29 Mac 2010

Tak hairanlah tukar pelan



Kalau diikutkan giliran musim, kini sudah masuk musim bunga. Suhunya sepatutnya tidak lagi dingin. Namun, akibat perbuatan rakus manusia membangunkan dunia, berlakulah pelanggaran aturan alam.

Suhu turun dan naik secara mendadak tanpa dapat diramal. Keadaan ini menyebabkan situasi begini sukar dihadapi. Tubuh badan terasa lemah selain pening kepala datang tiba-tiba. Dari 23'C boleh bertukar terus ke 6'C.

Aku yang tidak berpengalaman berasa gusar dengan keadaan ini memandangkan isteriku dalam keadaan tidak stabil. Bukan sekadar iklim, beberapa faktor lain turut membimbangkan. Berada di negara bukan Islam yang tidak mengamalkan demokrasi jelas berbeza keadaannya dengan negara-negara demokrasi lain seperti di Eropah. Soal pendidikan anak-anak juga perlu diambil berat.
Dalam kebimbangan ini, aku memohon petunjukNya agar diberikan jalan terbaik untuk penerusan hidup. Doa dan solat hajat dilaksanakan agar permusafiran ini mendapat barakah daripadaNya.

Setelah beberapa pertimbangan dibuat, aku memutuskan untuk pulang ke Malaysia. Hati yang tergerak dengan petunjuk tertentu dengan tawakal kepadaNya memberi keyakinan kepadaku atas keputusan ini.

Sudah tentu kepulangan ini memberi reaksi pelbagai daripada rakan dan saudara. Ada yang positif dan ada yang negatif. Perkara normal yang biasa dilalui oleh pekerja dakwah sepertiku.

Adalah satu kebiasaan dalam strategi dakwah untuk bertukar pelan gerakan. Malahan dakwah itu bukan sifatnya terikat pada batas geografi. Hatta orang yang berbaring sakit dan tidak boleh bergerak wajib ke atasnya meneruskan tradisi dakwah warisan Nabi ini.


Kepulangan pastinya menemui ahli keluarga terlebih dahulu. Aku kembali ke Melaka apabila dapat tahu keluargaku berada di sana. Kelihatan ayah sedang menyiapkan pagar di rumah nenek saudara.

Kesempatan membantu ayah membuat kerja-kerja kampung ini diluangkan sebaiknya. Laman rumah nenek saudara yang agak besar perlu dikemaskan. Sudah lama aku tidak berpeluh begini. Apabila Nek Cot suruh aku menyarungkan pakaian kebun Babah, teringat aku pada arwah yang sangat berpengaruh dalam menentukan kelangsungan kerja dakwahku hingga ke hari ini.

Sahabat dan saudara, kerja kampung begini rupa-rupanya mendidik jiwa kita untuk tidak hanya mendongak. Setelah usia meningkat, barulah dirasakan betapa pentingnya untuk menunduk. Patutlah arwah Babah dan rakan-rakannya tidak pernah berbangga hasil pertukangan tangan mereka dalam membina taski pertama di Malaysia.

27 Mac 2010

Coraklah anak dengan bantuanNya



Isteriku beberapa hari pada musim dingin lepas mula berasa kurang selesa badannya. Sewaktu menikmati pertunjukan bunga api pun dia sudah tunjukkan tanda-tanda. Kepala terasa berat dan selera makan hilang.

Dia mula muntah dan tak boleh bau masakan di dapur. Memandangkan ini seolah petanda pertumbuhan benih generasi pelapis, cepat-cepat aku hubungi pihak hospital mencari perkhidmatan termurah.

Ujian pra-kehamilan telah dibuat dan ditentukan sah mengandung. Namun, cuti tahun baru Cina menyebabkan 4 hari kami menunggu untuk ke hospital memandangkan para doktor juga bercuti panjang.

Inilah pengalaman baru dalam hidup yang perlu aku pelajari. Pastinya sikit gelabah menghadapi perkara yang belum ada ilmu mengenainya, apatah lagi tiada orang rujukan yang boleh membantu di sisi.

Isteriku kurang bermaya dan sangat lemah. Selepas mendapatkan nasihat doktor, dia dimasukkan cecair vitamin dan glukos ke dalam badan. Sebagai orang asing, caj yang dikenakan sememangnya tinggi. Pemeriksaan awal sahaja sudah mencecah RM500. Untuk melahirkan di hospital kerajaan, kenalah siapkan RM10,000. Itupun kalau kelahiran normal, jika kaedah caesarian dibuat, perlulah membayar RM20,000.


Sambil menunggu isteri dirawat, aku berjalan kaki melihat kawasan sekitar hospital. Kelihatan beberapa individu dari luar Guangzhou menjual kuku harimau dan tanduk binatang. Bahasanya sukar difahami dan cara penjualannya juga agak kasar kerana memaksa pengguna untuk membeli.

Cuba saudara bayangkan, betapa para penjual ini terpaksa mempertaruh nyawa untuk mendapatkan kuku dan tanduk binatang semata-mata mencari sumber pendapatan meneruskan kehidupan harian. Manakala kita pula dihambat dengan keperitan mencukupkan keperluan kewangan untuk melahirkan anak.

Situasi yang berbeza ini mempunyai satu persamaan, iaitu dalam meneruskan kehidupan khususnya bagi menyambung kesinambungan melalui kelahiran generasi kita, Allah jadikan kepayahan agar kita sungguh-sungguh menjaga anak itu.

Betapa sedih dan pilu apabila anak yang dilahirkan itu kemudiannya menjadi tuan kepada kita. Adakah begitu sikap kita terhadap orang tua? Jika begitulah, sia-sia segala usaha mencukupkan keperluan kebendaan untuk anak-anak kita kerana mereka juga akan menghina kita kelak. Hanya beruntunglah bagi mereka yang mencukupkan anak-anak dengan harta keimanan. Moga Allah membantuku dan isteri..

17 Mac 2010

Jangan pandang rendah teknologi China

Cuti Tahun Baru Cina di sini biasanya selama dua minggu. Kebanyakan peniaga akan ambil peluang balik kampung. Ada juga yang cuti sebulan. Yalah, dalam setahun hanya waktu inilah mereka bercuti. Hari-hari lain mereka pulun mencari duit. Kesungguhan mereka sewaktu bekerja patut kita contohi.

Hendak ke mana pun tak tahu. Untuk elakkan kebosanan terperap dalam rumah, aku ajak isteri ke Pusat Sains Guangzhou yang terletak agak jauh dari pusat bandar. Hebatnya di sini, ke mana saja anda mahu pergi, pengangkutan awamnya tersedia untuk membawa anda.

Kami menaiki METRO subway hingga ke stesen terakhir. Subway di sini ada 5 line dan akan bertambah melebihi 10 dalam 3 tahun lagi. Line 5 (terbaharu) terletak di tingkat 4 bawah tanah. Boleh anda bayangkan?

Setibanya di Pusat Sains, kami pun beratur untuk tonton AVATAR 3D. Malangnya iklan yang menyatakan tayangan dalam bahasa Inggeris turut disediakan adalah tidak benar.

"Tak payahlah kita tengok Avatar. Bahasa Mandarin pasti merosakkan penghayatan kisah sebenar filem ni. Sudahlah subtitle pun tak ada.."

Akhirnya kami hanya menikmati apa yang termampu untuk diterokai saja. Alang-alang dah datang kan. Sempatlah naik virtual voyage di angkasa lepas. Tak aku sangka di satu kawasan pedalaman terdapat Pusat Sains yang hebat dan besar begini.

Teringat sewaktu aku bujang dulu, aku diajak menonton filem Transformers oleh rakan-rakan Melayu di sini. Kehebatan China meniru produk luar tak dapat disangkal lagi. Setiap iklan yang ditunjukkan pasti berubah menjadi transformers. Peti ais. Mesin basuh. Microwave. Dan juga waiter McDonalds. Cepat betul gelombang ciplak mengekor.

Jangan pandang remeh pada produk ciplak mereka. Di sebalik itu, ia membuktikan mereka mempunyai kepakaran luarbiasa dalam menghasilkan sesuatu dalam tempoh singkat. Bukan semuanya tak bermutu, ada yang setanding dengan original.

Pasti anda juga tak sangka jika aku katakan kereta Hummer juga mereka boleh buat. Dan ramai pemiliknya dengan gah memandunya di jalanraya. Kereta Chery di Malaysia tak pernah lagi aku nampak setakat ini. Kebanyakan mereka berkereta mewah sama ada buatan asing atau tempatan. Kereta kecil hanyalah Mini Cooper atau SMART.

15 Mac 2010

Tahun Baru Harimau

Sewaktu tahun baharu 2010, aku dan isteri bersama adik-adik ipar teringin sangat tengok pertunjukan bunga api. Kami pun menuju ke Bukit Belacan untuk menyaksikannya. Rupa-rupanya lalulintas tersekat sebab ramai sangat nak naik ke puncak. Akhirnya kami pun hanya dapat tengok serpihannya saja di tepi jalan.

Jadi, kali ini di Guangzhou aku tak mahu lepaskan peluang. Aku dan isteri bersiap lebih awal untuk saksikan pertunjukan bunga api sempena kedatangan Tahun Baru Harimau. Seawal jam 8 malam kami tiba di kawasan hotel 5 bintang bernama ‘White Swan Hotel’ di tepi Pearl River (yang dahulunya merupakan jalan perdagangan antarabangsa).

Apabila menghampiri jam 8.30 malam, masyarakat Cina bertambah sesak dan kelihatan anggota polis semakin ramai mengawal keadaan. Hendak naik ke atas jambatan, tak dibenarkan. Lagipun diletakkan penghadang di tepi jambatan agar orang tidak jatuh ke dalam sungai. Penghadang yang tinggi menyebabkan pandangan terhalang.

Sudahlah malam ini juga adalah malam Valentine yang diraikan sesetengah golongan muda, jadi bertambah padatlah manusia. Kebarangkalian untuk kehilangan ahli keluarga agak tinggi kalau begini. Inilah kali pertama kami berada dalam keadaan begini. Tangan isteri sentiasa aku genggam. Walaupun begitu, aku respek dengan pihak polis yang cekap mengawal keadaan. Lalulintas juga diawasi sehingga rakyat bersurai.

Isteriku rasa tak sedap badan sejak semalam tapi dia gagahkan diri juga sebab aku cakap inilah saja peluang yang ada untuk menyaksikan pertunjukan bunga api tahun baru.

“Kan abang dah cakap, orang kat sini bila kagum akan cakap camtu,” ujar aku kepada isteri.

Memang orang di sini apabila kagum dengan sesuatu khususnya pertunjukan sebegini, mereka dengan kuatnya akan menyatakan “Waaa..”. Bukan seorang dua, tapi bagaikan makmum mengikut imam mengaminkan fatihah.

11 Mac 2010

Baik buruk "Tolong"



Sentuh tentang penggunaan kata TOLONG ini, macam-macam pengalaman dah dilalui. Ada yang positif dan ada juga negatifnya.

POSITIF
Sewaktu adik-adikku kecil khususnya yang bongsu, aku selalu minta tolong dia buatkan sesuatu untuk aku. Macam ambilkan kain, buatkan air dan sebagainya. Dia pun begitu juga, adakala meminta aku buatkan sesuatu.

"Kalau nak abg Suhail buat, kena guna perkataan TOLONG tau!"
Sejak aku peringatkan dia begitu, kami semua sekeluarga jadi terbiasa menggunakan perkataan itu apabila minta bantuan.

Cuma adakalanya terlupa juga sebab nak cepat atau mood tengah tak baik. Namun, mood aku berubah menjadi baik apabila adikku kata, "Abg Suhail terlupa satu perkataan. Kalau ada perkataan itu, baru Atiqah buat.."

Itulah kesan positif penggunaan perkataan TOLONG yang telah dididik sedari kecil. Dia jadi tak lupa dan aku juga jadi senang.

NEGATIF
Sebagai pemimpin dalam organisasi, pastinya ramai individu bekerja bersama-sama untuk melaksanakan tugas. Aku yang terbiasa menggunakan perkataan TOLONG dalam memberi arahan kelihatan berlembut pula pada petugas lain.

Akibatnya kebanyakan kerja yang diarahkan terpaksa dibuat sendiri. Asal penggunaan TOLONG sebenarnya untuk tidak bersikap bossy tapi akhirnya memang benarlah aku tak dapat jadi bos.

Sama juga nasibnya sewaktu dalam firma guaman. Kerani-kerani aku macam-macam kerenahnya. Bila diminta buat sesuatu, hanya seorang dua kerani yang menurut perintah dengan baik. Yang lain suka pula buat silap dan lengah-lengah. Ini juga gara-gara penggunaan TOLONG yang diertikan sebagai ," Alaa, Suhail ni ok orangnya.. rilekslah silap pun!"

Huh..

[Entri ini dibuat sempena Kempen 1 Bulan 1 Adab untuk bulan Mac 2010]

02 Mac 2010

Tak sangka Nasrullah datang



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Lama aku tak dapat layari blogger.com sejak berada di China. Sesekali saja dapat kemaskini blog melalui emel. Tapi tak memuaskan hati.

Entri kali ini sekadar ingin berkongsi kisah Nasrullah (bantuan Allah). Nasrullah pasti akan datang kepada kita bila kita meminta kepadaNya dengan sebenar-benarnya. Itulah pesan mentor aku.

Katanya lagi jangan sesekali buruk sangka pada Allah. DIA adalah seperti yang kita sangkakan. Kalau kita sangka dia tak akan bagi Nasrullah, begitulah nasib kita. Kalau bersangka baik selalu, Nasrullah juga selalu datang.

Dua tiga hari lepas aku kehilangan dompet. Bayangkanlah apabila berada di negara asing, ia pasti membimbangkan bila kita kehilangan dokumen penting seperti IC dan kad ATM.

Ya Rabbi, aku jadi bimbang sangat. Aku teringat pesan mentorku tadi. Maka aku panjatkan doa agar DIA kembalikan dompet aku. Aku yakin akan aku dapat dompet itu. Tapi pencarianku di dalam rumah menemui jalan buntu.

Sesekali aku berasa putus asa. Ia mungkin jatuh di luar kawasan rumah dan pasti (pada sangkaanku) sudah diambil orang atau dibuang. Aku cuba lawan. Itu pastinya bisikan syaitan. Aku teruskan pengharapan agar Allah kembalikan dompet itu. Ya, bukan mudah.

Malam kelmarin aku tergerak untuk ke Restoran Nur Bostan. Sebaik sampai, bosnya tanya pada aku ada tak sesiapa rakyat Malaysia kehilangan dompet. Terus aku kata, akulah orangnya. Dia pun terangkan lagi barang-barang yang ada dalam dompet itu. Makin yakinlah aku.

Dan memang benar, Nasrullah datang tanpa disangka. Siapa yang gerakkan hati aku untuk ke situ malam itu? Siapa yang gerakkan hati jejaka Xinjiang itu untuk menyimpan dompet itu? Apakah terjangkau dek akal kita akan Nasrullah?

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman: “bilakah datangnya pertolongan Allah?”. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Al- Baqarah 2:214).

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular