11 September 2011

Keluarga terabai kerana BlackBerry


BlackBerry dikatakan pesaing kepada I-Phone. Kelebihan kedua-dua telefon pintar ini lebih dirasakan anak muda. Kalaulah kita berikan hadiah BB dan IP ini kepada orang tua kita, kegunaannya masih sekadar menelefon dan bermesej.

Generasi IT seperti kami ini lebih menghargai pemberian sebegini. Selain menggunakannya sebagai telefon, ia juga menjadi pengganti komputer. Selagi bateri masih bertenaga, selagi itulah talian internet terpasang.

Bagus memang bagus. Asyik-asyik dengar deringan ringkas menandakan mesej atau dinding muka buku (facebook) baru masuk. Jadi, tiadalah kita ketinggalan berita terkini mengenai orang yang berhubung dengan kita.

Apabila membeli belah, aku suka mencari makanan yang sah halal oleh JAKIM. Jadi BB membantu aku menyemak status halal produk. Mudah. Adakalanya perkataan pada kandungan barang yang dibeli tak difahami, semak saja pada Google, dapat juga jawapannya.

Sebagai orang yang banyak tugasan, perhubungan e-mel sangat penting. Deringan nada lain pula menandakan e-mel baru sudah masuk. Semak saja di BB dan langsung membalasnya. 

Banyak lagi aplikasi yang baik-baik seperti al-Quran sebagai pengganti kitab sebenar bagi membolehkan masa lapang digunakan untuk membacanya. Jika bosan, ada juga permainan disediakan. Tukaran wang asing semasa, kadar emas semasa, kamus ekonomi, dan lain-lain turut dimuatkan dalam BB.

"Engkau ni asyik-asyik mesej.."
"Mana ada, macam-macam benda lain boleh buat.."

Orang tua-tua mungkin tak faham akan kelebihan yang lain. Ada yang beranggapan pengguna telefon pintar semacam bermain mesej semata-mata.

Pada suatu hari aku terfikir, berapa banyak masa yang aku luangkan kepada BB berbanding keluarga di sisi? BB lebih rapat denganku pada setiap masa. Pantang 'menangis', aku terus melayannya. Adakala isteri dan anak memanggil ingin bercakap denganku, tapi aku dahulukan BB.


Oh, ini salah! Aku perlu disiplin diri. Tengok orang tua-tua dulu, mereka bertuah kerana tiada teknologi canggih yang membuatkan lebih masa dapat diluangkan dengan keluarga. 

Hari ini, kita disibukkan dengan dunia maya melebihi dunia realiti. Anak-anak berhari raya di kampung tapi membawa komputer riba bersama. Tidak lagi bermain di luar rumah, berkenalan sanak saudara dan berjalan-jalan menziarahi tetangga.

Facebook membuatkan diri ketawa. Youtube membuatkan diri tersenyum. Seolah-olah kita kenal benar orang di dalam alam itu, dan mereka juga kenal siapa kita. Malang sekali apabila saudara sendiri yang datang berziarah pun kita tak kenal. Apatah lagi jika kebajikan keluarga pula yang terabai.

Teknologi itu baik. Yang membezakannya menjadi sebaliknya ialah disiplin. Tiada disiplin, rosaklah kita. Kemahiran diri lebih banyak terbina dari pergaulan sosial di alam realiti. Di sinilah kekuatan yang perlu kita cari untuk hadapi cabaran masa depan.


2 ulasan:

wawa berkata...

kadang-kadang terlalu asyik melayan bb sampai orang bercakap dengan kita pun kita buat endah tak endah. sesuatu perkara yang 'rude'(bahasa kasar : kurang ajar) bila orang bercakap dengan kita, kita pula sibuk melayan handphone. macam tak ada adab. hidup biar beradab

Sahalfikri berkata...

Setuju. Memang apabila kita bercakap, orang yang mendengar itu tak beri perhatian, kerana sibuk melayan telefon bimbit, kita terasa seperti bercakap sendiri. Terkadang diri pun melakukan perkara sama kepada orang lain. Perlu lebih peka selepas ini supaya dapat menjadi pendengar yang baik, supaya kita juga akan didengar nanti.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular