25 April 2009

HPA bukan perniagaan biasa



Baru-baru ini kami meraikan sambutan hari ulangtahun empat orang rakan senegara yang lahir pada bulan April. Kebetulan pada waktu itu, kami dikunjungi pegawai atasan HPA Industries Sdn Bhd.

Kali ini aku nak cerita tentang pengalaman bersama warga HPA. Satu nama yang jarang aku dengar sebelum ini. Hanya selepas pemboikotan barangan USA dan Israel secara besar-besaran, baru aku kenal HPA. Itu pun tak cukup faham lagi..

Ingat lagi tak aku pernah menulis tentang RFC? Inilah alternatif yang ditawarkan HPA dalam memberikan yang terbaik untuk umat Islam. Bukan saja alternatif bagi KFC, bahkan penyediaannya yang serba halal dan terjamin memberi manfaat dengan tidak menggunakan sebarang bahan kimia pengawet dalam produknya.


Dalam kelas aku, ada dua pelajar yang ditaja HPA. Hanya anak kepada ahli HPA saja ditawarkan peluang ini. Mereka belajar di sini selama 5 tahun bagi menguasai bidang tertentu seperti Bahasa dan Kesusasteraan Mandarin, dan Perubatan Tradisional Cina (akan datang).

Sebagai orang biasa, kita lebih mudah menilai daripada apa yang kita lihat dari mata kasar. Kunjungan beberapa pegawai atasan HPA sangat memukau hati aku. Mereka bukan seperti para peniaga biasa.

Hubungan mereka dengan Tuhan Maha Pencipta nampak luarbiasa. Cukup dengan berbicara dengan mereka, hati kita turut merasai ketenangannya. Mereka hebat dalam bidang tersendiri, seperti rempah ratus dan herba, kejuruteraan, perubatan dsb. Namun, bacaan al-Mathurat tak tinggal. Solat Dhuha jadi kewajipan. Menjaga barakah dalam pemakanan dan tindakan jadi keutamaan.

Aku agak sinikal dengan banyak para peniaga. Mereka suka meninggi diri. Mereka suka menabur janji. Mereka suka menyatakan hanya dia terbaik. Lagak mereka adakala menyingkirkan orang biasa. Pemakaian pasti ala-ala orang kaya baru. Memandang rendah kepada orang yang 'tiada apa'.

Inilah pengalaman yang sangat aku hargai. Kita kadangkala tak sedar yang kita dah amalkan sekularisme dalam kehidupan. Kita asingkan agama daripada perniagaan. Kita sibuk mencari duit sedangkan hubungan dengan Tuhan makin jauh. Sampaikan duit itu berlubuk di hati kita, bukan di tangan kita.

Ada yang lebih teruk merasakan kalau kuat beragama seperti bercakap benar, bertolak ansur, bersabar dsb dalam berniaga tak akan membawa kita menjadi usahawan yang kaya raya. Kita akan ditindas katanya.

Tapi, aku sendiri ingin syorkan kepada diri aku untuk berguru dengan pengasas HPA ini yang nyata kaya-raya dengan perniagaan yang berlandaskan ajaran Islam. Bahkan Standard Operational Procedure (SOP) yang ditetapkan HPA benar-benar harus dicontohi.

Antaranya, semua pekerja diwajibkan bertudung (bagi perempuan), menunaikan Solat Dhuha, membaca al-Mathurat dan sentiasa berwudhu'.

Betul kata mentor aku, jika kita mencari akhirat, dunia akan datang kepada kita.. Ikhlaskanlah niat kita demi Allah Rabbul 'Izzati.

22 April 2009

Melayu semestinya pejuang Islam

Cahaya redup menyegar padi

Ayam berkokok mengirai tuah

Jikalau hidup tidak berbudi

Umpama pokok tidak berbuah.


Sudah lama aku bercadang ingin bertemu Sang Pejuang Bahasa ini. Bukan calang-calang orangnya. Bahasa Melayu menurutnya saling berkait rapat dengan agama Islam. Jika benar katanya itu, pasti jugalah dia Sang Pejuang Agama.

Tanpa diduga, aku dikhabarkan tentang kedatangan Sang Pejuang ini ke Guangzhou. Sudah 2 tahun dia dihantar UM ke Universiti Pengajian Asing Beijing dalam Kursi Pengajian Melayu..


Girangnya hati ini tak dapat digambarkan. Aku tak sabar-sabar menanti hari yang dijanjikan. Ustaz Mad telah menetapkan satu hari khusus untuk kami berusrah dan berdiskusi bersamanya.

"Assalamualaikum," dia menyapa kami yang baru selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah.

"Prof, inilah Suhail yang saya ceritakan dulu. Dia dari PKPIM...," Ustaz Mad memperkenalkan aku kepadanya.


Oh, Suhail. Kali terakhir kita berjumpa sewaktu Konvensyen Mahasiswa Nasional di Johor Baharu kan?"

"Ya, betul!"

Bertambah zouk di hati menyambut ketibaannya. Tak aku sangka ingatannya sangat kuat terhadap aku sedangkan pertemuan kami hanya seketika dalam beberapa majlis dua tiga tahun yang lalu.


Usrah pun dimulakan. Prof Dr Awang Sariyan memulakan bicara. Kata-katanya yang tersusun indah cukup memukau jiwa aku. Sekalipun, dia bukanlah seorang ustaz, garapan idea yang tersimpul daripada kajian bahasa dan budaya Melayu benar-benar mengukuhkan bahawa Melayu seharusnya faham tanggungjawab DAKWAH.

Islam ditakdirkan menaikkan bangsa Melayu. Melayu adalah bangsa kedua terbesar menganut Islam selepas Arab. Ini adalah takdir yang perlu diakui dan dimanfaatkan.

Sejarah membuktikan bahawa tamadun terdahulu tiada penerapan RUPA dan JIWA. Bermula dari Tamadun Barat, ia beralih kepada paksi Romawi. Di alam Melayu, peralihan juga berlaku dari paksi Buddha kepada Islam.

Tamadun berteraskan agama universal bukan regional ini telah membuktikan kegemilangannya pada suatu ketika dahulu. Ciri universal inilah meletakkan teras penerapan RUPA dan JIWA.

Prof juga pernah maklumkan kepada Dato Rais Yatim untuk belanjakan berapa banyak duit sekalipun asalkan kitab-kitab Melayu lama dapat dikembalikan ke tangan kita. Untuk dikaji, diteliti dan dimanfaatkan. Kerana asal semuanya berteraskan RUPA dan JIWA.

Contohnya kitab Sulalatus Salihin karya Tun Sri Lanang. Kitab dongeng yang menegur sinis para pemimpin tentang nilai-nilai peradaban Islam.

Pernah diceritakan Sultan Mahmud memerintahkan Syeikh Yusuf untuk datang ke istana mengajarnya. Namun, Syeikh Yusuf menegaskan bahawa anak murid yang seharusnya mencari guru. Maka Sultan Mahmud pun pergi menuntut dengan Syeikh Yusuf.

Masalah adab di negara kita juga kian meruncing. Kata Prof lagi, ini disebabkan sejarah dipinggirkan. Kisah Sultan Mahmud tadi pastinya jarang sekali didengar umum. Ini semua banyak tertulis dalam kitab-kitab Melayu lama (kitab kuning).

Semangat juang Prof yang begitu tinggi telah menyeretnya bertemu mantan PM kita. Perjumpaan dengan Pak Lah bertujuan meminta Bahasa Melayu dimartabatkan demi kepentingan agama Islam. Pak Lah agak optimis namun tiada apa yang dilakukan.

Lagi.. Gurindam 12 Raja Ali Haji. Juga menunjukkan betapa Islam itu sebati dengan jiwa Melayu. Namun, generasi hari ini tidak didedahkan dengan karya-karya demikian. Yang sebati dengan jiwa mereka hari ini lebih kepada penerapan RUPA tanpa JIWA.

"Kesinambungan perjuangan ulama dan takdir Islam berkembang di Tanah melayu pasti ada sebabnya.."

Begitulah Prof mengakhiri usrah. Melayu itu terkenal dengan budi pekertinya yang lahir dari kandungan Islam yang sejati. Namun, sejarah terpadam dan makin dikikis apabila Melayu hanya tinggal nama.. (bahasa pun sudah tidak dipertahan).


Ruginya kita apabila takdir tercipta untuk kegemilangan kita tanpa kita sedari. Kita hanya perlu tekan punat HIJAU saja. Maka, segalanya akan kembali Cemerlang, Gemilang, Terbilang!

p/s: Aku dijemput untuk hadiri PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENGAJIAN MELAYU anjuran universiti Prof di Beijing pada 31 Mei – 1 Jun 2009. Namun kos penerbangan dan yuran sebanyak RM2000 mungkin membantutkan hasrat aku untuk berjumpa dengan lebih ramai pejuang agama di Beijing.

17 April 2009

Menjadi Pemandu Pelancong - II


Sebelum ke Hong Kong, aku berbual sebentar dengan saudara Muslim ini.Dari sebelah kanan aku, Yahya, Hussin dan Idris. Menatap wajah mereka pun sudah terasa nur indahnya. Inilah beza Cina Muslim dan bukan Muslim yang selalu aku ceritakan sebelum ini.

Hussin, 57, berasal dari wilayah Gansu. Dia fasih berbahasa Arab. Walaupun dia hanya rakyat biasa, kehadirannya ke masjid di tanahairnya secara kerap membuatkan dia boleh bercakap Arab.

Mereka semua adalah peniaga ubat-ubatan tradisional Cina. Kedainya di bawah Muslim Hotel SZ. Mudah saja untuk berbual, berikan salam sebagai permulaan. Inilah hakikat persaudaraan kuat Muslim sejagat. Kemudian berkenalanlah..


Dimaklumkan kepada aku, sewaktu zaman 60-an dan 70-an umat Islam ramai dibunuh. Bahkan dijadikan hidangan makanan orang yang menzalimi mereka. Ini menyebabkan bilangan umat Islam berkurangan dan pengamal agama Islam menjadi semakin takut.

Namun, kini generasi muda yang memimpin sudah mula bertoleransi sekalipun tidak beragama. Agama bukan lagi dianggap sebagai ancaman. Dan ia adalah hak peribadi masing-masing. Akhirnya dapatlah didirikan masjid di beberapa tempat seperti di SZ.


Oklah kita teruskan perjalanan ke HK. Perkara pertama yang menarik perhatian aku ialah papan tanda ini 'DILARANG MELUDAH'. Mungkin ia perlu kerana memberi amaran kepada orang China yang sudah terbiasa mengamalkan aktiviti meludah di merata tempat. Ya, termasuklah dalam MTR (macam LRT). Siap ada yang bermain-main pula dengan air liur/kahak yang diludahkan dengan kaki. Eeiiyaakk!


Tengok ni, lantainya berkilat. Satu pemandangan yang sukar didapati di Guangzhou. Secebis kertas pun tiada. Bau hancing mustahil ada. Terasa tenang dan nyaman berada dalam negara ini.

Orang bercakap dalam telefon pun tidak terjerit-jerit. Di sini jugalah ramai yang berselisih dengan aku, harum saja bau. Mungkin inilah bezanya negara Komanwel bekas jajahan British. Kesedaran sivik agak tinggi.


Apakah kalian nampak apa yang aku nampak? Inilah bangunan tersergam indah di tengah-tengah kotaraya yang membuatkan aku terpegun. Aku seolah-olah berada di negara Islam. Kawasan sekitarnya pun penuh dengan warga Pakistan, India, Arab dan Indonesia yang majoritinya beragama Islam.


Masjid Jamie'dan Pusat Islam, Kowloon, HK. Kami tiba pada waktu Zohor. Azan pun berkumandang. Masjid yang terletak berdepan dengan hentian bas menarik perhatian bukan Muslim yang melewatinya. Masyarakat Muslim masing-masing bergegas ke masjid.


Tempat wudhu'nya sistematik dan selesa. Begitu juga ruang tandasnya. Selipar disediakan pun tersusun rapi. Solat berjemaah berimamkan warga Pakistan.Aku kira-kira secara kasar, adalah lebih kurang 300 ahli jemaah turut serta menunaikan solat Zohor. Nikmat yang tiada taranya.

Kami pun duduk seketika. Terasa rindu pada suasana begini. Rasa ingin lebih lama di sini. Dari jauh kelihatan karkun tabligh sedang mengadakan majlis fikir dalam bahasa Urdu. Seronok hati aku melihat kebebasan yang diamalkan di HK.

Aku harus pergi sekarang, para tetamu dah menunggu di luar. Sedang aku menuruni tangga, ternampak madrasah di lantai dua. Aku menjenguk ke dalam. Hati semakin tertarik dengan keadaan ini. Hampir 30 anak murid sedang khusyuk mendengar penerangan bab solat oleh ustaz mereka. Mereka juga mengikuti kelas hafaz Quran.


Tetamu pun ada tujuan lain. Kami teruskan perjalanan ke pulau pula. Tadi, kami di tanah besar HK. Di pulau inilah terdapat banyak tempat tarikan pelancong.Macam Pulau Pinang, kami menaiki feri untuk ke pulau.Bangunan pencakar langit lagi moden dan canggih.


Destinasi pertama ialah 'The Peak'. Puncak di mana kita dapat melihat seluruh HK. Untuk ke sana, kami menaiki bas dua tingkat yang tak berbumbung ini. Nyaman terasa ditiup angin sambil menunggu diri dibawa ke keretapi 'tram' untuk ke puncak.


Dalam perjalanan, kami terserempak dengan beberapa kelompok warga asing duduk bersidai di tepian jalan. Fenomena sama boleh dilihat di Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu. Ada yang membawa bekal untuk berkelah di hutan batu ini. Mungkin inilah caranya untuk berjumpa saudara senegara.


Inilah 'tram' yang dinaiki untuk sampai ke puncak. Maaf tiada gambar kami dalam 'tram' sebab kami tak berpeluang menaikinya. Terlalu ramai yang menunggu giliran, jadi kami ambil keputusan untuk naik teksi.


Setibanya di atas, kami tak dapat naik hingga ke bumbung bangunan tertinggi yang mengenakan bayaran lebih untuk melihat keadaan HK dari atas. Para tetamu sudah berpuas hati dengan pemandangan di tingkat dasar saja. Hari yang agak berkabus tidak memperlihatkan semua bangunan di HK.



Di dalam bangunan tempat melihat pemandangan tu, tiba-tiba aku terlihat kelibat Barrack Obama. Wah, ramainya orang nak bergambar dengan dia. Kenapa dia ada di sini? Oh, dia tak bergerak pun? Oh, dia patung lilin.. hehe.


Di sini pengangkutan awamnya cukup efektif. Tak cukup dengan bas dua tingkat, ada juga bas eletkrik menggunakan rel di tengah-tengah jalan (namanya aku tak pasti). Kami turun di stesen ini untuk menaiki MTR yang melintasi laut untuk kembali ke tanah besar HK.


Kami seterusnya ke Mongkok. Di sini terdapat pasar malam sepanjang 2 km yang menjual pelbagai barangan murah (boleh tawar). Keadaannya sama seperti Chow Kit dan Petaling Street. Kaum Hawa kan suka begini.. silakan!


Sesudah itu, kami bergegas ke tepi tanah besar untuk menghadap ke bangunan-bangunan pencakar langit di seberang pulau sana. Tepat jam 8 malam, pertunjukan cahaya dan bunyi dipersembahkan. Lampu pelbagai warna terpancar dari bangunan-bangunan tersebut mengikut rentak lagu yang dimainkan selama 15 minit.

Begitulah perjalanan yang menarik walau memenatkan. Sebagai pemandu pelancong, aku hanya mengikut apa yang diingini pelancong. Tapi jika diberi peluang untuk sendiri, aku mungkin ingin ke sana dan menghabiskan lebih banyak masa di masjid dan pusat Islam tersebut. Hatiku tenang berada di situ. Sangat tenang.

Teringin sangat buat program usahasama ABIM, Malaysia - Masjid Kowloon, HK.

14 April 2009

Menjadi Pemandu Pelancong - I



Minggu lepas aku diminta oleh Ustaz Mad untuk mengikutnya ke Hong Kong. Dia mahu mendedahkan aku dengan keadaan Hong Kong yang jelas berbeza. Bersama kami, beberapa anak muridnya yang mengikuti kuliah agamanya di Masjid Taman Tun Abdul Razak, KL.

Sebagai seorang pelajar Bahasa Mandarin, kedatangan aku juga bertujuan membantu komunikasi para tetamu dengan warga China. Alhamdulillah, aku sudah boleh bercakap sikit-sikit. Inilah juga medan latihan untuk aku.


Sebelum ke HK, kami ke Shenzhen (SZ) dahulu dengan menaiki keretapi laju (200 km/j). Jarak dari Guangzhou (GZ) ke SZ sejauh 135 km. Dengan menaiki keretapi ini, perjalanan hanya mengambil masa sejam berbanding 2 1/2 jam jika menaiki kereta.


Dalam peta ini, GZ terletak pada tag A, SZ pada tag 1 dan HK pada tag C. SZ masih berada dalam China. Sehari kami habiskan masa di sini. Sebagai 'pemandu pelancong' baru, aku diminta membawa para tetamu ustaz ke Windows Of The World (WOW).









WOW adalah tempat pelancongan terkenal di SZ. Ia mempamerkan beberapa miniatur keajaiban dunia dan kehebatan senibina bangunan seluruh dunia. Malangnya KLCC tiada (barangkali WOW ini sudah lama dibina sebelum KLCC).

Seterusnya kami pulang untuk menikmati masakan Muslim. Tak susah juga mencari restoran Muslim di sini. Di depan restoran pun tertera 'Makanan Malaysia'. Chefnya, Mansor, berketurunan Pakistan tapi boleh bercakap Melayu kerana pernah mendiami Singapura lebih 10 tahun.

Esoknya kami akan ke HK. Jadi, para tetamu mahu menjenguk pusat membeli belah yang terkenal di sempadan ini. Tugas komunikasi aku pun bermula. Waktu inilah yang aku suka sebab dapat bercakap dan bergurau dengan orang Cina.

"Ni shi wo de pengyou" (Kamu ni kawan saya)
"Eh.. shenme shihou wo shi ni de pengyou?" (Bila pula saya jadi kawan kamu?)
"Xianzai!"

Haha. Masing-masing ketawa. Peniaga ini pada mulanya bercakap Inggeris tapi apabila ditanya dalam bahasa Inggeris, dia tak faham. Jadi, aku pun bercakap Mandarin. Dia terkejut dan puji konon aku bercakap dengan bagus (sedangkan aku masih gagap). Ceh!

Aku cakap harga yang dia letak mahal, nak murah lagi. Dia cakap oklah tu. Aku cakap tak. Sebab itulah dia tiba-tiba dakwa aku jadi kawan dia. Memang ini teknik memujuk mereka. Dan aku belajar pula teknik balas memujuk dengan cara ini:

"Ni piao liang aa.."

Dia pun tersenyum dan membalasnya dengan kata ,"Ni ye piao liang." Hahaha. Kami ketawa lagi. Dan bla bla bla (nak cerita semua karang panjang sangat).Pendek kata, akhirnya dapat juga murah.


Selepas penat membeli belah, kami pun pulang ke hotel. Satu-satunya hotel di SZ yang menyediakan masjid di tingkat paling atas. Setiap Jumaat diadakan solat Jumaat. Imamnya pun fasih berbahasa Arab. Bukan kecil ruangnya, besar juga.

Keesokannya kami ke HK. Wah, tak sabar rasanya nak ceritakan keseronokan ke HK. Suasananya sangat berbeza jika dibandingkan dengan GZ dan SZ. Sebaik saja kaki melangkah ke bumi HK, terasa tenang sekali.

Suasana damai yang mengasyikkan. Sebuah bangunan tersergam indah di tengah-tengah bandar telah memukau pandangan mata dan hati aku. Maka, bertambahlah sehari lagi aku bersama para tetamu berjalan-jalan sambil berbincang soal agama, dakwah dan politik Malaysia.


"Mmm.. harap-harap aku terlanggar bahu Jackie Chan nanti.. " Hehe.

10 April 2009

Kisah Tahaa

Tahaa, Essam dan I'rad. Masing-masing aku tanyakan tentang diri mereka. Tahaa yang berumur 24 tahun fasih berbahasa Inggeris, Perancis dan Arab. Essam yang berumur 23 tahun pula nampaknya sangat peramah dan rendah diri. I'rad yang berumur 21 tahun rupa-rupanya sudah mempunyai anak berumur setahun.

Jadi, kami pun berbual tentang KAHWIN. Tahukah anda, jika ingin berkahwin dengan wanita Arab Saudi, anda perlukan belanja hampir RM100,000. Atau murah sedikit jika dengan warga Tunisia iaitu RM50,000. Atau yang lebih murah, RM30,000 jika berkahwin dengan warga UAE.

Tak hairanlah begitu. Mereka ni semua orang kaya. Setakat RM100,000 tu masih rendah. Namun, tetap ada orang susah. Mereka itu pastinya berkahwin mengikut kadar kemampuan mereka.


I'rad cerita yang dia kahwin waktu umur 19 tahun. Itu adalah biasa bagi orang Arab. Perempuan yang dinikahi pun tak dikenalinya. Maklumlah mereka berjilbab menutup sebahagian muka. Yang nampak hanya mata. Usai bernikah, barulah dikatakan 'berkenalan'.

Tahaa kata, "kalau tak cantik macamana?". Hahaha, kami ketawa saja. Tak jawab pun. Lalu aku pun tanya pada Tahaa bila dia mahu kahwin, dia jawab lambat lagi. Ayah dia senyum saja. Sepatutnya dia juga kahwin sudah tapi dia tak suka wanita Tunisia. Katanya mereka kafir.


Apa??? Kafir? Maksud dia.. mereka Islam pada nama tapi hakikatnya mereka sama seperti kafir. Wah, dahsyat betul Tahaa ni. Tanpa aku bertanya lanjut, dia terus bercerita.

"Kalau boleh, kau carikan aku perempuan Melayu. Aku tak sukalah orang kafir."
"Eh, kan bagus kalau kau boleh ajak dia masuk Islam atau betulkan dia kembali kepada Islam"

Cadangan aku tadi disokong ayahnya yang terangguk-angguk mendengar perbualan kami. Tahaa pun jawab dengan satu cerita. Dia sudah kenal ramai perempuan katanya. Baru-baru ini dia bercakap dengan seorang perempuan bukan Islam.

"Kamu ini kafir, kamu sedar tak kamu akan ke neraka.."

Terperanjat aku dengar kata-kata dia kepada perempuan tu. Itu sebenarnya kata-kata terakhirnya. Permulaannya dia cakap kepada perempuan tu untuk masuk Islam. Dia kata ramai tokoh barat yang sudah memeluk Islam kerana mereka sudah kaji dan sedar kebenaran Islam.

Antaranya Albert Enstein yang dinafikan Barat memeluk Islam. Lagi, Cat Steven yang telah mendedahkan tentang Islam kepada Michael Jackson yang kini sudah pun memeluk agama Islam.

"Kamu ni cantik, pandai, moden.. kamu seharusnya fikir tentang semua ini. Tugas saya hanya sampaikan kepada kamu kebenaran.. Jika kamu tak mahu berfikir untuk memeluk Islam, kamu akan kekal kafir.."

Dan ayat di atas disambung dengan pengakhir ayat yang aku ceritakan tadi. Wah, satu kisah 'live' tentang dakwah cara Tahaa. Sudahlah perempuan itu baru saja berkawan dengan dia. Dia sudah bercakap soal Islam secara 'direct to the point'. Siapa berani?

Bercakap soal dakwah. Ia sangat luas. Boleh jadi ada yang tak setuju dengan cara Tahaa. Tapi tak mustahil dengan caranya perempuan tu balik ke rumah dan sering berfikir lalu mencari kebenaran atas apa yang disampaikan. Seperti perlunya Saidina Umar dalam sejarah kita.

Pengalaman aku bersama pak-pak Arab di mana pun, perkataan dakwah seolah-olah sebati dalam jiwa. Mereka faham dakwah itu kewajipan setiap individu Muslim. Walau kita tak berparti Islam. Walau kita tak berpersatuan Islam. Walau kita tak bergelar ustaz/ustazah...


Caranya itu pasti berbeza mengikut kemampuan setiap individu. Di Malaysia? Rata-rata masyarakat faham DAKWAH ialah TABLIGH. Pengalaman aku mencari dana baru-baru ini menemukan aku kepada premis tadi.

DAKWAH difahami sebagai satu cara kerja yang dibuat oleh gerakan TABLIGH dalam mengajak orang ke masjid. Mudahnya begitulah. Pakaian mesti ala TABLIGH. Bercakap mesti cara mereka. Dsb..

TABLIGH adalah salah satu gerakan berunsurkan dakwah. Jika dakwah hanya ditetapkan dengan ciri tabligh, maka seorang yang bertali leher dan berkot tanpa kopiah atau songkok, yang memberi ceramah tentang agama kepada ratusan atau ribuan manusia tidaklah terpalit atas perbuatannya sebagai kerja DAKWAH.

Kasihan rasanya apabila faham sempit begini berlaku. Lima bulan lepas, aku beri ceramah kepada mahasiswa di Kelantan. Satu soalan provokasi aku kemukakan untuk melihat bagaimana pemikiran mereka yang berpendidikan tinggi.

"Baik, adik-adik.. antara semua ini, yang mana satukah benar-benar boleh dikatakan sebagai gerakan dakwah terbaik.."

Aku paparkan gambar tokoh gerakan (1) Tabligh, (2) PAS, (3) ABIM (4) Ikhwanul Muslimin, (5) JIM. Majoriti menjawab Tabligh. Dan hanya seorang saja yang jawab begini.

"Saya konfius la abang.. saya rasa semuanya sama melakukan kerja dakwah dan tiada yang terbaik"

Mengapa majoriti memilih jawapan tadi? Salah siapa? Apa patut kita lakukan?

Buat pengetahuan anda, para mahasiswa tadi bertegang leher untuk mempertahankan pendapat masing-masing khususnya seorang yang menggelarkan kami sebagai penceramah 'no class' memandangkan pemakaian kami berkemeja dan tidak berkopiah juga tidak retorik.

08 April 2009

Budaya pemakanan orang Arab



'Xianzai xiuxi'

(Sekarang rehat)


Setiap kali kelas, pasti ada rehat 10 minit. Waktu inilah aku ambil kesempatan ambil gambar. Memang di situlah tempat duduk aku dalam kelas. Tapi bukan sebelah perempuan Equador tu tau. Dengan seorang lelaki lain yang keluar ke tandas.(Tangan sedang melambai laoshi untuk tengok kamera)


Pada waktu inilah, kesempatan bercakap sesama kami dalam bahasa Mandarin digunakan. Tadi kami sedang berbincang untuk aktiviti makan-makan bersama laoshi di Beijing Lu (Jalan Beijing). Makan di kedai mamak Penang.


Beginilah keadaan selepas kelas. Semua pelajar akan berkumpul di tengah-tengah kawasan yang diapit dua bangunan pejabat dan kelas. Masing-masing menunggu kawan untuk makan tengahari bersama. Aku dan rakan-rakan Melayu dijemput Tahaa untuk menikmati masakan ayahnya...




Tahaa berasal dari Tunisia. Dia sangat peramah dan selamba. Sementara ayahnya berada di sini, dia mengajak kami makan tengahari bersama di apartment yang disewanya. Memandangkan aku boleh bercakap Arab (sikit-sikit lah), aku dilayan cukup istimewa.

Oh, rupa-rupanya ada dua lagi kawan lain yang dijemputnya. Seorang namanya Essam (dalam KP dia, nama: Muktasim Billah) berasal dari UAE. Dan seorang lagi bernama 'Irad yang berasal dari Arab Saudi. Seronok rasanya dapat bercakap bahasa syurga.

Sekarang aku tunjukkan apa yang kami makan. Baru semalam aku beritahu kawan aku, Abu, yang cara pemakanan orang Arab ini semacam. Hah, tengoklah.

Mula-mula kami dijamu dengan spagetti fruit de mer. Sebagai tetamu, kami dijamu sepinggan sedangkan mereka berkongsi sepinggan dua orang. Tahaa berkongsi dengan 'Irad. Ayahnya berkongsi dengan Essam.



"Eh, ada lagi ke?"
Terperanjat kawan aku, Arshad. Apa tidaknya, meja yang dah dikemas rupa-rupanya untuk menu kedua. Arshad geleng kepala sambil tersenyum.


"This is the main meal we used to eat everyday. We eat hubzu.. bread. Like chinese, they eat rice everyday and we eat bread everyday.."
Essam menerangkan rutin pemakanan Arab kepada Arshad dan Abu yang cuba mencari ruang-ruang kosong dalam perut mereka.

"What is the name of this food?"
"Ojaa fruit de mer.."
Sedapnya. Adakala aku juga hairan dengan diriku yang tiba-tiba boleh makan banyak. Hehe. Sepatutnya seorang makan sebuku (sesuai ke penjodoh bilangan ni?) roti Perancis tapi mereka belah dua untuk dimakan separuh saja seorang.


Kasihan juga tengok Abu yang kata dia dah penat mengunyah. Perut pun dah tak boleh masuk dah. Aku cakap makan saja. Kita kena habiskan agar tuan rumah yang menjamu senang hati.

Penutupnya, kami dihidang dengan epal dan air jus oren. Petua aku dalam makan, jangan minum air dulu agar perut tak kenyang sangat. Jadi, bolehlah makan lagi.Yalah, rupa-rupanya Tahaa terlupa sesuatu. Dia kata kami wajib makan manisan Tunisia pula. Baik.






Inilah beberapa manisan yang aku makan. Boleh dikatakan semua jenis aku makan. Abu dan Arshad tak makan lagi sebab mereka sedang makan epal.

"Suhail, dah tak boleh ni.. aku kenyang sangat.."
Tahaa semacam faham maksud mereka. Dia kata orang Arab kalau jamu tetamu kena habiskan makan. Kan aku dah cakap.

Tiba-tiba ayahnya yang kurang fasih berbahasa Inggeris bertanya pada Tahaa, "Siapa yang tak makan epal lagi ni?". Sambil tu ayahnya menuding jari pada aku. Wah, ayahnya perhatikan kami makan. Siap suruh aku makan. Sungguh-sungguh betul. Aku jawab, "Ba'din".

Selepas makan epal, barulah air jus tadi aku teguk. Dan kami pun berbual. Isu agama dan dakwah. Seronok perbualan kami. Nanti aku kongsikan dalam entri lain.

Tiba-tiba ayahnya datang ke meja bersama 3 tangkai kurma. Ayahnya cakap setiap seorang kena makan 3 biji kurma. Aku ketawa melihat situasi ini. Ayahnya sendiri pun ketawa sebab dia tahu perut kami kecil. Tapi itulah kepuasan dia menjamu kan.

Sambil itu kami berbual lagi. Banyak perkara menarik untuk dikongsi. Ayah dia mencari satu lagi manisan. Sekali lagi kami dijamu dengan manisan yang seakan-akan kacang tumbuk (kecil-kecil dulu aku suka makan).

Rupa-rupanya itulah penutup majlis yang sebenar. Hehe. Maaf sebab gambar kurma dan kacang tumbuk tu tak dapat dirakam kerana aku sudah tersandar di sofa empuk.

Sewaktu menulis entri ini, aku masih kenyang (10.15 malam)

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular