08 Jun 2006

Nasib Anak Kandung

Aku rakyat Malaysia
Berbesar hati apabila dipuji
Panorama indah memukau mata
Kesopanan rakyat disebut-sebut
Makanan tradisional bualan dunia
Aman hidup berbilang bangsa

Aku rakyat Malaysia
Negaraku kecil bak tikus
Tapi mengaum bak singa
Tak pernah tunduk pada Sang Perkasa
Licik politiknya menyelamatkan rakyat

Hebat pemimpin kami
Walaupun bertubuh kerdil
Hebat mencilok
Dibandingkan dengan si putih yang sasa itu
Hinggakan negaraku dipanggil Bendahara
Mengawal keamanan Asia Tenggara

Namun, itu jika kau lihat dari luar kotak
Cuba kau tembusi isinya
Baru kau tahu suka duka aku
Rakyat Malaysia yang terpinggir

Mercutanda di ibu kota
Meminggirkan danau di desa
Pengangkutan moden di bandar
Meminggirkan jalan tak bertar
Makanan segera rutin harian
Meminggirkan makanan tradisi warisan
Pakaian terkini berinovasi
Meminggirkan pakaian hormat diri
Pemimpin negara asyik diagung
Meminggirkan ulama yang patut disanjung

Yang kuat terus kuat
Yang lemah terus lemah
Yang kaya makin kaya
Yang miskin makin miskin

Maka, dari sudut mana harus diukur pembangunan?
Adakah dengan tingginya bangunan?
Walau bah menghalang perjalanan
Adakah dengan hebatnya teknologi?
Walau rumah usang lagi
Adakah dengan fesyen terbaru?
Walau kami masih ada yang cukup baju
Adakah dengan makanan hebat di hotel ternama?
Walau ada yang hidup melarat lagi merana

Buat apa menuding jari
Kerana mungkin itu silap sendiri
Yang susah sangat bergantung dan tidak berdikari
Dan yang senang hanya mementingkan perut sendiri


-luahan dari seorang rakyat kepada aku menyatakan nasib dirinya-

HSK
12.40pm
220506

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular