10 Oktober 2016

9 Tips Jalan-Jalan di Jakarta



Baru-baru ini aku diundang Karya Bestari ke Jakarta untuk sesi bedah buku 'Menumpang Teduh Pohon Akasia: Somaliland Bukan Somalia' pada 1 Oktober 2016 sempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia di Jakarta Convention Center (JCC).

Kali terakhir aku ke Jakarta ialah pada tahun 2003. Lebih 10 tahun aku tak jejakkan kaki ke sini. Tentu sudah banyak perubahan di kotaraya ini. Pemergian kali ini pula secara solo, jadi berharap semuanya lancar saja. Tim Karya Bestari dah pergi lebih awal.

Disebabkan aku dah tahu flight MAS delay, aku cuba menenangkan seorang penumpang yang ingatkan dirinya sudah tertinggal flight. Dari situlah bermulanya perkenalan aku dengan orang Semarang yang sudah lama menetap di Jakarta. Dialah yang mengajarkan aku banyak perkara, dan juga rajin membawa aku ke sana sini untuk bergerak di Jakarta.

Aku nak berkongsi segala input yang telah dia berikan. InsyaAllah perjalanan akan menjadi mudah jika anda ikuti tips-tips yang saya dapatkan daripada saudara Arya ini:

1) Gunakan Grabcar untuk jimat kos




Rupa-rupanya perkhidmatan Grabcar di Jakarta sangat popular. Aku baru tahu perkara ini. Kawan-kawan di Malaysia yang sering ke Jakarta pesan aku supaya cari teksi Bluebird, kadarnya murah. Tapi apabila berbual dengan Arya dan orang Indonesia lain, mereka semua mengatakan Grabcar lebih murah. Kalau dari Bandara Antarabangsa Soekarno Hatta (Lapangan Terbang), boleh jimat hingga IDR100,000 dibandingkan dengan teksi.

Pengguna Android boleh download apps Grabcar Indonesia di sini
Pengguna iPhone boleh download apps Grabcar Indonesia di sini.

2) Naik Damri dari lapangan terbang ke bandar




Walaupun kadar Grabcar lebih murah, Arya mengajak aku naik Damri. Kadarnya hanyalah IDR40,000. Damri ialah perkhidmatan bas dari lapangan terbang ke bandar. Biasanya Grabcar mungkin sekitar IDR150,000 manakala teksi sekitar IDR200,000. Jika perjalanan macet (sesak), kos teksi boleh meningkat setinggi IDR400,000 kata Arya yang pernah mengalaminya.

Kalau naik Damri, kadarnya tetap sama walaupun macet. Cuma apa yang penting, anda tahu ke mana destinasi ingin dituju. Macam saya yang hendak ke bandar, naiklah Damri yang tertulis Blok M (kawasan membeli-belah di tengah-tengah bandar). Kemudian turunlah di stesen berdekatan hotel anda menginap. Kalau tak tahu di mana, semak dulu Jadual Perjalanan Damri. Kalau tak reti juga, turun saja di stesen terakhir dan kemudian naiklah Grabcar.



Stesen bas untuk naik Damri terletak di hujung sebelah kiri lapangan terbang. Sebaik keluar dari gate ketibaan, pusing ke kiri dan berjalan kaki terus hingga keluar daripada bangunan lapangan terbang mengikut susur gajah ke satu kawasan perhentian bas. Tiket boleh dibayar waktu atas bas walaupun ada yang jual di bawah. Lebih selamat bayar di atas kerana anda sudah confirm dapat tempat.


3) Naik Ojek untuk sampai cepat



Semua maklum yang bandar Jakarta ini selalu macet, lebih-lebih lagi waktu kemuncak pagi dan petang orang pergi-balik pejabat. Jadi, lebih mudah kalau nak bergerak ke sana ke mari dengan menaiki Ojek. Ojek itu ialah perkhidmatan memboncengkan penumpang menaiki motosikal menuju ke destinasi. Jadi, tiada masalah pun kalau macet, dapat jimat lebih sejam.

Kawan aku pergi ke Gedung buku Gramedia yang sekadar 3 kilometer dari hotel pada pukul 8 malam menaiki Grabcar pun mengambil masa sejam setengah. Akibatnya dia hanya ada 30 minit saja nak tengok buku. Kalau naik Ojek, kadarnya pun murah, sekitar IDR10,000 untuk 5 kilometer pertama.



Ada Ojek yang berdaftar dengan aplikasi Grab yang dikenali sebagai Grab Bike. Gunakan saja aplikasi  Grab. Ada juga yang jenis tradisional, mereka menunggu di tepi jalan. Arya beritahu di sini lebih terkenal dengan Go-Jek, aplikasi tempatan seperti Grab Bike. Menariknya kedua-dua pesaing ini mengenakan jaket dan helmet rasmi masing-masing.

Pengguna Android boleh download apps Go-Jek Indonesia di sini
Pengguna iPhone boleh download apps Go-Jek Indonesia di sini.

4) Cari tempat makan menggunakan aplikasi Qraved



Antara perkara yang paling merungsingkan kita sebagai pelancong ialah di mana tempat makan yang sedap? Kalau kita kenal kawan, bolehlah dia kenalkan tempat sesuai, kalau tidak susah juga nak mencari. Di hotel tempat aku menginap, aku ternampak iklan Qraved, aplikasi tempatan untuk carian tempat makan.

Qraved perkenalkan aplikasi mereka sebagai one stop dining solution in your pocket. Dan memang betullah senang mencari tempat makan sebab ia akan tunjukkan tempat makan terdekat dalam map sekali dengan review orang tentang kedai tersebut. Sesetengahnya siap harga dan boleh reserve seats siap-siap.

Aku hanya sempat tengok-tengok saja tapi tak cuba pergi makan sebab kawan aku dah bawa pergi makan. Jadi korang kalau nak cuba, cubalah. Kebetulan waktu aku kat JCC, ada seorang penulis bercerita bagaimana peniaga di Jakarta yang tak jujur menjual bakso dengan campuran daging lembu dan daging tikus. Tercengang aku dibuatnya. Apabila aku tanya kawan aku memang benar ia berlaku, jadi elakkanlah makan di gerai-gerai kecil di tepi jalan sebagai langkah berjaga-jaga.

Aplikasi ini bukan hanya boleh membuat carian tempat makan di Jakarta, ia juga boleh digunakan apabila melancong ke Bali dan Bandung.

Pengguna iPhone boleh download apps Qraved di sini.
Pengguna Android boleh download apps Qraved di sini

5) Car Free Day setiap hari Ahad



Arya ajak aku berjalan kaki selepas Subuh di tengah-tengah bandar Jakarta. Katanya setiap hari Ahad, jalan ditutup sejauh 20 km dari jam 6 pagi hingga 11 pagi bagi membolehkan masyarakat bersenam, berbasikal, berjalan kaki dan pelbagai aktiviti lain. Jadi, motosikal yang dipandu Arya diparkir berdekatan dengan kawasan yang ditutup laluannya.

Hari Ahad dikenali di sini sebagai Hari Bebas Kendaraan Bermotor (HBKB). Sudah dimulakan sejak 2002 dan melibatkan banyak bandar-bandar lain sekitar Indonesia. Di Jakarta, pada waktu ini hanya bas bandar sahaja diizinkan beroperasi. Ini salah satu cara untuk mempromosi penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.



Seronok datang waktu ini, dapatlah aku tengok macam-macam aktiviti masyarakat. Selain senamrobik berkumpulan, ada yang berdemonstrasi aman, meminta derma dengan cara menyanyi, mempamerkan binatang peliharaan, menjual barangan cenderamata dan sebagainya.

Semak laman ini untuk tahu laluan yang ditutup di Jakarta supaya anda pun boleh menikmati pengalaman sama seperti saya.

6) Makan Ayam Goreng Berkah



Ini pengalaman menarik buat aku. Disebabkan hendak sangat makan ayam special ini, Arya bawa aku menempuh hujan ke restoran popular ini berdekatan Blok M. Restorannya hanya ada di sini, tiada cawangan yang dibukanya bagi menjaga kualiti masakan. Perniagaan ini tidak pernah mengubah resipi asli keluarga Pak Rachmat sejak 1962. Sesampainya aku di sana, kena berdiri dulu tunggu giliran. Ramai betul orang nak menikmati gorengan ayam kampungnya. Sambal pun marvellous sekali dengan ulam segar. Harga berpatutan.


Sedap kan tengok ayam gorengnya. Dikhabarkan jualan sehari mencecah sebanyak 5,000 ekor ayam kampung. Jangan lupa minum air teh panas asli Indonesia (tanpa gula tapi tak pahit) dan Es Kopyor. Es Kopyor ini ialah air kelapa unik yang dari pokoknya sendiri isi kelapanya sudah terpisah dan terpecah-pecah dalam tempurung kelapa. Apabila digoyangkan kelapa itu, boleh kedengaran isinya berlaga-laga. Lain rasanya dan enak sekali.. Wajib minum!

Nah, tengoklah harganya dan lokasi.

7) Beli di Indomaret lebih murah


Kadangkala apabila berehat di bilik hotel, rasa lapar dan ingin kunyah-kunyah. Air mineral pun kita nak minum kan, jadi eloklah pergi cari Indomaret terdekat dengan anda. Di hotel aku menginap, air mineral berharga IDR18,000 untuk 800ml sedangkan aku membeli air mineral di Indomaret harganya IDR3,800 untuk 1.5 liter. Bayangkanlah dengan harga hotel tadi, aku boleh beli 4 botol air mineral 1.5 liter. Jimat ke tak?

Buat saja carian di google map, pasti akan ditunjukkan Indomaret terdekat dengan anda. Indomaret ini seperti 7-Eleven di Malaysia, cuma di tempat aku menginap, ia tak dibuka 24-jam.

8) Aktifkan kad ATM untuk tukaran wang lebih murah



Di Jakarta terdapat Maybank dan HSBC. Jika anda ada akaun Maybank, sila hubungi call center 1-300-88-6688. Kalau anda dah berada di luar negara, baru nak aktifkan, sila hubungi nombor ini +603-7844-3696.

Aku lebih suka gunakan HSBC sebab akaun aku selalunya apabila withdraw dari luar negara seperti di China dan Jordan dulu kadarnya lebih murah daripada money exchange luar. Sudahlah tiada caj pengeluaran, bahasa digunakan dalam paparan pun bahasa Melayu. Aktifkan hanya sekali, terus boleh gunakan bila-bila masa berada di luar negara.

Kalau yang tiada akaun Maybank atau HSBC pun tiada masalah asalkan menggunakan ATM bank lain yang ada logo PLUS atau Cirrus. Tentulah ada caj tambahan tapi aku tak pasti berapa dikenakan, bergantung kepada bank akaun anda.

9) Beli simkad Indonesia untuk akses internet



Aku hari itu tak sempat beli simkad Indonesia sebab banyak perkara orang lain dah uruskan. Jadi, terasa seperti tak perlu pun, lebih-lebih lagi akses WIFI di hotel cukup bagus. Nak guna Grabcar pun kawan aku dah ada akaunnya, jadi dia sajalah yang buat tempahan.

Ramai yang pesan supaya beli simkad simPATI kerana harganya cukup berbaloi. Bayangkanlah dengan IDR55,000 (lebih kurang RM20), anda boleh dapatkan simkad baru siap 4.5GB internet. Kalau nak guna Grabcar, mesti dapatkan simkad ini dulu sebab aplikasinya perlukan nombor telefon pengguna.

Lainlah kalau anda mampu membayar kadar roaming syarikat telco anda di Malaysia itu. Yang itu terpulang kepada anda membuat keputusan. Apa yang pasti, kalau gunakan simkad tempatan, jika perlu hubungi orang tempatan lebih murah. Guna internet pun murah sangat.

Inilah tips-tips yang aku rasakan sangat berguna buat semua. Sedikit perkongsian ini sebagai tanda terima kasih aku kepada Arya yang banyak membantu aku sewaktu berada di Jakarta. Selamat bercuti ya..

19 Julai 2016

Lelaki Bersut: Tak Panas Ke Bang



Seusai menunaikan ibadah di subuh hari, aku duduk bersidai di berandah rumah. Bayu pagi yang dingin menenangkan. Di bawah cahaya samar, aku mula membelek buku di tanganku.

Buku bertajuk 'Lelaki Bersut: Tak Panas Ke Bang' ini adalah karya sahabatku, Hafiz a.k.a. Mat Pit. Seorang jejaka kacak bergaya ini mempunyai auranya tersendiri sebagai seorang peguam. Barangkali pengaruh punk dan rock masih menyerlah dalam diri. 

Karya santainya ini bukanlah kisah peguam seperti di dalam kaca tv yang menipu itu. Kisah yang digarapnya adalah kisah-kisah tentang kehidupan. Realiti masyarakat Malaysia yang mungkin tidak berlaku dalam mahkamah di barat.

Unsur mistik dan khurafat seolah-olah tidak dapat lari daripada orang Melayu. Itulah yang dialaminya apabila dia disuruh mandi bunga dan terjumpa biji hitam di mahkamah. Juga mengisahkan tentang dirinya seorang manusia normal yang adakalanya gelabah, takut dan risau juga. Bukanlah peguam dalam tv yang tiada cacat celanya. Teringat pula aku kepada kenangan sendiri menjadi peguam 10 tahun lalu.

Adakalanya aku tersenyum dan tergelak sendirian apabila menghabiskan bab-bab tertentu. Mat Pit cuba untuk membuatkan kita berfikir, bukan sekadar membaca, dengan tidak memberikan kesimpulan kisah berkenaan. Dia tidak mahu kita jadi seperti anak guamnya yang tak reti berfikir. Bukan sekadar kisah tentang dirinya, malah kerenah dan perangai anak guam juga dikongsikannya.

Satu perkara terpenting yang aku perhatikan ialah sikap ingin tahu dan suka bertanya. Samalah perangainya dengan aku. Mungkin juga sama dengan hampir kebanyakan peguam lain. Orang biasa mungkin kata sibuk jaga tepi kain orang.

Tapi sikap inkuiri (istilah ilmiah bagi jaga tepi kain orang itu) inilah penyebab utama yang membolehkannya menulis kisah-kisah ini di blog sebelum dihimpunkan menjadi buku. 

Aku sarankan lebih ramai membacanya kerana sejam sahaja sudah boleh habis membaca 83 halaman ini. Bukan apa, anda akan berubah persepsi tentang diri peguam yang anda tabik spring itu hinggakan rasa malu dan rendah diri yang amat sangat kepada mereka boleh dibuang jauh. Silap-silap sikap macam ini lebih menyusahkan peguam pula. Ketahuilah mereka juga insan biasa, boleh ditegur sapa, bergurau, berbual, bahkan dipersoalkan. Jika anda ada kes dengan peguam, mudahlah berurusan nanti.

Sebaik sahaja selesai membaca, cahaya fajar sudah menyingsing. Alangkah nikmatnya berbuai sambil menikmati naskhah ringan ini. Aku hendak bancuh kopi dulu, korang hubungilah Mat Pit atau FB page 'Deleted Books' untuk dapatkan naskhah sendiri.

27 Jun 2016

Keluar Dari Zon Selesa


Sudah menjadi rutin harian, anda pasti masuk dalam mesyuarat untuk berbincang dan membuat keputusan. Lagi besar jawatan anda, lebih kerap anda bermesyuarat. Bayangkanlah anda ialah Ketua Jabatan, setiap pagi anda perlu bermesyuarat dengan pegawai-pegawai kanan. Sebelah petang, anda pula perlu bermesyuarat dengan semua ketua jabatan lain untuk melaporkan kepada ketua yang lebih atas daripada anda.

Sekarang anda berada dalam bilik mesyuarat. Anda pun mula bercakap dan meminta pandangan. Senyap sahaja bilik mesyuarat. Anak-anak buah tidak ramai bercakap. Ada seorang dua yang bercakap tetapi hanya mengatakan, "Saya setuju" atau "Saya ikut sahaja".  Apabila mesyuarat sebelah petang, sama juga situasinya. Semua ketua jabatan pula bercakap begitu kepada ketua lebih atas.

Bagaimana? Seronokkah hari-hari anda? Sahlah tidak!



Apabila kita dilanda masalah, orang mencemuh kita. Ada pula yang menyalahkan kita. Sebahagian lain cuba menyanggah pendapat kita. Kita rasa lemah semangat dan mengharapkan keadaan yang lebih selesa. Selesa macam dalam kisah di atas ke?

Oh, jangan sesekali minta selesa begitu. Potensi akal anda akan mati serta-merta. Anda sebenarnya boleh membuat keputusan yang lebih baik, malah mungkin di luar jangkaan dan kebiasaan apabila idea anda dikritik dan ditambah baik.

Sekiranya anda sekarang berada dalam zon selesa itu, keluarlah. Zon itu akan membuatkan anda lupa diri. Apatah lagi orang bawahan anda kaki kipas. Anda mula merasakan segala yang anda lakukan adalah benar. Lebih teruk lagi apabila anda merasakan orang lain semuanya salah.


Hidup berterusan dalam kelompok sendiri yang sentiasa menyokong anda membuatkan pemikiran anda tidak bercambah, kolot dan syok sendiri. Contoh mudah, andai anda seorang tukang gunting rambut dan hanya berkawan dengan tukang gunting rambut, apakah topik perbualan harian anda? Anda sendiri boleh agak jawapannya. Tentulah hal berkaitan industri gunting rambut tidak lekang dari mulut.

Jika anda si tukang gunting rambut mempunyai kawan pelombong, penjual nasi lemak, pemungut sampah, pegawai bank, jururawat, arkitek, dan akauntan, apakah pula topik perbualan harian anda? Cukup luas bidang yang akan dibualkan.

Itulah sebabnya kita perlu punya kawan yang ramai, fikiran lebih bercambah. Kita perlu banyak mengembara, pandangan lebih luas. Kita perlu banyak membaca, idea datang bertalu-talu. Kita perlu banyak interaksi sosial, pendekatan lebih menyantuni.

Wahai anda yang berasa gah dengan zon selesa anda atas nama apa sekalipun (persatuan, kumpulan, syarikat, keluarga, perniagaan, batch sekolah, alumni, jemaah, dan seumpamanya), mulakan dengan langkah pertama untuk keluar dari garis sempadan anda. Bukan keluar dan meninggalkan terus pangkalan anda. Keluar dan kembalilah, ceritakan kisah di medan tempat anda keluar itu kepada mereka di pangkalan.

Indah yang kita rasakan itu hanyalah keindahan yang kita rekakan, ada keindahan lebih bermakna di luar sana. Sakit yang kita rasakan bukanlah mala petaka terburuk, ada kesakitan yang maha perit lagi di luar sana.

07 Jun 2016

Sentap Apabila Nampak Sphinx di China



Cuba perhatikan gambar ini! Jika anda sudah ke Mesir, anda pasti tahu kebenarannya. Tengok latarbelakang pun sudah tahu.

Ini ialah Sphynx di Lanzhou, China Dibina mengikut saiz sebenar sebagai satu daya tarikan pelancong. Bagi menghidupkan bandar yang dahulunya terkenal di Laluan Sutera, pelbagai usaha dibuat. Itu sahaja hasratnya, tak perlulah mengata China sebagai 'copycat master'. Entah-entah nanti kita pun teringin untuk tengok juga.

Sejak Presiden Xi Jinping mengumumkan visi 'One Belt, One Road'  pada 2013, usaha kuasa besar Asia ini bukan lagi main-main. Atas nama perkembangan ekonomi, China mahu dilihat sebagai jambatan utama menghubungkan Asia dan Eropah. 

Jangan terkejut nanti kita juga dapat tumpang gembira naik keretapi laju dari Malaysia hingga ke Istanbul. Kini China sedang membantu Turki menyiapkan projek keretapi laju dari Ankara ke Istanbul sejauh 533km. Perjalanan antara dua bandar ini yang biasanya memakan masa 7 jam bakal dipendekkan menjadi 3 jam setengah.

Seronok bukan melihat perkembangan dunia? Dahulu sewaktu Dr. Mahathir sebut tentang Wawasan 2020, aku pun berasa seronok. Baru darjah 3 waktu itu, sudah membayangkan kereta proton terbang. Pejam celik pejam celik, hanya tinggal 4 tahun sahaja untuk visi itu tercapai.

Hari ini tak dengar lagi tentang visi ini. Tahu tak sebenarnya ada 9 cabaran perlu ditangani menjelang tahun 2020? Setelah 26 tahun wawasan ini diperkenalkan, cabaran manakah yang sudah berjaya ditangani? 

"Sudahlah Suhail, kau fikirkan tentang diri kau saja. Tak perlu sibuk fikirkan hal ini."

Bukan apa, aku nak tempah kereta proton terbang siap-siap.

Bacaan lanjut di sini:
1) https://en.m.wikipedia.org/wiki/Wawasan_2020
2) http://www.hurriyetdailynews.com/more-talks-needed-on-china-turkey-high-speed-railway.aspx?pageID=238&nID=68715&NewsCatID=359
3) http://www.bbc.com/news/world-asia-china-36431831

02 Jun 2016

Mengapa susah membaca?

Soalan yang aku letakkan sebagai tajuk ini boleh dijawab dengan macam-macam jawapan.

Jika kamu suka membaca, aku tahu tulisan ini tetap akan dibaca walaupun ia sepatutnya dibaca oleh yang malas membaca.

Kalau target aku ialah yang malas membaca, sia-sialah aku menulis. Bukankah lebih bijak jika aku bercakap dalam rakaman video?

Entahlah, bagi aku mereka perlu dipaksa membaca. Biarlah mereka malas sekalipun, ada waktu tertentu mereka akan terpaksa baca juga. Aku mengharapkan waktu itu, entah bila aku tak tahu.

Zaman media sosial begitu aktif digunakan masyarakat Malaysia, lambakan info pun menjadi-jadi. Ramai yang suka 'like' dan 'share' walaupun mereka hanya baca seperenggan. Barangkali masing-masing hendak kelihatan seperti sangat 'alert' dengan perkembangan terkini.

Usahawan 'online' selalu naik angin juga apabila ditanyakan soalan yang sudah pun ada jawapannya dalam iklan produk mereka. 

Shawn Hessinger, editor majalah online Small Business Trends mengenalpasti masalah ini terkait dengan siapa yang benar-benar membaca biasanya tidak begitu aktif dalam media sosial. Lebih-lebih lagi tulisan yang serius.

Yalah, kalau telefon pintar asyik melekat di tangan, tentu banyak 'distraction' apabila 'push notification' kerap keluar. 

Tepuk tangan buat mereka yang berjaya menghabiskan pembacaannya dalam paparan telefon walaupun asyik digasak dengan 'notification'. 

Orang yang kita tepuk tangan ini adalah salah satu kelompok yang dikenalpasti serius dalam media sosial. Mereka mencari bahan dan nilai. Satu kelompok lagi yang tadi itulah.

Dalam istilah media sosial, 'pageviews' tidak mampu melambangkan sejauh mana pengunjung memberikan perhatian atas apa yang disampaikan pemilik status. Ia sekadar menampakkan trafik yang tinggi untuk rasa 'syok sendiri'.

'Engagement' ialah kayu ukur terkini melambangkan kualiti pengunjung atau 'friends' yang serius mengikuti perbincangan kita. Upworthy telah memperkenalkan kaedah baru untuk mengesan 'engagement' ini yang dipanggil 'attention minutes'. Berapa lama masa diluangkan untuk melihat satu-satu 'posting' itu lebih penting.

Alah, bayangkanlah kita duduk dengan kawan di kedai kopi. Kita pun mulakan berbual tapi kawan ini langsung tak tengok muka kita. Dia sibuk buat kerja lain. Sekejap kuis-kuis meja, sekejap mengutil kelopak bunga, sekejap tengok lantai. Tapi mulut sebut, "wah hebatlah", "bagus cerita kau", "aku suka benda ni" dan macam-macam lagi ayat yang biasa kita baca dalam ruangan komen di media sosial. Dia langsung tak tengok muka kita tau. Apakah kita termotivasi dengan komen dia tadi? 

Walau apa jua yang berlaku, kemalasan ini tidak berpanjangan sebenarnya. Ada ketikanya golongan ini akan membaca juga. 

Paling tidak, mereka akan membaca hal yang 'trending' menjadi bualan ramai. Paling tidak, mereka ada 'assignment' yang perlukan mereka mencari bahan walaupun bahan itu akhirnya menjadi 'assignment' yang 'copy paste'. Paling tidak, mereka akan 'search' di 'google' yang akan membawanya ke blog seperti ini untuk memaksa mereka membaca.

Kalau anda habis membaca 'posting' ini, anda sebenarnya tidak malas membaca. Anda mungkin dari kedua-dua golongan di atas. Dan tahniah aku ucapkan kerana dalam banyak-banyak sebab kenapa malas membaca, anda akhirnya menolak segala sebab itu.

Pendek kata, jika kita mahu kita akan buat sungguh-sungguh. Jika sebaliknya, jangan harap dapat baca ayat ini. 

Dalam zaman apapun membaca itu adalah tradisi yang tidak boleh dipisahkan bagi seorang manusia. Asal penurunan wahyu yang pertama jelas sekali 'memaksa' kita membaca. 

"Bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan kamu."(Al-'Alaq:1)

Alang-alang dah baca, bacalah lanjut apa yang aku catatkan dari kajian orang putih itu:
1) http://smallbiztrends.com/2014/02/people-dont-read-what-they-share-social-media.html
2) http://www.theverge.com/2014/2/14/5411934/youre-not-going-to-read-this



25 Februari 2016

Buku Aku Sudah Terbit

Sudah lama aku menyimpan hasrat untuk menulis pengalaman aku mengembara. Kononnya nak mulakan dengan pengalaman menetap di China selama setahun. Rupa-rupanya rezeki Somaliland yang akhir tahun 2015 aku kunjungi nampaknya.

Ada sebab kenapa aku boleh siapkan menulis dalam tempoh sebulan sahaja. Pertamanya kerana Zainuddin dalam filem Tenggelamnya Kapal Van De Wijck dan kedua kerana kursus penulisan yang disampaikan Cikgu Salman Al-Farisi. Kedua-dua ini berasal dari Indonesia.

Jadi, alhamdulillah karya yang asalnya nak diterbitkan sendiri akhirnya memikat hati Karya Bestari untuk menerbitkannya. Inilah buku yang aku maksudkan:


Buku ini mengisahkan tentang pengalaman unik yang aku alami sepanjang berada di Somaliland selama lima hari. Walaupun tempohnya singkat, banyak kejutan yang aku alami. Perasaan takut aku untuk menjejakkan kaki ke benua Afrika kini sudah hilang.

Kalau diikutkan banyak lagi kisah aku nak ceritakan tapi cukuplah sekadar 34 bab yang telah aku kongsikan. Kali ini aku cuba bawa pembaca sama-sama menghayati pengalaman yang telah aku lalui dengan menyediakan 26 video untuk ditonton sambil membaca. Caranya mudah saja, cuba tengok video ini:


Menurut penerbit inilah buku pertama travelog interaktif di Malaysia. Alhamdulillah, tak kisahlah pertama atau berapa pun, asalkan video-video itu dapat membantu pembaca menghayati sendiri perjalanan aku sudah memadai.

Sekarang setiap hari aku kena membelek buku ini untuk buka mukasurat pertama. Walaupun belum masuk ke kedai-kedai buku, aku dah dapatkan 200 naskhah awal untuk sesiapa yang beli terus daripada aku. Naskhah awal ini perlu aku tandatangan seperti yang diminta pembeli. Ini kira naskhah eksklusiflah.. :) Bulan Mac 2016 baru ada di kedai-kedai buku.


Kalau nak dapatkan naskhah dan autograf ini, whatsapp aku cepat-cepat dengan menaip:

SOMALILAND [JUMLAH BUKU NAK DIBELI] [LOKASI]

hantarkan ke 019-3165970.

HARGA RM28 + POS RM 7 (S.M'sia) / RM10 (Sbh/S'wak)



23 September 2015

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit kanser payudara, HIV dan SLE menggunakan air rebusan daun rerama hijau adalah sesuatu yang mengejutkan.

Saya bergambar sebelah pakcik Khamarul dengan sepeket daun rerama hijau kering di tangan
Saya mendapat khabar ini selepas sahabat saya, Khai Hashim, salah seorang pengidap HIV mula mendapat kesan positif selepas meminum air rebusan daun rerama hijau ini. Dia kebiasaannya demam setiap hari dan tidak berselera, terus merasakan perubahan ketara dalam diri beberapa jam selepas meminum air rebusan kali pertama. Ini testimoninya:

Inilah Khai yang saya panggil Albert sewaktu berada di wad HUKM

TESTIMONI SEBENAR DARI SAYA.
(pesakit Hiv Aids tahap kritikal hampir 8 tahun).
"11.09.2015 masih lagi belum minum air daun rerama nih.
Saya hanya mampu berbaring atas katil terperap dalam bilik dan rumah berminggu2...
Tak mampu makan sbb kerap muntah2..
Badan yg terlalu lemah...
Nak berjalan ke bilik air pun lutut terketar2...
Semput dan sakit dada, usus, perut dan hempedu yg amat sgt berbulan lamanya.
Demam sekurang2 nya 3-5 kali sehari.
Doktor pakar yang merawat saya pun berkata tak mampu nak buat apa2. Sbb virus kuman hiv tu dah terlalu banyak dalam badan saya. Saya hanya terbaring lemah di rumah dan bergantung pada ubat tahan sakit sejak berbulan lamanya.
***Kesan selepas minum air rebusan Daun Rerama Asli pakcik Khamarul.
Selepas 1 cawan pertama saya minum... 2 jam kemudian... Saya ke dapur sbb tiba2 rasa nak makan... Dan mampu makan sepinggan Nasi Goreng tanpa muntah2...
Malamnya, demam mula kebah sehingga ke hari ini dah x demam.
Badan saya panas sbb kesan air daun ni mula bertindak balas dgn kuman2 dalam badan.
Keesokan harinya, badan saya mula rasa segar, tenaga pun dah makin bertambah.
Selepas 4 hari pada 15.09.2015 ...
Nak tau apa jadi?
Awal2 pagi tadi, saya dah keluar edarkan pamplet di Hospital Kuala Pilah.
Saya dah makin cergas dan aktif. Drive ke pejabat pos hantar kiriman. Malah pusing2 ronda bagi order kepada customer2...
Pergi ke Melaka amik stok etc..." Hebat bukan??" - Khai Hashim.
Saya terus berjumpa dengan pakcik Khamarul kerana teringatkan beberapa saudara dan kenalan yang sedang mengalami sakit kronik. Hasrat saya untuk membantu mereka dengan mendapatkan bekalan daun rerama hijau ini.

Asalnya hanya ingin mengambil bekalan daun rerama hijau kering, tengok-tengok hampir sejam juga kami berbual. Pakcik Khamarul menceritakan usahanya yang tidak mendapat perhatian kerajaan negeri, namun bersyukur kerana MOSTI percaya kepadanya dengan menyediakan geran RM20 juta untuk kajian lanjut. Kini, beliau sudah memeterai MoU bersama UPM selama 5 tahun untuk penghasilan kajian dan penyelidikan terperinci bagi memastikan khasiat kandungannya. Pakcik Khamarul sempat tunjukkan MoU itu kepada saya (tapi terlupa tangkap gambar).

Daun yang pakcik usahakan ini orang panggil daun rerama tetapi kebanyakan daun rerama sebenarnya berwarna merah. Jarang dapat jumpa warna hijau, tapi inilah jenis daun yang pakcik dah gunakan untuk merawat macam-macam pesakit. Ini jugalah daun yang dibekalkan kepada UPM untuk dikaji. Namanya pakcik panggil 'daun magik'.


Memandangkan kemujaraban meminum air rebusan daun rerama hijau pakcik ini, nama beliau sering dijaja untuk melariskan perniagaan. Pakcik Khamarul turut menceritakan beberapa laporan polis yang telah dibuat kerana namanya digunakan untuk produk-produk herba yang didakwa mengambil daun rerama yang dibekalkannya sedangkan tidak. Setakat ini, beliau mengakui tidak menghasilkan sebarang produk kerana menanti hasil kajian dan penyelidikan UPM terlebih dahulu. Namun, daun rerama hijau kering dijualnya untuk pesakit yang ingin berikhtiar meminum air rebusannya buat penawar seperti yang telah dilakukannya sejak 2006.

Pakcik Khamarul menjadi lebih popular selepas diberitakan dalam MASTIKA dan mukanya terpampang di muka depan akhbar METRO.



Antara pesakit yang Allah sembuhkan dengan asbab air rebusan daun rerama hijau pakcik Khamarul ini ialah pesakit HIV / AIDS, Kanser payudara, kanser usus, Leukimia, Cyst, SLE, Darah Tinggi, Sakit Buah Pinggang, Gout, Sakit sendi, Demam Denggi, Kencing Manis, Kencing tikus, Ekzema, Migrain, masalah kesuburan dan pelbagai lagi.

Ramai yang telah pun sembuh dari penyakit dan mendapat manfaat khasiat Daun Rerama Asli ini. Inilah satu pek daun rerama hijau yang telah dikeringkan.

Satu pek daun rerama hijau kering sekitar 10 hingga 15 gram

Antara khasiatnya yang dikhabarkan pakcik Khamarul ialah:

  • Membersihkan darah dalam badan.
  • Membantu meningkatkan selera makan.
  • Meningkatkan tahap antibodi di dalam badan.
  • Menguatkan sistem imunisasi badan. 
  • Mampu mengurangkan ketagihan rokok dan dadah.

CARA MENYEDIAKAN AIR REBUSAN DAUN RERAMA HIJAU
  1. Bahagikan daun yang dikeringkan dalam pek itu kepada EMPAT bahagian.
  2. Campurkan daun bahagian PERTAMA dengan 1 liter air dan rebuskan sekitar 10 minit.
  3. Asingkan daun dengan air dan minum air rebusan tadi. Air rebusan untuk satu bahagian itu cukup untuk diminum 3 kali sehari. Minum segelas sekali.
  4. Daun yang telah direbus tadi dikeringkan dan disimpan.
  5. Ulangi cara yang sama untuk bahagian KEDUA, KETIGA dan KEEMPAT.
  6. Setelah habis kesemua bahagian, gabungkan kesemua daun yang telah direbus dan dikeringkan. Gabungan ini akan menjadikannya bahagian KELIMA untuk direbus semula.
  7. Bahagian KELIMA ini direbus mengikut kaedah yang sama seperti sebelum ini dan daunnya jangan dibuang selepas air rebusannya diminum.
  8. Daun tadi boleh dikeringkan dan dikisar untuk disapu di bahagian luka, sakit-sakit badan dan kulit yang bermasalah. Boleh juga dijadikan masker untuk wajah.
Apabila saya baca keratan akhbar berkenaan daun magik pakcik ini, pihak UPM telah sahkan daun ini tidak mempunyai kesan sampingan yang memudaratkan. Legalah kan. Jadi, kami sekeluarga pun dah mencuba. Rasanya TIDAK PAHIT, sama seperti minum Teh O tanpa gula. Satu pek itu boleh bertahan selama 5 hari dan kebiasaannya sudah menampakkan kesan kepada peminumnya.

Tapak semaian daun rerama pakcik Khamarul
Kalau ada yang nak mencuba dan berikhtiar mengubati penyakit yang dihidapi, silakan Whatsapp/SMS: DAUN MAGIK [NAMA] BELI [BILANGAN PEK] hantarkan ke 0193165970. Satu pek dijual dengan harga RM50 dan boleh diposkan.


Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular