22 Jun 2006

Akibat Marah

Mungkin inilah hari malang bagiku. Dalam tempoh dua hari aku dan teman sejawatan perlu menyiapkan satu kajian berkenaan kontrak antara dua pihak yang melibatkan badan asing dari luar Negara. Soalan yang perlu kami jawab agak banyak dan kurang spesifik. Namun, bagai budak yang baru tumbuh gigi, kata-katanya mungkin kurang difahami. Begitulah kami dalam menyiapkan kerja-kerja yang diamanahkan.

Sungguhpun begitu, ini bukanlah sesuatu yang malang yang aku maksudkan. Seperti biasa, keadaan kerja kami agak riuh rendah kerana sering bergelak ketawa sambil menyiapkan kerja. Apatah lagi apabila setiap petang akan disiapkan teh tarik penyegar mata yang selalu mengharapkan agar ia dipejam.

Semalam, teh tarik pun disiapkan dan dihantar ke perpustakaan, tempat kami berbincang dan berbual-bual dalam menyiapkan kajian yang diberikan. Masing-masing sibuk ke sana ke mari menyiapkan tugasan. Sehinggalah pada satu ketika, aku duduk berseorangan bersama kakak pustakawan.

"Hah, akak pantang tengok air dibawa masuk ke perpustakaan ni"
"Cawan tu dah habis minum ke belum?"
"Pergi basuh cawan-cawan yang ditinggalkan tu"
"Itu hari dah ada yang tinggalkan sampai bersemut"
"…"


Macam-macamlah teguran keras berupa amaran yang ditegaskan oleh kakak itu dalam nada yang garang. Aku yang masih belum habis minum air teh itu terus meneguknya sampai habis. Satu lagi itu bukan cawan aku tetapi disebabkan cawan itulah aku dimarahi. Aku hanya mampu mengangguk seolah-olah mengiyakan kesalahanku.

Empunya cawan yang satu lagi dah pergi entah ke mana aku pun tak tahu sebab ditinggalkan begitu saja cawan yang masih berisi air. Sejam selepas itu barulah muncul insan bertuah ini. Dalam hati yang terguris kerana terpaksa menanggung kesalahan orang lain dan tersimpan rasa ‘keceper’ akibat dimarahi, aku pula kali ini memarahi insan yang lebih tua daripada aku.

Dengan muka selamba penuh keseriusan, aku pun menasihatinya dalam erti kata memarahinya sehingga akhirnya aku suruh dia berubah. Ya, aku nampak seolah-olah berjaya kerana telah membuatkan dia mengatakan, "Saya akan berubah."

Aku mungkin biadap dengan kelakuan sebegitu. Tapi, itulah yang patut aku lakukan. Namun, aku diselubung rasa bersalah menegurnya kerana diriku belum cukup sempurna. Aku takut kalau-kalau kata-kataku akan memakan diri. Orang tua-tua selalu berpesan untuk bila bercakap perlu berhati-hati takut nanti kena pada diri sendiri.

Maafkan aku kerana biadap tapi itulah luahan hatiku agar rasa marah itu dapat aku luahkan dalam bentuk nasihat. Supaya aku tak memendam rasa dan benar-benar aku ingin perubahan kepada yang lebih baik. Tolonglah aku Tuhan kerana aku sering dihimpit syaitan.

22.06.06
11.04 pm

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular