10 Januari 2009

Alangkah seronoknya berdakwah

Aku kini di Kelantan bersama prospek pendakwah muda. Bukan mudah mencari orang-orang muda begini di kala teman sebaya mereka sibuk merempit dan berfoya-foya.

Namun bukan mudah juga untuk aku ungkapkan dakwah dalam bahasa mudah. Dakwah biasanya dianggap eksklusif. Gelaran bagi mereka yang terlibat pastinya ustaz atau ustazah. Sesiapa yang pandai berceramah, hanya itulah cara dakwah.

Atau umum menjadikan dakwah sinonim dengan gerakan tabligh. Tak lebih daripada itu. Maka, bayangkanlah wahai kawan-kawan, bagaimanakah cara aku menunjukkan bahawa dakwah itu milik semua dan sangat mudah.


Bermula dengan ceramah dan perkongsian pengalaman di USM Kubang Kerian, sedikit kelucuan aku selitkan dalam menyampaikan isi topik 'Alangkah Seronoknya Berdakwah'. Sungguhpun tak ramai, aku percaya kualiti lebih bererti. Mereka semua dalam bidang berkaitan perubatan. Maka Dr Danial Zainal Abidin model pendakwah yang pasti tak lupa aku tonjolkan.

Perjalanan diteruskan ke Pengkalan Chepa. Aku ditemukan dengan beberapa peserta dari Kolej Islam Sains dan Teknologi dan Cosmopoint Kelantan. Masih bukan kuantiti menjadi ukuran. Masa yang akan diluangkan lebih lama dengan mereka.

Selepas Isyak, terus aku membawa mereka menyelami erti dakwah dalam kehidupan harian. Menggunakan topik sama dengan pagi tadi, aku menceritakan pelbagai perkara.


Di akhirnya, aku selitkan video Dr Masaru Emoto yang memperlihatkan kebesaran Allah. Kesan percakapan, pemikiran kita mampu memberi tenaga positif atau negatif kepada air. Logiknya perbuatan dakwah pasti memberi kesan tidak langsung kepada manusia yang tubuhnya terdiri daripada 75% cecair. Khususnya kepada diri sendiri.

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular