Harapnya di depan nanti ada pekan kecil, bisik hatiku.

Alhamdulillah, lebih kurang 10 minit menanti, kini tiba di pekan Raub. Eh, kenapa masih belum ada signal? Bas terus bergerak mengikut rutinnya. Aku pula menanti signal. Yalah, aku sudah menaip sms yang hendak dikirim. Cuma tekan 'SEND' saja lagi.

Bas sudah mula meninggalkan kawasan pekan Raub. Aku cuba matikan telefon bimbitku. Kemudian, hidupkan semula. Gagal. Masih tiada signal. Pasti dia pun sedang menunggu sms aku.

Aku perhatikan kedai-kedai sekitar Raub ini. Memang tak kelihatan satu pun kedai menjual telefon bimbit atau kad isian semula. Lantas aku rasakan pemimpin GPMS daerah Raub yang mempunyai pejabat besar tak gunakan telefon bimbit. Begitu juga doktor-doktor di hospital yang aku lewati. Apatah lagi para pelajar.

Andai benar sangkaan aku itu, aku rasa bersyukur untuk nasib generasi muda [sila baca tulisan Anuar Manshor]. Tapi mungkin di sini ada Astro dan pemain dvd. Barangkali generasi muda sama saja di mana pun. Huh..

Aku terus menanti dan menanti sehinggalah bas terhenti agak lama di Benta. Penantian lebih 30 minit itu membuahkan hasil. Namun aku hanya menerima sms yang menyangka aku sudah tertidur. Hehe.

Bas terkandas lebih kurang sejam akibat perselisihan kenderaan berat di jalan sempit. Akibatnya aku sampai Kelantan jam 8.30 pagi, jauh berbeza daripada kebiasaan (jam 6.15 pagi).

Kalaulah talianku saja yang bermasalah, aku harus menyokong kempen '017 kini adalah CELCOM'.

Mahu TAG

Dalam duduk-duduk, aku menjenguk blog SueAnnaJoe. Dia membuatkan aku sangat teringin mencuba ujian ini. Oleh yang demikian, aku ingin kongsikan kerjaya sesuai menurut Colorwize Test. Sekali sekala main-main apa salahnya.



Untuk kali ini, aku nak main TAG pula. Sesiapa yang ditag, sila jawab soalan berikut:

1) Bidang yang sesuai dirumuskan daripada 20 senarai tertinggi ialah:
Seni dan Bisnes - Yes! Memang aku suka!

2) Kemahiran yang terlibat boleh dirumuskan daripada 20 senarai tertinggi ialah:
Kemahiran tangan (aktiviti seni) dan mulut (bercakap) - sesekali kena juga gunakan tangan untuk tutup mulut. Ngee..

3) Kerjaya sekarang berkaitan dengan pilihan kerjaya nombor berapa?
23 - yang ini mungkin tak kena tapi sesuai dengan kemahiran tangan dan mulut juga

4) Berapa peratus anda rasakan ujian tersebut ada benarnya?
85% - banyak pilihan kerjaya yang diberikan sangat aku rasa sesuai

5) Bahasa apa yang disyorkan kepada anda?
Itali - seronok juga bahasa ni.. kena pergi Itali pula lepas ni.Hehe.

6) Kerjaya yang tak disangka-sangka?
Dermatologist (nombor 33) - adakah aku perlu lebih menjaga kulit..Ahaks

7) Berikan nama 5 orang yang anda ingin tag.

Berikut ialah nama-nama mereka:
ARIN - memandangkan kau sedang menganggur, baik juga buat test ni
MAMIDA - sori belum jawab tag hari tu.. yang ni lebih menarik
KIMI - aku rasa kau tak patut jadi lawyer, cubalah buat!
MARLIZA YANTI - aku rasa kau memang patut jadi lawyer, tapi iye ke?
ANUAR MANSHOR - kau nampak sangat selesa dalam bidang penulisan, cuba try test. oppsss..

Takkan nak duduk sini


"Eh rumah kita kena roboh. Jom kita tumpang rumah jiran sebelah," ujar si anak. Emaknya dengan nada lembut pun berkata ,"Tak boleh nak, kita tetap kena duduk sini. Jiran kita tak benarkan kita duduk rumah dia."

Si anak pun berfikir sendirian, kenapa dia tak dapat menumpang teduh. Bukankah jirannya itu juga orang Islam. Oh, mungkin rumahnya kecil. Tapi dia tak kasihan ke tengok dirinya tiada tempat berlindung. Rumahnya makin runtuh. Silap haribulan terhempap mati disebabkannya.

Di Pulau Kokos kelmarin, aku selalu tonton berita Indonesia. Hampir setiap hari ada saja rumah yang dirobohkan kerana terbina atas tanah bukan milik mereka. Terduduk anak beranak di tepi longgokan batu dan zink. Hanya menunggu tuah. Sekitarnya rumah-rumah besar.

Andai aku empunya rumah besar itu pun, aku tak mungkin membenarkan pemilikan tanah secara haram dibuat begini (macam di Gombak - hairan macamana boleh ada rumah-rumah terbina tak ikut piawaian). Hendak dikasihani pun biar berpada. Takut-takut anjing gigit tuan.

Mungkin begini juga tanggapan Mesir terhadap rakyat Palestin di tebing Gaza. Sempadan tak dibuka sebab Mesir anggap mereka penduduk haram. Tak mungkin. Mesir sebenarnya terhutang budi pada Amerika dan Israel.

Ayuh bangun saudaraku di Mesir. Aku yakin ada di kalangan kalian yang solatnya di saf yang lurus dan rapat. Mungkin pemimpinnya yang masih perlu betulkan solatnya. Juga kita. Saf yang terbina nampaknya belum cukup sempurna.

Dua Hari Satu Malam


Inilah tetamu wajib yang baru saja menarik nafas lega setelah anaknya (Pak Shad) menjalani pembedahan dengan jayanya. Nek Cot (Baba tak kelihatan dalam gambar kerana sudah berjalan keluar - sedih) sedang memberikan nasihat kepada cucu saudaranya sepertimana cucu-cucu lain. Nek Kiah pun ada (tak kelihatan di sini). Waktu ini Atiqah sudah pun sedar daripada ubat bius. Letih dan sedikit sakit.


Setelah beberapa ketika, doktor dan jururawat (tak terkira pula bilangan mereka sebab aku khusyuk membaca sambil menemani Atiqah) berulangkali datang melihat perkembangan dia. Disuruhnya minum dan makan. Kalau tak muntah, dia boleh balik hari ini juga. Terus muka dia ceria dan bersemangat. Doktor pakar datang dan berikan surat pelepasan. Akhirnya dia pulang ke rumah selepas Isyak.


Sementara menunggu ayah selesaikan urusan perubatan, aku menunggu di kereta (sebagai supir). Kelihatan papan notis ini. Ini kali pertama aku jumpa papan notis sebegini. Aku sangat berhati-hati mengetik gambar di hospital kerana pernah dimarahi sebelum ini di KL. Korang tahu tak kenapa?

Atiqah masih belum tahu keputusan ujian makmal berkenaan ketumbuhan yang dikeluarkan semalam. Ketumbuhan itu terbahagi kepada dua jenis iaitu yang merbahaya dan tak merbahaya. Moga ketumbuhan ini tergolong dalam lebihan daging yang tumbuh umpama tahi lalat [aku ambil ayat 'sister' hospital] yang tak merbahaya.

Sihat sebelum sakit


Hari ini adik aku dimasukkan ke Hospital Besar Melaka. Pagi-pagi lagi ibu dah siapkan segalanya untuk ke sana sedang aku masih mengorok.


Esok Atiqah akan menjalani pembedahan kecil membuang ketumbuhan dalam jasadnya. Dia tak suka dengan makanan hospital. Tanpa meminta, dia kata," Tak sedaplah makanan hospital". Maksudnya dia nak McDonald. Itu sangat mudah difahami ibu.

Atiqah bukanlah seorang penakut tapi asyik ditakutkan oleh seorang makcik yang duduk di katil sebelah. Dia kata dia jururawat tapi kenapa dia begitu.


Doktor tu garang. Pembedahan ni sakit. Ubat macam-macam. Kadang-kadang..bla bla bla. Itulah ayat-ayat jahat dia menakutkan Atiqah yang sangat tabah pada awalnya.

Selepas hantar Atiqah, kami ziarah Pak Shad pula di Hospital Putra. Dia mengalami kebas-kebas tangan akibat sarafnya terhimpit oleh tulang sekitar lehernya. Dia sangat lemah dan terpaksa menjalani pembedahan.


Sangat berbeza dia selepas itu. Dia sudah sihat dan rancak bercakap. Cuma dia kata dia rasa macam mati hidup semula. Dia alami macam-macam mimpi macam orang koma. Aku tanya mimpi apa dia tak cerita.


Gambar yang dalam botol kecil ini ialah serpihan tulang yang dikeluarkan bagi melegakan urat-urat saraf. Kata doktor biasanya pesakit mendapat implikasi perubahan suara (mungkin juga bisu). Tapi alhamdulillah, Pak Shad masih diberikan suara yang sama seperti dulu.

Ibu temankan Atiqah malam ini. Esok pagi Atiqah akan dibedah. Doakan dia selamat menjalaninya tanpa sebarang implikasi negatif.

Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu muda sebelum kedatangan waktu tuamu, sihatmu sebelum kedatangan waktu sakitmu, kaya (berada) sebelum ketibaan fakirmu, lapangmu sebelum kedatangan waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu.

Saat akhir



"Slot abang lepas maghrib untuk kongsi pengalaman dengan adik-adik,"ujar seorang urusetia Kem Evolusi Belia Islam 2009. Tanpa berfikir panjang, aku sahkan kehadiran walaupun dijemput pada saat akhir dan keadaan biologi diri kurang stabil.

Apa yang terlintas di fikiran dan buku yang tercapai oleh tangan menjadi ide penyampaian aku kali ini. Semalaman aku menyediakan apa yang terdaya.

Akhirnya aku memilih topik USAH TERUS MEMECUT. Penyampaian aku agak kekok kerana lidah terbiasa berbahasa Melayu Kokos. Namun, aku percaya adik-adik UIA seramai 50 orang itu memahami mesej yang disampaikan.

Aku kata kita ini anak muda. Biasa semuanya nak cepat. Semangat membara tak tentu pasal. Akibatnya cara dakwah kita menjadi salah. Kalau boleh kita nak seorang yang dulunya hitam esok hari terus jadi putih. Sedangkan sunnah alam menunjukkan adanya kelabu.

Kalau adik-adik itu baca entri ini, komenlah sikit. Yalah mana tahu ada kekurangan boleh diperbaiki. Kalau siapa kenal diri aku, dia mungkin dapat perhatikan perbezaan cara penyampaian aku SEBELUM dan SELEPAS melangkah masuk ke alam kerjaya.

Bak kata seorang sahabat ," Kau ni ustaz rock la". Entah. Mungkin disebabkan sesekali terpacul dari mulut aku (sedang ceramah) kata-kata macam ini:

"Rileksla beb"
"Steady la bro"
"Lu pehal?"
"Ingat aku kisah ke?"

Aku ustaz ke? Mmm...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...