1) "Biar duit sikit, asalkan hidup berkat," pesan Nek Uda.
Hari raya kedua seperti biasa kami ke Kuala Linggi, Melaka. Dapat bertemu orang-orang tua pasti memuaskan hati. Nek Uda asyik dok ulang ayat di atas. Sementara itu, anaknya ceritakan kisah benar orang di situ yang kaya segera dan akhirnya mati 'tak berlagu'.
"Memang dia orang kaya, sarapan pagi pun naik helikopter dari rumah ke jeti."
"Sorang lagi kaya sebab ahli ajaran sesatnya dok banyak sedekah."
Dua-dua mati meninggalkan harta yang entah tak tahu ke mana, anak juga tiada khabar berita dan harta tinggal terbiar. Pesan Nek Uda itu memang biasa masuk ke telinga waktu para ustaz berceramah. Tapi bila ada kisah real begini, ia lebih menusuk jiwa.
2) "Whatever you do, you have to do it seriously. Walaupun masak nasi, kena masak nasi dengan serius," ujar Pak Lang Daud.
Aku suka ke rumah Pak Lang Daud ni. Orang tua berjawatan dalam politik, bermula daripada profesion guru. Juga berniaga macam-macam. Tapi gaya bercakap dan beri nasihat, amat senang telinga mendengarnya.
Pesan di atas ni sangat serius diucapkannya. Itu juga prinsip aku. Kalau kerja buat betul-betul. Di China, aku suka perhatikan pengawal keselamatan. Jarang sekali aku jumpa yang berborak, hisap rokok mahupun sibuk melayan handphone. Mereka akan mundar mandir menjalankan tugas. Mereka benar-benar serius bertugas bagaikan sedang diperhatikan.
3) "The best is our own syllabus," sambung Pak Lang lagi.
Ya, Pak Lang lagi. Bila menyentuh bab pendidikan, aku sering menyalahkan sistem. Kata Pak Lang, pendidikan oleh ibubapa itu yang akan mencorakkan anak. Aku berfikir panjang. Bukankah banyak juga kes ibu bapa sudah sediakan the best tapi anak terikut kawan di sekolah? Perlu kaji lebih lagi bab ini.
4) "Saya ni hidup taklah kaya, tapi hidup itu senang." Pak Tam Husin bercerita sambil tersenyum sedang kami duduk bersila di muka pintu.
Sewaktu berziarah ke Kuala Rompin, Pahang ayah kenalkan kami dengan saudara-mara ayah. Pelik pula apabila mendengar Pak Tam bercakap loghat Kedah. Rupa-rupanya orang Kedah dulu dipanggil datang ke sini untuk teroka tanah paya. Katanya orang Pahang tak pandai lagi waktu itu nak kerjakan tanah paya. Inilah yang disebut Ihya' al-Mawat dalam Islam.
Rumah orang kampung biasalah kan, tiada perabot gadang. Televisyen pun bukan flat screen. Laman rumah masih tanah merah, tidak berturap. Kereta lama tersadai saja depan rumah. Sekali imbas, orang bandar mungkin kata dia susah. Tapi tengoklah apa katanya. Waktu berbual, Pak Tam sempat cakap baru beli tanah bayar cash. Hutang tiada. Keperluan hidup cukup serba serbi.
5) Nikmat berenggang daripada telefon bimbit.
Semua pelajaran yang empat di atas aku dapat hanya disebabkan aku berenggang daripada telefon bimbit. Orang-orang kampung yang aku ziarah pun nampaknya tidak gemar menatap telefon bimbit. Barulah dapat rasa nikmat hidup bersosial. Hidup yang sebenar. Dapatlah anak-anak juga bermain dengan ayam dan itik. Memetik dan mengupas kelapa. Mengenal ketam hidup. Berkejar-kejaran di laman yang lapang.
Terima kasih Allah. Terima kasih kerana berikan aku dan keluarga peluang begini. Hubungan kami dengan saudara mara pun bertambah akrab. Seronoknya Aidilfitri!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan