Jika kamu suka membaca, aku tahu tulisan ini tetap akan dibaca walaupun ia sepatutnya dibaca oleh yang malas membaca.
Kalau target aku ialah yang malas membaca, sia-sialah aku menulis. Bukankah lebih bijak jika aku bercakap dalam rakaman video?
Entahlah, bagi aku mereka perlu dipaksa membaca. Biarlah mereka malas sekalipun, ada waktu tertentu mereka akan terpaksa baca juga. Aku mengharapkan waktu itu, entah bila aku tak tahu.
Zaman media sosial begitu aktif digunakan masyarakat Malaysia, lambakan info pun menjadi-jadi. Ramai yang suka 'like' dan 'share' walaupun mereka hanya baca seperenggan. Barangkali masing-masing hendak kelihatan seperti sangat 'alert' dengan perkembangan terkini.
Usahawan 'online' selalu naik angin juga apabila ditanyakan soalan yang sudah pun ada jawapannya dalam iklan produk mereka.
Shawn Hessinger, editor majalah online Small Business Trends mengenalpasti masalah ini terkait dengan siapa yang benar-benar membaca biasanya tidak begitu aktif dalam media sosial. Lebih-lebih lagi tulisan yang serius.
Yalah, kalau telefon pintar asyik melekat di tangan, tentu banyak 'distraction' apabila 'push notification' kerap keluar.
Tepuk tangan buat mereka yang berjaya menghabiskan pembacaannya dalam paparan telefon walaupun asyik digasak dengan 'notification'.
Orang yang kita tepuk tangan ini adalah salah satu kelompok yang dikenalpasti serius dalam media sosial. Mereka mencari bahan dan nilai. Satu kelompok lagi yang tadi itulah.
Dalam istilah media sosial, 'pageviews' tidak mampu melambangkan sejauh mana pengunjung memberikan perhatian atas apa yang disampaikan pemilik status. Ia sekadar menampakkan trafik yang tinggi untuk rasa 'syok sendiri'.
'Engagement' ialah kayu ukur terkini melambangkan kualiti pengunjung atau 'friends' yang serius mengikuti perbincangan kita. Upworthy telah memperkenalkan kaedah baru untuk mengesan 'engagement' ini yang dipanggil 'attention minutes'. Berapa lama masa diluangkan untuk melihat satu-satu 'posting' itu lebih penting.
Alah, bayangkanlah kita duduk dengan kawan di kedai kopi. Kita pun mulakan berbual tapi kawan ini langsung tak tengok muka kita. Dia sibuk buat kerja lain. Sekejap kuis-kuis meja, sekejap mengutil kelopak bunga, sekejap tengok lantai. Tapi mulut sebut, "wah hebatlah", "bagus cerita kau", "aku suka benda ni" dan macam-macam lagi ayat yang biasa kita baca dalam ruangan komen di media sosial. Dia langsung tak tengok muka kita tau. Apakah kita termotivasi dengan komen dia tadi?
Walau apa jua yang berlaku, kemalasan ini tidak berpanjangan sebenarnya. Ada ketikanya golongan ini akan membaca juga.
Paling tidak, mereka akan membaca hal yang 'trending' menjadi bualan ramai. Paling tidak, mereka ada 'assignment' yang perlukan mereka mencari bahan walaupun bahan itu akhirnya menjadi 'assignment' yang 'copy paste'. Paling tidak, mereka akan 'search' di 'google' yang akan membawanya ke blog seperti ini untuk memaksa mereka membaca.
Kalau anda habis membaca 'posting' ini, anda sebenarnya tidak malas membaca. Anda mungkin dari kedua-dua golongan di atas. Dan tahniah aku ucapkan kerana dalam banyak-banyak sebab kenapa malas membaca, anda akhirnya menolak segala sebab itu.
Pendek kata, jika kita mahu kita akan buat sungguh-sungguh. Jika sebaliknya, jangan harap dapat baca ayat ini.
Dalam zaman apapun membaca itu adalah tradisi yang tidak boleh dipisahkan bagi seorang manusia. Asal penurunan wahyu yang pertama jelas sekali 'memaksa' kita membaca.
"Bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan kamu."(Al-'Alaq:1)
Alang-alang dah baca, bacalah lanjut apa yang aku catatkan dari kajian orang putih itu:
1) http://smallbiztrends.com/2014/02/people-dont-read-what-they-share-social-media.html
2) http://www.theverge.com/2014/2/14/5411934/youre-not-going-to-read-this
Tiada ulasan:
Catat Ulasan