25 Mac 2006

Tidak pernah ku membenci

Memang itulah kebenaran yang tak aku sangkalkan. Tidak suka bukan bererti membenci. Apakah setelah begini lama aku bersama dalam satu bahtera yang membawaku jauh merantau ke seluruh dunia, kini perlu ku turun dan berenang sendirian ke tepian?

Dalam bertahun-tahun lamanya aku melayari bersama bahtera ini, aku harus berenang. Biarlah ku terjun dalam lautan bergelora walaupun tak pernah ku nafikan bahawa bahtera ini sangat berjasa kepadaku.

Tak pernah ku katakan ku membenci bahtera itu. Aku telah diajar cara berjalan, cara minum makan dan pakai, cara bertutur sopan dan bertenaga, cara mengaji, cara melihat dan memerhati, segala-galanya banyak berlaku dalam bahtera.

Pelayaran jauh membawaku ke negara yang pelbagai. Adakalanya datang ribut. Adakalanya datang taufan. Dan adakalanya sunyi sepi di tengah lautan. Semuanya sudah kurasakan. Kedinginan malam sama-sama dirasai, kehangatan siang sama-sama didepani.

Aku tak pernah membenci..aku cintakan bahtera itu. Aku sayangkan bahtera itu. Namun, diriku bukan keperluan bahtera. Ada atau tidak diriku ini, bahtera tetap bergerak. Aku yakin pada kekuatan anggotanya. Dia punya pendayung, pemain rebana, pengemudi dan sebagainya. Kerana wujudnya aku sama kesannya dengan ghaibnya aku.

Usah lagi dicari ke mana diriku kerana lautan itu luas. Aku yakin jika diizinNya, aku mampu berenang. Usah kau lewatkan perjalanan kerana mencari kelibat diriku. Usah kau sia-siakan tujuan yang kau dambakan.

Walaupun pada asalnya aku sakit dipukul ombak, hingga dadaku sesak untuk bernafas. Walaupun aku pada awalnya ditenggelami air, aku sudah timbul kembali. Walaupun aku pada awalnya tertelan masinnya laut, aku sudah biasa dengannya.

Dalam kepayahan, rupa-rupanya ada keindahan. Suatu yang tak mungkin dirasakan bagi yang sentiasa dalam kesamaan. Kesamaan yang tidak menuntut kelainan dalam citarasa mengemudi. Kerana itulah aku, yang tidak mampu berada dalam kesamaan yang turun-temurun. Dalam kepalaku tidak sama isinya dengan yang lain.

Mungkin ada baiknya aku pergi..aku tidak pernah membenci.


Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular