19 Julai 2016

Lelaki Bersut: Tak Panas Ke Bang



Seusai menunaikan ibadah di subuh hari, aku duduk bersidai di berandah rumah. Bayu pagi yang dingin menenangkan. Di bawah cahaya samar, aku mula membelek buku di tanganku.

Buku bertajuk 'Lelaki Bersut: Tak Panas Ke Bang' ini adalah karya sahabatku, Hafiz a.k.a. Mat Pit. Seorang jejaka kacak bergaya ini mempunyai auranya tersendiri sebagai seorang peguam. Barangkali pengaruh punk dan rock masih menyerlah dalam diri. 

Karya santainya ini bukanlah kisah peguam seperti di dalam kaca tv yang menipu itu. Kisah yang digarapnya adalah kisah-kisah tentang kehidupan. Realiti masyarakat Malaysia yang mungkin tidak berlaku dalam mahkamah di barat.

Unsur mistik dan khurafat seolah-olah tidak dapat lari daripada orang Melayu. Itulah yang dialaminya apabila dia disuruh mandi bunga dan terjumpa biji hitam di mahkamah. Juga mengisahkan tentang dirinya seorang manusia normal yang adakalanya gelabah, takut dan risau juga. Bukanlah peguam dalam tv yang tiada cacat celanya. Teringat pula aku kepada kenangan sendiri menjadi peguam 10 tahun lalu.

Adakalanya aku tersenyum dan tergelak sendirian apabila menghabiskan bab-bab tertentu. Mat Pit cuba untuk membuatkan kita berfikir, bukan sekadar membaca, dengan tidak memberikan kesimpulan kisah berkenaan. Dia tidak mahu kita jadi seperti anak guamnya yang tak reti berfikir. Bukan sekadar kisah tentang dirinya, malah kerenah dan perangai anak guam juga dikongsikannya.

Satu perkara terpenting yang aku perhatikan ialah sikap ingin tahu dan suka bertanya. Samalah perangainya dengan aku. Mungkin juga sama dengan hampir kebanyakan peguam lain. Orang biasa mungkin kata sibuk jaga tepi kain orang.

Tapi sikap inkuiri (istilah ilmiah bagi jaga tepi kain orang itu) inilah penyebab utama yang membolehkannya menulis kisah-kisah ini di blog sebelum dihimpunkan menjadi buku. 

Aku sarankan lebih ramai membacanya kerana sejam sahaja sudah boleh habis membaca 83 halaman ini. Bukan apa, anda akan berubah persepsi tentang diri peguam yang anda tabik spring itu hinggakan rasa malu dan rendah diri yang amat sangat kepada mereka boleh dibuang jauh. Silap-silap sikap macam ini lebih menyusahkan peguam pula. Ketahuilah mereka juga insan biasa, boleh ditegur sapa, bergurau, berbual, bahkan dipersoalkan. Jika anda ada kes dengan peguam, mudahlah berurusan nanti.

Sebaik sahaja selesai membaca, cahaya fajar sudah menyingsing. Alangkah nikmatnya berbuai sambil menikmati naskhah ringan ini. Aku hendak bancuh kopi dulu, korang hubungilah Mat Pit atau FB page 'Deleted Books' untuk dapatkan naskhah sendiri.

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular