12 Mac 2007

Jangan jadi mangsa

Siapa yang tak terkejut dengan angka 887 yang dikeluarkan dari statistik pelajar perempuan yang pernah melakukan hubungan seks luar nikah. Inilah angka mereka yang pernah melakukan hubungan seks tu. Hanya seorang daripada responden kajian tu yang tidak pernah melakukan hubungan seks luar nikah.

Hari Khamis aku terbaca akhbar KOSMO yang memaparkan berita gambar separuh bogel seorang pelajar perempuan di Kulim tersebar di sekolahnya. Pengetua pun panggil budak tu dan didapati dia mengaku bahawa gambar itu kepunyaan dia yang ditangkap oleh teman lelakinya selepas melakukan hubungan seks.

Dalam akhbar METRO Ahad, mengisahkan tentang rumah KEWAJA tempat perempuan yang melakukan hubungan seks luar nikah diberi jagaan dan perlindungan kerana sedang mengandung. Datuk Shahrizat kita pula mencadangkan agar teman lelaki mereka juga dikenakan tindakan sebagai pengajaran.

Apa mesej yang korang nampak di sebalik ketiga-tiga kisah kat atas ni? Ya, betul keadaan sekarang semakin teruk. Pergaulan bebas yang sukar dikawal. Pendedahan tanpa batas terhadap segala sumber baik dan tak baik. Dan sebagainya..

Tapi aku nak kongsikan satu perkara yang aku dapat dalam pengajian aku. Kita kena korek the root of the problem. Dan kalau kita tengok hukuman hudud dalam al-Quran berkenaan zina, diawalkan perempuan daripada lelaki. Aku bukan bercakap tentang gender tetapi konsep zina sebenarnya mengikut kefahaman ustaz aku yang aku juga setuju.

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.[An-Nur(24):2]

Perempuan disebut dahulu kerana dalam zina (hubungan seks luar nikah) ni perempuan memainkan peranan penting. Jika perempuan rela, ia dikira zina. Dan jika tidak, dikira rogol. Persoalannya mengapa perempuan itu rela dan akhirnya ingin menuding jari kepada lelaki? Aku tak kata lelaki tu tak salah. Aku cuba nak katakan bahawa perempuan yang sebegini tak fikir panjang.

Memang logiknya, melakukan hubungan seks luar nikah adalah sesuatu yang akan mendatangkan masalah. Kononnya si lelaki akan bertanggungjawab, maka si perempuan menyerahkan diri sebagai tanda cintanya. Tapi alangkah bodohnya si perempuan itu kerana termakan pancing si lelaki buaya. Kalau dia bertanggungjawab, dia takkan buat perkara tak senonoh. Dia akan ikut laluan betul. Dia akan datang merisik, meminang, dan akhirnya berkahwin. Cuba fikir logik sket.

Aku waktu remaja dulu rapat dengan makcik aku yang suka beli majalah REMAJA. Aku antara pembaca tetap ruangan masalah gadis dan masalah teruna. Dari kebanyakan masalah, inilah masalah terbesar, perempuan dipermainkan teman lelaki yang kononnnya sangat setia dengannya. Ish bodohnya kedua-dua mereka.

Dan yang paling kesian pastinya si perempuan. Lelaki tak mendatangkan sebarang kesan fizikal tetapi perempuan kalau tak mengandung pun, istilah anak dara tu dah tak sesuai. Semakin aku terasa betapa sukarnya mendidik dan melindungi golongan hawa ini.

Kerana itu pernah Rasulullah bersabda yang mafhumnya lebih kurang camni. Anak perempuan itu antara penentu seorang ayah masuk ke syurga atau neraka. Bukan mudah nak didik anak perempuan. Tambah plak zaman sekarang ni yang anak-anak lebih 'pandai' daripada ibubapa.

Kata Hushim bin Salleh, kaunselor UM, kita kena jadikan anak-anak sebagai kawan. Kita saling bertanya, berbual dan berbincang. Membiasakan diri bersama-sama mereka. Bukan lagi menjadi garang dan pemarah seperti zaman dahulu. Biar lembut tetapi tegas. Apabila mereka sering menjadikan ibubapa sebagai rujukan dan kawan rapat, maka usah risau insyaAllah kehidupannya di luar rumah terkawal dengan sendirinya.

Aku suka bercakap tentang perempuan sebab, sepertimana pernah aku cakap dulu, golongan ini adalah golongan lemah. Maka, mereka perlu dilindungi dan dijaga serta dididik untuk menjaga diri dengan baik. Lemah tak bermakna kalah. Lemah bermakna, kalau macam mana kuat dan bagus dari segi fizikal dan mental sekalipun, si lelaki lebih 'pandai' membuat helah mematahkan kehebatan perempuan itu sama ada melibatkan penggunaan mental atau fizikal.

Yang akan membuatkan si lemah itu menang apabila rohaninya mengatasi segalanya. Maka, desakan, pujuk rayu, ajakan, dsb pasti takkan pernah memakan dirinya. Hanya perkara-perkara ini yang biasanya melemahkan sang perempuan. Bukan sahaja kepada anak dara, bini orang pun sekarang dah biasa curang pada suami. Berwaspadalah wahai pasanganku!

06 Mac 2007

Indahnya suatu perpisahan



Setiap pertemuan ada perpisahan. Begitulah lumrah kehidupan. Baru-baru ini seorang sahabat berpangkat kakak, Kak Nor dalam firma aku menyusul keluar selepas sahabat sebayaku, Kimi meninggalkan dunia HSK. Pertemuan dan nikmat lebih 6 bulan bersama mereka adalah sesuatu yang indah. Tak lupa juga pada Adrin, sahabat yang memanggilku abang kerana usianya muda setahun. Juga sahabat yang dipanggil berkhidmat untuk negara, Sue (baby..hehe). Oh, Abang Haris juga (gambarnya takde).

Betapa aku hargai nikmat persahabatan dengan semua mereka, aku letakkan gambar mereka semua sebagai backdrop PC aku dengan tagline 'kenangan terindah'. Suka duka, gelak ketawa, usik mengusik, tangisan kecil hati dsb mewarnai tempoh persahabatan kami. Sesuatu yang tidak lagi kurasai saat ini.

Nikmat itu sangat terasa apabila perpisahan berlaku. Benarlah kata orang, kita akan merasai betapa nikmatnya sesuatu perkara itu saat kita kehilangannya. Macam seorang anak yang durhaka, rasa menyesal tak sudah apabila ibu ayahnya mati. Sama juga dengan orang yang kaya jatuh miskin, rasa menyesal tak gunakan kekayaan sebaiknya. Begitu juga dengan orang tua yang menyesali kehidupan mudanya yang sia-sia.

Patutlah Rasulullah bersabda,"Rebutlah kamu 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Muda sebelum tua. Senang sebelum susah. Kaya sebelum miskin. Sihat sebelum sakit. Hidup sebelum mati." Maka, aku rasa berpuas hati kerana sepanjang persahabatan itu, aku telah gunakan peluang sebaiknya bersama sahabat-sahabat aku.

Sama juga dengan suami isteri yang bergaduh. Pernah aku ikut ke mahkamah syariah, setelah hakim putuskan untuk mereka bercerai, sibuk pula si suami nak berjumpa dan memberi nasihat kepada isteri. Apakah dia rasa kehilangan apabila isteri yang dahulunya dipukul dibenci dimarah dimaki dihambat dicaci diherdik kini sudah tiada di sisi?

Kadangkala aku berasa sedih sekali apabila ingin berpisah (terutamanya waktu sekolah dulu, bila ibu ayah dan adik-adik nak tinggalkan aku kat Labu). Namun, aku selalu ingatkan diri aku bahawa aku akan tetap berjumpa kembali dengan semua yang berpisah dengan aku. Syaratnya bertemu dan berpisah itu kerana DIA. Aku perlu latih diri sebegini.

Kalau tertanam begitu dalam diri kita, kita pasti mendoakan kebahagiaan dan kejayaan untuk sahabat-sahabat kita walaupun tak bersua. Bukankah ini seperti sifat Bilal bin Rabah, yang sentiasa memaafkan sahabat-sahabatnya pada setiap malam sebelum tidur? Rasulullah pernah bersabda bahawa baginda terdengar derap langkah Bilal bin Rabah di syurga.

Jadi, bila kita doakan terbaik untuk sahabat, kita juga akan turut baik. Tempat orang-orang baik ini dijanjikan syurga. Maka, di situlah tempat pertemuan kembali yang kekal abadi. Sepertimana seorang isteri itu menjadi bidadari teristimewa buat suami di syurga yang sama-sama baik ketika di dunia ini.

Aku masih melatih diri ini. Sukar.. sukar.. apatah lagi untuk berpisah dengan seorang yang pernah diidamkan menjadi pasangan hidup tetapi ditakdirkan tidak kekal sebegitu. Ya, Allah tahu yang terbaik buat kita. Ya Allah, berikanlah yang terbaik buatku dan sahabat-sahabatku.. Amin.

01 Mac 2007

Berubah dari dalam


Memang sengaja aku letakkan gambar Inneke Koesherawati (Ibu Arini dalam Mutiara Hati) dalam entry aku sebelum ni. Sebabnya ialah untuk aku ceritakan dalam entry kali ini.

Dia ni dulu seorang pelakon yang digelar sebagai simbol seks di Indonesia. Tapi selepas satu ketika (2001), dia mula berubah. Perubahan sangat ketara sampaikan dia dapat anugerah sebagai Presenter Terpuji oleh Majlis Ulama Indonesia. Tang point ni yang aku suka. Pasal MUI ni ada buat anugerah untuk artis. Hebat tuh!

Dulu, Siti Nurhaliza pun diiktiraf MUI sebagai artis yang Islamik, sambil orang di Malaysia sesetengahnya mengutuk pula MUI. Pendekatan MUI berlainan dengan kita kan? Memang pendekatan sebegini tak pernah lagi dibuat di Malaysia. Mungkin tak sesuai, tak tahulah.

Bila dikatakan tak islamik, mungkin sebab Siti tu belum bertudung dsb. Pada satu segi lain, sebnarnya pujian MUI itu adalah dorongan ke arah kebaikan kepada Siti. Itulah bezanya cara kita melihat. Bila tengok sisi kiri, buruk la ia. Bila tengok sisi kanan, baik la ia.

Inne ni, dia berubah bermula dengan bertudung. Walaupun merupakan pelakon seksi suatu ketika dulu, perubahannya tak pernah menutup periuk nasi dia. Selepas daripada tu, dia terus mendapat tawaran berlakon tanpa perlu membuka tudung. Bahkan adegan dalam bilik pun pakai tudung. Ada artis kita di Malaysia kata, pakai tudung tu perlu ikut kesesuaian dalam lakonan, takkan dalam bilik pun pakai tudung? Tapi Inne telah buktikan boleh.

Siapa tengok Mutiara Hati? Korang mesti tahu betapa berkesannya lakonan Inne, bukan sekadar membuatkan kita menitiskan airmata tapi terkesan sehingga terbawa dalam hidup kita. Ya, mungkin nasib Inne macam Saidina Umar. Dahulunya buruk dan teruk tapi bila berubah, cukup bagus!

"...sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..." [Al-Anfaal (8):57]

Pendek kata, tak perlu la kita label orang ni jahat atau teruk etc sebab kemungkinan untuk dia berubah terbuka luas. Yang penting kita bagi sokongan. Manalah tau suatu hari nanti, Siti pun akan bertudung dan berdakwah plak. Macam Inne ni siap pernah bersama-sama dengan AA Gym (ulama' Indonesia yang aku kagumi) untuk buat protes terhadap filem Buruan Cium Gue.

Ayat Inne waktu ditanya media, tak takut ke buat protes ni yang nantinya menyebabkan dirinya dijauhi oleh teman-teman artis lain. Jawapannya cukup ikhlas, "Kenapa mesti takut, saya cuma takut kalau dijauhi oleh Allah." Terbukti hanya Allah di hatinya.

Fuhh, teringin nak dapat isteri camni..oppss.

Kena baca kisah Inne, klik sini, sini gak dan sini.

26 Februari 2007

Bergantung tak bertali


Ibu Nabila dalam Mutiara Hati

Mungkin kita tak pernah terfikir untuk sengaja ke masjid berdoa minta tolong daripada Allah. Bukan maksud aku, kalau nak berdoa perlu ke masjid. Kat mana-mana pun boleh. Cuma aku tertarik dengan perbuatan Nabila (watak dalam Mutiara Hati) yang begitu kuat pergantungan dia dengan Allah.


Dia sudah buta tapi suatu hari dia ke masjid dan membuka al-Quran, langsung membaca surah al-Ikhlas bersama maknanya (dia hafal). Bacaan yang penuh pengharapan dan terasa keagungan Tuhan itu, disandarkannya sebagai permulaan doanya kepada Allah. Dia mohon dua permintaan, iaitu agar ayahnya ditemui dan matanya segera sembuh supaya dapat melihat ayah dan ibunya. Alhamdulillah, kedua-dua permintaannya dikabulkan.

Ya, mungkin ada yang kata itu lakonan. Tapi pada aku inilah mesej agung yang ingin disampaikan sepertimana dalam setiap episod Mutiara Hati. Pergantungan hakiki kepada Allah. Surah al-Ikhlas itu sudah lali untuk dibaca. Yelah, dalam kenduri doa selamat, tahlil dan selepas solat itulah amalan kita orang Melayu. Tapi mesej dan pengertian sebenar dalam surah itu jarang dihayati. Apa yang berlaku pada Nabila tak mustahil terjadi.

Waktu aku tengok scene Nabila baca surah tu dan berdoa, terus aku teringat pada mentor aku yang pernah menerangkan erti sebenar surah al-Ikhlas dari segi penghayatannya. Memang betullah, jika kita berpegang teguh pada surah ini, benarlah Allah itu akan membantu kita, dalam apapun yang kita lakukan.

Maklumlah, ramai yang mengadu betapa tensennya hidup. Kerja membosankan. Belajar menyeksakan. Berkawan bermusuhan dalam diam. Berniaga kekadang rugi. Hutang keliling pinggang. Anak menderhakai kita. Tayar kereta pancit. Kesesakan lalulintas yang melampau. Dan macam-macam lagi.

Semuanya itu adalah perjalanan hidup yang DIA aturkan. Sengaja DIA nak tengok kita ni bagaimana orangnya. Teringat plak akhbar BH kelmarin pasal jangan sesekali kita mengeluh kerana itu tanda kita tak bersabar. Bila tak bersabar kita sebenarnya tak redha atas ketentuan DIA. Tengok, mudah-mudah je kita lost control dan kebiasaannya perkara yang selepas itu akan menjadi lebih rumit.

Dan adakalanya kita sampai mensyirikkan Allah. Eh, tak percaya? Nik Aziz pernah dalam ceramah agamanya berkata seseorang yang terpaksa meninggalkan solat kerana melayan makwenya yang sedang merajuk adalah melakukan syirik tanpa disedarinya. Sebabnya dia meletakkan makwenya sama penting atau lebih penting daripada Allah. Adakah layak status Allah disamakan dengan makwe kita? Uishh tak mungkin..

Nampak simple tapi kekadang kita terlupa. Bila teringat tu cepat-cepatlah kena istighfar. Andai kata aku terlupa, kawan-kawan tolong ingatkan aku gak. Sebab aku pun nak jumpa Allah nanti. Allah pesan ,"Barangsiapa mengharap untuk berjumpa dengan Tuhannya maka hendaklah dia melakukan kebaikan dan janganlah dia mempersekutukanNYA dengan sesuatu yang lain dalam beribadah".[Al-Kahfi(18):110]

Ibadah bukan sekadar solat, puasa, haji dsb tapi meliputi ibadah umum seperti tolong orang melintas atau ambil barang, buang sampah di tempat yang betul, menghormati orang tua, menyiram pokok bunga dll. Bahaya kan kalau kita buat semua tu disebabkan manusia.

22 Februari 2007

Nikmat membuang


Kawan aku Kimi suka guna perkataan 'berak'. Tapi aku memilih sinonimnya 'buang air besar'. Jarang orang nak bincang pasal perkara ni, it sounds taboo. Tapi kali ini aku nak tulis pasal buang air besar.

Setiap kali Kimi habis buang air besar, bahasa badannya menunjukkan kepuasan. Camana kitorang tahu dia buang air besar? Ada simptomnya, dia akan berdiri dari tempat duduk dia, buka jam tangan, lepas tu biasanya ada orang tanya,"kau nak pergi mana?". "Berak," jawabnya ringkas.

Hari ini dalam perjalanan ke satu pejabat ni, panggilan alam (nature's call) berdering dalam perut. Aku atas motor. Mujur pejabat tu dah dekat. Terus aku park dan meluru ke pejabat yang berada di Tingkat 27. Sebelum naik lif, aku mencari tandas terdekat. Alamak, makcik cleaner ada kat dalam.

Takpe, aku menggagahkan diri naik tangga ke tingkat dua. Lah, apasal makcik cleaner No 2 plak ada kat tandas lelaki juga. Aku cuba ke tingkat atas. Kali ni aku naik lif pergi ke tingkat yang jauh sikit. Tingkat 6. Yes, takde sesape. Aku meluru masuk dan... Puas!

Saat inilah paling menggembirakan. Baru aku dapat faham maksud bahasa badan Kimi selama ini. Nikmat ini anugerah Tuhan yang tak terhingga. Nampak ciput je ek, tapi sebenarnya tanpa nikmat ini, hidup kita takkan tenang. Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNya) dan Dia tidak redakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya menjadi sifat dan amalan kamu.[Az-Zumar(39):7]

Bayangkanlah orang yang tak dapat buang air besar disebabkan sembelit atau buasir. Betul-betul menyeksakan. Nak jalan pun tak senang. Apatah lagi untuk berseronok seperti orang lain. Silap-silap penyakit lain pula yang datang.

Inilah yang dinukilkan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya 'SHIT'. Novel yang dapat menggambarkan betapa perlunya kepala tahi keluar dahulu, barulah tahi-tahi yang lain akan ikut keluar. Aku pilih untuk guna sinonim 'najis'. Novelnya dikritik sebagai bukan karya seni oleh sesetengah orang, tapi bagi aku najis yang diceritakan memberi gambaran tepat terhadap betapa perlunya kepala najis itu keluar agar badan kita tak sakit-sakit. Satu mesej yang ingin disampaikan secara sinis dan tersirat melalui penceritaan mengenai najis. Ya, sesuatu yang taboo.

Jadi, sekarang ni korang setuju tak bahawa buang air besar itu adalah nikmat yang perlu disyukuri kerana dengan keluarnya kepala najis maka terkeluarlah semua najis yang membawa bersama toksid dan darah kotor dalam badan, sekaligus menjadikan kita sihat dan senang?

20 Februari 2007

Felda Air Tawar


Pakcik aku bertunang. Menjadi drebar semestinya pilihan aku untuk meringankan beban ayah. Fuhh, letih betul memandu melewati Felda Taib Andak. Felda Air Tawar 4 sangat dekat dengan Desaru. Di sinilah destinasi kami meminang anak dara Jawa.

Selesai urusan peminangan, kami pergi berehat di Balau Resort (maknanya bercuti la ni). Malang sungguh nasib kami sebab semua hotel penuh. Hanya Resort ni saja yang tinggal. Nampak cantik, tapi servis terukk. Kelengkapan bilik pun banyak yang tiada. Harapkan bayaran setaraf hotel, pasti serik nak datang lagi.

Waktu malam kami mencari makan di Bandar Penawar. Alangkah ruginya warga sini kerana menutup kedai waktu ramai orang luar datang bercuti. Yang buka, hanyalah warung-warung makan, yang sangat tak mahir berurusan dengan pelanggan yang sangat ramai. Lain yang diminta, lain pula yang sampai. Menunggu sangat lama membosankan. Paling kesian, bakal pengantin tak dapat makan, mood dia terus hilang.

Balik resort, aku mencari burger. Nampak kelibat saudara mara yang lain termasuk bakal pengantin yang mencari makanan. Malang juga nasib mereka, sebab jemput-jemput (itulah menunya) yang diminta hanya dapat disiapkan lebih 30 minit. Lempeng pula tidak memuaskan selera. Ibu aku nak makan roti, pergi kedai runcit. Bertambah sakit hati sebab semua roti dah lama luput, siap berkulat lagi.

Sarapan pagi juga mengecewakan keesokan harinya. Dengan bayaran tambahan RM10 bagi seorang kanak-kanak atau RM15 untuk dewasa, hanya mihun goreng, nasi goreng, bebola ikan, roti bakar, peas tomato, dan air teh/kopi dihidangkan. Seumur hidup kami menjejaki hotel/resort inilah pengalaman paling menyakitkan hati.

Bukan kami sahaja yang rasa tensen, rupa-rupanya kebanyakan pengunjung mengomel perkara yang sama. Dalam semua insiden yang berlaku ini, semuanya melibatkan orang Melayu tau. Resort itu pun kepunyaan orang Melayu. Aku bukan penghentam Melayu, tapi aku dapati ramai Melayu tak memberikan servis terbaik dalam bisnes mereka. Nak untung cepat dan berganda, tapi layanan tak seperti yang diharapkan.

Setibanya kami di Melaka, malam itu kepenatan. Jadi tak siapa ingin memasak. Kami makan di Restoran depan rumah aku. Antara restoran terkenal di Melaka dengan seafood dan keadaannya yang kononnya terapung. Sepertimana servis yang diberikan di Balau, rupa-rupanya restoran ini juga setaraf dengannya. Makin menyedihkan apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus, riuh sekejap.

Pulang dengan hati tak berapa sedap, terutamanya makcik2, pakcik2, datuk dan nenek sedara aku. Keluarga aku puas aje, sebab dalam setiap insiden, semuanya tidak terkena pada kami. Kami tetap dapat makan dengan kenyang, walaupun tak sedap. Pesanan kami semuanya dapat. Tambah pula, kami tidak mengeluarkan sesen pun dalam setiap hal berkaitan makan-makan ini, hehe.

16 Februari 2007

Urut refleksologi


Dalam ilmu perubatan ni, macam-macam cara ada. Baik yang mahal mahupun murah. Baik yang moden mahupun tradisional. Kali ini aku mencuba urut refleksologi. Aku pernah diurut camni oleh kawan aku yang agak power gak la bab refleksologi ni. Bila dah lama tak buat, cuak gak.

Ini amalan kawan aku, Huzaimi. Kali ni dia ajak aku dan Muhaimin. Memang syok. Tapi muka aku herot berot sket sbb kena tahan sakit. Dalam badan ni ada toksik, so diorg akan urut kasi peredaran darah lancar n toksik dikeluarkan daripada badan. Aku rasa aku ni macam-macam penyakit ada kot.

Yang lagi syok, urut ni tak mencampurkan laki n pompuan. Kalau laki, laki la yang urut. Kalau pompuan, pompuan la yang urut. Lagi syok, kita membantu orang buta. Mereka semua ni buta. Kata Huzaimi, 3 orang yang mengurut kitorang, Hashim, Nasir dan Rozimi adalah pengurut terhebat di Nuri Refleksologi ni (ikut turutan - yg awal aku sebut paling power).

Hebat tak Allah? DIA ajar manusia untuk mengubati hanya dengan mengurut tapak kaki. Di tapak kaki kitalah segalanya dapat dikawal. Macam tak percaya, tapi kena percaya. Tekanan yang sama pada tapak kaki takkan mengakibatkan sakit (tapi geli je) kalau kita takde problem pada sistem badan.

"Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?" [Al-Anbiya' (21):80]

Tengok tu, Allah ajar Nabi Daud buat baju besi? Biar betul? Memang betul..cuma kita tak terfikir je camana. Kalau tengok kebanyakan penemuan sains dimulakan orang Islam. Dari mana diorang tahu semua tu? Tak mustahil semuanya adalah turun temurun daripada Nabi-Nabi kita yang diajar Allah.

Maka, pendek kata urut refleksologi ni pun adalah daripada DIA yang mengajarkan orang pertama mengetahui mengenainya. Siapa orang itu? Kita pun tak tahu. Sebab andai kata orang itu adalah Nabi, dia takkan beritahu kita apa yang dia dapat, kerana dia bukannya Rasul. Maka, ternyatalah DIA pemilik semua ilmu.


Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular