30 Oktober 2008

Kelas sudah bermula

Di sini ajaran Islam adalah ikut-ikutan. Tiada sistem pembelajaran yang teratur. Bacaan solat contohnya dipelajari secara dengar-sebut.

Pernah tak korang bermain modul dengar-sebut? Seorang diberikan satu mesej untuk dihafal. Kemudian suruh dia beritahu kawan sebelahnya mesej yang sama. Begitu juga dengan orang-orang seterusnya. Akhirnya, barulah orang terakhir itu membacakan mesejnya.

Kebiasaannya, mesej yang diterima di akhir tu tak sama dengan yang diberikan. Jadi, sama jugalah nasib kebanyakan orang di sini yang ada bacaann solatnya tidak berapa tepat.

Aku diminta ajar orang-orang tua dan anak-anak kecil al-quran, fardhu ain dan hadis. Aku mulakan dengan asas huruf hijaiyyah yang rupa-rupanya masih belum dikuasai. Memang cabarannya dahsyat kerana mengajar orang-orang tua seperti dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Tambahan pula, bahasa mereka tak serupa kita. Walaupun seakan-akan bahasa Indonesia, ianya sangat berlainan. Ada betik, ciku, sukun. Tapi namanya lain : katis, sauh, pigu.

Onde-onde kita tak sama dengan onde-onde sini. Mereka panggil 'kontol bebek'. Kalau Onde-onde, di negara kita dipanggil kuih rengas. Tengok, lain bukan? Apapun aku di sini dijamu macam2 makanan. Sedap. Fresh. Silap haribulan, aku balik korang tak kenal. Orang2 sini kebanyakannya gemuk2. 2 bulan tak jadi macam tu kot..

Oklah, nanti kita ketemu lagi ya!

- Cocos Island (11.10 pagi)

28 Oktober 2008

Selamat tiba

Walaupun terdapat kesulitan pada awal penerbangan kerana visa tidak disediakan agen penerbangan, alhamdulillah berkat doa semua, visa sempat disiapkan di saat-saat akhir.

Internet connection di sini limited. Jadi, kemungkinan untuk selalu update tentang keadaan di sini agak sukar. Saya selamat tiba di Pulau Kokos pada 27.10.2008 jam 6.00pagi (7.30 malam waktu Malaysia).

Masyarakat di sini sangat beradab dan suka mengamalkan solat berjemaah. Orang tua sangat disenangi dan anak muda sangat menghormati mereka. Kecil sahaja pulaunya. Cantik. Nanti ada kesempatan saya embed gambarnya, InsyaAllah.

Itu sahaja setakat ini. Kepada semua, terima kasih atas dokongan dan sokongan. Doakan semuanya baik-baik belaka. Untuk tempoh seminggu ini mungkin saya belum bertugas sepenuhnya. Sekadar mengenali dahulu.

- Home Island, Cocos Island

23 Oktober 2008

Siri Jelajah Dakwah : Pulau Kokos


"Semua urusan udah saya selesaikan," ujar Haji Adam.

Memang semuanya. Alhamdulillah, aku telah dijemput untuk berbakti di Pulau Kokos oleh Haji Adam. Semua kos ditanggung olehnya.

"Kalau boleh, saya mahu Suhail mengajar anak-anak di sini selama 3 bulan"

Eh, tak boleh rasanya. Aku akan ke Guangzhou pada Februari 2009. Takut tergesa-gesa pula. Maka, atas permintaan aku, hanya 2 bulan aku akan ke sana.

27 Oktober 2008. Isnin. Jam 10.30 pagi. Penerbangan aku ke sana telah ditempah. Dan apa yang perlu aku lakukan hanyalah bersiap sedia dan terus berbakti di sana untuk anak-anak Melayu Islam yang dahagakan ilmu-ilmu asas sebagai individu Muslim.

Di mana Pulau Kokos? Mungkin ada yang terfikir di Costa Rica. Bukan. Ia terletak di Australia walaupun kedudukan geografinya sangat dekat dengan Indonesia. [klik sini untuk informasi lanjut]

"Suhail tersilap ni. Seharusnya Suhail ke Pulau Kokos, bukan ke China"

Gurauan Haji Adam menjadi kenyataan akhirnya. Tambah pula beberapa teman rapat juga mendoakan penangguhan projek aku. Memang ada hikmahnya. Di sini aku mungkin dapat warm up dulu sebelum menempuhi cabaran yang lebih hebat untuk tempoh setahun.

Nantikan aku kembali ke Malaysia 27 Disember 2008. Jika berkesempatan, akan aku kongsikan pengalaman aku di sana dalam blog ini dan media tempatan. InsyaAllah.

Sesiapa yang ingin berhubung dengan aku, sila emel ke muhdsuhail.ahmad@gmail.com. Sebelum aku berlepas, aku mohon kemaafan kepada semua atas salah silap yang aku lakukan selama ini sama ada secara sedar atau tidak.

Doakan perjalanan dakwah aku ini sentiasa bawah bimbingan Yang Maha Esa dan dilindungiNYA dalam setiap masa dan keadaan. Aku doakan kalian juga mendapat keredhaanNYA sepertimana aku dambakan. Ameen..

22 Oktober 2008

Ahmad Ibrahim


Aku tak tidur malam tadi. Sengaja mencari klip-klip video. Lagu-lagu lama. Tak semena-mena aku dipertemukan DIA dengan klip di bawah ini. Saksikanlah.




Aku langsung tak menyangka Handyblack mencipta satu lagu khas buat Natrah. Ini menghimbau kembali kenangan aku menjadi pengarah teater Natrah di Pusat Matrikulasi UIA pada tahun 2001.

NATRAH

Kejatuhan si perawan di kota temasek...
Jeritannya yang tak bersuara
Menakluki kita semua
Hingga mencetuskan
Sengketa......

Hadiran nya adalah satu titik bencana
Tika mengorbankan ugama dan nyawa
Iya menjadi satu legenda
Terciptanya satu sejarah...

Natrah yang malang....
Nyawamu di pertaruhkan
Kezaliman pecana di patahkan

Natrah......
Nilaimu dipertahankan
Bangsamu melepaskannya
Kau bisa menyerah dan turuti

Demi menjunjung kebohongan
Sehingga kini....




Juga tak kusangka berlakunya rusuhan Natrah. Ini diceritakan panjang dalam buku sejarah Singapura. Hanya setelah 7 tahun berlalu, baru aku bertemu semua ini.

Inilah kes pertama melibatkan seorang Muslim yang murtad di Singapura. Kes ini sangat memilukan kerana kemurtadan berlaku akibat desakan keluarga kandung. Dan dari sinilah, perjuangan Artikel 121A bermula. Oleh Ahmad Ibrahim. [baca kisah lanjut di sini]

Atas jasa Ahmad Ibrahim memperjuangkan kewibawaan agama Islam, UIA meletakkan fakulti undang-undangnya sebagai Ahmad Ibrahim Kulliyah of Law. Dan baru hari ini aku benar-benar merasakan betapa sedihnya situasi yang menimpa Natrah.

Aku terus mencari kisah-kisahnya lagi. Klip video di atas sangat meruntun jiwa aku. Aku mahu kisah-kisahnya tersemat dalam diri aku agar semangat aku mempertahan agama Islam terus kental.


Akhirnya aku bertemu pula dengan laman ini. Sebuah buku tulisan Isa Kamari menceritakan kisah Natrah. Perlu kucari buku ini. Sedih mengenang nasib kita Melayu Islam yang makin hari makin dipertikaikan hak-hak kita.

21 Oktober 2008

Tak perlu gemuk kot..

Konon nak puasa, tapi tak tahan ajakan kawan untuk ke rumah terbuka. Ada sahabat yang hendak aku temui di sana.

Sebaik saja kaki melangkah masuk, bau masakan menusuk hidung. Pasti enak, bisik hatiku. Dan aku dipelawa dengan senyuman mesra penyambut tetamu. Mataku mencari-cari sahabat. Tapi aku disuruh ambil makanan dulu.

Inilah turutan makanan yang dijamah:

1) Spaghetti + daging cincang dan cendawan masak tomato

2) Sate + nasi impit + kuah kacang + timun

3) Roti jala + kuah kari ayam + rendang kambing

4) Bihun soto

5) Rojak buah + 2 tart + 2 kepingan kek yang telah dipotong

Lepas-lepas habis makan, aku mesti nak minum air. Tak cukup dengan air bandung, aku akhiri sesi makan ini dengan air teh panas.

Masuk ke dalam kereta untuk pulang ke pejabat, teman-teman tegur. Hairan aku kau harini, camana leh melantak sume tu? Eh, ye tak ye jugak. Baru aku perasan. Mm..

***

Kerja diteruskan di pejabat. Selepas maghrib, kawan ajak makan malam. Aku pesan Kuetiaw Kungfu dan 2 gelas air suam. Sambil berbual, makanan dihabiskan. Kawan aku minta keropok pula. Aku pun tumpang sekaki.

Tuut..tuut.. telefon kawanku berbunyi. 'Abg Ron ajak pergi rumahnya beraya'.. Oklah, jom tapi jangan makan kot. Minum je..

Di rumah abg Ron, aku mencuba kerusi urut OGAWA. Syok betul. Biarkan saja yang lain melantak makanan yang ada. Kan aku dah makan tadi.

15 minit berlalu. Kerusi urut berhenti. Aku ke meja makan. Tujuan ingin berborak. Dihulurkan 4 cucuk sate dan nasi impit untuk dijamah. Takpelah, jaga hati. Makan..

Isterinya pula bawa nasi tomato dan ayam masak merah. 'Jamahlah, nanti takde sape nak makan..' Alahai, kesian pulak. Takpelah, aku jamah lagi.

Air oren aku teguk agar tak tercekik. Isterinya datang lagi. Sudahlah mengandung, susah-susah pulak. Eh, air panas dia bawak. Mesti pekena ni. Mai secawan nescafe..

Lebih kurang 2 jam kami melepak rumah Abg Ron dengan gelak ketawa yang tak henti-henti. Malam semakin larut. Kami minta diri.

Dan sekali lagi, aku baru perasan yang aku makan banyak juga malam ini. Eh, macamana aku boleh makan sebanyak ini. Hairan. Hairan. Hairan.

17 Oktober 2008

Aidilfitri bersama warga ABIM

Image Hosted by ImageShack.us
Kecil-kecilan saja jamuan Aidilfitri warga kerja ABIM. Sekadar siapa yang bekerja saja dijemput. Dan pastinya yang bekerja itu ramai golongan muda. Orang muda pastinya gembira dan ceria selalu. Apatah lagi di saat-saat indah begini. Gila-gila pun iya..

Jadi, jangan terkejut kalau kami ekspresi keceriaan itu dengan cara ini. Kami juga orang biasa bukan? Normal. Haha. Maka, terhasillah gambar di bawah. Kebudak-budakan? Lantaklah..
Image Hosted by ImageShack.us

Elok kurus atau gemok?



Sebaik saja pulang ke rumah sebelum raya menjelang, aku timbang berat badan. Ya, masih kekal seperti biasa.

Setelah tiga hari beraya, aku timbang semula. Kali ini berat aku naik 7 kilo. Aku sangat gembira. Tahulah kan kenapa. Yalah, aku ini nampak kurus. Tapi itu bukan sebab utama. Sebab utamanya ialah untuk aku derma PLASMA.

Aku kemudiannya pulang ke KL pada hari Ahad lepas. Keesokan harinya terus ke Pusat Darah Negara. Jururawat suruh aku timbang berat. Apa? 53 kg? Aku hairan. Takkan lah berat aku kembali normal secepat ini?

Dalam kebosanan, aku terfikir. Aku ni kurus sangat ke? Atau aku patut lebih berisi? Gemok? Taknak lah.. tapi sekarang ni macam keding. Maka, gambar di atas pun terhasil. Mana lebih elok ek?

10 Oktober 2008

Benar ada hikmahnya tangguh

Sekejap saja DIA tunjukkan hikmahnya penangguhan projek aku. Malam tadi, aku didatangi seorang teman dari Indonesia. Hampir 2 bulan dia berada di Malaysia untuk buat kajian.

Projeknya persis projek aku. Dia ke sini atas duit sponsor. Alhamdulillah banyak perkara sudah selesai. Dia akan berangkat pulang pada 20 Oktober 2009.

Sebelum dia ke sini, dia dijanjikan duit daripada ramai penyumbang dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat. Dia dibekalkan USD500 pada awalnya. Ya, duit itu cukup untuk persiapan dan penerbangan ke Malaysia.

Untuk perbelanjaan selanjutnya apabila berada di Malaysia, dia dijanjikan bantuan kewangan oleh semua penyumbang tadi. Duit itu akan dikirimkan dari jauh.

"Tapi antum..kini saya cuba kontak semua penyumbang itu tapi tidak berhasil. Semuanya mendiamkan diri.."

Aku percaya dia. Sebab hubungan kami bukan atas dasar perniagaan atau seumpamanya yang wujud kepentingan peribadi. Masing-masing bergiat dalam kerja dakwah. Apatah lagi, dia adalah cucu kepada tokoh dakwah yang hebat di Indonesia iaitu KH Isa Ansary (anak didik HAMKA).

"Saya butuhkan RM960 untuk bayaran penginapan di sini yang perlu dilangsaikan senin besok.."

Lalu, aku usulkan cadangan kepadanya untuk meminta bantuan beberapa pihak yang aku kenali. Kata tuan guru aku, biar kita berikan pancing bukan ikan.

Namun,jauh di sudut hati, aku sangat kasihan dengan dia. Aku memikirkan bagaimana akan terjadi padaku kalau dalam keadaan begitu. Pastinya mengharapkan bantuan teman terdekat di bumi asing.

"Takpelah..kalau dah usaha nanti masih tak dapat, kontak sama saya,"ujar aku.

Nak beri pinjam duit dana yang aku ada pun serba salah. Sebabnya pernah terjadi kes kita beri pinjam, untuk dapatkan semula duit sangat sukar sebab jarak yang memisahkan. Tambah pula aku pun memerlukan duit.

Apa pendapat kalian?

p/s: bersyukur kerana aku juga dijanjikan sebegini apabila berada di China tempohari untuk dapatkan wang buat belanja diri dan pengajian di sana tapi duit itu masih belum pasti berada di tangan.

09 Oktober 2008

Inilah yang terbaik

Aku hanya tinggal 24 jam sahaja untuk ke China. Jumaat hari terakhir untuk aku. Flight jam 5.45 pagi. Aku masih belum beli tiket. Visa juga belum siap.

Malam ini juga aku perlu buat keputusan. Teruskan pergi atau tunda dahulu. Duit masih belum mencukupi. Tempoh buat visa sangat singkat. Duit untuk visa boleh lepas ni. Pasport baru pun dah siap.

Nak beli tiket. Duit masih dalam proses transfer. Untuk beli tiket pun lepas tapi jam 5.00 petang baru boleh beli. Maknanya tinggal 12 jam untuk aku kemudiannya bergegas pulang ke Melaka, bersiap dan bertolak ke LCCT.

Aku tunggu duit ada dalam akaun aku. Masih belum ada. Jam menunjukkan pukul 2.00 petang. Visa pula tidak dapat diuruskan segera. Kalau mahu, perlu bayar lebih. Duit masih belum ada dalam akaun.

Tergesa-gesa. Ini sangat membimbangkan aku. Ini bukan pergi melancong, sekejap.. ini projek setahun. Perlukan persiapan rapi dan teliti. Kalau aku nak terus pergi, boleh juga. Tapi sangat tergesa-gesa.

Aku dapatkan pendapat dan nasihat beberapa teman khususnya pengerusi aku. Hati aku tiba-tiba berdebar dan sangat berat untuk tidak pergi sekarang. Aku rasakan lebih baik aku tunda projek ini. Yang penting ia menjadi, karang tergesa-gesa macam-macam masalah pula.

Akhirnya, aku pun membuat keputusan. Ya, aku perlu tunda. Inilah yang kurasakan terbaik pada waktu ini. Februari 2009, tarikh gantian. Empat bulan ini juga membolehkan aku mencari lagi dana agar projek dapat berjalan lancar.

Aku pasti banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik semua ini..
p/s: Kepada semua yang membantu, terima kasih dan mohon maaf kerana tidak sempat memulakan misi seperti yang dirancang

03 Oktober 2008

Salam Aidilfitri


Benar dugaan sepanjang Ramadhan adalah spiritual training yang perlu kita tempuhi. Sama ada sedar atau tidak, ia mampu menghasilkan kesan hebat dalam diri.

Maka, perginya Ramadhan menjadi petanda bahawa kita sudah kental. Sepatutnyalah. Tanya diri sendiri untuk tahu jawapan sebenar.

Aku, diuji dengan pelbagai rintangan. Khususnya dalam memastikan projek China aku ni berjaya. Baru-baru ini ujian besar aku hadapi. Pasport aku hilang. Entah mengapa ia hilang bersama-sama songkok aku. Puas mencari. Buntu.

Aku berdoa agar Allah berikan yang terbaik. Bukan semestinya perginya aku tepat 9 Oktober ini adalah yang terbaik. Mungkin jika dilewatkan masa itu adalah yang terbaik. Wallahua'lam.. mana tahu jika pergi pada tanggal itu aku ditimpa bahaya. Biarlah DIA menentukan yang terbaik.

Halangan-halangan yang aku lalui aku rasakan sebagai training yang perlu aku ikuti sebelum berjumpa dengan pelbagai cabaran yang lebih besar dan sukar dalam meneruskan projek ini. Syukur alhamdulillah aku diuji.

Setelah selesai urusan gantian pasport di Imigresen, keesokan harinya aku pun bergegas pulang ke kampung. Masih teringat kata pegawai imigresen, pasport hanya dapat disiapkan sebulan lagi. Sedangkan aku akan bertolak lagi seminggu. Macamana ni? Aku serahkan pada DIA.

Setibanya di Melaka, aku gembira bertemu ahli keluarga untuk menyambut Aidilfitri mulia. Ramai memberi ucapan raya padaku. Hari raya kali ini tidak begitu ingin aku sambut. Entah kenapa rindu sangat pada Ramadhan. 11 bulan mendatang belum tentu membuatkan aku seteguh sebulan lalu.

Aku belajar dalam sebulan lepas untuk terus berkeadaan tenang walau apapun yang berlaku. Namun, ketenangan itu nikmat yang sukar dikecapi tanpa pengikatan kukuh pada taliNYA.

Dalam kesempatan ini, aku ingin memohon kemaafan atas segala salah silap yang disengajakan atau tidak kepada semua yang mengenaliku secara langsung atau maya (melalui blog ini).

Doakan yang terbaik buatku sepertimana aku juga mendoakan kalian sebegitu. Salam Aidilfitri 1429H. Semoga dapat ditemukan dengan Ramadhan akan datang.



Boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia tidak baik untuk kamu dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untuk kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahui..

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular