08 Jun 2009

Melayu yang mekar di China (Entri 1)

Setibanya di Beijing, aku mencari-cari orang yang dikhabarkan akan menjemput aku. Namun, tiada kelibat langsung. Aku terus mendail nombor seorang pelajar Cina di Beijing Foreign Studies University (BFSU), tempat di mana Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2009 diadakan.

"Hello, Assalamualaikum Musa! Saya Suhail dari Guangzhou..." aku memulakan perbualan.
"Hello.. Oh, En Suhail. Maafkan saya kerana kesibukan.. tak dapat menjemput En Suhail. Tapi tidak mengapa, saya sudah minta Hali dan Amali datang menjemput En Suhail di lapangan terbang nanti," Musa menjawab dengan fasih.

Untuk tidak membuang masa, aku singgah ke kedai buku. Lantas buku Inggeris tentang China aku beli untuk rujukan. Bukan mudah untuk dapatkan buku Inggeris di Guangzhou.

Harith (namanya Cinanya Hali) dan Amali (pelajar program pertukaran UM - BFSU) pun tiba tak lama kemudian. Aku dibawa mereka menaiki bas menuju ke BFSU. Banyak perkara kami bualkan. Pastinya fokus aku kepada Muslim di Beijing. Aku terkejut mendengar fakta bahawa terdapat 72 buah masjid sekitar Beijing. Bukankah ini petanda ramainya umat Muhammad di sini?

Harith turut menceritakan tentang pengalamannya bersama keluarga angkat Muslim. Sebagai pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia, mereka mendapat perhatian lebih daripada yang lain. Semua pelajar pasti diberikan keluarga angkat Muslim oleh BFSU agar kehidupan mereka di sini tidak kekok, dan amalan agama dapat diteruskan dengan baik.

Aku lapar dan kami makan bersama di warung makan Muslim berdekatan. Di sini juga aku dapati adanya budaya 'mapley' iaitu makan di ruang terbuka, satu budaya yang biasa di Malaysia, tapi tidak di Guangzhou. Bila ada 'mapley', berbual sampai tak sedar masa berlalu.

Musa, dia bukannya Muslim. Aku memberi salam kepadanya kerana beranggapan dia seorang pelajar Cina Muslim. Rupa-rupanya semua pelajar Cina yang mengambil jurusan Pengajian Melayu hendaklah mempunyai nama Melayu. Sama seperti aku yang mempunyai nama Cina.

Mereka seharusnya menjiwai pengajian Melayu itu bukan sekadar pada bahasanya, bahkan juga adat dan budaya. Tidak hairanlah jika anda berbicara dengan mereka, anda dapati adab kesopanan mereka agak tinggi mengalahkan generasi muda Melayu di Malaysia.

Persidangan kali ini dihadiri oleh hampir 200 orang peserta dari Malaysia (UiTM, UPM, USM, UMK, UM, UKM, DBP, UPSI), Korea, Singapura, Rusia, dan Thailand. Terdapat 69 pemakalah yang berkongsi dan bertukar ide. Pelbagai isu yang dibincangkan yang rata-rata menambahkan kesedaran sedia ada tentang kepentingan Bahasa Melayu yang semakin dilupakan.

Siapa sangka dalam diam, aku ditegur oleh seorang yang tak aku kenali. En Azhar, seorang pemakalah dari USM menegurku kerana mengenali GPTD. Langsung kami menjadi akrab atas kerana pertalian dakwah. Usaha aku di China mendapat sokongannya dan kini pasti kisah aku juga dijaja di Malaysia dengan gambar bersamanya sebagai bukti pertemuan.

Aku sangat suka jika ada orang yang sudi mengikut jejak langkah aku ke sini. Bahkan aku sedang berkira-kira untuk membuka peluang kepada para pembaca blog yang setia untuk menjadi pembantu aku dalam usaha ini. Aku telah nampak 'jalan' untuk kita terus maju. Bagi sesiapa yang masih muda, sangat digalakkan. Jika ada lepasan SPM yang masih belum ada perancangan, mungkin boleh mempertimbang untuk ke China. Ayuh!

Gambar 1 : Sedang makan bersama Harith (kiri) dan Amali (kanan) sebaik saja tiba di BFSU
Gambar 2 : Para peserta yang menghadiri persidangan
Gambar 3 : Bersama mantan YDP ABIM Perak yang turut menjadi pemakalah

3 ulasan:

ahmadsaad berkata...

salam anakanda Suhail,

Seronok hadir persidangan ini ya, dapat pula bertemu dengan peserta-peserta dari Malaysia dan lain negara. Tentu semuanya bertutur dalam bahasa Melayu.

Nampak benar bersungguh orang-orang China bukan setakad bahasa yang dipelajari sehingga nama dan budaya sekali. Mungkin dengan cara begitu lebih mudah dan berkesan. Alhamdulillah syukur kerana dipertemukan Allah dengan orang yang kenal GPTD. Sudah tentu bertambah mudah segala urusan.

Insya Allah mungkin ada anak-anak muda yang ingin menyertai program ini.

nadmin berkata...

Salam Suhail..
Baru-baru ni ada pegawai MITI yang ke China kerana berkursus di sana..dan ada yang akan dihantar ke Beijing nanti sebagai penasihat ekonomi..dan sesiapa yang mempunyai asas mandarin mempunyai kelebihan..

nampaknya aku terlepas la..hehe

Sahalfikri berkata...

ayah: mmg sgt seronok..mereka meMelayukan diri di tanah sendiri.

nadmin: terlepas ke melepas? hehe.. kalau camtu, aku nak jadi pegawai MITI. ada kabel tak? ngee..

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular