19 November 2008

Pengalaman menjaring ikan bandang laut

Kebanyakan masa terluang masyarakat pulau dimanfaatkan untuk memancing. Selain memancing, mereka juga menggunakan kaedah menjaring, menyelam dan menembak untuk dapatkan ikan.

Pantang turun ke laut, pasti bawa pulang sekurang-kurangnya berbelas-belas ekor ikan. Pak Yati istilahkan pulau Kokos sebagai syurga ikan. Yalah, kalau memancing di tepian pun kita boleh dapat berbelas-belas. Bukan ikan sebarangan, semuanya sedap-sedap belaka.


Ahad lepas aku diajak menjaring. Kami guna dua bot. Satu bot digunakan untuk menjaring dan satu lagi untuk menghalau ikan. Aku naik bot yang menjaring tu. Bergambar dulu dengan motor yang nak angkut bot ni.

Sampai ke tengah laut, aku disuruh turun. Eh, biar betul. Ceteklah. Oh. Jadi, aku pun turun. Paras peha saja airnya. Walaupun kami berada di tengah-tengah laut. Airnya sangat jernih. Pasir laut jelas kelihatan.


Selepas turun, jaring ditebarkan. Panjang jaring sekitar 100 meter. Aku pegang hujung sini dan Pak Yati pegang hujung sana. Selesai ditebarkan membentuk 'U', kami pun berjalan kaki ke arah bertentangan jaring.

Tugas seterusnya kena bersedia untuk halau ikan masuk ke jaring. Bot satu lagi dah mencari di mana kumpulan ikan bandang laut berada. Abang Adam terus meluncur laju bot ke arah kami. Ikan-ikan tu pun meluru ke arah kami.


Bersama aku, ada lagi 4 anak-anak berumur sekitar 10 tahun. Terjerit jerit Pak Yati dari jauh suruh aku berlari kembali ke jaring untuk tutup jaring. Tak mahu ikan keluar semula.

Aku ni bukan orang pulau. Jadi, aku tak nampak ikan-ikan dah meluru masuk ke jaring. Mereka dari jauh dah nampak. Aku pun berlari laju. Mencungap juga dibuatnya. Berlari dalam air..fuhh.


Semua orang berkumpul dekat jaring untuk keluarkan ikan daripada jaring. Aku pun belajar cara keluarkan ikan tersebut. Mudah saja. Pegang ekornya yang melibas-libas tu. Lepas tu, pegang badan ikan dan rapatkan pada badan. Barulah kemudian keluarkan kepalanya yang tersekat pada jaring.


Percubaan pertama membuatkan kami mendapat 32 ekor ikan bandang laut. Aku disuruh pula menggulung jaring tadi untuk pergi ke tempat lain pula. Kami terus mencuba untuk kali kedua dan ketiga. Tapi gagal.


Sempat kami singgah di pulau-pulau kecil berhampiran. Ini pondok yang didirikan Nek Kaya untuk berehat-rehat. Di sini juga tempat bela ayam. Yang menariknya, pondok ni siap ada katil dan tilam. Satu hari, mereka akan ajak aku bermalam di sini.Mmm..


Setelah hampir Asar, kami pun pulang. Hujan mulai turun. Kami perlu bergegas ke pantai kerana bot yang kami gunakan hanyalah bot kecil. Sampai di tepian, aku disuruh bawa motosikal 4 roda tu untuk tunda bot. Aku tunda bot terus balik ke rumah Pak Yati [Bawah: gambar aku bersamanya].


Di sana, isteri-isteri mereka sudah menunggu. Semua gembira melihat ikan-ikan tadi. Mereka pun mahu pastikan yang aku juga gembira. Sesudah ikan-ikan dibahagikan sesama mereka yang sama-sama turun ke laut, Nek Azrin terus siang ikan. Ditolong oleh Mak Adam dan Mak Yati.



Nek Azrin beritahu aku, alhamdulillah malaikat Mikail bagi rezeki. Tengok tu, dah berusia 65 tahun pun masih ingat apa yang aku ajar. Seronok hati aku mendengarnya.

Aku terus balik ke rumah dan mandi. Selepas solat Asar, aku pun terus ke dapur. Di sini biasanya kami suka duduk berkumpul untuk berbual. Bila sampai masanya, barulah makan malam.


Hidangan hari tu ialah ikan bandang laut goreng. Ikan tadi tu. Ya Rabbi, manis betul dagingnya. Setiap kali aku makan, aku mesti beritahu mereka keenakan makanan sini. Mereka sangat seronok dengan ekspresi aku. Hehe..

[Eh, kenapa tak ada siapa kenal ikan gelek hari tu? Ikan bandang laut ni apa kita panggil? Dua-dua ikan tu ada di Malaysia juga..]

AKAN DATANG: Cubalah makan mengkudu

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular