05 Disember 2006

Peguam : Profesion Berdosa

Aku malas hendak jawab soalan lazim yang ditanya kebanyakan orang berkenaan peguam dalam nada dan rentak yang biasa. Biar aku jawab dengan caraku sendiri. Cara dan kefahaman aku.

Macam-macam tuduhan dan pandangan sinis kepada profesion peguam semakin lama sebenarnya semakin pudar. Itu tanggapan orang dulu-dulu. Tapi, mereka inilah orang-orang tua, rujukan kita. Maka, hendak atau tidak, pasti sinis nasihat mereka.

Biar aku mulakan dengan kisah Nabi besar junjungan mulia. Suatu hari baginda didatangi dua orang yang bertelingkah tentang satu perkara. Masing-masing mengadu dan berhujah di hadapan baginda. Seorang tu petah bercakap dan seorang lagi tidak bersifat demikian. Maka, baginda berkata, "Aku bimbang untuk memberikan keputusan atas pertelingkahan kamu berdua kerana takut-takut aku terpengaruh dengan kata-kata seorang yang petah lalu menidakkan keadilan kepada seorang yang kurang bicaranya."

Dari sinilah, para fuqaha' (cendekiawan islam) meletakkan hukum HARUS profesion peguam. Sebabnya peguam dilatih untuk memahami undang-undang. Jadi, dalam mewakili anak guamnya, dia lebih arif tentang cara-cara penghujahan yang sempurna berbanding anak guam itu sendiri. Sekaligus membantu sistem keadilan berjalan lancar.

Sekali imbas, tak salah jika dituduh profesion peguam terlibat dengan dosa. Ada benarnya. Bahkan, harus diingat, hampir semua profesion boleh terlibat dengan dosa. Sama juga semua profesion itu boleh terlibat dengan pahala. Maksud aku, tiada satu profesion pun yang nyata dan jelas terlibat dengan dosa secara total melainkan bersangkut paut dengan maksiat, seperti pelayan bar, pekerja kilang Carlsberg, pelacur, peniaga vcd lucah, dan pembunuh upahan.

Aku suka buat sesuatu yang menggembirakan orang lain. Dan ini adalah antara profesion sebegitu. Bayangkan betapa seronoknya anda membantu seorang isteri yang dianiaya suami. Atau menyaman orang demi memberi pengajaran kepada orang yang disaman agar tidak melakukan kesilapan sama lagi seperti mengeluarkan kenyataan yang memalukan orang lain. Atau membantu menyelesaikan pertikaian dua orang atas sesuatu harta. Dan sebagainya..

Bukankah tugas peguam adalah PEMUDAHCARA bagi orang lain ke arah sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan?

Ohh maksud anda tentang membela penjenayah? Masih tidak ada masalah. Peguam bertindak atas maklumat yang diberikan. Jika benar apa yang disampaikan, maka benarlah kita. Jika salah, begitu juga salahnya peguam. Tapi, peguam yang tidak tahu akan pembohongan itu, dan dia percaya atas apa yang disampaikan, maka apakah salahnya dia? Logik akal pun kata tak salah.

Namun, sebagai seorang peguam, anda harus mengkaji kesahihan apa yang disampaikan mengikut keupayaan anda. Macamana kelentong baik punya, tetap ada lubang. Maknanya, peguam boleh tahu benar atau tidak perkara yang disampaikan setelah mengkaji. Tindakan peguam juga berpandukan undang-undang dan bukti. Di sinilah timbulnya pilihan, sama ada ingin mengambil kes itu atau sebaliknya.

Inilah juga titik tolak dosa dan pahala. Andainya anak guam sudah mengaku merogol seseorang di depan peguam tapi mahukan peguam membelanya dalam mahkamah dengan mengatakan dia tidak merogol orang tersebut, jelaslah dia bersubahat dan menipu. Maka, berdosalah dia.

Si peniaga yang menipu dalam timbangan pun berdosa. Sama juga dengan guru yang buat-buat pandai apabila menjawab soalan anak murid yang dia sebenarnya tak tahu jawapannya. Begitu juga dengan pegawai kastam yang melepaskan trak membawa muatan terlarang selepas dirasuah. Iya, si peniaga madu yang mencampurkan madu dengan air pun berdosa. Sama seperti pengawal keselamatan yang membenarkan rakan merompak di tempat yang dikawalnya. Banyak lagi la contoh lain...

Tengok! Semua itu adalah pilihan kita. Soal dosa dan pahala ini kan pilihan kita. Ke kiri jalan yang dipilih, begitulah jalan yang dilalui. Ke kanan jalan yang dipilih, maka ke kanan la kita.

Kalau memang dia tak mengaku, apa salah kita membantunya? Ingat, kita membantu keadilan tercapai. Keputusan di tangan hakim, bukan kita. Kalau dibiarkan dia membela dirinya sendiri, dia mungkin tak dapat menyatakan keadaan sebenar setanding pendakwaraya yang cukup dengan bahan-bahan yang lengkap. Tambah pula, keadaan dalam mahkamah menggerunkan si tertuduh untuk berkata-kata. Bagaimana andainya dia sememangnya tidak bersalah tetapi disebabkan tidak dapat berhujah dengan baik menyebabkan dia dihukum?

-----

Tentang undang-undang di MMU, aku tiada maklumat mengenainya. Warga MMU, tolong respon. Setakat yang sedia maklum, produk tempatan yang melahirkan peguam ialah UIAM,UiTM,UM,dan UKM. Sesiapa ada tambahan, tolong respon ya.

Akhir kata, ingatlah pada satu kaedah fiqh "Asal kepada sesuatu perkara itu adalah HARUS melainkan sesuatu yang diharamkan". Maka, cuba kita elakkan daripada melabelkan ini SALAH, itu BERDOSA, itu HARAM... apabila tiada suatu dalil (hujah daripada sumber hukum Islam) mengharamkannya.

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular