header-photo

Kembali ke Malaysia

Alhamdulillah, delegasi Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 26.4.2008 jam 2.45 petang. Banyak pengalaman yang telah ditimba sepanjang 2 minggu lalu. Suatu pengalaman yang tak mungkin ditemui di sini.

Benar kata pepatah, jauh perjalanan luas pengalaman. Di Bahrain, saya telah ditemukan dengan beberapa individu yang sangat dedikasi.



Muhammad Islam, seorang warga Filipina berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Binaan, bekerja dengan Kementerian Kerja Raya Bahrain. Dia adalah antara orang terawal bersama Discover Islam (DI) [NGO dakwah yang terkenal di Bahrain] berdakwah melalui pelancongan. Keluarganya masih berada di Filipina dan dia balik setiap 2 tahun.


Syed R Ali, seorang warga India yang mencetuskan idea 'Dakwah Thru Mosque Tour' berkelulusan Kejuruteraan Geologi, bekerja sepenuh masa dengan DI. Dia tercabar dengan misionari Kristian yang ditemuinya apabila mendaki gunung Himalaya. Katanya ,"Di tempat begini pun mereka datang. Inilah kesungguhan mereka. Pernah kita terfikir seperti mereka?"

Mohd Asif, seorang warga Bahrain berketurunan Pakistan sepenuh masa bersama DI. Sangat sabar dan tekun melayani kami. Sentiasa menjadi pemandu kami dan memastikan kami cukup makan. Sangat dikenali di kalangan masyarakat kerana sikap peramahnya.

Syeikh Abdul Hakim, seorang warga Bahrain berketurunan Arab, CEO Kuwait Finance House Bahrain. Melayani kami seolah-olah dia hanyalah pelayan. Tidak langsung bangga diri dengan kekayaan miliknya. Baginya tiada apa nilai RM7,000 untuk belanja kami makan malam di Hotel Sheraton sebelum pulang.

Syeikh Moosa, seorang warga Bahrain berketurunan Arab, memiliki puluhan syarikat perniagaan, ahli lembaga pengarah DI. Dia kelihatan seperti orang biasa kerana kerendahan diri dan tidak menunjuk. Siapa yang dikenalkan namanya kepada dia akan diingat selalu dan disebut apabila berbicara.

Dr Ding Shiren (Ayub Norul Haq), seorang warga China berketurunan Hui bekerja sebagai Pensyarah di University Lanzhou, China. Petah bercakap dalam bahasa Arab membuatkan dirinya tidak kekok berbual dengan para pembesar Arab. Selain bahasa ibundanya, dia juga mahir dalam bahasa Inggeris dan Urdu. Kepakarannya dalam bidang perbandingan agama membuatkan pemikirannya lebih terbuka dan luas.

Pendek kata, semua individu ini dedikasi dalam bidang masing-masing atas satu sebab. Ramai lagi orang seperti mereka yang tak dapat aku ceritakan semuanya.

Mereka sedar dan ingin menyedarkan lebih ramai bahawa DAKWAH adalah tugas semua individu Muslim walaupun dia bukan dalam mana-mana badan dakwah. Ini adalah tanggungjawab semua dan akan dipersoalkan kelak.

Atas nama DAKWAH, si kaya merendahkan diri membantu yang memerlukan.
Atas nama DAKWAH, persaudaraan tidak terbatas pada darjat dan kenamaan.
Atas nama DAKWAH, seluruh manusia adalah kawan.
Atas nama DAKWAH, hidup kian tenang dan aman.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...