Dalam kesunyian petang, kawan aku tiba-tiba menyapa untuk berkongsi duka. Dia tak sudah-sudah bertanyakan mengapa ibunya dihina dan dipinggirkan nenek kandungnya.
Harta pusaka yang sudah dipindah milik kepadanya pun diambil semula. Ibunya dikutuk kononnya tak membantu nenek yang sedang sakit walau hakikatnya, kalau dibandingkan dengan adik-beradik lain, ibunya yang kerap membantu nenek.
Namun, tiada rasa kasih dan syukur diluahkan si nenek menghargai pengorbanan si ibu selama ini. Adik-beradik lain pula entah kenapa dari dulu cukup dengki dengan ibunya. Kalau dulu, atuk ada..dia selalu pertahankan ibu. Tapi kini dia asyik dipersalahkan walau tak buat sebarang kesalahan.
Dalam kawanku ini kehairanan, aku hanya menjawab ini sesuatu yang biasa. Bukan kali pertama aku mendengar luahan rasa begini. Jika diamati luahan hati para pembaca dalam majalah-majalah yang merungkai kisah kehidupan manusia, ini adalah antara warna-warni yang tertulis pada perjalanan hidup kita.
Si ibu tadi seharusnya diberi penghormatan lebih kerana sanggup berkorban walaupun sering dihina. Sefaham aku si ibu itu tak salah kalau dia tak membantu si nenek yang sering mengejinya. Itu bukan tanggungjawabnya.
Setelah si ibu berkahwin, tanggungjawabnya terlepas dan berpindah kepada suami. Namun, bagi anak lelaki, ianya berterusan menagih syurga dari telapak kaki ibu sehingga akhir hayat.
Sentuh bab pusaka ini, aku cukup terperanjat apabila golongan tertentu mencabar pembahagian harta pusaka, lelaki dapat dua bahagian daripada perempuan. Apakah belum cukup jelas kata-kata Allah?
Allah mensyariatkan bagimu tentang pembahagian pusaka untuk anak-anakmu. Iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan..(an-Nisaa' 4:11)
Hikmah di sebalik 'ketidakadilan' yang dimomokkan ialah lelaki memikul tanggungjawab lebih besar daripada perempuan. Jika si ayah mati, anak lelaki memikul beban menjaga kebajikan ibunya dan adik-adik perempuan. Kalau tiada anak lelaki, maka adik/abang lelaki kepada si mati yang perlu menjaga mereka.
Perempuan itu dicipta untuk dilindungi. Sejak kecil sehingga mati, lelaki bertanggungjawab menjaga mereka. Sebelum berkahwin, si ayah jaga. Dan selepas berkahwin, si suami. Tiada ayah atau suami, maka jadilah seperti yang aku nyatakan tadi.
Hak itu datang bersamanya tanggungjawab. Makin besar hak dan keistimewaan yang diberi, makin besarlah tanggungjawab. Persoalannya bagaimana kalau si lelaki itu tak bertanggungjawab tapi mengambil haknya?
Haknya wajib diberikan kerana itu jelas diperintah Allah. Tanggungjawab itu adalah liabiliti yang akan dipersoalkan. Jangan disebabkan tak bertanggungjawab, maka hak itu tidak diberikan dan dikatakan 'not fair'.. atau dikatakan 'kolot'.. 'tak sesuai dah dengan zaman ini'.. dsb.
Aku tak menolak hakikat fenomena zaman kini tentang ramai lelaki tak melaksanakan tanggungjawab. Namun, itu bukan sebab untuk menolak hak yang diberikan.
Antara cara untuk mengatasi masalah si anak lelaki begini ialah berikanlah hibah (hadiah) kepada anak perempuan (yang difikirkan lebih bertanggungjawab dan boleh menguruskan kebajikan ahli keluarga lain).
Dengan cara ini, harta yang ditinggalkan kepadanya akan melebihi si anak lelaki dan merupakan ganjaran bagi si perempuan yang sanggup berkorban.
Kesedaran tentang hak dan tanggungjawab perlu disemai sejak kecil. Anak selalu diberikan wang saku tetapi jarang dipesan bagaimana menguruskannya. Pantang habis, dimintanya lagi dan diberikan.
Anak suka menonton televisyen tetapi tak dipesan untuk siapkan kerja rumah dahulu. Anak diberikan makan tetapi jarang dipesan agar tinggalkan makanan untuk orang yang belum makan. Anak dibelikan permainan tetapi jarang diajar untuk main bersama yang lain. Anak disuruh agar selalu tukar pakaian tetapi tak dilarang mencampak baju merata-rata. Anak dibiarkan tidur lena tetapi tak dipastikan agar katil siap dikemas sebaik bangun.
Semua ini kadangkala berlaku pada sesetengah keluarga. Kononnya ibu ayah merasakan si kecil perlu dimanja dan disayangi sebegitu. Kalau benar kita sayang mereka, kita kena didik mereka sejak kecil. Kita kan tak mahu andai anak kita nanti adalah SAZALI...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan