Sudah lama aku tak ke pantai. Untuk nikmati indahnya ciptaan Maha Hebat. Sambil diri disapa bayu laut. Dan punggung dilabuh atas permaidani pasir.
"Mari kita ke pantai Busan, abang! Rehat-rehatkan minda," ujar sahabatku Kamil.
Yalah, alang-alang sudah dekat, aku turutkan saja. Kami tiba waktu matahari sudah beralih ke barat dunia. Dari jauh kedengaran desiran ombak. Angin bertiup nyaman tak berhenti. Alangkah seronoknya.
Pantai yang panjang dipenuhi pelbagai aktiviti. Para gitaris dan penyanyi mempersembahkan lagu-lagu di pentas luar hotel berdekatan mengiringi sang pemabuk menikmati air kencing syaitan.
Usai berkelah di pantai, kami terus melangkah ke kaki lima tempat ramai orang berkumpul. Nah, inilah aktiviti yang aku gemari. Tengok saja para pelukis handal ini.
Kata Kamil dia sanggup berjam-jam menatap karya mereka dihasilkan. Begitu juga aku. Dari baris depan ini sehingga ke hujung seolah ada ratingnya tersendiri. Makin hujung, makin kurang kemas.
Sedang asyik aku meneliti lukisan ini, aku terdengar bual bicara diselangi ketawa jahat di belakang. Siapa mereka?
Oh, kalian ingat lagi ke siapa mereka ini? Rupa-rupanya Kamil dan Afif sedang berbual dengan dua jantan perosak. Mujur aku tak tahu berbahasa Korea. Jika tak, makin teruk hilai tawanya nanti.
Mereka dari tadi sibuk usha awek Korea. Dalam masa sama, mereka sebenarnya mencari pelanggan untuk sewa motel. Dan motel itu menyediakan awek pelepas nafsu.
Mereka cuba menarik kami yang kebetulan mencari motel. Banyak betul bicara lucah. Tak apalah, dah kerja dia.
"Perempuan Korea senang je dapat. Cakap manja, belanja sikit sudah boleh tidur dengan dia"
"Mana boleh.."
"Tak percaya, aku boleh carikan satu untuk kau"
"Tak payahlah. Aku orang Islam"
"Oh, Islam. Kenapa?"
"Orang Islam tak boleh tidur dengan perempuan melainkan isteri dia"
"Oh, Allah marah ya.. Quran.."
Wah, dalam jahat-jahat dia pun, dia ada ilm tentang apa itu Islam. Dia tahu sebut Allah dan Quran. Itu amat mengejutkan. Di sini kan kebanyakannya free-thinker atau aku namakan dollar-seeker (sebab hidupnya hanya cari duit).
Dia cakap yang kami sekarang di Korea, bukan Malaysia. Tiada masalah kalau nak meniduri Si Penyundal. Kami pun kata, Allah ada di mana-mana.
Terkedu dia seketika. Mungkin itu boleh mengetuk pintu hati dan fikirannya untuk meneliti kehidupan sebenar.
Aku cakap nak tangkap gambar buat kenangan. Mereka setuju dan pelawa untuk kami minum Coke. Sahabat-sahabatku lain menolak sedang aku menerima.
Bukan apa, aku ingin berbicara lanjut dengan mereka. Mahu tahu dunia mereka. Dan mahu selitkan dunia DIA. Tapi sahabat-sahabatku lebih arif barangkali.
"Biasanya mereka akan minum dan mabuk. Nanti jadi macam-macam," pesan Afif.
Benar kata dia. Di sini air kencing itu sudah menjadikan mulut orang Korea hancing. Untung besar syarikat syaitan. Tapi aku kata, kita perlu berkeras dalam lembut agar apa yang ditakutkan tadi tak terjadi.
Apapun, Kamil dan Afif mungkin lebih mengetahui selok belok kehidupan di Korea. Pasti ada hikmah di sebaliknya..
p/s: Aku tetap rasa rugi sebab susah nak dapat peluang macam ini