24 Jun 2008

Ni hou



Ni hou.. itulah perkataan paling kerap digunakan apabila bertemu dengan orang ramai. Ia umpama salam bagi kita orang Islam. Perjalanan aku kali ini adalah perjalanan paling mencabar pernah aku lalui. Sebabnya aku sendirian dan belum boleh berbicara bahasa tempatan.

Bahasa Inggeris bukanlah bahasa terbaik untuk komunikasi di sini. Mandarin adalah satu-satunya bahasa keperluan dalam berbicara. Setibanya aku di Baiyun International Airport, hatiku berdebar. Aku selawat banyak-banyak dan berdoa agar dipermudahkan. Alhamdulillah, Allah kabulkan.

Aku berjaya melewati semua peringkat pemeriksaan sehingga dapat keluar ke balai ketibaan. Di sana, aku mencari-cari orang perhubungan aku. Ha, itu pun dia. Tak sampai 5 minit, aku sudah agak perempuan bernama Anis adalah dia. Kerana dia awal-awal lagi sudah sms begini.

"Saya akn tunggu kamu di sana. Saya kecil-kecil orangnya. Tak bertudung"

Lalu aku dibawa olehnya ke hotel berdekatan masjid tertua di Guangzhou. Perjalanan dari lapangan terbang ke sini mengambil masa 45 minit. Dalam sehari ini, aku sempat ke masjid Huai Sheng, masjid Hao Pan dan masjid Dong Ying.

Anis cukup hebat kerana sanggup menemani aku ke semua tempat ini dengan hanya berjalan kaki. Aku kagum dengannya yang sangat komited membantu aku sehingga ke malam hari. Dia pelajar di Universiti Jinan yang sudah 2 tahun belajar dalam bidang pendidikan Bahasa Mandarin. Sebutannya sahaja boleh membuat kita bingung sama ada dia ini orang Indonesia atau Cina kerana mukanya mirip orang berbangsa Cina.


Berdekatan hotel aku, terdapat beberapa restoran halal. Antaranya ialah restoran Uygur. Mereka adalah bangsa yang duduk di pergunungan di daerah Xinjiang. Bangsa Uygur ini terkenal dengan kecantikan dan sinonim dengan Islam. Makanannya juga mirip makanan Arab. Di sinilah aku menemui 5 orang pelajar UiTM yang mengembara ke China sendirian tanpa sebarang pemandu arah (seperti dalam gambar di atas - seorang lagi sedang tangkap gambar ini).



Yang paling tak dapat aku lupakan ialah menaiki bas awam. Macam tin sardin. Semua orang melekat antara satu sama lain. Melekat tak apa lagi, tapi apabila bau busuk badan mereka menusuk hidung, itu yang aku tak tahan. Fuhh.. lain kali tak naik bas dah. Lebih rela aku naik tren subway METRO. Murah pun murah. RM0.80 saja.


Semalam adalah hari sambutan kelahiran Saidatina Fatimah. Inilah kali pertama aku tahu ada sambutan sebegini. Masjid Huai Sheng dibanjiri ramai penganut Islam. Bezanya di sini, aurat tidak menjadi isu. Perempuan berpakaian ketat dan memakai kopiah atau tudung kecil untuk solat. Anis sangat tidak selesa jika tidak bertelekung. Jadi, Anislah yang pelik di kalangan jemaah.

21 Jun 2008

Doakan aku selamat


Awal pagi esok aku akan bertolak ke Guangzhou, China. Naik AirAsia pada pukul 5.45 pagi dan dijangka tiba di sana pada pukul 9.45 pagi. Inilah misi utama aku yang menjadi penyebab aku memilih untuk berhenti menjadi peguam (tak pasti lagi sementara waktu atau selamanya..).

Perjalanan selama 5 hari ini hanyalah bertujuan mengumpul maklumat dan mencari peluang terbuka untuk melebarkan sayap rahmat Ilahi kepada umat manusia.

Ya, aku pergi seorang diri. Di sana aku akan membina jaringan dengan sesiapa sahaja yang Allah rancangkan untuk aku. Memang aku tak pasti apa yang boleh dibuat dan bagaimana untuk aku berbuat. Aku serahkan pada DIA Yang Maha Berkuasa untuk membantu aku mencari jalan mustaqim yang dia lakarkan.

Doakan agar setiap detik waktu yang akan aku lalui dipermudahkan dan dirahmatiNya. Doakan agar pemergianku berhasil membawa laporan bermutu. Doakan agar perjalananku selamat pergi dan kembali.

Doakan agar setiap insan di sekelilingku khususnya ibu, ayah, adik beradikku, sanak saudaraku, sahabat handaiku, guru-guru, teman-teman, dan sesiapa sahaja yang berhubung denganku atau tidak dikurniakan pahala berganda olehNya atas apa yang aku lakukan kini. Kerana semua ini juga adalah hasil didikan, dorongan dan nasihat mereka sama ada secara langsung atau tidak.

Akhir kata, jangan lupa doakan diri sendiri ya.. hehe.

Rangkuman 3 hari

Memandangkan aku tak sempat coretkan catatan terkini dengan lengkapnya, cukuplah aku gabungkan kisah-kisah aku beberapa hari yang lalu.




Bermain futsal memang seronok walaupun hati aku sakit dengan kerenah kawan-kawan lain yang mungkir janji. Kalau ya, katakan ya. Kalau tidak, katakan tidak. Kan mudah begitu. Kenapa lah ada orang yang terfikir untuk menyusahkan orang lain?

Pelik.. dan hari ini membuatkan aku tak mahu lagi mengajak mereka yang mungkir janji untuk bersama dengan aku dalam aktiviti-aktiviti yang sungguh-sungguh aku usahakan. Aku lebih suka dengan rakan-rakan 'biasa' yang lebih mudah buat urusan dengan mereka. Sekali cakap sudah faham.

Tahniah kepada sahabat-sahabat yang terpampang mukanya dalam blog aku ini. Mereka inilah antara yang boleh aku percayai. Maafkan aku agak emosional sebab ia melibatkan wang dan keringat. Boleh ke main futsal 5 org saja sedangkan pada asalnya 15 orang mengatakan boleh main? Hmm..




Pada hari Khamis pula, aku diajak untuk bersama adik-adik GPTD lagi untuk menyaksikan pertandingan akhir Akademi Al-Quran. Memang sudah rezeki mereka, aku lapang waktu itu. Jadi, dapatlah aku (buat kali pertama) menjejakkan kaki ke PICC.

Sempat bertemu dengan Kak Nor yang sedang mengandung itu. Moga-moga anak dalam kandungan itu dapat juga dengar bacaan merdu daripada para finalis sekaligus terdidik menjadi insan berguna kepada agama.

Sedikit rasa kerdil dalam lautan manusia yang berpakaian baju Melayu dan berkopiah. Maklumlah aku pun tak bersedia untuk datang. Tapi, apa salahnya pun.. entah, nak rasa kerdil juga. Hehe..


Dan sekali lagi semalam aku bersama adik-adik GPTD lagi. Kali ini mereka pula aku ajak ikut aku. Aku nak ke Kinokuniya membeli buku bahasa Mandarin. Setelah itu, kami menjamu juadah di... (tgk gambar tahu la).

Inilah masa-masa yang aku luangkan untuk adik-adik GPTD aku ni semata-mata memberi mereka rasa riang dan ceria di samping bekerja sebagai sukarelawan. Ada masanya kita perlu bersama-sama gelak ketawa dan berbual-bual agar hubungan persaudaraan itu terikat kuat. Bukan bermakna, ukhuwah itu hanya wujud bila bekerja. Setuju?

Dan mungkin aku buat begini kerana tak lama lagi aku akan berjauhan dengan mereka.. ya, mungkin.. dan aku tidak mahu GPTD malap ditelan detik masa yang berlalu. Biar hati mereka terikat di sini dan terus berbakti.. Gambate!

20 Jun 2008

Sumbangan diperlukan

Kepada individu atau kumpulan yang berminat untuk menyumbang kepada kerja-kerja kesukarelawanan penulis, bolehlah hulurkan sumbangan melalui akaun ini:

No Akaun : 001-239904-025
Bank : HSBC Bank Berhad
Penama : MUHAMMAD SUHAIL BIN AHMAD

Penulis juga sedang dalam usaha mengumpulkan dana bagi meneruskan misi di China dengan mencari dan melatih kader baru supaya dapat menetap untuk tempoh yang lebih lama di sana.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) yang disertai oleh penulis, sila klik di sini.

Publisiti Media

Berikut adalah beberapa publisiti media berkenaan keterlibatan penulis dalam kegiatan aktivis belia yang pernah mendapat liputan:

Uploaded with ImageShack.us


15 Jun 2008

Bersuka ria






Aku dan dua sahabat setuju menghabiskan hari Sabtu bersama. Mula-mula sekali, kami pergi ke Pusat Darah Negara. Tak disangka rupa-rupanya hari ini hari penderma darah sedunia.

Dengan azam yang tinggi, aku datang dengan tujuan menderma plasma. Kata doktor, berat perlu 55kg ke atas baru boleh.

"Ibu.. tengok ni, berat suhail 57 kg."
"Balik-balik negara Arab terus naik 7 kg.. baguslah."
"Yang penting dapat derma plasma, ibu.."

Sebaik saja aku timbang hari ini, aku tak puas hati sebab berat aku 54.6kg. Arghh, lagi 400 gram saja. Tak apalah. Asalkan aku dapat bawa sahabat aku ni pun dah cukup. Kelakar tengok gelagat mereka.




Selepas tu, kami ke Balai Senilukis Negara. Sempat berbual dengan S Amin Shahab. Banyak pengalaman yang dia ada. Akhirnya aku dapat no telefon dia untuk manfaatkan pengalaman dia dengan ahli-ahli GPTD. Sambil dia berborak, dia boleh melukis dengan cantik sekali.






Alang-alang bawa kamera, kami terus ke KLCC untuk bersiar-siar dan mengambil gambar. Mencuba teknik shooting yang menarik. Kebetulan, sepasang suami isteri dari Lubnan minta aku tolong tangkapkan gambar mereka. Mereka ingat aku buat bisnes tangkap gambar pelancong. "We are muslims. We are brothers. Free of charge.. Never mind."



Selesai solat Asar, kami bergegas ke Taman Tasik Titiwangsa sebelum ke Balai Senilukis Negara sekali lagi. Kali ini kami nak tengok Laman Santai.Saja nak cuba barang baru. Peralatan tambahan kamera aku belum diuji. Jadi, sambil lepak-lepak minum, sempatlah aku tangkap gambar Dato Ahmad Jais, Kopratasa, Raja Azura dan Shafinaz.






Hah, sebut pasal Shafinaz.. kelakar pula. Kawan aku, Nadmin ditarik Shafinaz untuk melayan dia menyanyi. Ceh, Fad.. jangan marah ya. Shafinaz datang ke kerusi Nadmin dan bawa dia ke depan. Kalau aku pun tergamam. Hehe.


Alhamdulillah, aku suka dengan masa yang terisi hari ini dengan sahabat-sahabatku. Mungkin hari ini akan mengeratkan tali persaudaraan aku dengan mereka. Dan mungkin juga kegembiraan hari ini menjadi memori indah kepada mereka saat aku tiada. Dan kuharapkan mereka ceria dengan kehadiranku.

10 Jun 2008

Metrobus No 91

Memandangkan kebanyakan pembaca blog aku ramai mempunyai kenderaan sendiri, aku nak kongsikan pengalaman hari ini. Aku percaya ramai yang tidak lagi menaiki bas awam. Mungkin baru-baru ni terpaksa naik juga disebabkan harga minyak naik.

Aku baru pulang dari Melaka ke Gombak. Bas yang aku naiki Metrobus No 91. Di dalam bas..

Situasi 1

Mamat ini cacat tangan kiri. Nampak pelik. Sebaik saja naik, dia tersenyum pada orang ramai. Lalu dia pun duduk.

Kemudian, beberapa peguam muda (aku kenal lah gaya mereka.. kalau peguam lama, dah tak naik bas.. nampak pun macam budak chambering.. hehe) naik bas. Perempuan. Mamat tadi tiba-tiba bangun dan berikan tempatnya.

"Ha.. biar saya duduk sebelah sana. Awak ambil tempat ni. Kan perempuan tak elok duduk sebelah lelaki."

Dua perempuan tadi pun duduk bersama. Mereka berterima kasih.
[ Bagus juga orang ni..]

"Tapi kalau awak duduk sebelah saya, bolehlah.. sebab saya hitam. Sama dengan baju awak"
[Eh, mamat ni dah mula..]

Aku tak hiraukan, mungkin dia suka berselorok. Selepas beberapa minit, dia ditegur pembantu bas.

"Eh, kenapa berdiri ni? Kan ada tempat duduk tu"
"Saya memang suka berdiri"

Semua penumpang melihat gelagat dia. Tengok sebab dia cakap kuat. Masing-masing memandang kiri dan kanan (biasalah naik bas tengok pemandangan). Sekali lagi kami tengok mamat ni. Macam persembahan teater pula. Sebabnya kami tergelak kecil bila mendengar kata-katanya.

"Ha.. adik nak seringgit ya?" Dia menegur anak kakak yang duduk bersama suaminya. Sambil tu, dia main kuu cakk.

"Abang, nak makan apa ya untuk dapat anak lelaki?" Suami kakak ditegurnya pula. Kami ketawa. Dia tak dilayan.

Dia kembali mengusik peguam muda yang duduk di depannya. Uwekk.. dia julurkan lidah gaya mengejek. Tak dilayan. Dia terus ke depan untuk berbual dengan peguam muda. Aku tak dengar. Tapi perempuan tu nampaknya tak selesa. Kawan-kawannya tersenyum saja.

Sampai di Chow Kit, mamat ni pun turun. Sebaik kakinya melangkah turun daripada bas, dia menjerit, "Jalann!!!"


Situasi 2

A: Nak ke mana?
B: Chow kit.

A: Chow kit?
B: Haah..

A: Sinilah chow kit. Naik kat chow kit, nak turun chow kit?
B: Oh iye ke? Mana chow kit?

A: Tu.. (jari ditudingkan menunjukkan kedudukan chow kit)
B: Terima kasih

Lalu B pun turun tanpa sebarang rasa malu. Penumpang lain tersenyum.

***

Apa menariknya pengalaman aku ni?Hah.. korang fikirlah sendiri apa yang dapat kita belajar?


06 Jun 2008

Peluang menarik


Ini adalah peluang terbaik kepada semua rakan-rakan terutama kepada mereka yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tugas duta biasanya mempromosikan negaranya kepada orang luar. Segala informasi berkaitan negara dimaklumkan kepada pengunjung. Informasi diberikan bertujuan memberi kefahaman kepada mereka selain mengelak sebarang konflik akibat salah tanggapan mengenai negara tersebut.

Begitu jugalah dengan Kedutaan Islam. Kami memerlukan ramai duta untuk menerangkan Islam kepada pengunjung. Para pelancong seluruh dunia sering mengunjungi kedutaan kita di Malaysia. Mereka biasanya disaji dengan informasi berkenaan struktur bangunan dan sejarah.

Sayang sekali apabila mereka ke masjid (Kedutaan Islam) tetapi tidak diterangkan tentang indahnya Islam. Salah faham yang dimainkan media massa menyebabkan Islam sering dipandang serong seperti pengganas.

Mengapa tidak kita menjadi duta untuk merapatkan jurang persaudaraan sesama manusia?

Dengan ini saya menyeru kepada semua untuk menjadi duta kepada Kedutaan Islam di Malaysia.

Tiada had umur dan pencapaian akademik.
Latihan disediakan.
Jadual waktu anjal.

Sila sebarkan maklumat ini.

p/s: Sesiapa yang ingin menyalin entry ini untuk dimuatkan di mana-mana laman adalah dialu-alukan

02 Jun 2008

3 hari di Jordan

Tembikai yang dijual di tepi jalan

Maaf kerana terlewat kemaskini pengalaman terbaru aku. Alhamdulillah perjalanan aku ke Amman, Jordan sebelum memasuki Palestin berjalan lancar. Hajat masuk ke Palestin tidak kesampaian kerana urusan visa yang memakan masa. Sekurang-kurangnya perlu berada di Jordan sebulan sebelum masuk ke sana.

Namun, aku dapat berada di sempadan. Tak sampai 50 meter bumi Palestin berada di depan mata aku. Bendera berkibar megah bukanlah bendera negara suci itu tetapi bendera si penjajah.

Bendera Israel berada di belakang aku

Ramai penduduk Jordan berasal dari Palestin. Bahkan aku berkesempatan untuk ke kem pelarian Palestin dan sekolah yang dibina PBB untuk mereka.

Keadaan di bandar Amman, Jordan

Seperti yang telah aku nyatakan, aku tak tahu misi ini untuk apa melainkan setelah aku berada di Qatar (transit). Aku dijelaskan oleh teman musafir aku bahawa misi kali ini adalah untuk tujuan perniagaan. Aku hanya bertindak sebagai agen penghubung dengan wakil organisasi aku di Jordan.

Bersama kanak-kanak Palestin di kem pelarian

Kali ini aku kurang berpuas hati kerana misi ini mempunyai manfaat tersendiri yang skopnya tidak sebesar misi-misi aku sebelum ini. Namun, aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya setiap detik musafir ini menjadi pengalaman baru bagi aku.

Jadi, kali ini mungkin banyak gambar yang diambil nampak santai dan seronok. Inilah satu-satunya misi yang seolah-olah melancong bagi aku.

Sungai ini dipercayai tempat pembaptisan Jesus


Bukit di belakang Laut Mati ini adalah bumi Palestin

Dan alhamdulillah sekembalinya aku dari Jordan, setelah berbincang dengan organisasi aku, kami bersetuju menubuhkan satu kelab Palestin. Kami akan berusaha ke sana atau kem pelarian Palestin di Jordan untuk membantu dalam bidang pendidikan selain menyalurkan bantuan kewangan oleh individu-individu yang berminat.



Unta dan kuda yang sempat aku tunggangi

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular