29 Januari 2010

Belajar Arab di Beijing

Hari ini aku berjanji untuk bertemu dengan Imam Musa, salah seorang kenalan Cina yang berasal dari Ningxia. Kami berjanji untuk bersolat Zohor bersama di masjid Xiao Dong Ying.

Jika menaiki kenderaan, tak mungkin perasan kewujudan masjid ini kerana ia terletak di celah-celah kawasan perumahan flat yang didiami masyarakat Cina.

Namun jemaahnya biasa dipenuhi oleh Muslim berkulit hitam yang tinggal berdekatan. Kebanyakan mereka adalah peniaga yang mempunyai syarikat sendiri di sini.

Suhu sangat dingin. Pak Indera, kenalanku yang berasal dari Surabaya pernah perbetulkan kosa kataku. Katanya dingin bermakna lebih sejuk daripada sejuk. Waktu itu aku kata cuaca sejuk sedangkan ia sebenarnya dingin. Begitu teliti dia.

8 darjah Celcius pada hari itu membuatkan isteriku kurang aktif. Mukanya nampak berbeza daripada biasa. Begitu juga aku. Seluruh wajah terasa bagai membeku. Bucu bibir terasa kering dan terluka apabila mulut terbuka luas. Telinga terasa keras kedinginan.

Janji harus ditepati. Kami redahi cuaca itu dengan tawakkal dan semangat untuk bertemu kenalan lama. Aku mengenalinya sewaktu makan semeja berbuka puasa di masjid yang sama pada waktu Ramadhan tahun lalu.

Pertemuan ini bertujuan berbincang untuk adakan program bersama Muslim Malaysia di negeri asalnya. Perbincangan diadakan menggunakan bahasa Arab. Loghat Mandarinnya agak berlainan daripada kebiasaan. Sebab itulah bahasa Arab menjadi pilihan.

Pertama kali aku ke Guangzhou dulu, aku berasa amat kagum dengan imam-imam Cina di sini. Majoriti mereka boleh berbahasa Arab fushoh (standard) bukan 'ammi (pasar). Apabila ditanya kepada mereka adakah mereka mempelajarinya di mana-mana negara Arab, mereka menggelengkan kepala.

Rata-rata mempelajarinya di Kolej Islam Beijing. Kolej yang dibina oleh kerajaan ini mempunyai tenaga pengajar tempatan dan melatih para pelajar menjadi imam-imam di seluruh China. Ketekunan dan disiplin belajar yang hebat membuatkan mereka berjaya menguasai Bahasa Arab.

Imam Musa kini berhijrah ke Guangzhou untuk mencari rezeki setelah tamat berkhidmat sebagai imam di Ningxia. Dia baru saja membuka syarikat sewa kereta untuk pelancong. Keretanya yang baru dibeli seminggu lepas ditawarkan kepada aku untuk digunakan tanpa sebarang bayaran. Katanya aku adalah sahabatnya dan dia sanggup membawa aku berjalan ke mana saja aku mahu.

Tawaran dia aku tolak memandangkan kereta itulah punca pendapatannya. Lagipun pengangkutan awam di sini lebih efisyen dan menjimatkan masa. Belum menjadi keperluan untuk aku gunakan khidmatnya.

 

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam...

Selamat menjalani kehidupan baru...Salam pada Nadzifa. Jemput dtg UK...Kat sini last month before snow suhu mencecah -15 darjah celcius.....

-mak ude-

Sahalfikri berkata...

Salam Mak Ude,

Wah, sana lebih dahsyat, x dpt digambarkan kedinginannya. Tp mak ude sekeluarga mesti dah biasa. kami ni sbb baru lg, tu yg terperanjat sikit. skrg ni dah mula tinggi sikit suhu..

Nadzifa juga kirim salam kepada mak ude skeluarga.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular