Anda ada pisau di rumah? Apa gunanya pisau? Ya, untuk memotong sayur, daging, ayam dan sebagainya bagi memasak. Atau juga untuk memotong kertas dan kad bagi tujuan dekorasi. Maka, ia adalah baik kerana memudahkan urusan kita yang bermanfaat.
Tapi, ia boleh bertukar buruk, apabila digunakan kakak untuk bergurau dengan adik. Atau penjenayah yang cuba mengugut si gadis untuk memberikannya duit. Atau pembunuh yang dengan kejamnya menikam orang yang dibencinya sepuas hati.
Sama juga dengan pen, pensil, pembaris, pencungkil gigi, penyepit, sudu, garfu, sikat, dan banyak lagi benda yang ada di rumah. Jika disalahguna, maka ia boleh bertukar buruk.
Pernah kan kita dengar atau tonton drama bagaimana tahanan penjara mengasah berus gigi untuk dijadikan senjata? Pendek kata, tujuan itu penyebab kepada benda-benda tadi jadi baik atau buruk.
Facebook. FB. Ada yang memboikot atas alasan sendiri, tapi bukan isu itu yang ingin aku kongsikan. Isu aku ialah tentang penggunaannya.
Bagiku 'connecting people' bukan lagi milik Nokia sepenuhnya. Peranan itu diambil alih oleh jenama telefon seperti I-Phone dan BlackBerry dan aplikasi dalam talian.
Kalau dulu, generasi aku sibuk berkenalan dengan rakan baru menggunakan MIRC, kini generasi adik-adik lebih selesa dengan FB.
FB itu baik. Atau buruk. Bergantung kepada pengguna itu sendiri. Sama sifatnya dengan benda-benda fizikal yang ada di rumah tadi. Bezanya FB ini tak dapat dipegang dan bersifat maya.
Tahu tak anda, ada yang salahguna FB untuk tujuan
'human trafficking' iaitu pemerdagangan orang. Bagi mereka yang ingin mencari kenalan baru, jaga-jagalah kerana identiti dalam FB tak serupa dengan identiti sebenar seseorang.
Lain halnya jika kita berkenalan di kelas, sekolah, tuisyen, dan tempat-tempat lain. Perkenalan kita secara bertemu muka membuatkan kita boleh mengagak identiti seseorang berdasarkan perbualan, mimik muka, dan penampilan seseorang.
Malangnya jika kita sudah menjadi cukup rapat dalam alam FB, kita pun sudah menaruh kepercayaan kepadanya. Lalu, diaturkan pertemuan dan kita seronok pula ingin berjumpa. Tatkala bertemu barulah tahu siapakah orangnya. Bertambah malang apabila cinta sudah berputik pada si dia. Saat bertemu tak mahu dah berusaha mengenal identiti sebenarnya si dia. Ah, aku percaya dia.
Wahai adik-adik yang terjebak dalam situasi begini, jauhkan diri daripada terperangkap dalam perasaan cinta yang tak pasti. Atau pun mungkin kita tak bercinta, tapi sekadar mahu berkawan rapat. Dan jika mahu bertemu pun, pastikan ditemani ahli keluarga yang lebih tua.
Baru-baru ini, dua orang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah swasta dilaporkan hilang selepas dihantar ke sekolah akibat keluar ingin bertemu teman FB. Tempat pertemuan ialah di sebuah hotel ternama. Ibubapa terperanjat apabila polis mengesahkan kes hilang dalam masa yang sama melibatkan 10 orang.
Takdir Allah mendetikkan hati kedua pelajar tadi untuk kembali ke rumah apabila berasa tidak selesa menunggu di hotel. Maka, selamatlah mereka daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang. Ada satu sindiket yang sedang dijejak PDRM menggunakan FB sebagai umpan kepada kanak-kanak.
Apabila berkawan rapat dalam FB dan diajak mereka bertemu, di situlah mereka akan membawa kanak-kanak ini masuk ke bilik hotel dan dibotakkan rambut semua kanak-kanak perempuan ini agar mereka malu untuk keluar. Kemudian, diserahkannya kanak-kanak ini kepada broker yang akan menjualnya di Thailand untuk menjadi pelacur kanak-kanak [baca: mangsa
Pedofilia].
Nah, FB yang asalnya baik bertukar buruk apabila ada pihak salahguna. Mangsa yang kurang faham tentang salahguna ini mulalah menyalahkan ibubapa yang menegur. Hanya apabila sudah terhantuk baru nak terngadah.
Cukuplah rasanya jika FB menjadi medan kita bertemu dengan rakan dan saudara yang sudah kita kenali atau berkaitan dengan kita. Jika mahukan kenalan baru, waspadalah setinggi-tingginya. Sebagai ibubapa, pantaulah kegiatan anak-anak di FB. Banyak jenayah hari ini berlaku di luar sangkaan kita.