25 Oktober 2009

Minta sedekah tapi merokok



Benarkah merokok itu ada pelbagai hukum? Sampai ada yang kata ianya harus. Setahu aku paling ringan pun hukumnya hanyalah makruh. Ada baiknya kita baca jawapan Ustaz Zaharuddin untuk memahaminya.

Merokok pula difatwakan haram di beberapa negeri seperti Melaka, Selangor, Kedah dan Perlis. Begitu juga dengan apa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.
[Sila baca ringkasan yang dibuat oleh harakahdaily]

Aku terpanggil menulis tentang rokok disebabkan kebelakangan ini aku telah menjadi perokok sekunder. Bukan aku saja, ibu pun turut terkesan. Sudahlah mereka ini mengakibatkan keburukan kepada diri sendiri, diri orang lain pun tak difikirkannya.

Bagi yang belum merokok, jangan mencuba. Bagi yang sudah merokok, silalah berhenti. Tapi jika susah sangat untuk berhenti, kurangkanlah kekerapan anda merokok. Dan ingatlah agar anda merokok di kawasan yang dikhaskan untuk perokok. Bukan di tempat awam.

Jika memudaratkan diri itu antara asbab pengharaman merokok, mengapa tidak anda menjadikan kami perokok sekunder turut mendapat dosa memudaratkan orang lain? Fikir-fikirkanlah khususnya kepada perokok yang merokok di hadapan anak-anak dan isteri.Janganlah jadi seperti dalam video ini:



Jika anda tetap ingin merokok, pastikan diri anda mempunyai lebihan wang. Sebabnya orang yang kurang duit pastinya akan menyimpan duit itu untuk kegunaan lebih bermanfaat seperti makan dan minum.

Kalau anda rasakan diri itu kurang duit, jangan susahkan diri sendiri dan keluarga dengan menambah beban hutang apabila dijangkiti penyakit pada masa akan datang. Hargailah diri anda untuk hargai diri orang lain.

Seorang yang ingin merokok mestilah orang yang sudah cukup keperluan hidup sehariannya. Jikalau begitulah tafsiran aku, pengemis yang meminta sedekah sedang dia masih merokok adalah orang yang tak layak untuk meminta-minta. Tak begitu?
[Sila baca 2 perenggan akhir sebelum point C dalam rencana ini]

19 Oktober 2009

Duit menyebabkan kita gila


Ini kisah lama. Tak sempat nak dikongsikan pada waktu yang sepatutnya. Ramadhan lalu, seminggu selepas ketibaanku ke Malaysia.

"Duit aku banyak tapi tak tahu ke mana. Aku cuba kumpulkan duit untuk kahwin tapi tak dapat. Akhirnya bila aku berhenti jadi peguam, dan aku join kerajaan negeri, baru boleh kahwin.."
"Tak sangka tau yang duit untuk aku kahwin dan beli kereta takde sesen pun dari hasil kerja aku sebagai peguam.."

Memang Ridin (berkacamata) ini petah bercakap. Kalau kita diam pun boleh. Dia akan terus bercakap dan sesekali bertanya.

Dia kongsikan kisahnya sebagai seorang peguam lebih kurang 2 tahun lalu. Memang gajinya besar. Antara kawan-kawan sebaya, dia antara peguam yang mempunyai kelebihan pelbagai yang diberikan majikannya.

Dia diberikan kereta. Gajinya lebih RM2000 (agak banyak jika memulakan kerjaya di Kedah). Elaunnya bertimbun (sebab asyik outstation). Kalau dihitung katanya, hasil duit waktu bujangnya melebihi RM3000 sebulan.

Hairannya, tiada simpanan boleh dibuat. Duitnya diguna tak pernah untuk maksiat dan kejahatan lain pun. Tapi dia tak perasan ke mana habisnya duit. Lainlah kalau duduk KL.

Fikir punya fikir, akhirnya dia yakin yang kerjanya dulu itu tiada berkat. Memang duit banyak tapi punca hasil pendapatan ada bercampur dengan 'teknik' yang menyalahi syarak.

'Teknik' itu sudah menjadi kebiasaan atau norma kehidupan peguam accident macam dia. Banyak kes kemalangan diuruskannya. Dalam menguruskan kes-kes ini, dia mula terperosok dalam 'teknik' itu.

Bukan maksud aku semua peguam mempunyai teknik itu. Tapi ada di kalangan mereka, yang demi mendapatkan duit, matlamat menghalalkan cara. Caranya tak dapat aku dedahkan di sini kerana melibatkan institusi dan badan yang besar.

Pendek kata, ia berkaitan dengan kuasa yang disalahguna. Jika kita dapat bersua, aku boleh ceritakan secara lengkap. Sesiapa dalam bidang kepeguaman pasti arif tentang 'teknik' yang aku maksudkan.

"Suhail, biar kita bergaji kecil.. yang penting hidup berkat, tenang, aman. Kau buatlah kerja dakwah kau. Takde gaji pun takpe, pasti ada bantuan datang.. Yang penting kau tak risau, tak takut, tak bimbang setiap masa. Kau suka apa kau buat, hati pun tenang.."

Kata-kata ini mengukuhkan keyakinan aku terhadap gilanya kita apabila duit menjadi isu utama dalam otak fikiran ini hingga melupakan PEMBUAT duit yang bila-bila masa saja boleh menjadikan duit itu berguna atau tidak kepada kita.

16 Oktober 2009

Ziarah cinta Ilahi


Aku memang gemar ziarah sahabat. Jika ada kelapangan, itulah kegiatan yang aku suka sangat-sangat. Apatah lagi sewaktu mood raya masih ada.

Tadi aku baru saja ziarah seorang sahabat seperjuangan. Dalam kesibukan kerja dan kepadatan masa dengan rutin harian sebagai pegawai kerajaan, Nadmin biasanya akan sanggup meluangkan masa untuk berjumpa.

Kali ini ziarah aku bukan hanya ziarah dia dan isteri. Nadmin sudah ada anak bernama Amna Huda yang comel. Seperti abah dan umminya, Huda nampak teliti dalam memandang sesuatu seolah-olah sedang berfikir. Tambahan pula orang baru dia kenal.

Pertemuan kami pasti menyelitkan beberapa isu berkenaan Islam. Inilah yang amat menyenangkan hati sanubari masing-masing. Berbanding pertemuan dengan sahabat-sahabat lain, perbualan kami cuba mengenepikan isu duit yang selalu jadi keluh kesah masyarakat.

Di kalangan daie dan murabbi seharusnya bersedia terjun ke tengah-tengah gelanggang menangani cabaran yang sebenar, bukan sekadar mengungkapkan gagasan Islam yang besar.

Tetapi tidak dapat difahami oleh sasaran, khususnya generasi muda yang jurang kefahamannya dengan pengaruh sekitarnya yang cukup membimbangkan. Di sini, letaknya kebijaksanaan dan kesabaran pendakwah dan pendidik merancang lantaran musuh Islam, bukan saja merancang, malah sedang melaksanakannya.

- Prof Dr Sidek Baba


Murabbi. Iaitu orang yang berjiwa pendidik. Insan-insan murabbi kian hilang dewasa ini. Masih kami teringat sewaktu awal penglibatan dalam arena dakwah, kami selalu dibimbing abang-abang dan kakak-kakak senior yang merupakan murabbi buat kami.

Namun, murabbi yang membimbing kami hanya sebentar. Sebaik saja kami melangkah ke alam kampus utama di Gombak, tiada murabbi yang benar-benar menjaga kami. Akibatnya kami juga tidak dapat menjadi insan berjiwa murabbi yang sebenar untuk membimbing generasi seterusnya.

Akibatnya, generasi kini bagai terumbang ambing mendayung sampan menuju ke muara. Teknik mendayung tak sempat diperturun. Mungkin juga kerana kami kurang pengetahuan mengenainya. Dan rasa tak layak mengajar ilmu yang tak lengkap. Usah bicaralah soal mereka yang memandang sinis, pastinya kalau diajar pun, tak berguna.

"Nah, kita tak boleh teruskan keadaan ini kekal. Kita harus membantu mereka meneruskan perjuangan.. "

Ini bukan kerjaya pilihan aku


Sejauh mana kerjaya kita hari ini adalah pilihan sendiri? Cuba tanya diri kita adakah ini kerjaya yang kita idam-idamkan?

Kalau ingat zaman kecil-kecil dulu, ramai nak jadi polis, bomba, askar atau doktor. Tapi itu hanyalah kata-kata kosong tanpa memikirkan realiti masa depan dan minat mendalam yang sebenar.

Selepas berjaya menamatkan pengajian tinggi di IPT, masih ramai juga yang tak pasti apa kerjaya yang dia inginkan.

"Dah aku belajar undang-undang, mestilah jadi lawyer.."

Ada yang merasakan kerjayanya mestilah daripada bidang yang dia pelajari. Atau..

"Alah, kerja apapun tak kisah.. asalkan ada gaji.."

Ada yang merasakan kerja itu yang penting, tak kisahlah apa kerja pun, sebab gaji sangat diperlukan. Apatah lagi kalau berhutang dengan Pakcik PeTPeTiN.

Kalau mamat yang sangat memilih, mungkin dia menganggur saja kot. Itu kononnya terbaik bagi dirinya.

Jadi, cuba tanya diri anda sendiri? Apakah kerjaya yang anda ceburi hari ini adalah kerjaya yang anda inginkan? Yang anda ada passion dalamnya?

Kenapa aku tanya begini? Sebabnya akhir-akhir ini aku dapati lebih ramai orang yang aku berurusan mengakui mereka kerja begini dan begitu kerana terpaksa.

Maka, tak hairanlah makin banyak perkara jadi huru-hara. Hilang rasa tanggungjawab dan amanah dalam bekerja.

Kebanyakan mengatakan, "dah takde pilihan lain.. aku kerja ni jelah". Oleh yang demikian, timbullah perkara sebegini:

  • Guru tidak berjiwa pendidik - mengajar untuk menghabiskan silibus bukan untuk mendidik pelajar menjadi bijak pandai

  • Polis makan rasuah - jenayah sukar dibendung khususnya jenayah melibatkan dadah (sebab mereka juga bekal dadah untuk penagih/pengedar)

  • Pengawal keselamatan banyak tidur dan lemah - keselamatan pengguna tak terjamin

  • Pegawai kerajaan malas - pelanggan tak dilayannya khususnya pada waktu menghampiri waktu rehat dan waktu habis kerja.

  • Ahli politik retorik kosong - mengejar kemewahan melalui projek-projek dan suapan yang diterima dek kerana kuasa yang ada.

  • Pendakwah yang hipokrit - menjadi glamer kerana inginkan kemewahan hasil ceramah sana sini
Ini adalah antara contoh realiti yang aku berdepan dengan mereka. Bukan dari sumber sekunder. Contoh ini adalah sumber primer.

Tak aku nafikan, ada yang sangat berjaya dan berguna dalam kerjaya yang dia ceburi sekarang. Sebabnya mereka ada passion dalam kerjanya. Sebabnya mereka benar-benar inginkan kerjaya itu. Sebabnya mereka ikhlas, bertanggungjawab dan amanah.

Kita bagaimana? Marilah sama-sama kita muhasabah diri. Ramai yang tenggelam dek kerana duit hingga terlupa tujuan sebenar kerjaya itu diwujudkan.

12 Oktober 2009

Tiada hak privasi di SOGO

Apa yang nak aku ceritakan mungkin mengaibkan diri sendiri pada pandangan kalian. Tapi aku rasa ia wajar dihebahkan secara rasional sebagai peringatan kepada semua. Bagaimana jika hak privasi anda diceroboh?

Tadi aku ke SOGO, Kuala Lumpur membeli barangan sepatutnya untuk persiapan perkahwinan. Setelah makan dan sebagainya, seperti biasa, aku ke tandas. Maklumlah perut meragam.

Sedang aku membuang air, aku perasan ada flash kamera. Sumbernya macam dekat saja dengan aku. Rasanya macam dari atas ruang compartment tandas aku. Tengok macam tiada orang.

Kemudian, aku ternampak bayang kaki orang menuju ke tandas sebelah. Hatiku ingat mungkin pengguna lain. Tiba-tiba bayang kaki tu cepat saja keluar dari tandas dan menuju deras ke pintu tandas aku. Aku hanya perhatikan pintu takut-takut dibuka.

Tanpa aku sangka, dengan pantasnya, tangan dia menghulur ke ruang bawah pintu yang sememangnya terdedah dan merakam gambar aku, dengan sekelip mata. Apa??? Tak usahlah ditanya keadaaanku bagaimana waktu itu.

Aku fikir ingin menjerit. Tapi otakku segera terfikirkan dahsyatnya penjahat di Malaysia sekarang ini.

Kalau aku menjerit karang, dirempuhnya pintu tandas dan pukul aku macam mana?
Macam mana kalau aku ditikamnya pula?
Boleh ke aku bergelut dengan dia dengan keadaan tak berpakaian lengkap?

Macam-macam persoalan keluar hinggakan tiada tindakan spontan berani aku ambil. Waktu itu memang hanya aku saja yang ada dalam tandas sebab keadaan sunyi sepi.

Sesudah melepaskan hajat, aku segera bertanyakan penjaga tandas yang nampak lesu dan mengantuk. Dia tak perasan apa-apa. Bahkan tiada rasa cemas pun.

Mujur ada seorang kakak yang menyapa ,"Oh, dik akak nampak ada sorang foreigner tu pakai baju hitam tinggi-tinggi muka macam orang Arab.. dia pun tangkap gambar depan McD.. ntah siapa-siapa punya gambar dia tangkap."

Apa lagi, aku dan akak tu pergi cari dia. Tiada di tingkat bawah. Aku ternampak Pak Guard dan dapatkan dia untuk minta tolong tahan lelaki itu.

"Oh, awak kena buat report dulu. Pergi tingkat atas dan beritahu guard depan pintu utama.."

Apa??? Dia suruh aku pula yang bersusah payah. Dia dengan riak wajah bosan terus menuju ke tandas kerana ingin buang air.

Sambil itu, akak tadi pun dah pergi ke tingkat lain memeriksa mamat tu. Aku segera dapatkan guard yang dimaksudkan tadi.

"Oh macam tu.. tulah teruk ya. Berapa ramai? Muka dia macamana? Dia ada kat mana sekarang?"

Grrrrrr... Apa ni? Dengan wajahnya yang selamba, dia bertanyakan soalan yang aku tak boleh nak jawab. Dan dia senyap saja lepas berikan komen biasa itu. Tanpa sebarang usaha minta kawal semua pintu. Aku yang minta dia arahkan semua pintu dikawal dan kenalpasti mamat tadi.

Aku mencari-cari lagi dan hasilnya gagal. Hanya dapat ucapkan terima kasih kepada akak yang satu-satunya orang prihatin waktu itu. Selepas itu aku berhasrat ke tingkat 7, pejabat pengawal untuk laporkan perkara ini.

Dalam perjalanan menuju ke lif, aku jumpa kembali guard yang beri komen biasa tu. Aku dengan nada sedikit keras, beri komen tentang keselamatan dan kerjasama petugas yang menjaga tandas dan pengawal.

"Awak jumpalah bos saya.." Dia minta aku jumpa bos sambil memperkenalkan siapa bosnya itu.

Bosnya ialah pengawal pertama yang aku jumpa tadi. Yang suruh aku ke tingkat atas. Ahhh, begini ke bos yang mengepalai pengawalan keselamatan di sini? Kata-kata aku hanyalah perkara kosong baginya. Dia cakap dalam keadaan lesu dan nampak langsung tak prihatin.

"Nanti pukul 6, saya masukkanlah isu ini dalam meeting"

Hanya itulah janji dia kepada aku. Dia cakap memang tak boleh tolong sebab tak dapat kesan langsung bagaimana rupa dan ciri-ciri mamat tu. Aku bukan persoalkan pertolongan tu, hanya sikap yang tidak sungguh-sungguh itu yang menyakitkan hati.

AMARAN: Kepada semua rakyat Malaysia, atau pengunjung ke Malaysia.. Sila buang air di rumah atau di masjid berdekatan. Jangan terpedaya dengan pasaraya hebat yang konon dikawal rapi. CCTV di kawasan tandas pun tiada.

Mohon doa rakan-rakan agar kamera mamat tadi rosak dan dia ditimpa musibah yang dapat menginsafkan dia. Aku harap sangat Allah membalas perbuatan jahatnya itu dengan balasan yang keras.

09 Oktober 2009

Tinggal 10 tahun untuk Malaysia musnah


Tadi aku solat Jumaat bersama ahli kariah Darul Aman Height buat kali pertama. Kebetulan khatib juga menyentuh bab akhlak dan adab remaja.

Khatib dengan beraninya menyatakan kerosakan akhlak di kalangan remaja ini semakin parah dan mengundang kemusnahan alam dalam tempoh SATU dekad lagi. Maknanya dalam tempoh 10 tahun ini, jika masalah ini tidak diselesaikan, maka kemusnahan akan berlaku.

"Pengaruh media adalah perosak utama," kata khatib penuh bersemangat. Media massa yang memaparkan budaya dan aksi tidak senonoh menjadi ikutan para remaja. Kebebasan yang diperjuangkan mereka diikuti golongan remaja.

"..televisyen, internet, ASTRO.."

Ada benarnya apabila hari ini ramai generasi muda lebih gemar menonton televisyen berbanding hidup bermasyarakat. Rakan-rakan berkumpul hanya untuk berhibur.

Masalah akhlak atau moral tidak dibangkitkan pun di China. Kenapa agaknya? Tak pernah lagi kedengaran berleluasanya kes pelajar kurang ajar kepada guru. Kes rogol dan bunuh. Kes ragut. Kes samun dan rompak.

Berdasarkan pengalaman aku, pengaruh Barat disekat di sana. Mungkin benar apa khatib cakap tadi. Rancangan televisyen tempatan sangat banyak diisi dengan rancangan acuan sendiri.

Terdapat juga rancangan Barat tetapi dialih bahasa ke bahasa Mandarin. Hanya filem-filem tertentu dibenarkan masuk.

Internet. Di sana penapisannya sangat teliti. Sebarang bentuk maklumat berunsur lucah diharamkan. Sama nasibnya dengan pemblog yang diharamkan akses di sana.

Masyarakat di sana tidak didedahkan dengan produk-produk Barat. KFC dan McDonald tak tumbuh melata seperti KungFu (restoran ala KFC produk tempatan). Bank-bank terkenal dunia bukanlah bank pilihan rakyat kerana mereka ada Agriculture Bank of China, Bank of China, China Development Bank, dan banyak lagi bank-bank tempatan.

Bergaya? Generasi mudanya pun bergaya. Tapi kebanyakannya bergaya dengan pakaian jenama mereka tersendiri yang mungkin kalau dijual di Malaysia tak selaris DC, Gucci dan seumpamanya. Mereka gah dengan diri mereka.

Dalam hal ini, kerajaan yang banyak membantu mengubah keadaan masyarakat. Segala yang dibuat adalah atas faktor polisi kerajaan yang mengawal segalanya.

Bukankah budaya Melayu (dikhususkan kepada Melayu sebab banyak pemimpin Melayu) itu penuh adab kesopanan? Kita kena gah dengan budaya kita. Bagaimana? Melalui produk kita jugalah. Apa produk yang kita ada?

Kini China sudah mulai melonggarkan polisinya. Adakah keadaan yang dirasakan lebih selamat daripada Malaysia ini akan berkekalan setelah polisinya diubah?

Kita tunggu dan lihat. Tapi di Malaysia, kita tak boleh tunggu dan lihat. Kena bertindak dan lihat. Tinggal 10 tahun saja lagi..Mmm..

07 Oktober 2009

Ke mana hilangnya adab?


"Eleh, harap rumah je besar.. tak mahu la datang lagi" "Kedekut!!!"

Wah, garang sungguh budak berumur 5 tahun itu. Waktu itu aku sedang ziarah raya di sebuah rumah besar. Rumah bak istana dikelilingi rumah-rumah kayu tradisional itu jelas berbeza berbanding yang lain.

Kenapa kanak-kanak sekecil itu tidak beradab? Isu adab ketika beraya yang disentuh Rin pun menarik perhatian aku. Nak salahkan siapa dalam hal ini? Memang sejak akhir-akhir ini generasi pengganti kita ini semakin hilang adab.

Adab yang hilang dalam diri si kecil pasti ada kaitannya dengan si besar. Siapa si besar yang selalu dampingi si kecil? Pastinya si besar itu adalah mak ayahnya.

Jalan menundukkan kepala sewaktu melintasi golongan dewasa. Beri salam atau tegur sapa ketika berselisih dengan orang tua. Bercakap sopan menggunakan perkataan yang sesuai sewaktu berinteraksi dengan mereka. Merendahkan suara bila bicara. Dan banyak lagi adab-adab yang ditanam oleh datuk nenek moyang makin hilang seiring hilangnya datuk nenek moyang kita.

Entah-entah mak ayah zaman moden tidak mengambil ilmu dari datuk nenek moyang kita. Yalah, sibuk cari duit. Mana ada masa nak berguru. Nak didik anak kan dah ada sekolah.Anak buat hal, pujuk dengan materi.

Hilang unsur rohani dan nilai dalam diri. Pembangunan negara pun tak pentingkan sangat hal ini. Lama-kelamaan semuanya jadi kebiasaan.

Mak ditendang. Ayah dimaki. Adik dijadikan teman sekatil. Abanglah rakan sejudi. Kawan-kawan sahabat sejoli. Salah siapa lagi?

Sebenarnya tuan rumah besar tadi terlebih dahulu menghalau anak-anak kecil itu datang beraya ke rumahnya..Mm..

06 Oktober 2009

Tok Umi tahu dia akan pergi



Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi (Thaahaa : 55)


Semalam adalah hari pemergian Tok Umi, emak kepada ayah aku yang meninggalkan dunia ini pada 11.00 pagi. Aku dan keluarga yang dikejutkan dengan berita ini segera bertolak ke Pantai Dalam, Petaling Jaya untuk menziarahi arwah Tok Umi.

Berita yang diterima agak lambat dan kami hanya dapat bertolak pada jam 2 petang. Dalam perjalanan terserempak dengan Mak Long yang kemudiannya sama-sama bergerak menuju ke destinasi.Di hentian Tapah, kami bertemu pula dengan Pak Su sekeluarga. Kami seterusnya berkonvoi menuju ke sana.

Perjalanan kami diuji dengan hujan yang sangat lebat sejak dari Kedah hingga ke Perak. Ini menyukarkan perjalanan untuk tiba awal sebelum pengebumian Tok Umi.
"Kebumikan awal. Jangan dilengah-lengahkan. Tak perlu tunggu kami."

Ayah berpesan kepada Pak Lang agar Tok Umi dikebumikan segera. Pada masa itu, keadaan di sekitar kediaman Pak Teh, tempat Tok Umi menghembuskan nafas terakhir, dalam cuaca yang tenang, hujan tidak, panas pun tidak.Segala urusan pengebumian mudah dilaksana.

Setibanya kami di rumah Pak Teh, tahlil sudah pun selesai. Pada jam 9 malam itu, aku dan ayah masuk ke rumah sementara yang lain sedang menjamu selera. Bertemu Pak Lang, bersalaman dan mendapatkan berita kematian.

"Mak sempat habiskan baca Yasin sebelum pergi"
"Ana dapat ajar mak mengucap"
"Semalam mak baru saja raya lepas selesai puasa enam"
"Raya baru ini mak tanya siapa pula yang akan pergi raya kali ini"

Tok Umi juga mencari-cari kain batik lepas sebelum pemergiannya dengan pesan mudah kalau-kalau hendak meninggal nanti. Sempat juga Tok Umi khatam Quran 2 kali dalam Ramadhan lepas.


Sila layari blog Huzaifah untuk lebih banyak gambar

02 Oktober 2009

Nyonya minta doa pada Allah



Setelah berhari raya, inilah masa untuk aku meraikan pula dia yang aku sering ceritakan dalam entri-entri di China.

Dia yang bernama Thien Fuimein adalah seorang muallaf yang diberikan hidayah oleh Allah kepadanya dan diberikan kesempatan kepada aku dan rakan-rakan Melayu lain untuk membimbingnya.

Atas pelbagai urusan, aku dengan bantuan beberapa rakan, membawanya ke serata tempat. Penghujung urusan rasminya, dia luahkan hasrat untuk bercuti di Melaka.

Gambar di atas diambil di hadapan Masjid Kampung Hulu yang dibina sejak 1720 lagi. Masjid yang terkenal dengan karamah doa dimakbulkan Allah walaupun doa diminta oleh bukan Islam itu adalah sesuatu yang menarik perhatian.

"Encik, boleh saya masuk bagi sedekah?"
"Sedekah? Saya tak tahu.. cuba masuk dulu"

"Encik, saya mahu bagi RM2 ini untuk masjid"

Lantas seorang Muslim yang duduk-duduk di luar masjid mengambil duit tadi dan dimasukkan ke dalam tabung.

Terima kasih. Itulah ucapan yang diulangi nyonya itu dan terus menuju keluar sambil menjinjing dua beg plastik berisi barangan yang baru dibelinya.

Aku meluru ke arahnya dan memulakan perbualan.

Aku : Nyonya buat apa tadi?
Dia : Bagi sedekah, nak..
Aku : Untuk apa nyonya sedekah?
Dia : Mahu kasi baik semuanya. Saya ada lembu. Ada anak. Ada rumah. Semua mahu kasi selamat.
Aku : Nyonya mahu minta sama siapa?
Dia : Sama Tuhan. Kita punya Tuhan sama. Satu Tuhan saja.
Aku : Oh, Allah.. nyonya minta sama Allah mesti nyonya dapat punya.
Dia : Yalah, yang penting nanti akhirat hidup kita senang.
Aku : Nyonya ini orang Melaka Cina Baba ya?
Dia : Ya.. saya duduk Rumbia sana. Ini saya datang naik bas beli barang. Habis tu, saya tengok-tengok duit sudah cukup naik bas mahu balik. Lebih ada lagi RM2 saya bagi sama masjid.
Aku : Baikla nyonya..jalan baik-baik ya. Nanti Allah kasi selamat.
Dia : Ya, nak.. terima kasih.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular