29 Jun 2009
Masih belum sempat
Maaflah tak sempat nak buat apa-apa untuk blog ni.
Aku sedang sibuk dengan macam-macam.
Ada exam.
Nak pindah rumah (dah tak duduk asrama.. yes!!!).
Jumpa ramai orang.
Sedang merancang banyak perkara.
Maaflah ibu ayah dan lain-lain..
Tak sempat nak telefon.
Maaflah AM dan KAMIL..
Award yang korang beri belum sempat aku embed.
Tambah pula tak boleh kemaskini layout
SELEPAS INI..
Aku akan lebih aktif..
Aku perlukan respon ramai..
Aku akan buka PELUANG turut serta menjadi ahli Grup China (sesiapa pun layak..)
Aku ada SESUATU.. Mmm..
TUNGGUUUUUUU!
20 Jun 2009
Andai aku mati esok
Malam ini aku tergerak mengunjungi blog orang. Dalam pengembaraan blog, aku terjumpa blog Muhammad 'Ammar Zulkifli. Kenal siapa dia? Aku juga tak kenal pada mulanya. Tapi setelah aku membaca entrinya, rupa-rupanya dia ialah mangsa kemalangan yang dilaporkan Berita Harian pada 14 Jun 2009.
Setelah membaca mengenainya, aku rasa terharu dengan siapa dirinya. Dalam blog saudaranya (mizjana) ini, kisah mengenainya dipaparkan. Aku cemburu dengan semangat dakwah yang sebati dalam dirinya. Hari-hari yang dilaluinya menjadikan setiap saat itu demi DIA yang Maha Esa.
Tahniah diucapkan kepada keluarganya yang telah dianugerahkan seorang anak yang jiwa mudanya telah sedar akan tanggungjawabnya sedang ramai seusianya masih berseronok menikmati zaman muda. Pemergiannya dalam keadaan jiwa yang subur dengan ruh Islam sangat membuatkan aku rasa kerdil.
Aku tak tahu entah esok aku mati. Atau lusa. Atau tulat. Atau bila? Sengaja Allah rahsiakan supaya DIA dapat tahu siapakah antara hamba-hambaNYA yang benar-benar bertaqwa kepadaNYA.
Ya Allah, hidup aku belum cukup untuk aku kemukakan kepadaMU akan bukti-bukti usahaku menyebarkan rahmatMU..
Ya Allah, aku masih bersenang lenang dalam melayani kehendak nafsuku..
Ya Allah, jadikanlah aku pejuang agamaMU..
Ya Allah, aku ingin matinya aku penuh dengan kepuasan melunaskan tanggungjawab yang KAU amanahkan..
Kepada semua yang mengenaliku, ampunilah dosa-dosaku yang lalu. Aku cemburu kepada Ammar yang kata dan tindakannya terasa manis oleh orang sekelilingnya. Moga aku diberi kekuatan untuk mencontohi mujahid Ammar.
What you give you get back
Sejak sekolah menengah dulu, aku selalu cakap sendiri. Hah, mesti korang ingat aku schizophrenia kan? Hahaha. Bukan. Aku suka toleh belakang kepada peristiwa yang melanda diri.
Bila aku perhatikan betul-betul dan kaitkan dengan apa yang aku tempuhi selepasnya, aku dapat rasakan sesuatu. Mungkin ramai juga orang yang dapat rasa begini.
Aku dapat rasakan hidup ini dalam aturan yang tetap. Allah dah siapkan jadi begini dan begitu. Untuk apa jadi begini, kita mungkin tak tahu waktu tu. Tapi selepas lama kemudian baru kita tahu sebabnya.
Baru-baru ini aku sangat marah dengan seorang individu. Dia membuatkan aku hilang percaya pada dia. Dia bukan calang-calang tokoh. Ya, mungkin ini kesilapan pertama dia terhadap aku, tapi kesilapan ini adalah diSENGAJAkan.
Tambahan pula, dia tidak merasa bersalah atas kesilapan dia. Bahkan dia mengambil enteng hal yang diamanahkan dengan JELAS menyatakan keMALASan dia mengambil kisah hal aku.
Aku maafkan dia tapi aku jadi hilang percaya kepada dia. Dan hari ini, aku rasa teringin menonton Wanita Hari Ini (WHI). Aku pun bermonolog saat menontonnya. Kan aku dah kata, ini aturan yang dirancang Allah.
“Nilaian (setelah mengenali seseorang) tu kalau tak kena dengan apa yang kita nilai, maka itu akan menimbulkan keraguan dan … menghilangkan kepercayaan”
Benar kata Ustaz Jazlan dalam segmen WHI bertajuk Hilang Kepercayaan. Penilaian awal aku terhadapnya memang sangat baik, namun akhirnya ia semakin pudar akibat aku semakin kenal dirinya.
Memang betul ustaz kata, untuk dapat kepercayaan, hendaklah beri kepercayaan. Ini adalah amanah. Memang aku sudah beri kepercayaan kepada dia sejak awal dulu. Tapi rupa-rupanya dalam diam, dia pernah beritahu yang dia tak percayakan sesiapa pun. Termasuklah aku.
“Jaga-jaga dengan Suhail tu. Dia dihantar..”
Maka, apakah wajar aku tak percayakan dia hari ini? Apa patut aku lakukan? Aku tak berdendam pun dengan dia, cuma apa yang berlaku membuatkan aku perlu lebih berhati-hati dengan dia.
What you give you get back. Kumpulan SCORPION yang kafir itu pun mengakui konsep erti hidup pada memberi (pinjam tagline Ustaz Hasrizal..hehe). Nak cinta, berikan cinta. Nak kepercayaan, berikan kepercayaan.
Atas nama Allah Yang Maha Agung lagi Berkuasa atas Makhluknya, aku tegaskan di sini aku hanya dididik oleh ABIM/GPTD untuk berkhidmat demi Allah semata-mata. Tak terlintas untuk menjadi popular. Apatah lagi untuk bertanding dalam arena politik. Atau sebagainya lah..
Jika Allah beri yang lain-lain itu, ia adalah bonus. Inilah pesan yang selalu sahaja diingatkan selama lebih 5 tahun aku berkecimpung dalam arena dakwah. Pantang usrah, pasti perkara niat dan ikhlas menjadi pemula bicara.
Tujuan aku berkongsi kisah ini sekadar memberi peringatan kepada kita semua bahawa setiap yang berlaku di sekeliling kita adalah dalam aturanNYA untuk mendidik kita menjadi lebih ikhlas dalam hidup. Marilah kita cari ilmu ikhlas. Aku tahu bukan mudah.
Moga Allah tetapkan niat aku dan lorongkan aku ke jalan yang diredhaiNYA.. Ameen.
18 Jun 2009
Sorotan seminggu
Maaflah sebab lama tak kemaskini blog. Sibuk sikit. Berikut adalah sorotan seminggu lalu:
1) Ada respon daripada beberapa pemblog kritik tentang paparan dan isi blog aku
Butiran : Maaflah layout blog langsung tak dapat dikemaskini dari China. Entri pun aku pos dari emel. Isi blog aku nampak serius? Oh, ye ke?
2) Dapat panggilan dari Pulau Kokos
Butiran : Mereka inginkan aku ke sana lagi. Katanya sukarelawan GPTD yang sekarang berada di sana akan tamat tempoh. Aku kata belum boleh. Wak Udin (orang tua berusia 70-an) asyik cakap rindu kat aku. Waduh.. bagaimana ya?
- Buat pengetahuan semua, Wak Udin ni orang yang sangat susah nak dengar taklimat agama sejak tuan gurunya meninggal lebih 20 tahun. Alhamdulillah kedatangan aku dulu diterimanya dengan hati terbuka. Walaupun buta huruf dan kurang sihat, dia tetap bersemangat datang ke kelas. Gelak ketawanya selalu menghiburkan. Soalan yang biasa ditanya sedang aku asyik mengajar ialah:
"Pak ustad, apa pak ustad tak rindu sama mambang?"
Hehe..
3) Hujan setiap hari
Butiran : Saban hari hujan turun renyai dan lama. Pakaian yang disidai pun ambil masa 3 hari untuk kering. Moga Malaysia juga diturunkan hujan bagi mengurangkan bahang panas yang melanda.
4) Aku perlukan SEORANG sukarelawan di sini
Butiran : Aku telah memikirkan betapa pentingnya penguasaan Bahasa Mandarin dari segi pertuturan, penulisan dan pembacaan. Terdapat sumber-sumber tulen berkenaan perkaitan Tanah Melayu dan China sewaktu zaman terdahulu dan banyak lagi. Tahukah anda sebelum zaman Cheng Ho pun sudah ada kamus BM - Cina yang dikarang orang Cina sendiri?
- Lepasan SPM yang berminat untuk kuasai Bahasa Mandarin dengan semangat kesukarelawanan yang tinggi dan berwawasan tinggi demi menyebarluas rahmat Ilahi diperlukan (untuk ambilan bulan FEB 2010) :: Sila emelkan ke muhdsuhail.ahmad@gmail.com
- Namun untuk itu, aku juga perlukan sesiapa yang berkesanggupan menaja kos pembelajaran sukarelawan ini selama 4 tahun di sini bawah pemantauan aku secara peribadi.
[Temuduga akan dikendalikan GPTD terlebih dahulu]
5) Peperiksaan akhir semester menjelang tiba
Butiran : 30,31 Jun dan 1 Julai 2009 adalah tarikh peperiksaan akan diadakan.. doakan ya!
12 Jun 2009
Melayu yang mekar di China: Bahasa dan Budaya (Entri 4)
Inilah Cina Melayu. Kalaulah boleh dikatakan begitu. Bukan apa, mereka ini belajar Bahasa Melayu di Beijing. Berbangsa Cina totok namun berbicara Melayu dan berbudaya Melayu.
Memang benar bahasa pasti secara sedar atau tidak membawa budayanya sekali ke dalam jiwa penuturnya. Masakan berani aku cakap begitu kalau aku tak pernah melihatnya.
Bukan kali ini saja. Sebelum-sebelum ini aku juga punya ramai teman yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa percakapan harian di rumah. Kali ini apabila aku bertemu dengan Cina Melayu, ia mengukuhkan hipotesis aku.
"..tidak salah untuk kuasai Bahasa Inggeris tapi jangan sampai menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di rumah," kata Prof Wu Zong Yu dalam membentangkan kertas kerjanya bertajuk Kedegilan Dalam Memperjuangkan Bahasa Melayu.
Orang Cina dikenali sebagai orang yang kasar. Kelembutannya dalam berbicara atau bertindak tak setinggi nilainya Melayu. Contoh :
(1) Anda dicampakkan duit baki bersama tiket yang dibeli oleh jurujual
Reaksi Melayu : Kurang ajar betul dia ni!
- ini tidak salah bagi orang Cina
(2) Bercakap dengan kuat dan terjerit-jerit
Reaksi Melayu : Ish, cakap macam lah orang tu jauh sangat.. Bingit telinga aku!
- ini normal bagi orang Cina
(3) Bertanya kepada kita tanpa senyum atau nada keras
Reaksi Melayu : Sombongnya dia..
- ini takkan mengguris hati orang Cina
Maka, apabila aku bertemu dengan Cina Melayu, aku jadi terpegun melihat mereka jadi Melayu. Cakapnya sopan. Bertindak juga sopan. Siap ada malu-malu kucing lagi. Hehehe.
Kata mereka, Bahasa Melayu dan budayanya sangat indah. Mereka sangat suka pelajarinya. Jadi, tidak hairanlah Prof Wu sangat gigih perjuangkan Bahasa Melayu sedangkan dia tiada kaitan langsung dengan darah atau keris Melayu (kenapa keris? Ngee..) Bahkan bumi Malaysia tak pernah dipijaknya.
Kita orang Melayu, darah Melayu, keris Melayu, dilahirkan di Tanah Melayu/Malaysia.. zenmeyang (bagaimana)?
11 Jun 2009
Melayu yang mekar di China: Budaya Membaca (Entri 3)
Sudah lama aku tak dapat meneruskan budaya membaca seperti yang telah diterapkan sewaktu aktif dengan PKPIM-ABIM di Malaysia. Ini disebabkan sukar untuk dapatkan bahan bacaan berbahasa Melayu atau Inggeris di Guangzhou.
Tapi tidak di Beijing. Kerana itulah aku beli 5 buah buku (seperti dalam gambar). Walaupun buku-buku ini berkualiti rendah, isinya yang lebih penting. Harga RM7 bagi setiap buku yang dijual membuatkan aku 'murah hati'.
Setiap kali aku melintas terowong bawah tanah di depan BFSU, pasti aku singgah di longgokan buku murah ini. Hajat di hati ingin beli lagi, tapi aku bimbang tiada ruang untuk aku bawa balik ke Guangzhou.
Teringat kenangan sewaktu di Jakarta. Buku-buku murah dijual di tepi jalan dengan kualiti yang baik. Bila saja aku menatap banyaknya buku-buku seperti ini, aku selalu mengharapkan diri ini kaya agar lebih banyak buku dapat dibeli.
Kekayaan itu perlu bukan untuk itu saja, bahkan tempat untuk meletakkan buku juga perlu ada. Juga untuk mengangkut buku-buku dari satu tempat ke satu tempat.
Aahh, tak apalah, yang penting kita kaya ilmu, pengalaman dan budi. Jika kekayaan materi dibekalkan Tuhan, itu adalah bonus untuk mengkayakan lagi ilmu, pengalaman dan budi.
Datuk saudara aku disarankan untuk banyak membaca bagi elakkan nyanyuk. Benarlah kata doktor itu. Datukku itu dah tua tapi tak nyanyuk. Cuma masalahnya dia kini sangat bersemangat menentang kezaliman/ketidakadilan sehingga dia terlupa kudratnya lemah untuk turun berdemonstrasi menentang PPSMI.Hehe..
Jika ada sesiapa yang ingin menderma buku kepada aku, silakanlah. Aku dahagakan buku..
09 Jun 2009
Melayu yang mekar di China: Budaya Satu Hati (Entri 2)
"Ada sekali tu, kami pelajar Malaysia saja yang shopping kat Carrefour," Harith bercerita dengan ekspresi seronok bukan kepalang.
Bukan apa, mereka sangat susah nak ke sana disebabkan tempat itu biasanya penuh sesak dengan rakyat Cina. Hanya kali ini mereka berpeluang disebabkan tiada seorang pun pelanggan Cina yang membeli-belah.
Pelik bukan? Beijing yang mempunyai 13 juta orang penduduk telah akur kepada protes aktivis agar produk Perancis diboikot.
Ini disebabkan protes pro-Tibet sewaktu larian obor Olimpik 2009 di Paris dan dakwaan bahawa Perancis menyalurkan dana bantuan kepada Dalai Lama.
Kami pelajar Malaysia sangat hairan bagaimana rakyat Cina boleh satu hati dalam sebarang gerakan yang dilancarkan oleh kerajaan.
Mereka tak berdengki dalam berniaga walaupun kedai-kedai sepanjang 2 km menjual barangan yang sama. Jika barang jualannya habis, jiran sebelahnya pula tolong berikan barangnya dahulu. Tidak pernah kami nampak mereka 'curi' pelanggan.
Semangat inilah yang perlu kita contohi. Aku masih ingat lagi boikot anti-US atas sebab yang sama seperti kes China tadi. Ramai bermentaliti kita kecil, masakan boleh beri kesan kepada US. Hmmm..
Kalian juga perlu tahu, sewaktu Olimpik di Beijing menjelang, China dihina kerana pencemaran udara yang teruk. Namun, tindakan mereka tak sampai setahun sangat memberikan kesan.
Masyarakat Beijing sangat satu hati dalam menjaga kebersihan. Sewaktu aku ke sana tempohari, Beijing benar-benar indah dan tenang. Langitnya cerah, tiada lagi jerebu. Persekitaran kemas dan bersih.
Kata pensyarah salah seorang temanku di Guangzhou, masyarakat Beijing dulu tidaklah 'bertamadun' seperti sekarang. Namun, disebabkan Olimpik, terlalu banyak perubahan berlaku.
Aku bagaikan tak percaya masyarakat Cina Beijing lebih beradab daripada di Guangzhou. Pemanduan yang berhemah dan pertuturan yang tidak 'terjerit-jerit'. Jarang dengar bunyi orang berkahak dan berludah.
Apabila menaiki subway, kebanyakan penumpang suka membaca. Sepanjang 5 hari aku di sana, tak pernah aku nampak pasangan melekap dua 'belangkas'. Jika di Guangzhou, ia bagaikan latarbelakang pemandangan alam yang biasa.
Begitulah hebatnya perubahan yang digerakkan oleh satu hati sesama anggota masyarakat. Aku yakin perjuangan Bahasa Melayu akan dapat berjaya jika kita satu hati. Tak cukup hanya Satu Malaysia. Marilah kita juga berSatu Hati.
08 Jun 2009
Melayu yang mekar di China (Entri 1)
"Hello, Assalamualaikum Musa! Saya Suhail dari Guangzhou..." aku memulakan perbualan.
"Hello.. Oh, En Suhail. Maafkan saya kerana kesibukan.. tak dapat menjemput En Suhail. Tapi tidak mengapa, saya sudah minta Hali dan Amali datang menjemput En Suhail di lapangan terbang nanti," Musa menjawab dengan fasih.
Untuk tidak membuang masa, aku singgah ke kedai buku. Lantas buku Inggeris tentang China aku beli untuk rujukan. Bukan mudah untuk dapatkan buku Inggeris di Guangzhou.
Harith (namanya Cinanya Hali) dan Amali (pelajar program pertukaran UM - BFSU) pun tiba tak lama kemudian. Aku dibawa mereka menaiki bas menuju ke BFSU. Banyak perkara kami bualkan. Pastinya fokus aku kepada Muslim di Beijing. Aku terkejut mendengar fakta bahawa terdapat 72 buah masjid sekitar Beijing. Bukankah ini petanda ramainya umat Muhammad di sini?
Harith turut menceritakan tentang pengalamannya bersama keluarga angkat Muslim. Sebagai pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia, mereka mendapat perhatian lebih daripada yang lain. Semua pelajar pasti diberikan keluarga angkat Muslim oleh BFSU agar kehidupan mereka di sini tidak kekok, dan amalan agama dapat diteruskan dengan baik.
Aku lapar dan kami makan bersama di warung makan Muslim berdekatan. Di sini juga aku dapati adanya budaya 'mapley' iaitu makan di ruang terbuka, satu budaya yang biasa di Malaysia, tapi tidak di Guangzhou. Bila ada 'mapley', berbual sampai tak sedar masa berlalu.
Musa, dia bukannya Muslim. Aku memberi salam kepadanya kerana beranggapan dia seorang pelajar Cina Muslim. Rupa-rupanya semua pelajar Cina yang mengambil jurusan Pengajian Melayu hendaklah mempunyai nama Melayu. Sama seperti aku yang mempunyai nama Cina.
Mereka seharusnya menjiwai pengajian Melayu itu bukan sekadar pada bahasanya, bahkan juga adat dan budaya. Tidak hairanlah jika anda berbicara dengan mereka, anda dapati adab kesopanan mereka agak tinggi mengalahkan generasi muda Melayu di Malaysia.
Persidangan kali ini dihadiri oleh hampir 200 orang peserta dari Malaysia (UiTM, UPM, USM, UMK, UM, UKM, DBP, UPSI), Korea, Singapura, Rusia, dan Thailand. Terdapat 69 pemakalah yang berkongsi dan bertukar ide. Pelbagai isu yang dibincangkan yang rata-rata menambahkan kesedaran sedia ada tentang kepentingan Bahasa Melayu yang semakin dilupakan.
Siapa sangka dalam diam, aku ditegur oleh seorang yang tak aku kenali. En Azhar, seorang pemakalah dari USM menegurku kerana mengenali GPTD. Langsung kami menjadi akrab atas kerana pertalian dakwah. Usaha aku di China mendapat sokongannya dan kini pasti kisah aku juga dijaja di Malaysia dengan gambar bersamanya sebagai bukti pertemuan.
Aku sangat suka jika ada orang yang sudi mengikut jejak langkah aku ke sini. Bahkan aku sedang berkira-kira untuk membuka peluang kepada para pembaca blog yang setia untuk menjadi pembantu aku dalam usaha ini. Aku telah nampak 'jalan' untuk kita terus maju. Bagi sesiapa yang masih muda, sangat digalakkan. Jika ada lepasan SPM yang masih belum ada perancangan, mungkin boleh mempertimbang untuk ke China. Ayuh!
Gambar 1 : Sedang makan bersama Harith (kiri) dan Amali (kanan) sebaik saja tiba di BFSU
Gambar 2 : Para peserta yang menghadiri persidangan
Gambar 3 : Bersama mantan YDP ABIM Perak yang turut menjadi pemakalah
02 Jun 2009
Beijing Bumi Pejuang Bahasa
[Sila ke laman http://malay.cri.cn/781/2009/03/09/24s96096.htm# untuk maklumat lanjut]
Terima kasih aku ucapkan kepada penyumbang budiman yang telah memberikan bantuan dana kepada aku untuk mengikuti persidangan ini. Maaf aku tak dapat kongsikan dengan terperinci tentang pengalaman ini disebabkan kesuntukan masa dan akses internet yang terhad buat masa ini.
Apa yang penting, aku rasa cukup seronok dapat bertemu bukan sahaja warga China yang fasih berbahasa Melayu, bahkan warga Korea, Rusia, Brunei, Singapura, Thailand dan Malaysia. Kami umpama saudara sedarah sedaging apabila Bahasa Melayu menjadi asas komunikasi.
Bersyukur dapat berkenalan dengan tokoh pejuang bahasa Melayu yang memelihara kamus pertama Melayu dalam bahasa Cina yang diperintahkan Laksamana Cheng Ho untuk dibaca dan dikuasai oleh anak-anak kapalnya ratusan tahun sebelum pelayaran bermula.
Kini aku bercadang bertemu dengan tokoh pejuang Bahasa Melayu yang merupakan generasi Laksamana Cheng Ho ke-70 yang diperkenalkan kepada aku kelmarin. Masih banyak informasi yang hendak digali.
Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik
Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...
Popular
-
Mula-mula aku berasa sakit yang tak tertahan pada geraham bongsu yang dah lama di menyempit di hujung rahang kanan. Memang malam itu langsun...
-
Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...
-
Kepada semua pembaca blog sama ada kenalan baru dan lama, anda dijemput hadir ke Majlis Perkahwinan saya yang akan diadakan di Jitra, Kedah ...