30 Disember 2008

Selamat tinggal



Sengaja aku tak menatap wajah-wajah mereka. Namun, mereka bersalaman denganku sambil berbicara. Aku terpaksa menatap wajah-wajah itu. Aku bukanlah tetamu mereka. Aku kini ahli keluarga mereka.

Bila teringatkan betapa mereka sangat bersungguh untuk agama, aku semakin sedih. Anak-anak khususnya. Mereka bersalam denganku. Hatiku sangat terharu. Dan ia keluar tanpa dapat kukawal lagi.

Ia terus keluar saat ibu angkatku berbicara mohon maaf dan berterima kasih. Ia keluar lagi. Bukan aku saja, tetapi semua. Lambaian mereka tak berkesudahan hingga aku hilang dari pandangan.


Aku memandang ke bawah. Laut. Sangat membuatkan aku teringat anak-anak yang sangat akrab denganku sewaktu memancing. Adakah mereka akan terus seronok?

Selamat tinggal Pulau Kokos..

dan bahwasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis (An-Najm:43)


23 Disember 2008

Perubahan diri selama dua bulan

Sepanjang dua bulan aku di Pulau Kokos, beberapa perubahan telah aku rasakan. Sekembalinya ke Malaysia, mungkin diri aku kembali seperti sebelumnya.


1. Berat : 53 kg kepada 58 kg
- Perkara begini pun pernah berlaku di Malaysia waktu Aidilfitri lepas tapi seminggu lepas tu kembali normal. Harap-harap berat ini kekal hingga aku dapat derma plasma. Yes!


2. Warna kulit : Cerah kepada gelap
- Ibu pernah menyeloroh kata aku kena gelap sikit. Jadi, ibu tunggu ya, Suhail cuba jadikan diri kei bleken (hitam macam minyak tar). Hehehe.


3. Tekstur kulit : Lembut dan lembab kepada kasar dan kering
- Kulit khususnya di tapak kaki menjadi keras dan kotor. Kalau turun ke laut, kaki akan bersih semula dan lembut. Sebaik di darat, mengering dan kotor semula (Aku siap bawa berus khas tapak kaki tapi macam tak berbaloi juga). Pakai losyen pun tetap begitu. Kata Mak Zaid sebab orang sini tak pakai kasut dan kelembapan kulit kaki hilang.


4. Rambut : Pendek kepada panjang
- Tiada kedai gunting rambut di sini. Mereka gunting sendiri. Jadi, tiada fesyen. Bila panjang, terus dibotakkan. Aku tak boleh botak dalam keadaan panas kering begini (walaupun suhu 29 darjah Celcius pulau yang dikelilingi air garam ini menyebabkan hawa jadi sangat kering dan panasnya terasa sangat terik lagi menggelapkan warna kulit). Biasanya akan selalu pusing (pening). Jadi, hanya gunting sendiri kawasan yang bisa dicapai tangan dan dilihat mata.


5. Kemahiran : Tak tahu kepada tahu memancing
- Abang aku pandai memancing kot (sebab dia pernah ikut kawan memancing). Tapi abang tak boleh tanding aku dah. Hahaha. Sebab aku kini bukan saja boleh memancing. Aku tahu menunda, menjaring dan menumbak (baling tombak mengena ikan).


6. Pemakanan : Ikan, ayam dan daging dimakan bergilir kepada terlalu banyak makan makanan laut
- Aku sangat berpegang kepada penggiliran lauk. Supaya keperluan badan stabil. Di sini pun tapi penggiliran jenis makanan laut. Risau juga sebab masih kelas yang sama. Mujur ada juga sesekali makan burung atau ayam atau kambing/lembu.


7. Pertuturan : Bahasa Malaysia kepada Bahasa Kokos
- Dah masuk kandang kambing, mestilah mengembek. Tengoklah nanti, kalau-kalau aku tersilap gunakan perkataan sewaktu bercakap, maaflah ya sebab anda dah tahu sebabnya kan.

19 Disember 2008

Aidiladha tanpa kambing dan lembu


Aku berkhutbah lagi. Kali ini sempena Aidiladha. Di markaz tempat aku mengajar. Ramai juga yang turut serta.


Terasa bagaikan bersama jemaah haji. Majoriti semua berpakaian serba putih dan berjubah. Perempuan juga begitu.

Kali ini Kimi tak boleh pertikaikan kesahihan fakta aku. Tengok saja gambar. Video pun ada tapi tak sempat aku nak sunting dan muatnaik.


Saadiah, anak murid aku yang paling besar. Hehe. Dia tanya aku sedih tak beraya jauh dari keluarga. Terus terang aku rasa biasa saja. Mungkin Aidiladha agaknya. Kalau Aidilfitri lain.

Bila nak berkhutbah, aku cari mana-mana sumber tentang memegang tongkat. Tiba-tiba aku jadi keliru. Nak pegang guna tangan kanan ke kiri. Tak ingat langsung.

Sumber internet dan buku digabungkan. Aku tak jumpa isu ini. Cuma hukumnya sunat. Tak memegangnya pun tiada masalah. Memandangkan buku khutbah kecil dan susah dibelek sebelah tangan, aku biarkan saja tongkat begitu.


Tahun inilah satu-satunya tahun aku tak menyaksikan penyembelihan lembu atau kambing. Di sini haiwan berkaki empat hanya boleh didapati di kedai. Siap disembelih di negeri (tanah besar Australia).


Merayakannya dengan jamuan makan besar keluarga sudah mencukupi. Kami berkumpul dari jam 1.00 petang hingga 6.00 petang. Sambil itu anak-anak muda (termasuk aku) bertanding ping pong.

Sesudah itu, aku diajak panjat pokok petik buah jambu air, jambu batu dan kedondong. Inilah peluang aku bersama anak-anak muda seusia aku. Kemudian kami pusing pulau naik motor. Sesekali berhenti menikmati keindahan alam sambil berbual kosong.

AKAN DATANG: Perubahan diri selama dua bulan

14 Disember 2008

Orang mengawen 3 (Tarian Melenggok)



Tarian ini punya rentaknya tersendiri. Boleh dikatakan semua masyarakat sini tahu melenggok.


Persatuan Budaya Pulau Kokos mengekalkan tradisi melenggok dengan mendapat kerjasama sekolah untuk mewajibkan matapelajaran adat budaya Melayu.

Bukan sekadar melenggok, menganyam, membuat minyak kelapa, dan membuat senduk tempurung juga diajar di sekolah.

Hmm, sambung balik pasal mengawen. Melenggok biasanya dibuat lepas Asar sampai sebelum Maghrib.


Menarinya mesti berpasangan. Kemuncak acara ini, pasangan pengantin pula kena melenggok. Lagu iringan pun dimainkan sendiri.



Dah habis melenggok, selepas Isyak, ada makan-makan lagi. Ucapan pendahuluan mesti ada. Selepas tu, jamulah juadah terhidang. Lebih 30 lauk-pauk yang disajikan. Bayangkanlah.

Sebaik kenyang, tarob dikosongkan untuk malam pesta. Eh, mereka tak panggil begitu. Namanya seylong. Macam joget lambak.


Lagu-lagu yang dinyanyikan kebanyakannya lagu-lagu irama Malaysia. Tarian ini juga berpasangan. Tapi tak bersentuhan. Bahkan sangat lemah lembut (teringat pula video Anwar Ibrahim menari, macam itulah).

Seorang anak muridku (nenek) bertanya, bolehkah dia menari. Aku tanyakan sama siapa dan untuk apa? Dia jawab sama saudaranya dan sekadar seronok-seronok. Aku hanya tersenyum.

Bagi aku tak salah. Macam video AI tadi, aku tak terpengaruh pun. Sebabnya pakaian sopan. Menari bagi memenuhi pelawaan disebabkan dia orang kenamaan.


Begitu juga seylong. Perempuan berpakaian baju kurung. Lelaki berkemeja. Tak bersentuhan. Orang-orang tua siap berkopiah. Tambah memeranjatkan, pak imam pun seylong. Tapi tidak bagi Haji Adam (nanti aku ceritakan siapa dia).

"Ustaz, mari kita seylong"
"Oh, saya tak tahu"
"Tak apa, ikut saja"

"Saya memang tak boleh"
"Kenapa?"
"Sejak kecik ayah saya kata, kalau anaknya menari ayah akan naik pentas menari tu bawa rotan. Jadi, sampai sekarang saya tak boleh menari"


Kelu lidah yang mempelawa tadi. Maaf. Aku tak dapat jadi macam AI yang cuba menjaga hati orang yang mempelawa. Tersangat malu.

AKAN DATANG: Aidil Adha tanpa lembu dan kambing

12 Disember 2008

Orang mengawen 2 (Mengarak)



Mengarak serupa macam kita berarak. Ada bunga manggar. Ada rebana (kompang). Tapi sini ramai susul belakang kemantin. Bukan keluarga saja.


Apabila kemantin nak keluar, beberapa helai kain direntangkan atas tanah. Kemantin tak boleh pijak tanah melainkan jalanraya.


Sebaik saja kemantin memijak kain itu, duit-duit syiling dihambur (dilempar) untuk direbut. Aku hanya menyaksikan anak-anak kecil berebut mencari duit sambil gambar diketik.

Dari rumah kemantin lelaki ke rumah kemantin perempuan. Rebana dipalu tak berkesudahan. Sekalipun dah sampai di rumah kemantin perempuan.


Pemukul rebana bukannya dari mana-mana kumpulan. Sesiapa saja boleh. Sebaik saja diterima masuk usai membayar tol (ada juga rupanya..), pasangan kemantin keluar untuk mengarak lagi.


Sekembalinya di rumah kemantin perempuan semula, kerusi dah disediakan untuk kemantin duduk bawah tarob. Kelihatan beberapa orang tua menari menyambut ketibaan mereka.


Sekali lagi duit dihambur. Banyak yang menghampiri aku. Terus aku lemparkan semula kepada anak-anak. Fikirku itu hanya untuk anak-anak.

Nampak tak apa yang budak kecil bersongkok dan berbaju biru pegang? (dalam gambar mengarak yang ada aku). Pulut kuning dan ayam panggang. Dibawa oleh keluarga kemantin. Akan direbut juga apabila tiba di rumah kemantin perempuan.


Lagi satu, dalam tarob ini digantung macam-macam barang. Tengok tu. Juga akan direbut apabila pasangan kemantin melangkah masuk dalam tarob.

Aku tak rebut sebab malu. Macam budak-budak. Tapi memang ramai juga mak-mak dan nenek-nenek turut serta. Pendek kata, meriah betul.


Barulah kemudian ada serakal (selawat nabi) dan doa rasol. Menarik juga tengok sebab adat bicara minta didoakan sangat berlainan. Maaf, ada kemeyan. Pulut kuning dan ayam panggang dipanggil rasol.


Oh, terlupa beritahu. Majlis makan dah lepas. Jam 10 pagi (11.30 pagi waktu Malaysia). Serentak. Semua berkumpul dan ada ucapan dulu. Orang putih pun akur dengan budaya ini. Nampak sopan. Orang tua didulukan mengambil makanan terhidang secara buffet. Perempuan terakhir.

AKAN DATANG: Orang mengawen 3 (Tarian melenggok)

09 Disember 2008

Orang mengawen 1 (Nika)

"Melenggok ni nang asli dari Bantam"
"Tadak obah-obah sejak tahon 1826"

Wah, begitu lama dikekalkan adat budaya perkahwinan sini. Kata nenek itu lagi, di Batam sendiri sudah berubah, tak sama seperti yang aku lihat.

Budaya perkahwinan masyarakat Pulau Kokos sangat unik. Bertuah aku dapat melihat 3 majlis mengawen [istilah mereka] sepanjang berada di sini.


Tarob (khemah) biasanya diusung beramai-ramai dari tempat terakhir ia berada ke rumah pengantin. Pagi-pagi lagi mereka sudah mengusungnya.


Setelah siap dipasang di rumah pengantin, masing-masing kemudiannya pulang. Masyarakat akan dijemput makan pada petang hari.

Selepas selesai solat Maghrib. majlis penikaan (pernikahan) dimulakan. Lebih kurang sama seperti kita, cuma adab berbicara lebih tertib.


Selain hantaran lelaki dan perempuan, ada juga hadiah daripada keluarga terdekat diberikan kepada pasangan pengantin. Semua itu akan dimaklumkan dulu daripada siapa untuk siapa diikuti dengan berbalas bicara minta izin memulakan majlis. Sesudah itu, barulah penikaan dilangsungkan.


Kita mungkin terkejut apabila kulit pasangan kemantin (pengantin) nampak kekuningan. Mereka dilulur selama seminggu sebelum menjadi raja sehari.


Sepanjang tempoh ini juga mereka tak dibenarkan keluar rumah. Ada juga yang tak mandi seminggu sepanjang berlulur. Ibu-ibu pula tiada di rumah, pergi tolong memasak.


Kalau seminggu dapur tak berasap pun tak apa, kita pergi makan saja di tarob. Tapi awas, mesti ada undangan.

Undangan pula bukan sebarangan. Mesti datang beradab. Pernah satu kali, 2 orang datang mengundang. Aku saja lelaki yang ada. Yang lain ialah ibu-ibu angkat aku.

Macam biasa, aku nak hulurkan tangan beri salam. Tengok tu, ayat aku pun 'beri salam'. Jadi, ibu aku halang. Katanya yang mengundang yang patut beri salam. Oh, begitu.

Memandangkan tiada lelaki (aku tak termasuk sebab tak tahu adat dan bukan tuan rumah), aku pun bergegas ke rumah Pak Yati panggil Pak Azrin untuk pulang menerima undangan.

Mujur keluarga aku ni tak terlalu terikat dengan adat. Jadi, urusannya tak susah sangat. Kalau tidak, orang yang mengundang kena betul-betul undang.

Yang mengundang mesti mulakan bicara dengan ayat 'Dengan penuh kehormatan...' dan dimaklumkan dengan terperinci majlis apa, masa jam berapa, siapa yang diundang, undang untuk makan saja atau menolong, dan sebagainya. Bicaranya tak boleh bersahaja. Kena teratur, beradab sopan dan merendah diri.

AKAN DATANG: Orang mengawen 2 (Mengarak)

06 Disember 2008

Bahasa Jiwa Bangsa


"Bahasa sini tak tahu mana asalnya"
"Malaysia ada, Indonesia ada, orang putih pun ada"
"Tak betul.."


Abang Adam kata begitu. Tambahnya orang-orang tua dulu mencedok bahasa lain tapi dimaksudkan lain. Ada yang ditambah atau tukar hurufnya.

"Kalo sumpal gigi, kenak 100"
"Tapi gue kenak 50 sak dostor bilang"


Terjemahan dalam BM Malaysia, "Kalau tampal gigi, kena 100.. tapi saya kena 50 saja doktor beritahu".

Pengakuan abang Adam tentang rendahnya ketulenan bahasa mereka tidak aku terima. Bagi aku, bahasa jiwa bangsa. Biarlah ianya diekstrak dari bahasa apapun dengan sebarang penukaran.

Kalau sudah diterimapakai di pulau ini, dostor ialah doktor, mengapa perlu aku mengatakan dostor itu salah? Tiada siapa yang salah dalam hal ini. Dostor dan doktor kedua-duanya betul mengikut tempatnya.

Jadi, aku yang berlidah Melayu, sama seperti kebanyakan Melayu lain. Lidah mudah dilentur mengikut responden tempat kita bertutur.

Bukankah kita terdorong bercakap Melayu pelat Cina bila bersembang dengan Cina? Atau pelat India bila bersama mereka?

Tak salah begini kerana ia bahasa komunikasi. Yang penting responden mudah faham. Lainlah dalam pendidikan, dasarnya harus tegas. BM mesti ada standardnya.

Waktu aku dock brief dulu, pernah sekali tertuduh ialah seorang India lumpuh lagi tuli berkerusi roda. Apabila dibacakan pertuduhan, jurubahasa datang ke tepinya lalu membacakan pertuduhan.

Pandai jurubahasa tu. Sebab dia tidak membaca begitu saja. Dia terangkan dalam BM pelat India yang akhirnya difahami dengan baik oleh tertuduh.

Maka, di sini aku perlu bercakap mengikut BM Kokos. Alhamdulillah, mereka mudah faham pengajaran aku kerana aku gunakan bahasa dan lenggok bahasa mereka.

Kerana itulah aku tidak setuju dengan seorang sahabatku dari Indonesia yang selalu menyalahkan beberapa perkataan BM Malaysia. Dia kata kita silap cedok BM Indonesia. Sayang betul apabila dia merasakan hanya dia yang betul.

"Oh dapat bicara sama mambang, suhail jadik geton sak"

Aku tersenyum saja bila Nek Iman cakap begitu kelmarin. Ngeee.


[Gambar di bawah: Kuih serabi (kalau tak silap, kita panggil Kuih Serabai)]



AKAN DATANG: Orang mengawen 1 (Nika)

04 Disember 2008

Harapan seorang khatib

Pulau Kokos terdiri daripada 27 buah pulau. Hanya dua pulau yang didiami. West Island dan Home Island. Aku mendiami HI.

Berbanding WI, di sini masyarakat Melayu 95%. Kerajaan telah menyediakan segala keperluan Melayu. Papan tanda dalam Bahasa Melayu. Iklan dalam BM. Majalah disiapkan terjemahan BM.


Dan paling utama, masjid. Setiap kali waktu solat, jemaah tidak kurang daripada 30 orang. Kalau Maghrib dan Isyak, biasanya dalam lingkungan 80 orang.

Sebagai tetamu, aku telah dipelawa menjadi imam dan berkhutbah pada Jumaat lalu. Aku tiada gambar untuk buktikan [Kimi mesti akan persoalkan] sebab aku datang sendiri. Tiada siapa boleh tangkapkan gambar. Lebih-lebih lagi dalam masjid.

Kali terakhir berkhutbah pada 2005 di Pulau Krismas. Jika sesiapa pernah berkhutbah, mereka dapat rasakan betapa khutbah ini sangat penting dalam membentuk masyarakat.

Tajuk khutbah aku berkenaan 'Ketaqwaan Kepada Allah'. Macam-macam yang aku sampaikan. Dan aku selitkan Bahasa Inggeris sikit sebab ada seorang muallaf.

Betapa girangnya hati apabila membaca khutbah dan menatap wajah para jemaah yang benar-benar mendengar dengan penuh tumpuan.

Entah bagaimana perasaan khatib-khatib di Malaysia. Penat saja berkhutbah. Sebabnya majoriti jemaah menundukkan kepala [baca: tidur].

Sesudah berkhutbah, aku diberitahu beberapa makmum suka pada khutbah kali ini. Mereka belajar sesuatu daripada khutbah.

Jarang khutbah menyentuh hal keimanan dan ghaibiat. Aku risau juga takut mereka tak faham BM Malaysia. Tapi tidak. Alhamdulillah.


Ada beberapa penduduk Melayu HI bekerja di WI. Bila tiba waktu Jumaat, mereka risau bagaimana nak solat Jumaat. Jemaah di masjidnya tak cukup 40 orang. Kebiasaan mereka solat Zohor saja.

WI dipenuhi masyarakat orang putih. Jadi, untuk mengumpulkan 40 orang agak rumit. Pak Yati bercadang minta kerajaan tukar cuti mingguan kepada Jumaat dan Sabtu.

Tengok tu, sungguh-sungguh mereka nak ikut ajaran Islam. Dan kerajaan Australia sangat demokrasi. Sekiranya semua masyarakat Islam setuju, kerajaan akan benarkan.

Macam masjid baru yang akan didirikan di WI. Kerajaan akan tampung perbelanjaan tapi tak penuh sebab tak semua setuju. Mereka khilaf pada saiz masjid yang sangat besar.



Seronok rasanya di sini. Bebas mengamalkan ajaran Islam walaupun dalam negara kafir. Uniknya lagi, orang putih tunduk pada orang Melayu. Mereka hormat adat budaya termasuklah bahasa. Orang Melayu sini kebanyakannya tetap bercakap menggunakan BM kepada mereka.

AKAN DATANG: Bahasa Jiwa Bangsa

02 Disember 2008

Cepatnya masa berlalu

Anak-anak murid aku sudah mula menghitung hari. Bila saja membilang hari, ada yang buat-buat menangis. Masing-masing kata belum puas belajar.

"Duduk lama lagi, man"
"Kenapa sekejap sangat?"
"Mengajarlah setahun di sini"


Itulah ayat-ayat yang selalu keluar dari mulut nenek-nenek dan mak-mak sini. Tiga minggu saja tinggal. Banyak lagi yang tak sempat diajar.

Jika aku tiada misi di China, barangkali aku kekal lama di sini. Setahun pun tak apa. Visa aku dah memangnya setahun.

"Balik China, lepas kahwin, Suhail ke sini lagi ya"
"Bawa isteri sekali, kami jamin"
"Isteri boleh ajar mak-mak pula"


Hanya ucapan InsyaAllah yang dapat aku balas. Jauh di sudut hati, aku berhajat juga begitu. Namun, hanya DIA yang dapat menentukan masa depanku dan bakal isteri. Aku tak tahu apa bakal berlaku.

Aku beritahu nanti ada pengganti aku untuk mengajar mereka. Mereka kata nakkan yang seperti aku. Aku jawab lain orang lain caranya. Mungkin ada yang lebih baik.

Dengan tegas, mereka ingatkan aku, andai ada yang lain datang, jangan buat kacau. Sekiranya dalam tempoh sebulan dia di sini kami rasa tak sesuai, kami akan minta dia pulang saja.

Aduh, itu yang membimbangkan aku. Aku tak nak nama GPTD-ABIM menjadi buruk disebabkan hantar orang yang buat kacau.

Bukan apa, mereka dah serik.Dulu pernah ada ustaz yang datang tapi sibuk memancing. Tak mengajar pun.

Ada juga datang dok sibuk mengatakan halal haram. Menyalahkan adat yang diamalkan di sini. Mengata orang itu tak ikut ajaran Islam. Bla bla bla.

Pernah juga yang datang gelarkan diri ustaz. Tapi batang hidung langsung tak nampak sepanjang dia berada di sini. Tak tahu apa yang dibuatnya.

Aku bukanlah terbaik untuk berada dalam keadaan sekarang. Aku pun ada kelemahan. Tapi aku memang jenis tak masuk campur urusan yang bukan kepentingan aku.

Biarlah apapun perkara jelek depan mata, kenapa pilih untuk melenting sedangkan ada cara yang lebih baik? Pendakwah bukan penghukum.

Nak jadi hero? Takkanlah baru dua bulan di sini nak tunjuk taring. Biarlah mengembek dulu bila masuk kandang kambing. Perubahan berlaku bila orang itu sendiri yang sedar. Bukan kerja kita mengubah orang.

Haram macamana pun perbuatan orang di depan mata aku, pendekatan aku lain. Pandangan sayang. Cara aku makan masa sikit. Biar hati mereka terpaut dulu pada kita, barulah sebarang teguran menjadi manfaat baginya. Bukankah hati punca segalanya?

Mungkin ada yang tak setuju bila dulu aku pernah katakan kepada adik-adik begini. Tak payahlah paksa-paksa diri untuk berubah. Ianya takkan kekal. Bila rasa nak berubah, berubahlah. Fikir sendirilah bila masanya nak berubah.

Jadi, aku pun senang. Diri pun tenang sebab pandangan aku tidak serong kepada mereka. Hati membenci dalam menyayangi.

Maka, tak mungkin kita akan berpandangan negatif dan menolak kehadiran mereka ini. Aku bersyukur dapat berkawan pelbagai manusia, Kaki mabuk. Pengamal zina. Si panas baran. Minah ronggeng. Pembohong. Dan macam-macam lagi.

Mereka mengajarku mengenali kehidupan dari sisi gelap. Jika bukan kita, siapa lagi yang patut berkawan dengan mereka? Kita kena beringat yang kita juga berpotensi jadi teruk dan mereka berpotensi jadi baik.

p/s: Dulu bapok pun baik dengan aku (tapi risau juga)
AKAN DATANG: Harapan seorang khatib

30 November 2008

Ragam Mengajar Si Buta



Anda masih ingat watak Cikgu Ros dalam Pendekar Bujang Lapok? Begitulah umpamanya aku di sini. Mengajar orang-orang tua perlukan kesabaran yang tinggi. Kerana terpenting ialah adab dengan orang tua.

Memang lidah mereka ini liat. Sesekali aku berkeras. Supaya fikiran dan ingatan menjadi tajam dan kuat. Bila tergeliat lidah tu, pasti ramai yang ketawa. Ada juga persis Pak Abu, anak murid Cikgu Ros yang suka ketawakan bujang-bujang lapok tu.


Aku cukup puas hati apabila kebanyakan mereka sudah masuk Iqra' sekurang-kurangnya di permulaan buku dua. Asalnya mereka semua buta huruf. Alhamdulillah, berkat doa kalian juga.

Tengok saja klip video aku dengan Mak Adam ni. Lain dieja, lain disebut. Memang susah mengajar mereka tapi bila melihat kesungguhan mereka, tak tergamak rasanya membiarkan mereka kekal buta huruf.

Mereka menghafal apa yang diwariskan. Berdasarkan bunyi. Yang mewariskan pun sebutan tak betul, masakan boleh betul pewarisnya.

Aku seronok buat kerja begini. Barangkali ada yang terfikir mestilah seronok berjalan-jalan. Tak. Bukan begitu.


Seronoknya ialah bila kita jumpa orang yang benar-benar ingin dalami agama dan kita yang ada sedikit kelebihan dan kebolehan dapat membantu mereka. Bantuan ini sangat berharga bagi mereka.

Bayangkanlah. Aku kini berada di syurga ikan. Piala apapun dalam arena sukan tak dihiraukan masyarakat sini. Saban hari kisah memancing. Kisah laut. Kisah bot. Kisah pantai.

Tapi selama sebulan aku di sini, baru sekali aku memancing [baca=menjaring]. Kalaulah untuk jalan-jalan, aku pasti habiskan masa memancing dan berenang.

Di Malaysia, sudah ramai yang buat kerja sama macam aku. Jadi, apa salahnya aku buat di luar. Dan hakikatnya di luar ini, tak ramai yang sanggup membantu. Aku tiada duit nak bantu. Dapat pergi bila ditaja. Hanya kudrat dan ilmu yang ada dapat dicurahkan.

Bukan semata-mata kerana berjalan jauh menjadikan pemusafiran ini menarik dan seronok. Tetapi pengorbanan kecil yang kita curahkan memberi seribu makna buat orang yang sangat mendambakan bantuan kita.

Juga pastinya kerana jauhnya diri ini dari fikiran yang kusut. Hati yang sakit. Kepala yang buntu. Sesekali begini, lega rasanya. Namun, bakti di bumi sendiri masih perlu.

Mungkin sedikit masa lagi akan aku fahami mengapa sebahagian besar sahabat Rasulullah dimakamkan di luar tanah Arab.

Siapa nak azam keluar setahun, bagi nama ya!

25 November 2008

Cubalah Makan Mengkudu


Ada sekali tu, aku rasa tak sedap badan. Malamnya ada bacaan Yasin dan tahlil. Aku minta izin untuk berehat di rumah. Rasa nak demam. Tapi belum.

Bila aku berehat, aku fikir balik apa sebab jadi begini. Mungkin perubahan suhu agaknya. Di luar rumah panas terik (mujur ada angin). Tapi dalam bilik ada penghawa dingin. Sejuk.. Disebabkan kekerapan keluar masuk begini kot.

Atau disebabkan aku makan mengkudu. Badan terperanjat agaknya. Nek Adam, datuk kepada Azrin suruh aku cuba makan jeruk mengkudu. Di sini, kebanyakan orang-orang tua menjadikannya makanan kegemaran.



Eh, bukan saja yang dijerukkan. Yang mentah pun dimakan begitu saja bila ia sudah matang. Baunya memang aku tak tahan. Apatah lagi nak makan. Cuma, jenis aku kalau dipelawa tak menolak. Tambah pula kita ni tetamu, tak boleh banyak songeh.

Sebut pasal makanan, macam-macam makanan ada di sini. Aku takkan ceritakan semuanya kali ini. Dalam entri-entri akan datang aku akan ceritakan sikit demi sikit.

Di pulau, kita sedia maklum pokok yang paling banyak mestilah pokok kelapa. Jadi, apa saja yang ada pada pokok kelapa tu dimanfaatkan. Orang-orang tua kita dulu pun begitu.


Cuma makanan yang berasaskan kelapa di sini tak pernah aku rasa di Malaysia. Contohnya kolak kelapa. Ianya dicampurkan dengan tepung sagu dan kacang. Kita tuangkan santan sikit bila nak makan. Enak dimakan panas-panas suam.


Satu lagi namanya rojak say. Ianya bukan rojak yang kita faham. Ia adalah isi kelapa bersama air kelapa yang dicampur sirap dan dibekukan. Kemudian, barulah dikikis untuk dimakan. Lebih elok dibiarkan aisnya cair sikit sebelum makan.


Ini pula kelepon. Macam onde-onde kita. Dalamnya ada gula. Cuma tepungnya tak sekenyal onde-onde. Lebihan tepung pula dibuat menjadi kelepon panjang tanpa gula di dalamnya. Selalu saja mereka bergurau. Mereka panggil kelepon panjang ni, kontol bebek.


Setakat 4 minggu aku di sini, hanya jeruk mengkudu saja yang aku tak berselera nak makan. Yang lain semuanya enak belaka. Kalau dihitung, sehari aku makan 6 kali.

Makan berat 3 kali saja. Yang lainnya hanya pai, mee sup, kentang goreng, sosej, epok-epok dan seumpamanya. Tapi saiz kuih muih mereka besar. Makan satu pun boleh kenyang.

"Weh, nampak gaya Suhail balik pakai kain ni.."
"Eh, tak lah.."

"Tu, celana pun dah ketat"
"Mmm.."


AKAN DATANG: Ragam Mengajar Si Buta

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular