06 Mac 2007

Indahnya suatu perpisahan



Setiap pertemuan ada perpisahan. Begitulah lumrah kehidupan. Baru-baru ini seorang sahabat berpangkat kakak, Kak Nor dalam firma aku menyusul keluar selepas sahabat sebayaku, Kimi meninggalkan dunia HSK. Pertemuan dan nikmat lebih 6 bulan bersama mereka adalah sesuatu yang indah. Tak lupa juga pada Adrin, sahabat yang memanggilku abang kerana usianya muda setahun. Juga sahabat yang dipanggil berkhidmat untuk negara, Sue (baby..hehe). Oh, Abang Haris juga (gambarnya takde).

Betapa aku hargai nikmat persahabatan dengan semua mereka, aku letakkan gambar mereka semua sebagai backdrop PC aku dengan tagline 'kenangan terindah'. Suka duka, gelak ketawa, usik mengusik, tangisan kecil hati dsb mewarnai tempoh persahabatan kami. Sesuatu yang tidak lagi kurasai saat ini.

Nikmat itu sangat terasa apabila perpisahan berlaku. Benarlah kata orang, kita akan merasai betapa nikmatnya sesuatu perkara itu saat kita kehilangannya. Macam seorang anak yang durhaka, rasa menyesal tak sudah apabila ibu ayahnya mati. Sama juga dengan orang yang kaya jatuh miskin, rasa menyesal tak gunakan kekayaan sebaiknya. Begitu juga dengan orang tua yang menyesali kehidupan mudanya yang sia-sia.

Patutlah Rasulullah bersabda,"Rebutlah kamu 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Muda sebelum tua. Senang sebelum susah. Kaya sebelum miskin. Sihat sebelum sakit. Hidup sebelum mati." Maka, aku rasa berpuas hati kerana sepanjang persahabatan itu, aku telah gunakan peluang sebaiknya bersama sahabat-sahabat aku.

Sama juga dengan suami isteri yang bergaduh. Pernah aku ikut ke mahkamah syariah, setelah hakim putuskan untuk mereka bercerai, sibuk pula si suami nak berjumpa dan memberi nasihat kepada isteri. Apakah dia rasa kehilangan apabila isteri yang dahulunya dipukul dibenci dimarah dimaki dihambat dicaci diherdik kini sudah tiada di sisi?

Kadangkala aku berasa sedih sekali apabila ingin berpisah (terutamanya waktu sekolah dulu, bila ibu ayah dan adik-adik nak tinggalkan aku kat Labu). Namun, aku selalu ingatkan diri aku bahawa aku akan tetap berjumpa kembali dengan semua yang berpisah dengan aku. Syaratnya bertemu dan berpisah itu kerana DIA. Aku perlu latih diri sebegini.

Kalau tertanam begitu dalam diri kita, kita pasti mendoakan kebahagiaan dan kejayaan untuk sahabat-sahabat kita walaupun tak bersua. Bukankah ini seperti sifat Bilal bin Rabah, yang sentiasa memaafkan sahabat-sahabatnya pada setiap malam sebelum tidur? Rasulullah pernah bersabda bahawa baginda terdengar derap langkah Bilal bin Rabah di syurga.

Jadi, bila kita doakan terbaik untuk sahabat, kita juga akan turut baik. Tempat orang-orang baik ini dijanjikan syurga. Maka, di situlah tempat pertemuan kembali yang kekal abadi. Sepertimana seorang isteri itu menjadi bidadari teristimewa buat suami di syurga yang sama-sama baik ketika di dunia ini.

Aku masih melatih diri ini. Sukar.. sukar.. apatah lagi untuk berpisah dengan seorang yang pernah diidamkan menjadi pasangan hidup tetapi ditakdirkan tidak kekal sebegitu. Ya, Allah tahu yang terbaik buat kita. Ya Allah, berikanlah yang terbaik buatku dan sahabat-sahabatku.. Amin.

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular