21 Ogos 2009

Tarawih sudah dibenarkan di China



Marhaban Ya Ramadhan.. Marhaban! Marhaban!

Pastinya kehadiran sangat dinantikan. Bulan penuh rahmat, keampunan dan pelepasan seksa neraka ini adalah peluang muhasabah dan perbaiki diri. Yalah, besar kemungkinan kalau tiada bulan khas ibadah sebegini, sepanjang tahunlah diselubungi kealpaan.

Hari terakhir bulan Syaaban, baru terasa bahang Ramadhan di sini. Masjid-masjid sudah dicat baru (entah bila dicat pun tak tahulah). Jemaah sewaktu solat Jumaat pun berkurang khususnya warga Cina.

"Mungkin mereka balik kampung agaknya," bisik hatiku.

Aku tiba waktu tazkirah (dalam Bahasa Mandarin) sudah bermula, sebelum azan kedua berkumandang. Terdengar perkataan tarawih. Sefaham aku yang belum cukup bijak berbahasa Mandarin, pak imam memberitahu solat tarawih akan diadakan di masjid ini.

"Sini solat tarawih tak dibenarkan.."

Teringat aku pada cerita rakan Melayu yang sudah bertahun lamanya tinggal di sini. Wah, ini bermakna pihak kerajaan semakin toleransi dan memahami ibadah yang perlu dilaksanakan.

Untuk kepastian, aku bertanya kepada rakan Indonesia yang telah menikahi gadis China mengenai apa yang diucapkan tadi. Dia yang sudah 3 tahun menetap di sini atas tujuan dakwah yang dimulai dengan perkahwinan itu, membenarkan fakta yang diceritakan rakan aku.

Syukur.. Ramadhanku seindah Ramadhan di Malaysia. Cuma tiada laungan selawat dan zikir mengiringi setiap 2 rakaat.

----

Dalam banyak ceramah, selalu diceritakan kisah-kisah nabi dan sahabat yang menempuhi ujian dan cabaran dalam bulan Ramadhan. Tarbiyah rohani inilah yang mendidik jiwa para pejuang menjadi kental dan tabah.

Agak-agak sanggup ke kita bermusafir di bawah panas terik matahari, dengan tiupan angin yang membawa debu, sambil memikul senjata dan memacu kuda, lalu berperang di siang hari?

1 Ramadhan masuk saat azan Maghrib berkumandang. Aku diuji sebelum masuknya Ramadhan hinggalah ia menjelma. Paip air tingkat paling atas kediaman rumah aku bocor. Habis melimpah air mencurah-curah menuruni tangga. Akibatnya, banjir di lobi dan semua lif tak berfungsi.

Aku baru saja tiba membawa barangan berat untuk bekalan puasa. Semua penghuni diminta tunggu untuk tempoh masa yang belum diketahui. Memandangkan aku belum menunaikan solat Asar, aku tinggalkan barang di pos pengawal dan berhasrat mengambil teksi untuk ke rumah rakan.

10 minit berlalu.. 20 minit.. 30 minit..

"Ish, kenapa semua teksi tak mahu berhenti.. Memanglah penuh waktu orang balik pejabat. Yang ada pula, dah sampai waktu habis kerja, " aku bercakap sendirian.

Tak apalah, aku rasa lebih baik aku berjalan kaki sambil jenguk ke belakang kalau-kalau ada teksi. Aku pun berjalan. Sehinggalah 2 km perjalanan, aku masih tak temui teksi kosong.

Sampai pun rumah rakan aku. Dalam tercungap, aku disuakan air. Alhamdulillah. harap-hrap sementara nak tunggu Maghrib, masalah di rumah sudah diperbaiki.

"Suhail, kenapa tak ambil seguni beras tu? Akak memang nak bagi kat Suhail," seorang lagi rakan yang sedang mengemas rumah untuk berpindah ke Malaysia, menegur aku.

Rezeki Ramadhan ini. Alhamdulillah. Maghrib hampir tiba. Aku terus ke rumah kakak tu untuk mengambil beras dan terus menaiki teksi untuk pulang ke rumah.

Setibanya di rumah, pengawal beritahu lif masih belum boleh digunakan. Dia kata terpaksa naik tangga. Alamak, di tangan kiri dan kananku penuh barangan yang kubeli tadi. Tambah lagi di bahu kupikul seguni beras.

16 anak tangga x 15 tingkat = 240 anak tangga perlu kudaki.

Apa boleh buat? Teruskan saja. Tapi beras terpaksa aku tinggalkan untuk pusingan kedua. Apa? Dua kali? Ahhh.. letihnya. Sudahlah panas di sini 38 darjah Celcius. Walaupun malam, bahangnya masih terasa.

"Aouhh..Aouhh..Aouhh, " aku tercungap-cungap sebaik tiba di rumah. Habis basah baju t-shirt yang kupakai. Peluh menitis laju. Tangan dan kakiku menggigil. Rasa macam terhuyung-hayang pula.

Waktu Maghrib sudah suntuk. Aku terpaksa solat dalam keadaan merimaskan. Melekit badan. Tak apa, sabar. Sabar..

Ahhh.. Isyak nak dekat. Tarawih.. Aku nak tarawih.. Uwaaa...
Kepada semua, selamat menyambut Ramadhan dan hayatilah ia sementara kesempatan masih dikurniakan. Moga Allah memberkati usaha kita. Maaf dipinta atas segala kesilapan lalu. Mohon doa diberikan kekuatan meneruskan perjuangan kekasihNya.

3 ulasan:

Najm berkata...

Salam Ramadhan al-Mubarak!

Moga kita semua 'lulus' ujian Madarasah Ramadhan al-Mubarak kali ini.

Amiiinnn..

3p4h berkata...

Kog imamnya bca laju... Slalunya brapa lama masa yg diambil utk usai 8 rakaat?

Sahalfikri berkata...

Najm: Ameen..

3p$h: lajunya tak sempat nk tgk jam plak.. hehe. abes solat 20 rakaat dlm jam 9 ke 9.15 mlm (isyak mula jam 8)

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular