28 September 2009

Ayah Malie meninggal dunia



Hari ini aku bersama Hakim, Malie dan isteri, dan rakan-rakan dari China berkunjung ke rumah pegawai Imigresen Malaysia di China yang kini menetap di Klang. Kesempatan ini digunakan untuk mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.

Kemudian aku bercadang dengan Malie untuk terus menjamu sup sebagai hidangan malam sebelum masing-masing pulang. Dalam perjalanan, dia cakap dia tak jadi ke warung yang ingin dituju. Dia terpaksa pulang kerana ayahnya terlibat dalam kemalangan.

Jam menunjukkan pukul 8.45 malam dan ayahnya dikhabarkan sedang kritikal. Dia langsung menuju ke kampungnya di Batu Pahat setelah dihubungi emaknya.

Pada jam 1.29 pagi, aku dimaklumkan Malie melalui sms ayahnya sudah meninggal dunia. Dia masih dalam perjalanan sewaktu entri ini ditulis.

Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat ayahnya dan doakan agar diampunkan segala dosa dan dicucuri rahmatNya ke atas allahyarham.

27 September 2009

Restoran Han Kook Kwan


Semalam aku diundang ke restoran makanan Korea. Encik Lee, kenalan aku sewaktu bertandang di Korea pada bulan Julai lalu kini berada di Kuala Lumpur.

Dia yang merupakan pelajar Masters jurusan linguistik Melayu bekerja secara separuh masa di Han Kook Kwan sebagai pengurus promosi. Restoran ini terletak di Tingkat 4 Menara Etiqa berhampiran KLCC.

Seperti dalam entri aku terdahulu, aku pernah ceritakan betapa ramahnya Encik Lee. Dia sangat suka ketawa dan bersoal jawab. Apabila diceritakan tentang sesuatu berkenaan Islam, dia pasti tertarik untuk mengetahui lebih lanjut.

Kami memesan makanan Korea seperti yang pernah kami makan dulu. Sememangnya sangat kenyang. Tapi dalam banyak-banyak makanan yang disaji, minuman penutup sajian paling aku gemari.


Air yang dibuat daripada rebusan kulit kayu manis dicampurkan dengan gula dan disimpan dingin sebelum disajikan ini kata isteri Encik Lee mudah saja untuk disediakan. Rasanya sungguh enak.

Setiap kali kita berbual bersama sesiapa saja khususnya masyarakat bukan Islam, aku selalu berpesan untuk cuba selitkan unsur Islam ke dalam diri mereka. Bukankah itu sudah menjadi tanggungjawab kita untuk berikan mereka faham tentang Islam yang sering disalahfaham.

Apatah lagi zaman kini Islam dilabel sebagai agama pengganas. Kita seharusnya tunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mudah dan menyeru kepada keamanan dan kesejahteraan. Konsep ketuhanan yang kita imani boleh disampaikan kepada mereka agar setidak-tidaknya mereka faham agama anutan kita.


Inilah Encik Lee bergambar bersama aku dan Hakim, sukarelawan GPTD yang berkesempatan mengikuti Kembara Dokumentasi Korea pada Julai 2009. Semoga perhubungan kami akan berterusan kukuh atas tali persaudaraan sedarah sedaging nabi Adam.

26 September 2009

Aku masuk JELITA keluaran Okt 2009





Kepada semua pembaca blog yang budiman, kali ini aku cadangkan kalian beli majalah JELITA keluaran Oktober 2009. Itu pun jika kalian ingin tahu lebih lanjut tentang aktiviti dakwah yang aku sertai selama ini.

Di kesempatan ini jutaan terima kasih diucapkan kepada Kusyi Hirdan, wartawan yang menemubual aku untuk ruangan Prihatin di mukasurat 200.

25 September 2009

24 September 2009

Abangku selamat diijabkabul

Alhamdulillah abangku telah selamat diijabkabulkan pada hari ini pada jam 11.15 pagi di Felda Jengka 24. Mudah saja urusan pernikahan yang dilakukan jurunikah. Perkara baik sebegini seharusnya dipermudah tanpa sebarang percanggahan adat yang menyusahkan.

Tahniah abang. Semoga bahagia hingga ke syurga.. Ameen

22 September 2009

Hari Raya Kedua

kuala linggi 1
Sebelum ke kampung datuk di Kuala Linggi, kami singgah di rumah jiran rapat lama. Mereka baru kehilangan permata bongsu yang menjadi mangsa kedengkian manusia dengan menggunakan ilmu hitam.Selama 19 tahun anaknya menderita sebelum pergi meninggalkan dunia ini.

kuala linggi 2
Kami pun kemudiannya tiba di Kuala Linggi. Sudah kebiasaan, setiap raya kedua kami pasti ke sini untuk ziarah golongan terdahulu yang membina generasi sedia ada. Ada satu rumah tu selalu sangat dijadikan tempat shooting untuk drama Melayu terbitan Rosyam Noor. Maklumlah orang Melake..

nekkiahdin
Malam hari kami dijemput ke rumah Nek Kiah Din. Rumah terbuka menghidangkan laksa dan macam-macam juadah. Jumpa Mak Su sekeluarga yang datang dari KL. Minggu depan dia nak ke Paris sambung belajar. Mujur sempat jumpa.

21 September 2009

Hari Raya Pertama di Melaka

solat selesai
Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, aku sekeluarga berkesempatan mengambil gambar di hadapan masjid Al-Alami MITC Melaka. Waktu ini abang aku tiada sebab dia sudah pulang ke rumah terlebih dahulu.

rumah mona
Lazimnya seusai menunaikan solat Eid, kami pasti bertandang ke rumah jiran lama. Ayah diminta baca tahlil arwah dan doa selamat. Kunjungan kali ini terasa suram sedikit kerana ahli keluarga jiran ini baru ditimpa malang.Moga Allah permudahkan segala urusan yang sedang mereka hadapi.

nekkiah
Ini rumah nenek saudara aku. Namanya Nek Kiah. Inilah antara orang kuat keluarga besar kami yang biasanya akan menjadi orang yang sibuk tatkala ingin menyambut menantu.Akhir tahun ini, anaknya (sepupu aku) akan menamatkan zaman bujangnya.Selepas dia, abang aku pula. Dan... kemudiannya ada lagi.

nek mami
Rumah ini sangat nyaman. Nenek Mami punyai anak dan cucu yang ramai. Kagum aku lihat rumah ini yang cukup sesak dengan orang tapi kebersihan terjamin. Rumah tak berselerak. Kemas. Mami ini sejak dulu suka sangat berikan nasihat. Aku suka dengar kata-kata nasihat yang bersulamkan nilai agama ini.

Itulah saja bingkisan raya pertama kami di Melaka. Lepas ini nak keluar beraya lagi..

17 September 2009

Salam Aidilfitri 1430 H



Bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang, terimalah e-kad ini sebagai ganti kad raya untuk tatapan semua. Moga bertemu lagi selepas Syawal nanti.

16 September 2009

Mari cipta perniagaan yang menguntungkan


Setelah menjelajah beberapa kampus berkongsi pengalaman, aku dapati tidak ramai generasi muda berminat tentang kerja sukarelawan atau dakwah. Mungkin kerana kurang hebahan atau memang hakikat zaman kini, budaya senang dan selesa itu lebih mendasari hidup generasi muda. Allahua'lam.

Dalam pada itu, tahniah aku ucapkan kepada semua yang terlibat. Bukan bermakna kita hebat. Tapi kerana kita terpilih oleh Allah untuk berada di jalan ini. Walaupun kuantiti tidak seberapa, diharapkan kualiti terjana.

Di kesempatan yang ada, sempat juga aku berbincang soal masa depan generasi pelapis. Termasuk kelangsungan gerakan dakwah oleh GPTD kerana wujudnya suara sumbang yang membingitkan telinga.

Aku sangat berharap agar penyumbang suara itu dapat kerap turun ke kampus juga agar melihat realiti generasi harapan kita. Mereka tak ramai. GPTD tawarkan alternatif. Yang lain juga punya cara tersendiri. Alangkah baiknya setiap kita yang berdakwah ini mempunyai grup sasaran berbeza. Agar tak ramai itu akhirnya membentuk kelompok yang mengarah ke tujuan yang sama.

Biarlah kita sediakan menu pelbagai. Ada laksa. Ada mee goreng. Ada nasi ayam. Ada bakso. Dan lain-lain. Sebabnya kalau hanya ada laksa, tak mungkin semua orang berminat makan laksa. Maka, rugilah perniagaan kita. Yang penting ialah kita fikirkan bagaimana perniagaan kita boleh untung dan terus untung.

10 September 2009

Mencari malam al-Qadr

Hajat aku mencari malam al-Qadr di akhir Ramadhan biasanya dilunaskan dengan beriktikaf di masjid. Aku ceritakan pada dia tentang kehebatan Ramadhan pada malam yang dikatakan lebih baik daripada 1000 bulan.

Dia terpegun dan ingin berusaha lakukan ibadah di malam-malam terakhir. Walaupun baru memeluk Islam, hatinya sangat kuat ingin beribadah. Rumahku di sana sudah dijadikan pusat agama. Cadangan untuk bangunkan malam-malam akhir di sana terpaksa dibatalkan kerana aku perlu pulang ke Malaysia.

Moga Allah beri kekuatan kepada mereka yang aku benarkan menginap di rumahku itu untuk membimbing saudara baru ini dan terus menerus mewujudkan persekitaran cintakan agama.



Selepas aku makan-makan di Cyberjaya bersama Hammad, kami cuba beriktikaf di masjid sekitar Putrajaya. Terkejut aku dengan layanan kerajaan terhadap jemaah yang ingin ke Masjid Putra. Langsung tak menggalakkan penghidupan malam-malam terakhir. Semua jalan ditutup untuk ke masjid. Siapa tahu rasionalnya, tolong jawab!

Langsung aku diajak Hammad ke Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin. Masjid baru ini lengang. Lalu kami masuk bertanyakan pengawal yang sedang bermain dam tentang kebenaran beriktikaf di masjid. Dia benarkan. Alhamdulillah.


Tidak seperti masjid kegemaranku (Masjid KLCC), masjid baru ini tiada jemaah yang menghidupkan malam-malam akhir. Barangkali ia masih sangat baru.

Moga Allah temukan kita dengan malam al-Qadr.. Ameen.

09 September 2009

Malaysia tanah airku


Alhamdulillah, aku selamat tiba di tanah airku pada 6.45 petang semalam. Sebaik tiba, aku terus ke Putrajaya dan disambut oleh Hammad yang belanja makan di Restoran Saba, Cyberjaya. Tak lama kemudian, Malie dan isterinya, Farah juga anaknya Aryan Ghazi bersama-sama menikmati juadah hidangan Timur Tengah.

Berikut adalah jadual yang telah diaturkan untuk aku sepanjang berada di Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Kedah pada 14 September ini. Ruang yang ada selepas iftar nanti akan dimanfaatkan dengan perkongsian pengalaman bersama adik-adik IPT. Masyarakat awam juga dijemput sama.

9 Sept - UIAM, Gombak
10 Sept - Kolej Lagenda, Nilai
11 Sept - UNISEL, Batang Berjuntai

08 September 2009

Siri Ramadhan China: Berlepas ke Malaysia


Kelmarin aku dan rakan-rakan pelajar Jinan ke Baiyun Orient Hospital. Terletak agak jauh dari bandar tempat kami bermukim.

Kami menziarahi ADUN Gua Musang, Che Hashim Sulaima, 45, yang menghidap penyakit barah paru-paru. Seorang yang sangat rendah diri ini mengenali salah seorang pelajar Jinan.

Apa yang menarik, di tingkat 4 hospital itu, kami terasa seperti di Malaysia. Semua pesakit adalah warga Malaysia.

Hospital ini terkenal dengan kepakarannya merawat sebarang jenis barah menggunakan kaedah yang tiada di Malaysia kerana berisiko tinggi. Antara lain kaedah Stem Cell dari janin yang digugurkan (akibat polisi 1 anak di China) digunakan selain kimoterapi.

Alhamdulillah, YB sendiri sudah beransur pulih dan dijangka pulang untuk berhari raya sebelum kembali ke sini menjalani rawatan susulan.

***


Semalam adalah hari terakhir aku berbuka puasa di China. Aku rasa sedih untuk tinggalkan China kerana Ramadhan di sini telah mengeratkan hubungan silaturrahim aku dengan Muslim China. Selepas ini, mungkin sukar untuk bertemu dengan mereka lagi.

Dan semalam juga, aku cukup seronok kerana pengislaman dia, rakanku itu telah direkodkan secara rasmi melalui Persatuan Muslim Guangzhou. Kepayahan untuk mendapatkan pengesahan persatuan itu sangat berbaloi.

***

Semalam adalah hari ulangtahun kelahiranku. Subhanallah, ramai sungguh orang yang ingat tanggal ini. Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan dan doa-doa yang mengiringi aku. 25 orang jumlahnya. Mujur ada Facebook dan blog juga teknologi telefon yang memudahkan perhubungan.

***



Hari ini aku akan berlepas ke Malaysia dari Guangzhou menaiki pesawat MAS pada pukul 3.00 petang dan dijangka tiba di KLIA pada 7.00 malam. Kepada Hammad dan Malie yang sudi mengambil aku, kita jumpa di stesen Putrajaya ok! InsyaAllah aku akan telefon korang. [Malie, ko tanya Hammad camana plan]

Kepada semua ahli GPTD, insyaAllah kita akan berjumpa dalam siri Kembara Ramadhan.
Banyak perkara boleh kita bincang bersama. Mari sebarkan rahmat ke serata alam.

03 September 2009

Siri Ramadhan China: Hanya kerana gambar



Ini adalah entri ketiga aku tak sampai 24 jam. Sejurus selepas entri sebelum ini dimasukkan, aku terima beberapa kata-kata semangat daripada sahabat-sahabatku.

Di YM, ramai yang mengajakku untuk bersabar. Namun, hati masih rasa marah dan benci kepada orang politik itu. Lalu, aku ke blog sahabat-sahabat lain. Aku baca kembara dakwah sahabat dakwahku.

Entah kenapa aku tertarik untuk ke laman adik ini yang terlalu banyak diuji dalam hidupnya. Sejak aku kenali dia sehinggalah aku ke China, dia antara orang yang kerap menghubungi aku. Kisah hidupnya banyak menginsafkan aku.

Sudah menjadi kegemaranku mengambil tahu kebajikan sahabat, maka aku mula mengenali keluarganya sehinggalah pemergian ibunya. Dan hidupnya terus menerus diuji dengan pemergian insan-insan tersayang.

Blog Syira menarikku untuk ke sana. Mataku seolah terpukau dengan gambar ini.




Aku terus solat. Sudah ramai ingatkan aku untuk sabar. Tapi untuk solat, tiada. Jadi, aku terus solat. Hinggalah hatiku kembali tenang.

Di akhir solat, kedengaran bunga ting dari YM aku. Sahabat karibku di pejabat lama bertanyakan tentang kemarahan aku. Perbualan hampir dua jam membuatkan aku lebih mengenali selok belok orang politik.

Sahabatku itu dulu pernah menjadi orang politik yang menanamkan kebencian terhadap aku. Dia sudah luahkan segalanya. Maka, hatiku reda dengan apa yang berlaku kerana hakikat dunia mereka bukanlah sama dengan dunia aku.

Bak kata sahabatku itu, dakwah hanya 1% saja dalam perjuangan mereka..

02 September 2009

Siri Ramadhan China: Orang politik tak boleh berdakwah

Hati aku sedang sakit sekarang. Terpaksa aku luahkan walaupun entri sebelum ini baru saja aku masukkan. Aku perlu cerita tentang politik. Silap.. Orang politik.

Mengapa orang politik fikirannya pasti curiga kepada orang lain?
Mengapa orang politik pantang melihat orang lain lebih berjaya daripada dia?
Mengapa orang politik tetap berpolitik walaupun bukan dalam medannya?

Bila kalian membaca entri tentang aku membantu dia memeluk Islam, adakah kalian tercabar? Langsung kemudiannya, mencerita buruk di belakang tentang aku? Mengatakan aku nak gunakan dia bagi menaikkan reputasi aku?

Orang politik itu memang GILA! Dia ingat semua orang macam dia! Dia ingat hanya dia saja yang boleh buat betul (yang pada hakikatnya lebih banyak buat salah kat orang)!

Aku MARAH ni! Aku BENCI orang politik itu!

Huuuhh! Aku cuba tenang..
-----

Ceritanya begini. Sebaik saja orang politik itu tahu aku dapat membawa dia peluk Islam, orang politik itu pun menawarkan macam-macam kepada dia.

Ada yang kata aku silap sebab ceritakan tentang kisah pengislaman dia kepada orang politik itu. Tapi aku sebenarnya cuba untuk berikan orang politik itu peluang kedua untuk aku percayakannya semula.

Tengok-tengok, dia tikam belakang lagi. Depan aku, mulut manis. Aku dapat SMS, jawapannya seperti orang DAKWAH. Tapi hakikatnya, dia tetap orang POLITIK yang JAHAT.

Aku tak pernah minta disanjung atau nak masukkan dalam resume aku yang aku islamkan dia. Itu kerja Allah, bukan aku.

Dari sumber lain yang dipercayai, orang politik itu tercabar dengan aku kerana dia juga sedang usaha nak islamkan orang lain. Tengok-tengok aku dulu. Masya Allah! Apa punya orang la ni. Ini bukan kerja kita. Ini kan kerja ALLAH! Insaflah!

Kesimpulannya, jika orang politik itu baca blog aku. Atau anak buah dia baca blog ini, aku harap beritahulah kepada orang politik itu.

Aku takkan lepaskan dia kepada orang yang aku tak percaya! Aku sedang cari orang yang aku boleh percaya! Bukan orang politik itu! Dan tiada lagi peluang ketiga untuk orang politik itu!

p/s: Apa orang politik itu ingat semua orang boleh digula-gulakan dengan duit?

END

Siri Ramadhan China: Patahnya dahan penyokong

Bak kata Epah dan AM, memang dia ni sangat berani. Daging babi yang disuakan untuk dijamah ditolaknya.

"Kenapa kamu tak makan? Kamu dah masuk Islam kan?"

Dia hanya mendiamkan diri tanpa menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan. Hanya melihat adiknya makan bersama kawan-kawan.

Walaupun begitu, dia tetap punya hati. Dia kerap menangis di rumah dan pejabat. Namun, tangisannya bukan kerana sesalan memeluk Islam. Tangisannya disebabkan tekanan yang tak dapat ditahannya. Dari luaran ramai mengatakan dia kuat. Tapi hakikat dalam diri selalu rasa dianiaya.

"Sabar.. Sabar..," ujar En Jamri. Pantang jumpa En Jamri mesti dia cakap sabar.. sabar.. sabar..

"Waktu kamu menangis tu, terus saja kamu ingat Allah.. kamu terus doa yang baik-baik.. kamu akan rasa puas lepas tu," pesan aku kepada dia.

"Kelmarin saya sedih sangat.. saya menangis waktu saya sedang sujud. Rasa tak mahu bangun"
"Kamu tahu tak kenapa kamu tak boleh bangun?"
"Kenapa?"
"Sesungguhnya pada waktu kamu sujud, Allah sangat dekat dengan kamu. Itu pasal kamu rasa sangat suka sujud.."

Selepas aku terangkan begitu. Dia cukup suka. Baru dia tahu rupa-rupanya mudah sungguh untuk dekatkan diri dengan Allah. Tak perlu perantara pun.

Selain aku dan En Jamri, En Yusof dan isterinya Kak Faezah, adalah dahan-dahan penyokongnya untuk kekal seimbang walau dipukul angin kuat.


Bahkan mereka jugalah antara terawal yang mendedahkan kepada dia tentang Islam. Panggilan abah sudah cukup menggambarkan keakraban dia dengan En Yusof.

Sebelum En Yusof, rakan baiknya ialah Ina. Pendek kata, Ina banyak ajak dia kenali Allah, kemudian En Yusof (selepas Ina terpaksa pulang ke Malaysia) dan kini aku. Dahan-dahan sekelilingnya patah satu demi satu.



Kali ini En Yusof dan Kak Faezah (bersama anak-anak) pula terpaksa berpindah ke Shanghai kerana kenaikan pangkat. Begitu juga dengan En Jamri sekeluarga. Maka, bermula 29 September 2009, tinggallah aku seorang diri yang wajib membimbingnya sebaik mungkin.


AKAN DATANG: Pengislaman dia dipolitikkan

01 September 2009

Siri Ramadhan China: Jadi gila baca Quran






"Tak perlu pakai tudung kalau kamu rasa takut"

Itulah saranan aku waktu dia bertanya apakah dia perlu pakai tudung untuk ke pejabat. Dia bimbang sangat kalau-kalau pengislaman dia diketahui adiknya sendiri. Adiknya sangat benci pada Islam.

"Tapi saya mesti mahu sembahyang juga"
"Dekat mana kamu nak solat?"
"Saya solat dalam bilik bos"
"Owh, oklah kalau macam itu"


Keesokan harinya dia yang seharusnya ke rumah sahabat Melayu yang menjemput kami berbuka puasa, langsung tak kelihatan. Kata tuan rumah, dia asyik menangis hari ini. Dia kena marah oleh adiknya.

Mesti ada yang tak kena. Aku pun sms tanyakan dia mahu mengaji ke tidak? Dia cakap mahu. Kami berjumpa di satu tempat untuk mengaji. Tanpa dia bercerita apa-apa, dia pun keluarkan sehelai kertas dan sehelai tisu [seperti dalam gambar di atas dan bawah]



Apa ini? Owh, ini adalah luahan hatinya hari ini. Adiknya dapat menghidu pengislaman dia. Adik dia terserempak dengannya di toilet sedang dia ambil wudhu. Adik dia masuk ke bilik bos dan nampak dia mahu solat.

"Adik saya tolak saya sembahyang sampai saya nak jatuh"
"Dia cakap saya gila sebab baca Quran"
"Dia benci sama saya"

"Jadi, kamu balas apa? Kamu tak marah dia balik?"


Tiba-tiba aku jadi marah orang kata baca Quran boleh gila. Tapi, rupa-rupanya dia lebih bijak daripada aku. Dia kata dia tak perlu marah-marah. Sabar saja sudah cukup. Kalau dia marah, pasti adiknya akan kata sebab Islamlah dia jadi marah-marah adik dia.

Bukan sekadar itu. Adiknya ajak dia makan tengahari bersama. Sengaja dipesannya masakan babi. Disuruhnya kakaknya makan..

AKAN BERSAMBUNG..

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular