29 April 2008

Kembali ke Malaysia

Alhamdulillah, delegasi Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 26.4.2008 jam 2.45 petang. Banyak pengalaman yang telah ditimba sepanjang 2 minggu lalu. Suatu pengalaman yang tak mungkin ditemui di sini.

Benar kata pepatah, jauh perjalanan luas pengalaman. Di Bahrain, saya telah ditemukan dengan beberapa individu yang sangat dedikasi.



Muhammad Islam, seorang warga Filipina berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Binaan, bekerja dengan Kementerian Kerja Raya Bahrain. Dia adalah antara orang terawal bersama Discover Islam (DI) [NGO dakwah yang terkenal di Bahrain] berdakwah melalui pelancongan. Keluarganya masih berada di Filipina dan dia balik setiap 2 tahun.


Syed R Ali, seorang warga India yang mencetuskan idea 'Dakwah Thru Mosque Tour' berkelulusan Kejuruteraan Geologi, bekerja sepenuh masa dengan DI. Dia tercabar dengan misionari Kristian yang ditemuinya apabila mendaki gunung Himalaya. Katanya ,"Di tempat begini pun mereka datang. Inilah kesungguhan mereka. Pernah kita terfikir seperti mereka?"

Mohd Asif, seorang warga Bahrain berketurunan Pakistan sepenuh masa bersama DI. Sangat sabar dan tekun melayani kami. Sentiasa menjadi pemandu kami dan memastikan kami cukup makan. Sangat dikenali di kalangan masyarakat kerana sikap peramahnya.

Syeikh Abdul Hakim, seorang warga Bahrain berketurunan Arab, CEO Kuwait Finance House Bahrain. Melayani kami seolah-olah dia hanyalah pelayan. Tidak langsung bangga diri dengan kekayaan miliknya. Baginya tiada apa nilai RM7,000 untuk belanja kami makan malam di Hotel Sheraton sebelum pulang.

Syeikh Moosa, seorang warga Bahrain berketurunan Arab, memiliki puluhan syarikat perniagaan, ahli lembaga pengarah DI. Dia kelihatan seperti orang biasa kerana kerendahan diri dan tidak menunjuk. Siapa yang dikenalkan namanya kepada dia akan diingat selalu dan disebut apabila berbicara.

Dr Ding Shiren (Ayub Norul Haq), seorang warga China berketurunan Hui bekerja sebagai Pensyarah di University Lanzhou, China. Petah bercakap dalam bahasa Arab membuatkan dirinya tidak kekok berbual dengan para pembesar Arab. Selain bahasa ibundanya, dia juga mahir dalam bahasa Inggeris dan Urdu. Kepakarannya dalam bidang perbandingan agama membuatkan pemikirannya lebih terbuka dan luas.

Pendek kata, semua individu ini dedikasi dalam bidang masing-masing atas satu sebab. Ramai lagi orang seperti mereka yang tak dapat aku ceritakan semuanya.

Mereka sedar dan ingin menyedarkan lebih ramai bahawa DAKWAH adalah tugas semua individu Muslim walaupun dia bukan dalam mana-mana badan dakwah. Ini adalah tanggungjawab semua dan akan dipersoalkan kelak.

Atas nama DAKWAH, si kaya merendahkan diri membantu yang memerlukan.
Atas nama DAKWAH, persaudaraan tidak terbatas pada darjat dan kenamaan.
Atas nama DAKWAH, seluruh manusia adalah kawan.
Atas nama DAKWAH, hidup kian tenang dan aman.

20 April 2008

Khabar dari Bahrain

Alhamdulillah, atas izin Yang Maha Kuasa, saya kini berada di Juffair, Bahrain. Di sini sedang ribut pasir menandakan perubahan cuaca akan berlaku. Dengan izinNya juga saya akan terus berada di sini sehingga 25 April ini.

Permulaan latihan diwarnai dengan keramahan dan keriangan warga Discover Islam (DI) menyambut dan meraikan kedatangan kami. Ucapan yang merakamkan penghargaan tinggi kepada Malaysia sangat membanggakan kami.



Tambahan pula, makanan terhidang tak pernah dirasakan lidah. Manisan inilah pembuka selera sebelum majlis bermula pada malam 16 April 2008.


Si kecil Ali sangat teruja dengan kamera yang kubimbit ke mana sahaja. Cukup halus kulitnya dan pemalu orangnya. Memang ramai orang Arab begini, cuma tak terjangkau dek upaya untuk menakluk hati gadis Arab. Kita tak mampu kerana nilai material yang sangat tinggi perlu disediakan untuk membina rumahtangga. Sangat tinggi.


Makanan di sini berlainan dengan kita di Malaysia. Banyak pengaruh India dan Pakistan dalam masakan mereka. Ada yang ditolak lidah walaupun saya suka mencuba. Contohnya muttabal ini. Ia dimakan sebagai pencolet roti.


Sebagai seorang yang bangga dengan keMELAYUan, saya tidak janggal berpakaian lengkap bersampin dan bersongkok untuk solat jumaat di Masjid Abu Bakar. Sempat kami berbual dan berkongsi pengalaman dengan masyarakat Malaysia di sana.

12 April 2008

Aku ke Bahrain


Aku akan menaiki kapal terbang Qatar Airways pada jam 3.00 pagi esok. Destinasi tujuan ialah Bahrain. Aku akan ke sana selama 12 hari sehingga 25 April 2008. Kali ini aku diberi peluang untuk mengikuti 'Dakwah Training Mosque Tour'. Aku bersama 14 delegasi Malaysia akan bersama-sama dengan para peserta dari negara luar. Kaedah yang digunakan oleh Masjid Negara Bahrain dalam menyebar dakwah melalui 'Mosque Tour' sangat berkesan dan memberi manfaat. Inilah yang akan kami pelajari.

Doakan agar niatku kekal dalam kebaikan, perjalananku selamat pergi dan kembali, tingkahlakku beradab, dan apa yang kulakukan diberkati. Moga Allah berikan ganjaran kebaikan dan pahala kepada ibu dan ayahku yang melahir dan mendidikku menjadi begini. Ameen..

10 April 2008

Minggu yang berlalu


Aku tiba sedikit terlewat untuk menyaksikan kedatangan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan. Inilah rakaman pertama yang dapat aku kongsikan.


Tahniah AM atas perkahwinan kamu dengan Daud. Semoga kalian berbahagia hingga ke syurga.


Sabtu itu jugalah kali pertama aku berjumpa kembali rakan-rakan sepejabat untuk sama-sama meraikan hari terindah buat kedua-dua mempelai.


Keesokannya adalah hari yang sangat ditunggu-tunggu. Aku seperti biasa bertugas sebagai jurukamera.


Merakamkan persembahan sulung USRATIKA di khalayak umum dalam Pesta Buku Antarabangsa Malaysia di PWTC.


Turut merakamkan reaksi penonton dan komen mereka untuk dijadikan bahan terbitan blog USRATIKA.


Dan akhirnya menjamu selera di sebuah restoran berdekatan bersama para aktivis lain termasuk kumpulan DEWANGGA SAKTI. Terima kasih Pak Raja kerana belanja kami makan malam.

08 April 2008

Sudah nasib badan



Sepatutnya bas bertolak jam 12.15 pagi dari Alor Setar
Tapi ia tiba jam 1.00 pagi

Naik bas hawa dingin rosak
Rasa sangat panas
Lalu bas berhenti untuk digantikan

Bas gantian pula sukar dihidupkan enjin
Lebih 15 minit penumpang menunggu
Akhirnya aku dapat melelapkan mata

Di tanjung malim bas bergerak perlahan
Aku terjaga lalu menyangka sesuatu tak kena
Jalanraya sesak bila lori di hadapan berhenti

Rupa-rupanya ia bertembung dengan kereta waja
Terlentang seorang wanita mati di tempat kejadian
Lensa kameraku sempat merakam

Aku tiba di Kuala Lumpur
Letih dan terus tertidur hingga tengahari
Keletihan berlanjutan daripada hari aku tangkap gambar perkahwinan hingga detik kakiku menjejak lantai rumah

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular