15 Julai 2008

Kembali ke Malaysia

Aku bersama Anis dan Bayu yang menemaniku mencari informasi di Guangzhou

Senaman tai chi diadakan pada setiap pagi di sebuah taman di tengah-tengah bandar



Tai chi dilengkapi kipas tangan sebagai senaman harian golongan tua

Abang Rosman dan isteri (warga China) merupakan peniaga berjaya di Guangzhou


Aku bersama para pelawat Masjid Huai Sheng dari UTM Skudai


Bersama Daud, warga China yang belajar di Selatan Thai, boleh bertutur dalam Bahasa Arab, Melayu, Siam dan Inggeris

Maqam Saad Abi Waqqas (sahabat Rasulullah) di Guangzhou


Laluan pejalan kaki yang sesak di kawasan membeli belah


Bersama masyarakat Muslim di Masjid Hao Pan


Taman rekreasi yang disediakan kerajaan untuk aktiviti bersenam


Aku di masjid Huai Sheng selepas mengikuti sambutan sempena kelahiran Saidatina Fatimah


Bersama rakan-rakan di restoran mamak di Beijing Lu


Bersama peniaga dari Pakistan dan pengunjung Muslim dari Yunnan


Di hadapan pintu gerbang masjid Saad Abi Waqqas


Tapak perkuburan muslim di Masjid Saad Abi Waqqas



24 Jun 2008

Ni hou



Ni hou.. itulah perkataan paling kerap digunakan apabila bertemu dengan orang ramai. Ia umpama salam bagi kita orang Islam. Perjalanan aku kali ini adalah perjalanan paling mencabar pernah aku lalui. Sebabnya aku sendirian dan belum boleh berbicara bahasa tempatan.

Bahasa Inggeris bukanlah bahasa terbaik untuk komunikasi di sini. Mandarin adalah satu-satunya bahasa keperluan dalam berbicara. Setibanya aku di Baiyun International Airport, hatiku berdebar. Aku selawat banyak-banyak dan berdoa agar dipermudahkan. Alhamdulillah, Allah kabulkan.

Aku berjaya melewati semua peringkat pemeriksaan sehingga dapat keluar ke balai ketibaan. Di sana, aku mencari-cari orang perhubungan aku. Ha, itu pun dia. Tak sampai 5 minit, aku sudah agak perempuan bernama Anis adalah dia. Kerana dia awal-awal lagi sudah sms begini.

"Saya akn tunggu kamu di sana. Saya kecil-kecil orangnya. Tak bertudung"

Lalu aku dibawa olehnya ke hotel berdekatan masjid tertua di Guangzhou. Perjalanan dari lapangan terbang ke sini mengambil masa 45 minit. Dalam sehari ini, aku sempat ke masjid Huai Sheng, masjid Hao Pan dan masjid Dong Ying.

Anis cukup hebat kerana sanggup menemani aku ke semua tempat ini dengan hanya berjalan kaki. Aku kagum dengannya yang sangat komited membantu aku sehingga ke malam hari. Dia pelajar di Universiti Jinan yang sudah 2 tahun belajar dalam bidang pendidikan Bahasa Mandarin. Sebutannya sahaja boleh membuat kita bingung sama ada dia ini orang Indonesia atau Cina kerana mukanya mirip orang berbangsa Cina.


Berdekatan hotel aku, terdapat beberapa restoran halal. Antaranya ialah restoran Uygur. Mereka adalah bangsa yang duduk di pergunungan di daerah Xinjiang. Bangsa Uygur ini terkenal dengan kecantikan dan sinonim dengan Islam. Makanannya juga mirip makanan Arab. Di sinilah aku menemui 5 orang pelajar UiTM yang mengembara ke China sendirian tanpa sebarang pemandu arah (seperti dalam gambar di atas - seorang lagi sedang tangkap gambar ini).



Yang paling tak dapat aku lupakan ialah menaiki bas awam. Macam tin sardin. Semua orang melekat antara satu sama lain. Melekat tak apa lagi, tapi apabila bau busuk badan mereka menusuk hidung, itu yang aku tak tahan. Fuhh.. lain kali tak naik bas dah. Lebih rela aku naik tren subway METRO. Murah pun murah. RM0.80 saja.


Semalam adalah hari sambutan kelahiran Saidatina Fatimah. Inilah kali pertama aku tahu ada sambutan sebegini. Masjid Huai Sheng dibanjiri ramai penganut Islam. Bezanya di sini, aurat tidak menjadi isu. Perempuan berpakaian ketat dan memakai kopiah atau tudung kecil untuk solat. Anis sangat tidak selesa jika tidak bertelekung. Jadi, Anislah yang pelik di kalangan jemaah.

21 Jun 2008

Doakan aku selamat


Awal pagi esok aku akan bertolak ke Guangzhou, China. Naik AirAsia pada pukul 5.45 pagi dan dijangka tiba di sana pada pukul 9.45 pagi. Inilah misi utama aku yang menjadi penyebab aku memilih untuk berhenti menjadi peguam (tak pasti lagi sementara waktu atau selamanya..).

Perjalanan selama 5 hari ini hanyalah bertujuan mengumpul maklumat dan mencari peluang terbuka untuk melebarkan sayap rahmat Ilahi kepada umat manusia.

Ya, aku pergi seorang diri. Di sana aku akan membina jaringan dengan sesiapa sahaja yang Allah rancangkan untuk aku. Memang aku tak pasti apa yang boleh dibuat dan bagaimana untuk aku berbuat. Aku serahkan pada DIA Yang Maha Berkuasa untuk membantu aku mencari jalan mustaqim yang dia lakarkan.

Doakan agar setiap detik waktu yang akan aku lalui dipermudahkan dan dirahmatiNya. Doakan agar pemergianku berhasil membawa laporan bermutu. Doakan agar perjalananku selamat pergi dan kembali.

Doakan agar setiap insan di sekelilingku khususnya ibu, ayah, adik beradikku, sanak saudaraku, sahabat handaiku, guru-guru, teman-teman, dan sesiapa sahaja yang berhubung denganku atau tidak dikurniakan pahala berganda olehNya atas apa yang aku lakukan kini. Kerana semua ini juga adalah hasil didikan, dorongan dan nasihat mereka sama ada secara langsung atau tidak.

Akhir kata, jangan lupa doakan diri sendiri ya.. hehe.

Rangkuman 3 hari

Memandangkan aku tak sempat coretkan catatan terkini dengan lengkapnya, cukuplah aku gabungkan kisah-kisah aku beberapa hari yang lalu.




Bermain futsal memang seronok walaupun hati aku sakit dengan kerenah kawan-kawan lain yang mungkir janji. Kalau ya, katakan ya. Kalau tidak, katakan tidak. Kan mudah begitu. Kenapa lah ada orang yang terfikir untuk menyusahkan orang lain?

Pelik.. dan hari ini membuatkan aku tak mahu lagi mengajak mereka yang mungkir janji untuk bersama dengan aku dalam aktiviti-aktiviti yang sungguh-sungguh aku usahakan. Aku lebih suka dengan rakan-rakan 'biasa' yang lebih mudah buat urusan dengan mereka. Sekali cakap sudah faham.

Tahniah kepada sahabat-sahabat yang terpampang mukanya dalam blog aku ini. Mereka inilah antara yang boleh aku percayai. Maafkan aku agak emosional sebab ia melibatkan wang dan keringat. Boleh ke main futsal 5 org saja sedangkan pada asalnya 15 orang mengatakan boleh main? Hmm..




Pada hari Khamis pula, aku diajak untuk bersama adik-adik GPTD lagi untuk menyaksikan pertandingan akhir Akademi Al-Quran. Memang sudah rezeki mereka, aku lapang waktu itu. Jadi, dapatlah aku (buat kali pertama) menjejakkan kaki ke PICC.

Sempat bertemu dengan Kak Nor yang sedang mengandung itu. Moga-moga anak dalam kandungan itu dapat juga dengar bacaan merdu daripada para finalis sekaligus terdidik menjadi insan berguna kepada agama.

Sedikit rasa kerdil dalam lautan manusia yang berpakaian baju Melayu dan berkopiah. Maklumlah aku pun tak bersedia untuk datang. Tapi, apa salahnya pun.. entah, nak rasa kerdil juga. Hehe..


Dan sekali lagi semalam aku bersama adik-adik GPTD lagi. Kali ini mereka pula aku ajak ikut aku. Aku nak ke Kinokuniya membeli buku bahasa Mandarin. Setelah itu, kami menjamu juadah di... (tgk gambar tahu la).

Inilah masa-masa yang aku luangkan untuk adik-adik GPTD aku ni semata-mata memberi mereka rasa riang dan ceria di samping bekerja sebagai sukarelawan. Ada masanya kita perlu bersama-sama gelak ketawa dan berbual-bual agar hubungan persaudaraan itu terikat kuat. Bukan bermakna, ukhuwah itu hanya wujud bila bekerja. Setuju?

Dan mungkin aku buat begini kerana tak lama lagi aku akan berjauhan dengan mereka.. ya, mungkin.. dan aku tidak mahu GPTD malap ditelan detik masa yang berlalu. Biar hati mereka terikat di sini dan terus berbakti.. Gambate!

20 Jun 2008

Sumbangan diperlukan

Kepada individu atau kumpulan yang berminat untuk menyumbang kepada kerja-kerja kesukarelawanan penulis, bolehlah hulurkan sumbangan melalui akaun ini:

No Akaun : 001-239904-025
Bank : HSBC Bank Berhad
Penama : MUHAMMAD SUHAIL BIN AHMAD

Penulis juga sedang dalam usaha mengumpulkan dana bagi meneruskan misi di China dengan mencari dan melatih kader baru supaya dapat menetap untuk tempoh yang lebih lama di sana.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) yang disertai oleh penulis, sila klik di sini.

Publisiti Media

Berikut adalah beberapa publisiti media berkenaan keterlibatan penulis dalam kegiatan aktivis belia yang pernah mendapat liputan:

Uploaded with ImageShack.us


15 Jun 2008

Bersuka ria






Aku dan dua sahabat setuju menghabiskan hari Sabtu bersama. Mula-mula sekali, kami pergi ke Pusat Darah Negara. Tak disangka rupa-rupanya hari ini hari penderma darah sedunia.

Dengan azam yang tinggi, aku datang dengan tujuan menderma plasma. Kata doktor, berat perlu 55kg ke atas baru boleh.

"Ibu.. tengok ni, berat suhail 57 kg."
"Balik-balik negara Arab terus naik 7 kg.. baguslah."
"Yang penting dapat derma plasma, ibu.."

Sebaik saja aku timbang hari ini, aku tak puas hati sebab berat aku 54.6kg. Arghh, lagi 400 gram saja. Tak apalah. Asalkan aku dapat bawa sahabat aku ni pun dah cukup. Kelakar tengok gelagat mereka.




Selepas tu, kami ke Balai Senilukis Negara. Sempat berbual dengan S Amin Shahab. Banyak pengalaman yang dia ada. Akhirnya aku dapat no telefon dia untuk manfaatkan pengalaman dia dengan ahli-ahli GPTD. Sambil dia berborak, dia boleh melukis dengan cantik sekali.






Alang-alang bawa kamera, kami terus ke KLCC untuk bersiar-siar dan mengambil gambar. Mencuba teknik shooting yang menarik. Kebetulan, sepasang suami isteri dari Lubnan minta aku tolong tangkapkan gambar mereka. Mereka ingat aku buat bisnes tangkap gambar pelancong. "We are muslims. We are brothers. Free of charge.. Never mind."



Selesai solat Asar, kami bergegas ke Taman Tasik Titiwangsa sebelum ke Balai Senilukis Negara sekali lagi. Kali ini kami nak tengok Laman Santai.Saja nak cuba barang baru. Peralatan tambahan kamera aku belum diuji. Jadi, sambil lepak-lepak minum, sempatlah aku tangkap gambar Dato Ahmad Jais, Kopratasa, Raja Azura dan Shafinaz.






Hah, sebut pasal Shafinaz.. kelakar pula. Kawan aku, Nadmin ditarik Shafinaz untuk melayan dia menyanyi. Ceh, Fad.. jangan marah ya. Shafinaz datang ke kerusi Nadmin dan bawa dia ke depan. Kalau aku pun tergamam. Hehe.


Alhamdulillah, aku suka dengan masa yang terisi hari ini dengan sahabat-sahabatku. Mungkin hari ini akan mengeratkan tali persaudaraan aku dengan mereka. Dan mungkin juga kegembiraan hari ini menjadi memori indah kepada mereka saat aku tiada. Dan kuharapkan mereka ceria dengan kehadiranku.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular