31 Januari 2010

Sorotan minggu lepas

 GAMBAR 1

Rumah kami diziarahi kawan baikku, Pak Indera dari Indonesia bersama keluarganya.

Dan Uncle Man, jiran terdekat...hehe.

Pak Indera ini rileks saja orangnya, rendah diri dan tak sombong diri.

Alangkah seronoknya menyambut mereka yang datang bercuti ke sini.

Isteriku masak istimewa buat mereka.

Makaroni goreng bersama salad sayuran.

Dan paling best, cucur jagung.. mmm, lazat.

 

"Kamu rajin masak ya?," Tanya isteri Pak Indera kepada isteriku.

Hahaha, tersengih isteriku dibuatnya.

Ibu pun minta pula resepi cucur jagung.

Pasti enaklah tu..

 

GAMBAR 2

Isteriku ikut ke masjid Huaisheng untuk tunaikan solat Jumaat.

Berjalan kaki agak jauh hari ini.

Berkenalan pelajar Masters UIA yang sedang bantu emaknya berniaga.

Isteriku beli roti daripadanya selepas solat.

 

GAMBAR 3

Kembali zaman pra-internet.

Aku menulis surat dan mengeposnya ke Australia.

Keluarga angkatku di Pulau Kokos sudah lama tak dapat berita.

Entah kenapa perhubungan emel tak dapat tembus lagi.

Aku kirim emel, mereka tak dapat.

Mereka kirim emel, aku tak dapat.



29 Januari 2010

Belajar Arab di Beijing

Hari ini aku berjanji untuk bertemu dengan Imam Musa, salah seorang kenalan Cina yang berasal dari Ningxia. Kami berjanji untuk bersolat Zohor bersama di masjid Xiao Dong Ying.

Jika menaiki kenderaan, tak mungkin perasan kewujudan masjid ini kerana ia terletak di celah-celah kawasan perumahan flat yang didiami masyarakat Cina.

Namun jemaahnya biasa dipenuhi oleh Muslim berkulit hitam yang tinggal berdekatan. Kebanyakan mereka adalah peniaga yang mempunyai syarikat sendiri di sini.

Suhu sangat dingin. Pak Indera, kenalanku yang berasal dari Surabaya pernah perbetulkan kosa kataku. Katanya dingin bermakna lebih sejuk daripada sejuk. Waktu itu aku kata cuaca sejuk sedangkan ia sebenarnya dingin. Begitu teliti dia.

8 darjah Celcius pada hari itu membuatkan isteriku kurang aktif. Mukanya nampak berbeza daripada biasa. Begitu juga aku. Seluruh wajah terasa bagai membeku. Bucu bibir terasa kering dan terluka apabila mulut terbuka luas. Telinga terasa keras kedinginan.

Janji harus ditepati. Kami redahi cuaca itu dengan tawakkal dan semangat untuk bertemu kenalan lama. Aku mengenalinya sewaktu makan semeja berbuka puasa di masjid yang sama pada waktu Ramadhan tahun lalu.

Pertemuan ini bertujuan berbincang untuk adakan program bersama Muslim Malaysia di negeri asalnya. Perbincangan diadakan menggunakan bahasa Arab. Loghat Mandarinnya agak berlainan daripada kebiasaan. Sebab itulah bahasa Arab menjadi pilihan.

Pertama kali aku ke Guangzhou dulu, aku berasa amat kagum dengan imam-imam Cina di sini. Majoriti mereka boleh berbahasa Arab fushoh (standard) bukan 'ammi (pasar). Apabila ditanya kepada mereka adakah mereka mempelajarinya di mana-mana negara Arab, mereka menggelengkan kepala.

Rata-rata mempelajarinya di Kolej Islam Beijing. Kolej yang dibina oleh kerajaan ini mempunyai tenaga pengajar tempatan dan melatih para pelajar menjadi imam-imam di seluruh China. Ketekunan dan disiplin belajar yang hebat membuatkan mereka berjaya menguasai Bahasa Arab.

Imam Musa kini berhijrah ke Guangzhou untuk mencari rezeki setelah tamat berkhidmat sebagai imam di Ningxia. Dia baru saja membuka syarikat sewa kereta untuk pelancong. Keretanya yang baru dibeli seminggu lepas ditawarkan kepada aku untuk digunakan tanpa sebarang bayaran. Katanya aku adalah sahabatnya dan dia sanggup membawa aku berjalan ke mana saja aku mahu.

Tawaran dia aku tolak memandangkan kereta itulah punca pendapatannya. Lagipun pengangkutan awam di sini lebih efisyen dan menjimatkan masa. Belum menjadi keperluan untuk aku gunakan khidmatnya.

 

26 Januari 2010

Musim dingin di Guangzhou

Sudah seminggu kami berada di bumi asing ini. Permulaan yang agak payah kerana suhu dingin yang jarang sekali dirasakan. Mengambil masa untuk sesuaikan diri.

Terkadang pening kepala dibuatnya apabila suhu mencecah 8 darjah Celcius. Cepat-cepat kami masuk semula ke rumah selepas membeli barangan keperluan.

Mesin pemanas terpasang hampir 24 jam tanpa henti sejak kami membelinya. Suhu di dalam rumah juga tidak tertahan dek badan khususnya kaki dan tangan. Hendak atau tidak, kami terpaksa harungi situasi ini lagi 2 bulan.

Jumaat lepas suhu mencapai 12 darjah Celcius. Aku gagahkan diri ke masjid untuk tunaikan solat Jumaat. Kedinginan lebih dirasai apabila angin bertiup kuat. Hujan rintik turut membasahi bumi Guangzhou pada waktu itu.

Masjid Saad Abi Waqqas mempunyai ruang solat yang sangat kecil. Pada hari Jumaat, tikar dihamparkan di ruangan pejalan kaki dan lapangan berhampiran.

Hujan yang terus turun memaksa jemaah mendengar khutbah dan menunaikan solat dalam kebasahan. Aku tanggalkan stokin yang dipakai agar air tak meresap. Dinginnya tak dapat aku gambarkan.

Di sinilah terletaknya maqam pakcik baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang juga sahabat baginda. Saad bin Abi Waqqas berhijrah ke Kanton (nama lama bagi Guangzhou) pada tahun 650 dalam era pemerintahan Khalifah Uthman.

Kedatangan beliau telah menyebabkan rahmat Islam tersebar luas. Boleh dikatakan hampir setiap tempat yang dituju, pasti ada Muslim. Malah terdapat beberapa negeri dengan majoriti penduduknya Muslim seperti Xian, Xinjiang, Yunnan, Lanzhou, dan Ningxia.

Sesudah menunaikan solat, aku sempat membeli dua buku roti di pasar yang dibuka pada hari Jumaat di luar perkarangan masjid. Aku sudah serik membeli roti di kedai biasa.

Dahulu kami dapati pembuatan roti di sini menggunakan minyak babi. Jelas tertera di pelekat yang menjelaskan bahan-bahan ramuan. Roti yang tinggal hanya beberapa keping. Yang lainnya sudah dimakan rakan-rakanku yang lain.

Roti halal di pasar ini dikeluarkan oleh Medina Food, salah satu syarikat milik pedagang Arab yang membekalkan pelbagai makanan berasaskan roti. Kini aku sudah tahu di mana untuk dapatkan roti halal walaupun tak selembut Gardenia.

19 Januari 2010

Makan asal ada

Asalkan ada makanan yang hendak dijamah sudah cukup. Itulah pendirian aku bukan sekadar di rantau, bahkan di tanah air pun begitu.
(Aku rasa lebih selesa menggunakan kata ganti nama AKU dalam blog ini. Barulah terasa santai.)

Gambar di atas adalah masakan untuk makan malam pertama kami di rumah. Cukuplah apa yang ada di rumah. Ini pun sudah kenyang dan mendatangkan tenaga. Tak perlulah risaukan kami ya ibu ayah, mak abah.. semuanya masih terkawal. Hehe.. (masak sedap-sedap nanti, tak terkawal pula..haha)

Esok aku mungkin berjumpa dengan seorang rakan kenalan abah dari Turki. Tadi sudah berhubung dengan wakilnya di sini. Harapan aku pertemuan esok dapat mengukuhkan ukhuwah dakwah yang terjalin.

Rakan-rakan pasti belum tahu apa yang bakal dibuat oleh aku untuk FASA DUA penghijrahan aku ke China. Kali ini tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk reachout. Jalinan rasmi dengan badan-badan tertentu akan dibuat dan produk dakwah juga akan cuba ditawarkan oleh GPTD.

Jadi, aku harus lebih agresif dan kreatif menilai kemampuan dan mencekup peluang serta mencipta ruang untuk kesatuan ummah dalam memacu semangat pengorbanan para sahabat yang menyebabkan Islam dijulang suatu ketika dahulu.


18 Januari 2010

Lebih mudah kalau praktis

Kita sering berasa susah apabila cuba mempelajari bahasa asing. Sebaliknya apabila orang asing belajar bahasa ibunda kita, kita pasti mengatakannya mudah. Begitu jugalah jawapan yang diberikan orang asing itu apabila kita mempelajari bahasanya.

Pendek kata, bahasa itu unik. Kesusahan dirasakan kerana ia adalah suatu yang janggal bagi diri yang sejak kecil terbiasa dengan rutin. Hakikatnya ia bergantung kepada diri sendiri.

Saya baru saja tiba di Guangzhou. Hampir 3 bulan saya bercuti di Malaysia. Tidak praktis langsung Bahasa Mandarin yang saya pelajari dahulu sewaktu bercuti. Malu alah pula pada warga Cina. Yalah, belum berapa fasih. Tambahan pula ada pilihan untuk berbahasa Melayu.

Sejak dari dalam pesawat saya terkumat kamit cuba menyebut perkataan yang perlu dituturkan nanti. Isteriku kehairanan dengan sikapku. Risau juga lah kalau-kalau sampai di lapangan terbang nanti berlaku apa-apa.

Alhamdulillah, tak kusangka, mulutku mudah saja menuturkan bahasa asing itu apabila berkomunikasi dengan orang China. Kosa kata yang terperap dalam otak muncul semula satu persatu.

Inilah agaknya yang dikatakan bahasa itu bukan dipelajari dalam kelas semata-mata. Kita harus praktis. Apabila sudah dipraktis, saat kita berkomunikasi, ia keluar begitu saja.

Eh, bukan.. bukan saya sudah fasih. Saya sudah yakin untuk bercakap Mandarin. Masih banyak kosa kata baru perlu ditambah. Sehari dua ini banyak perkara perlu diuruskan. Kalau dulu, ada kawan-kawan pelajar yang sudah fasih. Banyak yang mereka bantu. Kini aku hanya ada isteriku. Tapi isteriku tak tahu apa-apa..hehe.

Sebagai hero (untuk isteriku), saya paksa diri untuk menguruskan hal-hal rasmi dengan pihak pengurusan apartmen, pihak polis dan tuan rumah. Saya gagahkan diri bercakap dan mendengar dengan teliti. Tak semua perkataan yang keluar dari mulut mereka yang saya faham namun isinya dimaklumi.

Praktis demi praktis diperlukan. Isteriku masih banyak membisu. Kasihan dia tapi dia kata dia ok. Hehe. Saya sudah mula bawa isteri ke pasar membeli barang. Perkenalkan dia dengan tauke sayur dan pengemis masjid yang baik dengan aku. Akan kuusahakan dia belajar Mandarin pula selepas ini.

p/s: Maaf tulisanku masih belum teratur sebab diri belum stabil (cuaca dingin dan urusan penting hal ehwal rumah masih belum selesai)

17 Januari 2010

Tambahan gambar

Inilah gambar yang sempat ditangkap di dalam flight AK116 tadi. Yang sadisnya, kami kena 5 das meriam busuk. Fuhh, apakan daya.. hehe. Apapun tahniah kepada AirAsia atas hidangan Nasi Briyani yang sungguh lazat. Cukuplah setakat ni.. dah lewat malam. Jumpa lagi nanti.

Sekatan diperhebat di China

Kepada semua pembaca, saya dan isteri sudah sampai di Guangzhou pada 9.30 malam. Kami kemudiannya menaiki bas dan teksi untuk tiba ke rumah sewa. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan Allah tanpa tahanan di kastam dan kesukaran mendapatkan bas dan teksi.

Cuaca di sini sekitar 14 darjah Celcius. Kedinginan yang jarang dirasakan agak sukar untuk kami menyesuaikan diri. Seperti yang saya beritahu dalam Facebook, saya akan online pada 11 malam tapi rupa-rupanya sekatan internet di China diperhebat. Maaf ya semua..

Pelbagai proxy server telah saya cuba untuk tembusi Facebook dan blogspot tetapi masih gagal. InsyaAllah cubaan akan dibuat lagi. Seperkara lagi, no telefon China yang pernah saya berikan kepada kenalan lain kini juga tidak dapat digunakan. Saya perlu mencari nombor telefon baru untuk perhubungan.

Air di rumah pula tiada. Mungkin kerana bil belum dibayar. Heater pula sudah diambil orang, mungkin digunakan di asrama pelajar. Jadi, esok kami perlu cari solusi untuk hadapi situasi ini. InsyaAllah blog akan sentiasa dikemaskini melalui emel.

Buat masa ini, untuk berhubung dengan saya, sila emelkan ke otyc82@gmail.com.

p/s: Salam dari kami buat ibu ayah, mak abah dan adik-beradik kami semua juga saudara mara dan rakan taulan khususnya mereka yang hadir ke LCCT untuk mengiringi kami berangkat ke Guangzhou (Auntie Nas, Uncle Malek, Nusrat, Nazanin, Hakim, Jihan, Balqis, Fahmi, Andi, Kamilah, Sulafa, Asma, Abg Alias sekeluarga, Yana dan Faizal)

07 Januari 2010

Di hari pernikahanku



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, aku mulakan bicara. Tirai 1431H disingkap dengan kehidupan baru. 3 Muharam adalah tarikh yang bermakna dalam meniti hidup ini.

Semangat Hijrah yang biasanya dikaitkan dengan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik benar-benar terasa pada tahun ini. Kehidupan kali ini lebih terarah kepada kesempurnaan ibadah kepada Yang Maha Esa.

Saat aku dinikahkan oleh Abah, pemindahan tanggungjawab cukup dirasai. Kerana itulah aku terhenti seketika apabila diminta membaca doa sambil meletakkan tangan di kepala isteriku, Nur Nadzifa Ahmad Azam.

Akulah ketua yang kini memimpin isteriku menuju ke syurga. Itulah amanah besar yang dipertanggungjawabkan sebelum berkembangnya lembayung kepimpinan dengan kelahiran generasi kemudian.

Namun aku harus sedar, selaku anak lelaki, syurgaku di bawah telapak kaki Ibu. Begitulah kiasan Melayu dalam menggambarkan ketaatan dan kecintaan besar terhadap Ibu.

Apa mungkin aku memimpin isteri dan keluargaku ke syurga andai ketaatanku kepada Ibu 'pemilik' syurga terabai. Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar kecintaanku kepada isteri tak melebihi cintaku kepada Ibu tercinta.

Begitulah rantai perjalanan menuju syurga. Cinta Agung milik Allah diberikan secebis rasanya kepada kita untuk disemaikan dalam hati ibu dan isteri. Aku sangat berharap agar kehidupanku selalu mendapat redha ibu. Redha Allah itu terletak pada redha ibu bapa.

I love you Ibu..
I love you Sayang..
But Allah is the One who shall receive my love first and foremost..

Ya Allah, cinta itu milikmu, kurniakanlah secukupnya untuk diriku dan insan-insan sekelilingku.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular