29 April 2010

Liputan bergambar untuk tanah longsor

foto

Menurut maklumat yang di terima dari rakan rakan di Maninjau; pada sebelah malam hari Ahad 25 April baru-baru ini telah terjadi kejadian tanah runtuh di Maninjau.

2 orang terbunuh, hampir 60 orang cedera dan 40 buah rumah hancur.
Seramai 285 orang dari 95 keluarga kini mengungsi di Sg Batang.

Alhamdulillah warga pesantren Prof Dr Hamka di laporkan selamat.
GPM dijangka akan menghantar bantuan untuk membantu mangsa terbabit.
Yang ingin menyumbang boleh menghantar terus ke pejabat GPM seperti alamat di bawah
ATAU
dimasukkan ke akaun di bawah (sila maklumkan butir sumbangan ke GPM).

Global Peace Mission
Bank Islam Malaysia Berhad - No Akaun 14 023 01 002922 4 atau
Maybank - No Akaun 564 221 611 602

2-2A Jalan GJ 2
Batu 5 1/2 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA
Tel: +603-6188 3230, Fax: +603-6188 3233
Di bawah laporan dari Tempo mengenai kejadian tersebut.
MOHD HALIMI
EXCO GPM

Sila baca keratan akhbar berkaitan di sini.

p/s: Aku tiada mulai hari ini (29 Apr 2010) hingga Isnin depan (3 Mei 2010) kerana berada di Maninjau untuk liputan foto kawasan bencana.

25 April 2010

Minta guru ajarkan kita

"Hidup ini adalah satu proses kematangan yang natural"

Inilah kata-kata yang sering aku ungkapkan. Bukan daripada buku atau sesiapa. Hanya rumusan daripada pengalaman perjalanan hidup yang pernah aku lalui.

Dinamakan proses kematangan kerana pasti sebelum kita benar-benar matang, kita banyak buat silap. Bukan sekali tapi berkali-kali dan makan masa. Kesilapan lepas bukanlah perkara memalukan. Ia sekadar sejarah yang mencorakkan kita hari ini.

Cuba kita perhatikan kisah hidup kita selama ini. Pasti kita dapati betapa nikmatnya kesilapan lalu. Begitu juga kejayaan. Semua ini yang membentuk jatidiri kita.


Cuba kita renung lebih dalam. Kita sedar atau tidak proses ini adalah kehendak Allah? Ya, renungilah dengan baik setiap perkara yang berlaku dalam hidup ini. Pasti kita dapati peristiwa yang berlaku adalah 'matapelajaran bernyawa' (living lessons) untuk mengajar kita.

Itulah yang aku rasakan. Biar aku kongsi sedikit apa berlaku kepada diriku baru-baru ini:

1- Jika anda baca entri sebelum ini, ini adalah sambungan rentetan peristiwa Jumaat, Sabtu dan Ahad.

2- Pada khutbah Jumaat, aku disedarkan khatib tentang kejayaan sebenar. Hanya orang beriman sahaja yang boleh berjaya. Noktah. [kupasan ayat pertama surah Al-Mukminun]

3- Fajar Sabtu, aku mengikut mertua ke surau Villa Bestari. Kagum dengan ramainya jemaah Subuh. Ditekankan dalam kuliah Subuh tentang kepentingan solat berjemaah khususnya Subuh & Isyak. [juga merupakan ciri kejayaan yang diterangkan dalam surah Al-Mukminun]

4- Fajar Ahad, aku mengikuti perkongsian kuliah Subuh oleh sahabat setaman. Diterangkan soal konsentrasi dalam solat yang akan memudahkan segala urusan dalam hidup. Rasa betapa dekatnya Allah dalam diri. [pengkuliah baru mengikuti latihan solat khusyuk oleh Abu Sangkan]

5- Pagi Ahad hingga ke petang, aku hadiri 'Seminar Kenali Potensi Diri' oleh Dr Azizan Osman. Subhanallah, makin terasa kehebatan Allah. Instinct aku merasakan Dr Azizan mempunyai hubungan luarbiasa dengan Allah, cuma dia tak pamerkan seperti gaya seorang ustaz. Dia banyak ilmu khususnya dalam bidang metafizik. Bukankah metafizik itu juga bahagian spiritual? Keyakinan kepada kuasa Allah kun fayakun ditanamkan kepada peserta secara tak sedar menggunakan aplikasi ilmu alpha mind.

Wahai sahabat, nampakkah kalian matapelajaran yang sedang aku ambil daripadaNya? Aku memang sedang belajar untuk yakin. Aku juga minta untuk berjaya. Aku minta selalu daripadaNya. Maka, DIA ajar aku melalui peristiwa-peristiwa ini.

Ada yang kata kebetulan tapi istilah itu tiada dalam hidup aku. Setiap yang berlaku ada maksudnya. Kita mungkin tak sedar dalam sedar. Jadi, kalian pasti faham bagaimana perasaanku sekarang.

Mintalah sahabat.. Mintalah! Mintalah matapelajaran apa yang kita mahukan. DIAlah guru paling hebat.

p/s: Tiada guru yang boleh kita taksub melainkan Maha Guru Yang Maha Mengetahui

23 April 2010

Cuba baca surah al-Kahfi


Hari ini adalah hari Jumaat. Marilah kita rebut ganjaran percuma pada hari ini dengan membaca surah al-Kahfi kerana inilah sunnah Nabi yang dibuat pada hari ini.

Jangan lupa pula membaca terjemahannya. Ini lebih penting kerana Quran itu bukan untuk bacaan berlagu semata-mata, bahkan penghayatannya dalam kehidupan harian kita.

Kisah Ashabul Kahfi yang terperangkap dalam gua selama 309 tahun nampak seperti tidak logik bagi mereka yang cerdik pandai. Sedangkan mereka tertidur dengan sangkaan hanya semalaman atau setengah hari.

Allah menunjukkan kehebatannya dalam kisah ini menidurkan mereka sebegitu lama tapi mereka sangka hanya seketika. Jelas sekali sewaktu tidur, kita tak sedar apapun berlaku.

Bukankah kebanyakan orang koma juga mengatakan dia tak sedarkan diri sekejap saja selepas tersedar dari keadaan begitu sekian lama?

Dikisahkan juga tentang Nabi Musa yang tidak sabar mengikut Nabi Khidir sehingga Nabi Khidir melarangnya meneruskan perjalanan bersama. Allah tunjukkan kepada rasul yang Allah berhak memilih siapa yang dikehendakiNya untuk dibukakan ilmu ghaib kepadanya.

Terdetik di hati aku, jangan mudah bersangka buruk kepada manusia lain. Mungkin orang yang kita sangka buruk itu mendapat kelebihan daripada Allah. Allah terangkan juga di sini bahawa Allah beri petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki (ayat 17). Maka alangkah beruntungnya siapa yang dipilihNya.

Setelah dibaca habis semuanya, kita akan dapati DUA syarat utama untuk dapat menikmati syurga dan bertemu dengan Allah. Kita hendaklah menjadi manusia yang BERIMAN. Dan banyakkan melakukan KEBAJIKAN.

Dua saja syaratnya. Mudah ke? Soal IMAN, kita perlu tanya diri sehabisnya kerana rukun iman itu sendiri semuanya perkara ghaib. Sejauh mana keimanan kita kepada kelima-lima rukun ini hingga merasakan hadirnya Tuhan dalam hati pada setiap masa.

Begitu juga KEBAJIKAN. Kita mungkin suka bantu orang, beri duit, bagi hadiah dan sebagainya. Tapi sejauh mana kebaikan yang diberikan itu sebenar-benar ikhlas mengharap redha Ilahi atau mencari sanjungan manusia?

Alhamdulillah, enak sekali rupanya menjamah santapan Quran ini. Lagi banyak yang dibaca, lagi banyak yang ingin kita ketahui. Sungguh banyak tips yang Allah beri untuk dapatkan the best life.

Takut pula dengan peringatan Allah berikut. Moga kita tak tergolong dalam kelompok suka berbantah.

Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.(Al-Kahfi:54)


Selamat Hari Jumaat!

22 April 2010

Mahu bercinta sebelum kahwin?


Pernahkah saya bercinta? Erm, jika disorot kembali zaman mudaku la macamlah aku dah tua, masih aku teringat betapa aku berperangai seperti kanak-kanak sehinggalah sebelum aku bernikah.

"Ibu, suhail nak bercinta boleh?"
"Nanti, tunggu habis sekolah"

"Ibu, suhail dah habis sekolah, boleh bercinta?"
"Nanti, tunggu masuk maincamp UIA"

"Ibu, sekarang dah masuk gombak, boleh tak bercinta?"
"Nanti, baru tahun pertama.. belajar dulu"

Begitulah perangai aku bertanya untuk mendapat izin bercinta daripada ibu. Sehinggalah pada tahun akhir, aku masih bertanya. Kali ini ibu senyap saja tapi tidak juga mengizinkan. Apabila hasrat aku untuk 'bersama' isteriku disuarakan, barulah benar-benar ibu izinkan.

Aku bercinta sebelum berkahwin tidaklah lama mana. Tambah pula aku tiada di Malaysia, hanya cinta jarak jauh. Syukur ia berakhir di jenjang pelamin.

Aku bersyukur sangat tidak gila bercinta sebelum berkahwin. Tambahan pula, akhir-akhir ini lebih banyak pendedahan kesihatan yang mewajarkan untuk tidak gila bercinta. Berkawanlah saja dahulu, dan berikan cinta sebenar selepas bergelar suami.

Sebab apa? Sebabnya sebelum anda berkahwin, anda seharusnya menjalani ujian Talasemia selain ujian HIV. Ujian ini sangat penting untuk masa depan anak-anak dan keluarga.

Seandainya cinta sudah 120% pada waktu itu dan disahkan salah seorang daripada mereka penghidap HIV atau Talasemia, pasti sukar membuat keputusan untuk meneruskan perkahwinan.

Ceh, pepatah cinta yang terkenal ,"lautan api sanggup kerenangi.." Maka, tak kisahlah Talasemia, aku tetap akan kahwininya demi cinta. Memang benar, tapi persoalan selanjutnya apakah cinta itu berkekalan subur apabila anak yang dilahirkan sentiasa terpaksa harungi transfusi darah setiap bulan dan pengambilan medikasi berterusan selain zuriat selepasnya juga terdedah kepada risiko sama?

Fikirkanlah soal cinta ini baik-baik. Usah terperangkap dalam cinta sebelum kahwin, pentingkan masa depan yang bakal mencorak legasi hidup kita.


p/s: Allah penentu penyakit ini namun sunnatullah tetap berfungsi

18 April 2010

Apa ertinya kehidupan?


Aku terbaca petikan ini dari blog Aznil. Marilah sama-sama kita dalami erti kehidupan yang tersimpan dalam luahannya:

Assalamualaikum,

Luahan hati Paknil sempena hari lahir Paknil yang ke 47, 6 November :

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Alhamdulillah pada hari ini aku sempat menghirup udara Mu yang terus memberi aku nafas kehidupan buat tahun yang ke 47. Bersyukur sangat-sangat pada usia begini Kau masih melimpahkan aku dengan kasih sayang Mu yang tiada dapat ku balas selain amal dan pujian kepada Mu Tuhan Maha Esa. Ya Allah, jika Kau mahu aku teruskan kehidupan ku untuk terus berada di muka bumi ini, aku pinta dan berdoa agar Kau terus limpahkan aku jua hidayah Mu agar dapat ku perhambakan diri ku kepada Mu.

Kau maha mengetahui akan perjalanan hidup ku ini dan Kau maha arif akan kehadiran ku yang masih di dunia pinjaman untuk aku ini. Aku masih mempunyai keluarga yang amat ku sayangi dan amat menyangi aku. Sementelah Kau pinjamkan aku pada mereka dan mereka pada aku, biarlah mereka dapat sepenuh pembelaan kehidupan dari ku. Banyak lagi yang kekurangan yang harus ku lunaskan sebelum tiba masa Kau menjemputku.

Kurniaan Mu pada ku akan cahayamta comel yang juga hamba Mu yang sujud pada Mu Ya Allah, amat bererti bagi ku agar dapat mereka juga meneruskan kehidupan bertonggakkan dua kalimah sehingga mereka pula beranak dan bercucu, InsyaAllah. Peliharalah kesihatan ku agar jasad ini dapat terus melakukan tugas yang Kau amanahkan pada ku. Halakan lidah dan perbuatanku agar dapat ku titip dakwah seruan Mu dalam kerja ku dengan cara ku. Kau maha mengetahui mengapa Kau ciptakan aku dan letakkan aku di tampuk ini. Wallahualam. Siapa lah aku dan orang lain untuk menghakimi kerja ini jika ini juga kebolehan yang Engkau anugerahi untuk ku pinta rezeki bekal hidup yang sementara.

Ya Allah. Aku bersyukur kerana Kau terus pesan-pesan sayang Mu pada mereka yang rapat dengan ku agar terus mengingatkan aku seandainya aku lalai dalam amal ku, dalam ibadah ku, dalam kerja ku, dalam suka ku, dalam duka ku dan dalam tangunggjawab ku. Kau anugerahkan aku dengan saudara ku yang senantiasa bersama ku di waktu senang dan susah. Juga rakan ku di waktu tawa dan tangis. Kerana anugerah yang tinggi ini, aku terus melangkah yakin kerana aku tahu, Engkau ada wakilkan pada mereka untuk membimbing aku kearah Mu.

Kerana kasih Mu Ya Allah, Kau berikan kelebihan limpah padaku untuk turut memdapat perhatiaan dari ramai mata lain agar langkahku tidak pincang dan dipelihara selalu. Pemerintahku, pemimpinku, ketuaku, dan penyokongku. Syukur ke hadrat Mu kerana memilih aku untuk menerima kelebihan ini agar dapat mereka menegur ketelanjuranku, keegoannku dan kealpaanku.

Ya Allah. Aku ikrarkan janjiku untuk cebisan nyawa yang masih ada ini, juga untuk aku jadi pembela pada yang pincang, yang lemah, yang sakit, yang kerdil, yang rapuh, yang teraniaya, yang tiada kelebihan, yang kurang dan yang memerlukan. Akan aku abadikan harta yang kau berikan, akal yang kau anugerahkan dan kudrat yang kau limpahkan untuk mereka juga kerana mereka juga penumpang sementara diperjalanan dunia sama seperti aku.

Ya Tuhan sekelian alam. 47 tahun Kau bentuk diriku dan semua yang baik dari Mu dan yang buruk dari ku jua. Bersyukur lagi aku kepada Mu kerana masih bisa lagi meminta ampun dari Mu di hari Kau jadikan aku. Sesungguhnya aku terlalu takut pada Neraka Mu. Maka, salurkanlah aku kudrat untuk terus mengingati Mu dalam harianku, Seandainya hari lahir ke 48 tidak sempat ku gapai, matikanlah aku pada iman mu, pada agama mu, pada syiar mu, pada hidayah mu dengan cara yang tidak menyakitkan dan mengaibkan. Matikan aku seperti wafatnya junjungan ku Nabi Muhammad SAW yang ditangisi dan dirindui.

Ya Rahman Ya Rahim. Alhamdullillah dengan rezeki yang Kau berikan. Biar sekecil mana habuannya, aku tetap bersyukur atas nikmat pemberian Mu. Janganlah digelapkan mata ku untuk rezeki yang bukan milikku, yang bukan keredhaan Mu dan yang dikaut bukan untuk dikongsi. Ringankanlah tangan ku untuk memberi, untuk menghulur dan untuk menderma. Halakan seleraku untuk yang kau halalkan dan bukan yang kau haramkan dan laknati. Buka pintu hati ku untuk berbelanja ke arahMu dan agama Mu.

Saudaraku bukan sahaja yang sedarah dengan ku malah yang seagama dengan ku. Abadikanlah juga perhatian perjuanganku, rezekiku, kerjaku, doaku dan amalku untuk saudara seagama dan sebangsa. Pinjaman senang yang kau salurkan pada ku Ya Allah tidak bakal jadi penerang lahad ku nanti. Hanya amal, ibadah dan doa anak yang soleh rezeki pembela aku di sana.

Dengan mata yang masih tidak kabur di usia ini Ya Allah, Kau tampakkan aku pada kemungkaran agar aku simpangi. Celikkan aku pada kedaifan agar dapat ku baiki. Buka kan mataku pada kesempitan orang agar dapat ku bantu. Jadikan mata ini untuk melihat dan menjadi saksi kepada kesilapan diru ku dan orang lain agar dapat ku tebus kesalahan sebelum mata ini menjadi kabur dan tutup buat selamanya.

Ya Ghafur, pelihara hidung ini agar ia boleh terus menghirup udara agar aku terus bernafas. Agar aku dapat menggerakkan tubuh ini kearah Mu. Biar rongga ini terus menghidu bau Firdausi Mu dan setanggi nur Mu. Berilah deria ini kelebihan menghidu perjalanan kearah mu kerana bau kebenaran adalah dari Mu jua.

Ya Rashid, peliharalah mulut ku agar dapat berzikir nama Mu dan Rasul Mu. Agar bercakap benar untuk Pencipta ku yang ku takuti. Agar tidak dicucur dengan api azab Mu nanti. Ya Allah, peliharakanlah kata-kata Ku agar yang diucap bakal jadi ubat, yang ditutur bakal jadi penawar, yang diluah bakal jadi madu dan yang dikatakan bakal jadi perindu. Doa ku agar kasturi janji mu penyegar nafasku.

Ya Qayyum, puji-pujian atas Mu yang membenarkan aku berdiri, berlari dan melangkah lagi walau pernah langkah ku silap. Walau pernah langkah ku sumbang. Walau pernah langkah ku jelik. Kau beri lagi tulang dua kerat ini untuk ku hayunkan seirama usia matang ku ini. Ya Allah, letakkan lah kaki ku ini dilandasan Mu agar ia berjalan ke rumah mu, ke Raudhah Mu, ke Nur Mu, ke sisi Mu. Biar kaki ini jadi puas dibasahi wudhu’ untuk ku balut menyujud ke hadrat mu.Pesongkanlah kaki ini dari mencecah kemurkaan Mu Ya Tuhan.

Ya Wahid. Di ketika umur ku setinggi ini, Kau masih benarkan tangan ini dihayun. Akan ku guna untuk ku angkat ke langit berdoa mendapatkan Syafaat Mu. Biar tinggi tangan ku seperti yang kau benarkan di Masyar dunia dengan izin mu dahulu. Tangan ini ku rasa seperti terlalu kecil untuk menampung rahmat Mu yang besar. Berikan tangan ini deria rasa yang berkekalan agar dapat ku rasa gentelan tasbih mengahadkan diri Mu. Dengan izin Mu jua, diketika ini tangan ini bisa memetik kekunci huruf di hadapan ku untuk ku luah rasa syukur ku. Tiada yang lebih Esa dari diri Mu.

Letakkanlah tangan ku di atas untuk ku genggam tangan di bawah. Ringankan tangan ku Ya Allah agar tidak liat berkongsi rasa, berkongsi senang, berkongsi harta yang Kau pinjamkan bersama yang tiada. Di usia ini terasa ingin tangan ini memeluk ayah ku yang telah bersama Mu. Tangan yang dipimpin ayah ini dulu, kini ku angkat untuk ku doakan kebahagiaan mu di sana di sisi PenciptaNya.

Tangan inilah yang dibasuh ibuku dahulu tanda menyuci diri. Sesuci kasih ibu, aku gunakan tulang ini juga untuk ku tadah kehadrat Mu semoga Kau terima suci cinta ibu ku kepada Mu. Ketukkan tangan ini ke kepala ku jika aku terlupa mendahulukannya. Ibu yang selalu mendahulukan aku daripada dirinya. Ya Tuhan pelihara tangan ini agar aku dapat terus berdoa untuk ibuku harta besar pemberian Mu.

Ya Tuhan pencipta sekalian alam. Ampunkan dosa terkumpul ku yang kian tahun kian menggunung dan hapuskan terus menjelang aku menghadap Mu. Aku terlalu takut pada siksaan Mu Ya Allah. Pada insan yang aku berhutang kemaafan, ampunkan aku jika aku meluka, mengguris dan menyakit kalian. Atas doa sejahtera kalian juga aku masih berkesempatan diraikan untuk kesekian kalinya dengan nyalaan dian bertambah. Aku mahu jadi teman kalian agar aku dapat lebarkan penerimaan kasih dan pemberian sayang.

Tiada kenangan buruk yang ingin aku abadikan melainkan yang manis semata. Minda ini mungkin sudah terlalu lemah untuk mengingat yang menyakiti aku, yang menghunus rusuk ku, yang mengherdik telinga ku, yang menyucuk mata ku dan yang meracun semangat ku. Minda tua ini kian menguis rasa benci itu agar disiram dengan rasa maaf agar kemaafan juga yang aku temui. Maafkan aku kawan, maafkan aku kanda dan dinda ku. Maafkan aku semua. Ampunkan aku Tuhan!

Biar esok aku dilahirkan semula supaya bersedia untuk dikembalikan. Amin.”


Aku percaya dalam dirinya mempunyai asas tauhid yang kuat. Kekuatan ini harus digembeleng dalam diri kita kerana dengan adanya ia, kita pasti sentiasa tenang menghadapi apa jua keadaan hidup.

14 April 2010

1B1A: Jom Kembalikan Semula!

Justify Full


"Alahai benda ni common sense la. Takkan tak faham?"

Perkara begini sering dibebelkan seorang rakan aku. Rakan aku ini memiliki kamera DSLR dan kamera video. Seringkali gajetnya ini dipinjam rakan lain. Sewaktu ingin pinjam, bukan main baik muka dan kata.

Tapi setelah selesai guna, kita sendiri pun tak tahu status gajet itu. Bila ditanya, dia dengan sambil lewa menjawab, "entah, rasanya dah letak balik." Mengapa tidak dipulangkan secara tangan ke tangan sedangkan asalnya diberikan sebegitu? Adakalanya dipulangkan dalam keadaan sudah rosak tanpa beritahu kerosakan sebenar.

Kempen kembalikan semula ke tempat asal ini boleh dikategori dalam payung tanggungjawab. Kalau kita sudah gunakan sesuatu yang bukan milik kita, pastinya kita bertanggungjawab untuk menjaganya (sepertimana keadaan asal sewaktu dipinjam) apabila menggunakannya.

Memang betul perkara ini adalah common sense. Apa yang membimbangkan ialah jika apabila yang common itu ditentukan oleh masyarakat bukan berasaskan nilai.

Sebagai contoh, seorang yang menggunakan troli pasaraya hanya meninggalkan troli di tepi jalan selepas menggunakannya dengan alasan ramai orang berbuat begitu. Jika perbuatan itu dirasakan common, maka tidak menjadi masalah untuk tidak kembalikannya ke tempat asal. Tambah pula kita mengatakan,"kan ada pekerja dia yang akan ambil troli ni nanti.."

Cukuplah. Mari kita berusaha untuk berubah ke arah lebih baik, lebih bertanggungjawab, lebih memudahkan orang lain. Masyarakat Bali boleh dijadikan contoh dalam soal tanggungjawab kerana tanpa perlu diminta, mereka mudah memberi bantuan apabila nampak orang lain sedang menurunkan barangan dari lori untuk berpindah.

Aku mahu kenal diri


Sudah sebulan aku kembali ke Malaysia. Dua kali isteri sudah ke klinik untuk rutin pemeriksaan ibu mengandung. Kehidupan terus berlangsung tanpa berundur setapak ke belakang. Ya, sekalipun kita berusaha untuk berundur, ia mustahil berlaku.

Baru-baru ini aku dipertemukan Allah dengan seorang pemuda. Lagaknya sama seperti orang muda lain. Rambutnya kemas berdiri dengan gayanya tersendiri. Pakaiannya sentiasa segak dan rapi. Pantang minum bersama, berbatang-batang rokok dihabiskan.

Sekilas pandang, dia tiadalah setanding tokoh ilmuan yang pernah aku kenali. Namun, ilmu yang disampaikannya sangat mengajar aku tentang kehidupan.

Apakah kita kenal siapa diri kita yang sebenarnya? Cuba tanya pada diri sendiri. Apa tugas kita? Apa tujuan kewujudan kita? Apa yang kita cari di dunia? Apakah yang telah berlaku dalam kehidupan lepas? Dan apakah kita faham apa yang sedang berlaku dalam kehidupan sekarang?

Cubalah jawab dengan jawapan sebenar dari dalam diri, bukan dari buku-buku yang pernah kita baca. Carilah jawapan daripada ilmu yang kita manfaatkan. Mungkin selama ini kebanyakan ilmu yang dipelajari hanyalah untuk kemegahan kertas, yang pastinya kini tiada nilainya.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular